Isnin, 20 November 2017

Rebiu | HUMAN ENERGY COLLECTIVE – self-titled (Demo 2017)


HUMAN ENERGY COLLECTIVE – self-titled
Independen
Demo CD ini boleh dianggap rilisan percubaan dari Human Energy Collective (HEC), band 4-piece asal Sibu, Sarawak yang terdiri daripada Nazrin (gitar/vokal), Zaqwan (gitar), Alvin (bass) dan Izzy (dram). CD-R yang tampil dalam pakej bersampul ringkas ini memuatkan satu single track panjang selama 20:05 minit; difahamkan terkandung 2 lagu yang dimain tanpa henti – ‘Nobat Dari Langit’ dan ‘Ora’. Untuk makluman, lagu panjang ini dipersembahkan secara instrumental (tiada vokal) dan track kedua bermula lebihkurang pada penghujung minit ke-12. Secara muzikal, saya berpendapat HEC sebuah kumpulan indie yang mahu membawa sedikit kelainan dalam muzik mereka. Mereka menyuntik elemen-element ambient, atmospheric dan psychedelic dalam nuansa post-rock mainan mereka. HEC dilihat begitu bereksperimentasi dengan bunyian menerusi petikan-petikan gitar serta struktur riff, disulami iringan bass dan ketukan gitar yang tepat dengan susunan serta alunan melodi yang digarap. Ianya melayang dan membuai. Kualiti produksi bunyi yang baik turut menambah nilai kualiti menyeluruh CD Demo ini di mana ianya dirakam di imusicshoppe, Sibu. Pada keseluruhannya menurut pandangan saya, HEC ini sebuah band yang kreatif dan boleh dikatakan agak unik. Mereka menghasilkan satu komposisi muzik yang cantik olahannya, kedengaran cukup indah di telinga. Ini percubaan yang sedikit-sebanyak menampakkan potensi awal HEC dalam scene muzik bebas tempatan.


Nota: Human Energy Collective adalah salah-satu band yang akan Bangkit! Fanzine ketengahkan dalam special “Indie Rock” issue yang kini dalam perancangan / pembikinan, dijayakan secara kolaborasi bersama seorang rakan penulis iaitu XjujuX.


Berikut sedikit Kajian Awal saya berkaitan band Human Energy Collective, bersama Izzy (dram), individu yang mengirim CD demo mereka dan Alvin (bass). HEC yang berpengkalan di Sibu, Sarawak turut dianggotai oleh Nazrin (gitar/vokal) dan Zaqwan (gitar).


Saya dah dengar cd demo HEC. Boleh saya tau apa judul demo/cd ni dan senarai/tajuk lagu dalam cd tu? Yang saya dengar 1 single track panjang, 20++ minit. Macam ada part-part.. tu yang saya anggap ada beberapa track lagu yang dimainkan bersambung. 
Izzy Izzuddin: Terima kasih kerana sudi mendengar HEC. Buat masa sekarang demo memang tiada judul. Record memang untuk kepuasan diri je pada permulaan niat. Minta maaf sebab lupa tulis dekat demo berkenaan untuk tajuk lagu, hehe. Dalam satu track sebenarnya ada dua lagu. Memang disengajakan buat satu track. Lagu pertama tu Nobat Dari Langit. Dan lagu kedua adalah Ora yang mula pada penghujung minit ke-12 kalau tak silap.

Sound memang best, sedap. Bagi saya HEC mencuba kelainan dalam muzik. Susunan & flow lagu pun best. Bagi saya HEC buat something different la dalam scene muzik tempatan ni. 
Izzy Izzuddin: Terima kasih di atas perhatian bro dengan bibit-bibit sound dalam demo tu. Kami se-band memang tak perasan dengan kelainan yang ada dalam lagu tu sebab memang pada mulanya frontman form HEC ni based on minat sekumpulan lelaki yang menjurus ke arah instrumental music je, hehe.

Pertama kali dengar saya terus define macam Ambient Rock / Atmospheric Rock gitu. Betulkan saya kalau saya salah.
Izzy Izzuddin: Sampai sekarang HEC sendiri pun tak tau genre macam mana. Macam-macam mana pendengar nak nilai, HEC ok je, hehe.

Band-band macam mana yang influence music composing HEC ni?
Alvin Äldreen: Soalan ini yang payah jawab. Masing-masing bandmate ada influence sendiri. Nanti saya tolong tanya diaorang. Tapi macam saya, bassist, influence lebih ke buku macam George Orwell (Animal Farm, 1984), Aldous Huxley (Brave New World, Barren Leaves), filem (Waking Life, Slacker, Into The Wild), music secara personal ialah Bob Dylan, dan musik personal juga ialah Rohas Remi.

Buat masa ni kami sedang carigali band-band local yang dalam kategori indie / alternatif / post-ROCK untuk satu special issue zine Bangkit! So, ni saya dah dapat satu band yang saya nak feature, hehe!
Izzy Izzuddin: Terima kasih banyak-banyak sebab tak sangka jugak boleh sampai ke telinga bro pasal HEC. First ever platform for HEC ni.

Terima kasih! Temubual lengkap bakal menyusul nanti. – Pyan Nathias

Tiada ulasan:

Catat Ulasan