REPUBLIK ANAK TIMUR – Jamming Pah Ceroh
Independen
Pertama kali saya menerima dan mendengar demo “Jamming Pah Ceroh” dari Republik Anak Timur atau ringkasnya R.A.T, saya melihat bakat dan potensi besar di dalam band 3-piece ini, di mana ahlinya terdiri daripada Jack (gitar/vokal), Imey (bass/vokal) dan Ajis (dram). Ini merupakan demo cd-r pertama mereka, diriliskan penghujung Mei 2017 lalu dan ianya mengandungi 5 buah lagu berdurasi keseluruhan 18:41 minit. Senarai lagu: 1. Cerita Kita, 2. Hipokritis Bangsat, 3. Kau Pemusnah, 4. Polititas Babi, dan 5. Tinggal Mati. Secara muzikal, R.A.T pada dasarnya berpaksikan Street Punk Oi! di mana asas muzik mereka banyak mengingatkan saya kepada band dari Sabah, Con-damn The Corruptor dan sudah tentu pengaruh kuatnya datang daripada band-band Indonesia seperti Marjinal dan Desa Lukanegara. Demo ini tidak bosan untuk dilayani berulang-kali. Saya terhibur dengan lagu-lagu ciptaan R.A.T yang tidaklah terlalu keras, sedap didengar serta mudah dihadam. Mereka bijak mengolah. menyusun dan mengujudkan keseimbangan antara melodi yang catchy dan riff-riff agresif. Semuanya kedengaran enak dan rangup. Kualiti bunyinya juga begitu baik dan jelas biarpun difahamkan dirakam secara langsung (live). Meskipun tiada lirik dibekalkan pada sampul demo, nyanyiannya cukup jelas dan senang difahami, dan R.A.T menerapkan mesej-mesej yang positif di dalam lirik-lirik lagu tulisan mereka. Akhir kata, Saya berharap akan ada label-label tempatan yang boleh mengeluarkan semula demo cd-r ini dalam format kaset, kerana saya fikir ianya layak dan menarik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan