Rabu, 1 November 2017

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #6


PEDAL TO THE METAL – Isu #6
52ms / A5 / Bahasa Melayu
Setelah mengeluarkan Pedal To The Metal #5 pada Disember 2016, sahabat saya Raimi Barbarossa atau mahu dikenali dengan nama pena Ahmad Ra1m1 sebagai editor zine ini dilihat agak terganggu dengan situasi hidup dan persekitarannya, mengakibatkan zine bermotifkan “Metal Punk Berbasikal” ini tidak dapat mengekalkan konsistensi penerbitannya sebagaimana biasa. Selain daripada kesibukan bertugas (malah beliau telah berpindah dari Kangar ke Gombak), Raimi sepertimana diceritakan agak sibuk dengan rakaman band projek beliau dan pada masa yang sama dikhabarkan sedang menyiapkan penulisan sebuah buku. Kami beberapa kami bertemu, melepak dan berbual-bual di sebuah restoren mee tarik di Sri Gombak di mana saya beberapa kali juga “membakar” beliau untuk cuba-cuba mencuri masa merealisasikan isu baru Pedal To The Metal. Akhirnya, Raimi “terbakar” juga dan hasilnya isu terkini #6 berjaya beliau terbitkan pada bulan Julai lalu – rilis sempena Perlis Zine Fest bertarikh 1 Julai 2017. Pedal To The Metal seperti selalunya, sentiasa mempunyai pilihan yang menarik dalam mengisi slot-slot interbiu di mana kali ini ia menampilkan Filsufatia (sebuah band solo yang berpaksikan instrumental depressive / atmospheric / melancholic Black Metal), Lifeform (kugiran Thrash Metal yang agak obscure keujudan mereka), Insultor (band berhaluan Black Metal yang sememangnya “jahat” penampilannya, haha!), serta As Rusty Empyrean (instrumental Post Rock dari Johor Bahru) sumbangan Asrap Mohamad. Temubual-temubual ini bukan sahaja menarik untuk dibaca, tetapi “terbaik” olahannya di mana soalan-soalan yang dikemukakan sangat matang dan bukannya pertanyaan-pertanyaan tipikal. Band-band turut tidak kedekut memberikan respon yang mantap dan lengkap. Raimi selaku penulis berwibawa turut menulis artikel-artikel ringkas namun cukup informatif mengenai band-band Al-Azazhil, Verminator, Flagitious Idiosyncrasy In The Dilapidation (Jepun), Nile (dalam rencana “Seruan Kepada Kemusnahan”) dan juga Terryrotten. Penulisan paling saya suka, di mana saya anggap “highlight” kepada Pedal To The Metal adalah laporan 7-mukasurat Hammersonic Festival 2017. Ia bukan liputan acara berkenaan semata-mata, tetapi travelog menyeluruh mengenai sebuah pengembaraan di tanah Jakarta. Sebagaimana diketahui, Pedal To The Metal turut berkonsepkan aktiviti kembara dan riadah. Meskipun tiada laporan eksklusif berkaitan kegiatan kayuhan (berbasikal) seperti beberapa isu terdahulu, isu #6 ini masih memiliki laporan-laporan seperti Meneroka Gua Bukit Ketepi dan juga Menjejaki Pasar Terapung Ban Pru. Keterbukaan Pedal To The Metal diteruskan semenjak isu pertama ia diterbitkan. Zine ini mempunyai kekuatan dalam menyediakan keseimbangan antara dunia muzik ekstrim, karya-karya seni, ilmu pengetahuan dan kerohanian juga. Maka di dalamnya pembaca tidak tersekat hanya berada pada satu sudut sahaja, tetapi turut dibawa mendapat manfaat dari karya-karya seperti cerpen, ilustrasi dan juga komik Hasppidy yang merupakan kartun trademark kepada zine ini. Sebelum ulasan saya terhadap Pedal To The Metal #6 ini menjadi lebih panjang, saya perlu tamatkan di sini dengan hanya beberapa patah perkataan rekomendasi untuk zine hebat ini. Saranan saya, inilah zine yang sepatutnya menjadi “kemestian” untuk diperolehi semua golongan pembaca, kerana di dalamnya semuanya ada!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan