Acara: Garage Session #1
Band: Blank Shot / Kerak Nasik / Forgetting Francesca / Klabu Asap / Classmates / Seeing The River
Tempat: Garage Studio, Taman Melawati, Kuala Lumpur
Tarikh: 11 November 2017 (Sabtu)
Anjuran: Garage Studio & Space – facebook.com/garagestudio1
Saya akui, saya teramat jarang turun padang menghadirkan diri ke acara-acara gig semenjak beberapa tahun ini untuk menonton aksi-aksi pentas band-band tempatan. Selain limitasi masa yang kadang-kala dihimpit dengan pelbagai komitmen, masalah penglihatan saya untuk memandu di sebelah malam agak membataskan pergerakan. Entah mengapa, hari itu bertarikh 11 November 2017 saya begitu terdetik dan tertarik untuk datang ke acara Garage Session #1. Lokasinya tidaklah begitu jauh dari kediaman saya, sekitar 15 minit perjalanan berkenderaan. Senarai band yang dijadualkan membuat persembahan sebenarnya begitu mendorong untuk saya bergerak ke sini. Garage Session #1 pada dasarnya adalah gig berskala kecil di ruang studio yang diadakan bagi menyokong mini tour Blank Shot (Singapura), persinggahan pertama mereka sebelum ke Kuantan pada malam berikutnya. Agak terkilan, band Transitions yang berada dalam senarai awal tidak dapat bersama memeriahkan acara.
FORGETTING FRANCESCA tampil sebagai band pembukaan acara pada malam tersebut. Mereka ini adalah band 5-piece dari Petaling Jaya yang berpaksikan irama pop-punk. Meskipun pengunjung tidaklah ramai malahan boleh dihitung satu-persatu dengan jari, Forgetting Francesca tetap gah berdiri di hadapan memberikan yang terbaik dalam persembahan. Semangat mereka mengatasi segalanya, bahkan semakin hangat di penghujung persembahan dengan aksi-aksi berbaring di lantai. Lima buah lagu dibawakan, termasuk dua single mereka sendiri yang kedengaran lazat, rancak dan menghiburkan.
1. Intro
2. Cookies and Cream
3. We Got This (A Day To Remember)
4. Song 2: Creampie
5. December (Neck Deep)
6. The Rock Show (Blink-182)
KERAK NASIK menyusul mengisi ruang pentas. Band ibukota Kuala Lumpur terdiri daripada Azam (gitar), Faez (vokal) dan Kenit (dram) ini menerapkan unsur-unsur humor dalam penyampaian dan kepantasan Grindcore bawaan mereka. Memang lucu setiap kali gitarisnya menerangkan lagu-lagu yang dimainkan, apatah lagi semua ahli band ini mengenakan kostum yang mencuit hati. Dari segi muzik, walaupun hanya bersandarkan instrumen gitar dan dram, sound mereka begitu tebal dan berat – laju, bingit dan menghentam! Agak kelakar, mereka sendiri kurang ingat lagu-lagu yang dimainkan setelah selesai membuat persembahan. Antaranya: Kerak Nasik, Kerana Kangkung Badan Binasa, Ketidakhadaman, Gout Power, Goutness In The Forest, Seafood Membunuh, Cirit or Die, Dataku Habis serta sebuah cover dari Napalm Death, You Suffer. Apapun, ini band yang padu dan menceriakan suasana!
SEEING THE RIVER yang datangnya dari bandaraya Johor Bahru tanpa membuang masa mengambil alih pentas aksi. Saya kira, saya beruntung turutsama berada di Garage Session #1 untuk melihat kelibat beberapa band yang asalnya dari negeri kelahiran saya sendiri. Berpuluh tahun merantau di negeri orang, inilah peluang-peluang yang saya ada. Dibarisi lima pemuzik muda, Seeing The River memperagakan kuasa energetik dalam persembahannya – lincah, kencang dan disulami emosi di bawah nuansa Melodic Hardcore galasan mereka. Sistem bunyi begitu padat memenuhi ruang studio. Respon beberapa rakan pengunjung turut menaikkan lagi aura persembahan band ini. Vokalis dan pemain bass saling bertukar posisi pada lagu terakhir di mana sebahagian besar yang dimainkan dipetik dari rilisan EP mereka sendiri. Jitu, kuat semangat dan kudratnya!
1. Survive For Our Life
2. Coin Face
3. Burn (Counterparts)
4. Second Chances
5. Wake The Dead (Comeback Kid)
CLASSMATES turut bertandang menjayakan gig ini. Unit indie/modern rock / pop-punk asal Kota Tinggi ini bukannya calang-calang band. Mereka sudah cukup terkenal dengan antem “Luaskan Kuasamu (Dari Selatan)” yang telah memenangi Anugerah Lagu Johor 2014. Terdiri daripada Elham (vokal), Ucop (gitar), Din (bass) dan Kim (dram), band ini mempamerkan kreativiti mereka dalam penghasilan dan penyampaian lagu. Classmates memiliki vibe yang memukau, terserlah apabila ianya dipersembahkan secara langsung. Beberapa lagu didahului dengan intro yang mengasyikkan. Malam itu juga, Classmates tidak sekadar mendendangkan lagu-lagu rakaman terdahulu tetapi turut memperdengarkan lagu baru yang bakal dimuatkan dalam album akan datang. Lagu penutup Primadunia dinyanyikan bersama hampir kesemua yang ada di dalam studio ketika itu. Menarik!
1. Dakapan Kedua
2. Cuba
3. Giliranku
4. Bagaikan
5. Primadunia
BLANK SHOT datang jauh dari Kota Singa mengisi slot kedua terakhir. Ini salah-satu dari dua destinasi jejalah mereka di Malaysia. Malah turut dimaklumkan inilah show “luarnegara” pertama Blank Shot sejak ditubuhkan setahun yang lalu. Saya turut membeli EP “Stick 'Em Up!” (2015) untuk kenangan. Persembahan Blank Shot begitu ligat dan menyeronokkan walaupun ditimpa masalah teknikal (putus tali gitar) pada satu ketika, namun mereka kembali menyambung aksi bahkan lebih menggila, berlari dan menari. Blank Shot adalah Noise Punk Rock; bising, keras dan lantang! Seperkara yang menarik tentang Blank Shot ini, mereka adalah band “majmuk”; Andreas yang berbangsa Cina sebagai gitaris/vokalis, Omeigar berketurunan India yang juga vokalis selain bermain bass serta Raf, orang Melayu di posisi dram. Blank Shot membuktikan prejudis perkauman perlu ditolak jauh. Blank Shot membuktikan rasisme tidak sepatutnya wujud dalam muzik. Terbaik! Lapan buah lagu dipersembahkan termasuk cover songs.
1. Never Look Back
2. Fear the Shepherd
3. Scream
4. Get Away
5. Wired
6. Should I Stay or Should I Go (The Clash)
7. Run to the Hills
8. Blitzkrieg Bop (The Ramones)
KLABU ASAP diletakkan sebagai band penutup acara gig ni. Lagu-lagu Klabu Asap bukanlah asing di telinga saya. Kedua-dua rilisan EP band Johor Bahru ini ada dalam rak koleksi saya. Ini band yang sangat-sangat “menjemput” kaki saya memanjat tangga Garage Studio, untuk melihat dengan mata sendiri ragam mereka beraksi “live”. Botak dan rakan-rakannya beberapa kali ucapkan terima kasih di atas kesudian saya datang dan menunggu hingga habis gig. Jangan khuatir kawan, saya adalah jenis orang yang sentiasa menjadi paling awal memasuki dewan dan keluar setelah selesai semuanya. Saya mahu menikmati setiap minit persembahan band-band yang beraksi. Saya perlu menghargai jiwaraga yang mereka letakkan, titik-peluh yang mereka curahkan lebih dari nilai ringgit yang saya bayar di pintu masuk. Itulah saya, setiap kali saya berpeluang menghadiri acara gig. Klabu Asap tidak menghampakan. Mereka membuang semua keletihan untuk beraksi lincah-selincahnya seperti telah mendapat tonik. Lasak dan sungguh bertenaga! Penuh dengan aksi-aksi lompatan. Nyanyian-nyanyian sing-along Punk Rock mereka terus-menerus mengundang beberapa kerat penonton yang tinggal turutserta berlagu bersama. Klabu Asap melengkap malam Garage Session #1 dengan beberapa lagu terpilih dari EP mereka dan sebuah lagu Rancid.
1. Endahnya Chenta
2. Bikin Onar
3. Saya Ada Kawan
4. Fall Back Down (Rancid)
5. Rebong
6. Chenta Itu Klabu Asap
Pada keseluruhannya, suka sukakan format gig ini kerana kepelbagaian genre muzik yang ditampilkan; dari keindahan melodi indie rock / pop-punk hinggalah kepada kebisingan Grind, dari ekspresi santai sampai ke aksi-aksi lari & lompat tanpa lelah! Scene muzik bebas dan DIY tidak pernah mati, malah berkembang pesat dari generasi ke generasi. Gig-gig kecil seperti ini banyak mengingatkan saya pengalaman-pengalaman terdahulu yang telah saya lalui. Meskipun scene ini terpencil dan sentiasa terpinggir di mata masyarakat, makna dan usaha band-band serta gig seperti ini cukup besar ertinya dalam memperkasakan karya-karya bebas. Mereka juga mempunyai suara untuk dilontarkan. Acara seperti ini akan sentiasa menjadi platform yang baik untuk semua band bergerak dan terus melangkah ke hadapan. InshaaAllah, saya akan datang lagi! Bangkit!
Teks & Foto: Pyan Nathias / 23.11.2017
Nota: Artikel ini akan disiarkan dalam Bangkit! Fanzine isu akan datang!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan