Sabtu, 6 Oktober 2018

Rebiu | seriGALA


seriGALA
72ms / A5 / Bahasa Melayu
Zine seriGALA ini terhasil dari gabungan tiga tenaga yang memiliki satu jiwa yang sama. Ketiga-tiga individu ini bukanlah asing dalam scene penulisan independen dan penerbitan zine do-it-yourself malahan mereka berpengalaman luas dan sudah cukup lama dalam bidang ini. Mereka yang dimaksudkan adalah Nizang (editor zine Mosh), Dhani Ahmad (editor Sebutir Bintang Merah) dan Bam Bear (zine Norifumi). Saya kurang pasti samada seriGALA ini penerbitan yang bersifat one-off ataupun akan ada siri-siri seterusnya kerana tidak pula dinyatakan bahawa yang ini adalah isu #1. Zine seriGALA terbit dari kesepakatan mereka bertiga mendokumentasi penulisan-penulisan di facebook dan blog dalam format zine; bahan bercetak di atas kertas yang akan kekal selama mana disimpan rapi di tangan. Nizang menghidang beberapa temuramah mini yang mengikut rancangannya tidak akan dimasukkan dalam zine Mosh. Kebanyakan perbualan ringkas berkonsepkan lima soalan dipetik dari blog beliau iaitu Sketch Your Brain, antaranya melibatkan band-band seperti In A Sense, Peligrosos, Republik Anak Timur, P-RM, Klabu Asap, Shizuka Ben Aman, Verminator, dan artikel Pelajar Autism. Dhani Ahmad juga menyajikan interbiu lima soalan bersama responden yang pelbagai latarbelakangnya; Amir Farid dan Khairul Azmin (geng pengayuh basikal), Lot Buku, Bang Man (punk rocker), Benz Ali (aktivis, penulis & penerbit buku), Adam Adli & Khalid Ismath (aktivis), Fahmi Reza (aktivis) serta band-band seperti Akajita dan Not Things!. Dhani turut menyediakan ruangan ulasan zine serta dua artikel menarik; “Kawalan Kebersihan Aras Tinggi” dan juga “Qu Puteh Sang Rebel”. Bam Bear yang cukup saya kenali menerusi ulasan-ulasan beliau terhadap produk-produk muzik band tempatan termasuklah zine dan buku turut mengabadikan penulisan-penulisan beliau yang selama ini hanya di facebook di dalam zine seriGALA. Gaya penulisan dan pendekatan ulasan Bam Bear cukup berbeza, unik dan tersendiri. Memang benar seriGALA ini zine baru namun sebaliknya kerjasama trio Nizang, Dhani dan Bam Bear telah menyuntik satu nilai yang cukup besar dalam kemunculan seriGALA itu sendiri. Saya begitu mengharapkan ini bukan yang pertama dan terakhir. Saya mahu ada isu kedua dan edisi-edisi seterusnya. Teruskanlah menulis meskipun sekadar di laman maya, simpan salinannya di dalam hard disk ataupun pendrive, dan tiba masanya satu hari nanti kembalilah ke meja rundingan berbincang tentang seriGALA #2. Untuk makluman pembaca, zine seriGALA yang saya ulas ini berharga RM8 senaskah, terbitan Karya Raya pada Jun 2018 dan diedarkan oleh Kidal. Segeralah dapatkannya!
facebook.com/karyarayapublishing
facebook.com/kolektifkidal

Tiada ulasan:

Catat Ulasan