Khamis, 25 Oktober 2018

Rebiu | RESTRAINT – Rise Above Hate


RESTRAINT – Rise Above Hate
Persistence Records
Selain pengetahuan mendalam mengenai muzik yang dimainkan, saya juga mengambilkira usia dan pengalaman lebih 15 tahun dalam industri ini telah menjadi faktor kepada berdirinya Restraint seperti hari ini – matang dan berkaliber! Restraint kembali menerusi album penuh kedua “Rise Above Hate” pada Oktober 2016 selepas sembilan tahun debut mereka “Pure From Blood” dikeluarkan, iaitu pada Julai 2007. Pembelajaran bertahun melalui acara gig dan pelbagai persembahan live termasuk segala ilmu yang dikutip dari revolusi muzik itu sendiri telah mendewasakan Restraint hinggakan mereka kedengaran begitu handal dalam kesemua 8 lagu yang dimuatkan. Ini Hardcore yang cukup padu, heavy-sounding, ligat dan begitu memberontak! Tidak hanya inspirasi New-school Hardcore keras dan lasak yang menjadi pertaruhan mereka, Restraint dengan jelas mengadun sifat buas dan kebengisan Thrash Metal di setiap jalur irama lagu-lagu yang dipersembahkan. Samada anda datang dari sisi Hardcore ataupun dari kelompok Thrash, ini album yang perlu dikongsi dan diraikan bersama. Headbanging dan moshing, stagediving dan kickboxing, singalong dan fingerpointing – segalanya bersatu di atas ruang lantai yang sama. Susunan muziknya sungguh bijak, olahan riff-riff maha-berat, diperkasakan lagi oleh produksi bunyi yang padat dan melekat membuktikan betapa berwibawanya band ini yang dibarisi oleh Ijam Wahap (vokal), Mizan Basir (gitar), Afwan Mokhtar (gitar), Zam (bass) dan Apeq (dram). Beberapa lagu dalam album ini turut mendapat sentuhan solo gitaris undangan, Andre Tiranda (Siksakubur), Godoy (Massacre Conspiracy) dan Iskandar Tajuden (Artefacts). Booklet 12-mukasurat tidak sekadar dicetak lirik tetapi juga explanation terperinci kisah dan mesej di sebalik setiap lirik yang ditulis. Saya tidak mahu mengulas lebih panjang. Ini “Rise Above Hate” berdurasi 28:52 minit yang perlu anda miliki – Hardcore Metal berapi, kuat semangatnya bangkit dari rasa benci, penuh dengan kemarahan! Restraint meletakkan martabat MYHC tepat pada tempatnya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan