Rabu, 1 November 2017

ADA APA DENGAN RUMAH API?


Teks & Foto oleh Roots Radicals.

Panas, gelap, dinding yang penuh diconteng dan dihiasi muzik keras yang bising. Itulah dia Rumah Api yang dahulu dikenali sebagai Gudang Noisy. Siapa sangka di sebalik hiruk-pikuk kota Pekan Ampang yang jalan rayanya sentiasa sibuk, tersorok satu entiti bernama Rumah Api yang kini semakin dikenali oleh masyarakat umum. Rumah Api yang terletak di Lot 178 Jalan Merdeka of Jalan Ampang ini pernah dinamakan sebagai “Top 5 Squat” di dalam sebuah blog/majalah terbitan Russia dan menjadi impian kebanyakan band-band D.I.Y. di negara-negara jiran untuk beraksi di pentas gig Rumah Api ini. Tetapi di sebalik kegelapan, panas dan muzik bising ini adalah kejujuran, semangat rebel untuk melawan penindasan yang diekspresi-kan dalam bentuk seni oleh anak-anak muda. 

Rumah Api bukan sekadar pentas bermain muzik seperti venue gig yang lain. Aktiviti berdiskusi, bengkel seni, screening, acara Really Really Free Market, Food Not Bombs dan pelbagai aktiviti lain yang menghiasi ruang di Rumah Api ini, malahan ruang bacaan Pustaka Semesta dan Tandang Store yang menjual rekod, CD dan merchandise dari band lokal dan luar negara turut menjadi tarikan kepada pengunjung Rumah Api. Boleh dikatakan juga bahawa Rumah Api telah menjadi satu landmark kepada pemuzik D.I.Y. dari luar negara yang berkunjung ke Kuala Lumpur. Rumah Api menjadi tempat untuk anak muda berhibur sama seperti tempat hiburan yang lain tetapi segelintir authority membenci aktiviti di Rumah Api adalah kerana kelantangan menentang penindasan, korupsi, idea menentang fasisma dan rasisma yang terselit di dalam lirik bersama muzik keras dan bising yang dimainkan di Rumah Api. 

Sebelum ini juga pihak polis pernah menyerbu Rumah Api yang dikenali sebagai Gudang Noisy pada 27 Mei 2010 iaitu ketika berlangsungnya gig tour band Berantakan bersama band dari Australia iaitu Kill The Apprentice. Seramai 123 orang telah ditahan dalam serbuan ini. Tahanan yang didapati lulus ujian air kencing dibebaskan sekitar jam 6 pagi keesokan harinya. Namun semangat Rumah Api tidak luntur malah saban tahun semakin aktif dengan aktiviti yang dijayakan oleh komuniti Rumah Api dan kini mempunyai acara berskala besar tahunan iaitu Chaos in Rumah Api yang dinanti oleh peminat muzik D.I.Y. di mana acara ini mengumpulkan berpuluh band yang hebat dari dalam dan luar negara. Rumah Api tidak mengehadkan genre hanya kepada Punk, Oi!, Hardcore, Thrash, Grind dan Metal sahaja. Malahan pemuzik indie/folk seperti Liyana Fizi juga pernah beraksi di pentas Rumah Api ini.

Tarikh 28 Ogos 2015 menjadi satu lagi detik hitam yang menyaksikan Rumah Api telah diserbu oleh pihak berkuasa kerana gig bertajuk Party Tonight, Revolution Tomorrow yang turut dibarisi oleh band punk lagenda Carburetor Dung yang dinantikan oleh ramai peminat muzik D.I.Y. Serbuan ini membukti-kan authority semakin terancam dan Rumah Api telah berada dalam pemerhatian mereka. Liputan media terutamanya media alternatif terhadap serbuan ini sebenarnya akan membuatkan lebih banyak pihak membuka mata dan menyedarkan mereka tentang kewujudan Rumah Api ini dan aktiviti yang dilakukan oleh komuniti Rumah Api ini. Seramai 116 orang telah ditahan selama 3 hari untuk disiasat. Beberapa tahanan dari luar negara telah ditahan lebih lama sehingga ada yang mengambil masa 5 hari kerana masalah birokrasi.

Bagaimanapun serbuan yang dilakukan di ambang Hari Kemerdekaan ini telah memberi impak yang agak besar. Pihak berkuasa telah merampas dan menyita banyak barang-barang kepunyaan Rumah Api dan juga barang peribadi milik pihak penganjur. Semoga Man Beranak tabah dan tidak patah semangat untuk menghidupkan kembali Rumah Api. Semoga Rumah Api akan kembali memberikan cahaya dalam kegelapan yang suram dan memberikan kehangatan dalam kedinginan kepada pencinta muzik D.I.Y. yang membenci segala jenis penindasan.

********************

Setelah lebih setahun artikel ini ditulis, dan kejadian diserbu pihak polis, Rumah Api kembali aktif dengan aktiviti gig dan show dari band-band lokal dan band luar yang sedang tour di Kuala Lumpur. Peristiwa diserbu pada malam 3 hari sebelum Hari Kemerdekaan tahun lepas tidak mematahkan semangat mereka untuk masih aktif, malah aktiviti di Rumah Api semakin rancak dan jadual gig boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu diadakan. Terdapat juga pengunjung baru yang sebelum ini tidak pernah menjejakkan kaki mereka ke Rumah Api datang untuk meninjau dan melihat aktiviti di Rumah Api.

Namun satu kejadian yang tidak disangka telah berlaku pada 19 Julai 2016 di mana satu insiden kebakaran telah terjadi di bahagian pintu masuk belakang yang juga telah mengakibatkan suis elektrik turut rosak dan menyebabkan Rumah Api terputus bekalan elektrik. Beberapa gig dan aktiviti yang sepatutnya dijadualkan diadakan di Rumah Api terpaksa dipindahkan ke tempat lain. Dikatakan seorang homeless yang sering tumpang tidur di sofa yang terletak di bahagian luar Rumah Api bertanggungjawab terhadap insiden kebakaran tersebut. Hasil solidariti dari rakan-rakan termasuk rakan dari luar negara dengan mengadakan gig dan aktiviti untuk mengumpul dana sedikit sebanyak membantu beban Man Beranak membaikpulih kerosakan yang dianggarkan mencecah sehingga RM7 ribu. Rumah Api kembali pulih dan mula beroperasi kembali pada 4 Ogos dan acara gig mula mewarnai kembali pada hampir setiap malam minggu selepas itu.

Bagaimanapun di sebalik keceriaan penghuni dan pengunjung Rumah Api, tersimpan kerunsingan dan kerisauan berkenaan projek pembinaan lebuhraya SUKE (Sungai Besi Ulu Kelang Expressway) yang sedang diusahakan oleh kerajaan negeri bersama pemaju Prolintas. Atas nama pembangunan, Rumah Api dan lot-lot kedai dan bangunan-bangunan lama di Pekan Lama Ampang yang telah wujud lebih 100 tahun akan dirobohkan termasuklah kawasan hutan Taman Rimba Ampang yang turut termasuk di dalam kawasan pembinaan SUKE ini. Projek lebuhraya sepanjang 24.4km ini dibantah oleh sebahagian penduduk sekitar bersama aktivis dengan mewujudkan persatuan The Say No To SUKE (SNTS) dan telah berapa kali mengadakan aktiviti bantahan dan kempen agar projek pembinaan lebuhraya SUKE ini dibatalkan. Walaupun diketahui bahawa projek ini sepatutnya ditangguh kerana ketiadaan laporan EIA (Environment Impact Assess-ment) dan beribu petisyen bantahan dihantar, kerja penebangan pokok dan kerja pembersihan tapak telah bermula di beberapa kawasan sekitar.

Pencinta muzik underground / independent akan merasakan kehilangan besar sekiranya Rumah Api berhenti beroperasi. Jika  projek pembinaan lebuhraya SUKE ini terus berjalan dan bangunan-bangunan di Pekan Lama Ampang yang turut menempatkan Rumah Api dirobohkan, kemungkinan Chaos in Rumah Api 4 pada tahun ini adalah yang terakhir. Tidak mustahil juga selepas ini penganjur gig terpaksa menyewa club, studio dan feel tersebut tidak sama seperti yang terdapat di “punk house” Rumah Api. Malahan sekiranya Rumah Api berpindah lokasi, “vibe”nya juga mungkin tidak sama seperti yang sedia ada sekarang.

Kadang-kadang aku tersenyum sendirian dan bertanyakan kepada diri sendiri ketika berjalan menuju Rumah Api sekiranya ada gig yang menarik minat aku, “Di mana lagi kita boleh jumpa tempat cool sebegini yang terletak di antara balai polis dan sebuah tokong?”. Walaupun terpaksa menonton live band di sebelah curahan air yang melimpah keluar dari paip yang bocor ketika hujan lebat ataupun bahang panas seperti sauna bagi mereka yang tidak biasa, tiada tempat lain yang dapat menggantikan Rumah Api. Rumah Api adalah satu tempat yang sangat istimewa bagi pengunjung setia yang juga merupakan penggemar muzik bebas di Malaysia.


Terimakasih Roots Radicals [fb.com/roots.radicals.14] di atas sumbangan artikel ini di mana teks asal telah disiarkan dalam Zine Tribute Untuk Rumah Api. Tulisan ini dikemaskini dengan beberapa isu terkini. Terima kasih juga kepada pihak Karyaraya Publishing di atas keizinan menyiarkan semula artikel ini di sini.

NOTA: Sepertimana disiarkan dalam BANGKIT! #3

Tiada ulasan:

Catat Ulasan