Jumaat, 10 November 2017

Rebiu | ETERNAL ZINE – Isu #3


ETERNAL ZINE – Isu #3
60ms / A4 / Bahasa Melayu
Sebaik menerima naskah Eternal Zine #3 ini, saya kira saya telah berada di kalangan orang-orang yang rugi. Ianya adalah kerana saya gagal mengikuti dan memiliki dua isu terdahulu, dan lebih kempunan kerana menerusi isu ketiga ini saya dapati ini zine yang begitu unggul reputasinya dalam banyak perkara. Metal Buatan Borneo – tagline ini cukup jelas dan teguh dalam menyatakan jatidiri serta halatuju fanzine kendalian Oleez (editor). Pertama ianya Metal, berkisar tentang muzik ekstrim itu sahaja namun jika itu dipandang masih umum, lihat yang keduanya iaitu Borneo. Inilah yang memperkuatkan identiti sebenar Eternal Zine, tumpuan sepenuhnya kepada scene di sebelah sana; seputar Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan. Tahniah dan tabik-hormat dari saya untuk idea dan konsep sebegini. Ianya mempunyai nilai unik dan eksotik sifatnya yang tidak mungkin dapat ditemui dalam kebanyakan zine-zine lain. Fokus itu satu hal yang menjadi tunjang pembikinan Eternal Zine, seperkara lagi ianya berwarna penuh (full-coloured) dan cetakannya pula menghampiri kualiti cetakan profesional. Saya tidak hanya melihat kepada banyaknya masa dan tenaga yang dicurahkan dalam menerbitkan zine ini, tetapi juga keinginan serta pengorbanan editornya untuk menghasilkan zine yang berkualiti tinggi. Itulah kualiti yang ada pada Eternal Zine #3. Sangat-sangat menarik. Selaras dengan tema dan termanya, saya percaya Eternal Zine telah mengetengahkan begitu banyak nama-nama di kalangan scene Borneo dalam dua isu terdahulu. Dalam isu ketiga ini sahaja yang mana mula beredar pada penghujung September 2017 lalu sudah begitu padat dan lebat dengan pelbagai informasi band-band di kepulauan berkenaan. Kuantitinya cukup besar, malahan sudut liputannya meluas. Isu ini menampilkan temubual eksklusif bersama DRACONAEON, band Dark Melancholic Death Metal dari Negara Brunei Darussalam sebagai “cover story”. Slot-slot temubual lain turut diisi oleh Shadowmirth (Brunei), Tormentor (Sabah), Mortuary Ancestor (Sabah), Erectus (Sarawak), Senjakala (Brunei), Narsarakh (Brunei), Reputdeath (Sabah), Mentally Murdered (Sarawak), Deadblaster (Sabah), Nogas (Sarawak) dan Demizer (Sabah). Ternyata kualiti Eternal Zine tidak hanya pada fizikal, tetapi juga dalamannya – temubual-temubual yang dipenuhi soalan-soalan yang tidak klise dan bukan jenis stereotaip. Begitu juga dengan teliti dan terperincinya penulisan-penulisan berbentuk artikel, expose, biografi dan bermacam bentuk skop lagi melibatkan band-band seperti Insacred, Curse Of God, Bestial Hordes, Senseless, Dire Crown, Unconcious, Kebes, Infelicity, Asmodeus, Madbullet, Penguasa Anjing, Akagrish, Bencana, Destroying Ears, Manggam, Perpetual, Hypertika, Kafan Ov Azazil, Zoghnity dan Reactorizer. Ini belum lagi kalau mahu disebut satu-persatu yang terdapat di dalam ruangan ulasan album (demo/ep/reh/album penuh). Ia liputan dan kupasan yang masif dan mendalam. Eternal Zine ini ibarat satu pusat sumber atau pengkalan data untuk scene Metal Borneo. Kehadiran beberapa penulis/kontributor turut menjelmakan variasi dalam penulisan dan pengisian Eternal Zine. Berkaitan design dan layout pula, ianya menyempurnakan kualiti menyeluruh zine ini – kemas, rapi dan profesional. Tiada alasan untuk setiap penyokong scene metal/zine tempatan untuk tidak memiliki Eternal Zine. Ianya cukup berbaloi dengan nilai ringgit yang anda bayar untuk senaskah fanzine sebagus ini. Emel: eternalzine2011@gmail.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan