Ahad, 12 November 2017

Rebiu | BOMBRÄD – self-titled (Demo 2016)


BOMBRÄD – self-titled (Demo 2016)
Pissed Off! Records
Bombräd chaos!!!, Bombräd chaos!!! – Hebatnya Bombräd di sudut identiti band ini hinggalah kepada kualiti muzik mereka membuatkan saya terdorong dan tidak sedikit pun berasa rugi mendapatkan kedua-dua versi Demo 2016 mereka; di mana cetakan pertama pada Disember 2016 yang dikhabarkan telah laris terjual dalam masa yang begitu singkat dan versi cetakan kedua yang telah dikeluarkan sekitar Februari 2017 menampilkan artwork yang berbeza. Bombräd terdiri daripada Krāsna Arip (vokal), Sēed (gitar/bass/vokal) dan Warthug (dram/vokal) yang juga ahli / bekas ahli band-band seperti Skullcrusher, Defeat, The One Chord Wonders, Lycant Militia dan Urban Vicious. Kaset demo ini menyajikan 5 buah lagu yang kuat dipengaruhi oleh hardcore punk Skandinavia. Ianya meledak, bertenaga, sarat dengan inspirasi Swedish/Finnish hardcore punk beruratnadikan band-band seperti Totalitär, Anti Cimex, Tampere SS, Mob 47, Shitlickers dan yang sewaktu dengannya. Tidak ketinggalan Bombräd turut menyuntik pengaruh UK Punk seperti Discharge dan elemen Rock & Roll Motörhead dalam usaha menambah lagi sengat irama bawaan Bombräd. Tidak hanya pada muzik, mereka juga mengaplikasikan dwi bahasa Sweden dan Finland dalam penulisan lirik dan nyanyian. Motstånd (dalam bahasa Sweden) bermaksud Resistance, Korruptio (dalam bahasa Finland) bermaksud Corruption. Raha (fin) maknanya Money dan Spräckta Snutskallar (swe) ertinya Crack Cop Skull. Demo yang dirakam (termasuk mixing dan mastering) sekitar 5 Ogos 2016 hingga 30 November 2016 di tiga studio berbeza ini menjanjikan produksi dan kualiti bunyi pada tahap yang begitu baik. Muzik dan lagu-lagu Bombräd kedengaran begitu padat, mantap dan cukup huru-hara! Demo ini sesuatu yang mesti dimiliki, cubalah tanya kalau-kalau masih ada.

Nota: Saya ada mengemukakan set soalan interbiu kepada Bombräd pada Februari/Mac 2017 dan sehingga kini masih menunggu jawaban dari mereka. Harapnya Sēed dan rakan-rakan beliau dapat memberi respon kerana ini salah-satu band yang saya inginkan sangat untuk ditampilkan dalam Bangkit! Fanzine.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan