IN A SENSE – Demo 2017
Independen
Kombinasi Punk Rock dan Rock & Roll telah menjadi pertaruhan In A Sense semenjak 20 tahun yang lalu. Demo 2017 ini merupakan rilisan kelima dari mereka, atau tepatnya ketiga di bawah nama In A Sense. Untuk makluman, sebelum mengubah nama kepada In A Sense, band ini pernah dikenali dengan dua nama lain; Paradocks dan Innocent Criminal akan tetapi halatuju dan semangat muzik mereka tidak pernah beralih arah. Demo 2017 adalah bukti ampuh perjuangan dua dekad Punk Rock & Roll galasan In A Sense. Saya menikmati keseluruhan 8 buah lagu yang dipersembahkan. Side A bermula dengan intro berjudul Noises, sebuah instrumental pendek yang kencang. Kemudiannya Generosity yang juga sebuah track singkat. Lagu susulan It’s Not Me dan Past,Present,Future,Hope kedengaran begitu santai di telinga saya. Beralih kepada Side B, lagu pertama pada keratan ini iaitu Red Tie adalah lagu yang paling saya gemari. Saya sukakan flow-nya, vibe dan hook yang ada di dalam lagu ini. Moonlight memiliki lebih citarasa punk rock manakala Fooling Yourself agak sempoi namun tetap menarik. Track penutup, Mind Of The Mindless merupakan sebuah lagi lagu kegemaran saya dalam demo ini. Ianya lebih berat dan padat dalam aspek sound menurut pendapat saya. Tidak dapat dinafikan, kematangan In A Sense terserlah menerusi kebijaksanaan mereka menulis dan menyusun keseimbangan Punk Rock dan Rock & Roll dalam komposisi lagu-lagu mereka. Band yang dianggotai Kerol (bass), Bard (gitar), Spex (gitar/vokal) dan Anchoi (dram) dalam rakaman ini juga berkemampuan menyetarakan nuansa ringan dan berat dalam lagu-lagu mereka tanpa mengetepikan kepentingan tarikan melodi. In A Sense meletakkan melodi-melodi yang tepat dan melekat pada tempat-tempatnya dan kesemua 8 buah lagu dalam demo ini mengandungi karisma-karismanya yang tersendiri, rancak dan menghiburkan. Produksi bunyi juga begitu baik meskipun status rilisan ini hanyalah sebuah demo, dirakam di Green House Studio di bawah kendalian Tom Bollocks yang turut bertanggungjawab dalam proses mixing dan mastering. Saya kira In A Sense menerusi Demo 2017 ini telah menyediakan satu bekalan terbaik buat diri mereka sendiri setelah hiatus beberapa tahun selepas EP 2011. Dan harapnya bekalan ini menjadikan mereka lebih bersedia untuk merealisasikan sebuah full-length (album penuh) sebagai susulan dan hadiah paling bermakna buat pendengar-pendengar muzik mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan