Ahad, 12 November 2017

Rebiu | SEPU10H – Demo


SEPU10H – Demo
Independen
Tidak banyak informasi mengenai band ini ketika kali pertama saya menerima CD demo ini. Sampulnya terlalu ringkas, selain hiasan yang seakan “Bleach” Nirvana, hanya tercatat senarai judul lagu di belakang. Apapun, ia bukan perkara besar yang boleh menghalang saya untuk menikmati rakaman ini dan seterusnya menyelongkar lebih jauh untuk mengenali apa adanya dengan Sepu10h. Demo ini mempertaruhkan 3 buah lagu berdurasi keseluruhan hampir 9 minit; Caring Pharmacy, P.M.O dan The Lions. Di peringkat awal pendengaran, saya seperti merasakan Sepu10h ingin memainkan muzik Grunge yang mahu kembali kepada asasnya (back to the basic). Saya terbayangkan band-band Grunge yang punya nama besar seperti sudah tentunya Nirvana, Pearl Jam, Soundgarden, Stone Temple Pilots, The Melvins dan beberapa lagi. Grunge mungkin boleh dikatakan akar yang ada pada muzik bawaan Sepu10h namun setelah diamati dengan teliti, didengari berulang-kali, band yang dianggotai oleh Bal (vokal), Bo (gitar utama), Mask (gitar kedua), Poped (bass) dan Pian (dram) ini tidaklah terlalu bergantung kepada inspirasi dan nuansa Grunge di zaman kegemilangan Settle. Sepu10h mengambil langkah proaktif dengan menyuntik beberapa pembaharuan agar muzik mereka kedengaran lebih segar dan sejajar dengan edaran zaman. Saya dapati banyak juga unsur-unsur protopunk / garage rock 70an dalam komposisi lagu-lagu band ini selain dari sedikit elemen alternative/indie rock 90an. Komposisi lagu-lagu Sepu10h sememangnya mantap, baik dari segi struktur riff mahupun susunan muzik. Terus-terang saya sukakan kesemuanya, sedap di telinga, enak di jiwa. Hinggakan saya merasakan tidak puas sekadar hanya 3 lagu yang dihidangkan. Bentuk vokalnya juga kedengaran begitu bagus. Dan saya juga perlu beritahu, demo ini memiliki kualiti bunyi yang sangat baik. Saya terkejut dan memperakui, tidak hairanlah mengapa produksi bunyi dalam demo ini pada tahap yang tinggi setelah difahamkan ianya dirakam di Bakri Music Workshop Studio. Saya harap Sepu10h menambah inisiatif menulis dan merakam lebih banyak lagi lagu-lagu bermutu dan melekat seperti yang disediakan dalam demo ini pada masa-masa akan datang. Sepu10h ini sebuah band yang menarik untuk diikuti perkembangannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan