Jumaat, 5 Oktober 2018

Rebiu | ULTIMATE DARKNESS – Volume IV


ULTIMATE DARKNESS – Volume IV
108ms / A4 / Bahasa Inggeris
Jika sekiranya anda merasakan zine metal Deadhead adalah yang terunggul di negara ini, anda perlu melihat juga zine Ultimate Darkness dan menilai semula tanggapan anda selama ini. Ultimate Darkness tidak memerlukan penulisan-penulisan berbentuk negatif, provokasi dan mempergunakan media seperti ini untuk memburuk-burukkan satu pihak yang lain. Ultimate Darkness membawa sifat dan sikap sebenar sebuah fanzine metal tulen. Zine yang baik adalah zine yang menjadi perantara dalam komuniti muzik itu sendiri; melaungkan kekawanan, mempromosikan keakraban, menjunjung satu semangat yang sama – UNITY!. Ultimate Darkness yang dikendalikan dua bersaudara Ason dan Karl telah kembali menerusi isu ke-empat, keluaran Disember 2017 / Januari 2018. Ini zine yang cukup tebal, kuantiti pengisian yang begitu besar, dicetak profesional dengan kerja-kerja design & layout yang sangat kemas dan tersusun rapi. Anda perlu memperuntukkan masa selama berbulan-bulan untuk menghabiskan bacaan setiap teks yang terkandung di dalam Volume IV ini. Kalaulah anda fikirkan RM25 agak mahal untuk senaskah Ultimate Darkness #4, anda silap!. Ini zine yang dijamin akan mengembalikan kepuasan maksima yang anda mahukan terhadap nilai yang telah anda laburkan. Isu ini mengandungi sejumlah 45 buah temubual “eksklusif” bersama begitu banyak band-band penting dalam scene metal antaranya Frederick Melander (ex-Bathory), Possessed, Morbid, Tenali Jarva (ex-Sentenced / Impaled Nazarene), Grand Belial’s Key, Acheron, Abyssic Hate, Nocturnal Breed, Torturer dan banyak lagi kalau hendak disenaraikan kesemuanya. Ianya termasuk juga bersama band-band elit Asia antaranya Necrotic Chaos, Surrender Of Divinity, Athotorgh, Paganfire, Antacid, sekadar menyebut beberapa nama. Wawancara-wawancara ini diperbuat begitu terperinci, mengorek dalam sedalam-dalamnya, menyelongkar segala cerita yang mungkin selama ini tersimpan rahsia. Kepadatan Ultimate Darkness #4 disaratkan lagi dengan reviews section yang terpecah kepada dua; “Sepulchral Voice’ (produk-produk CD terkini) dan “Old Funeral” (rilisan-rilisan era 80an dan 90an). Selain itu terdapat juga artikel-artikel band, record label, laporan konsert dan sebagainya sepertimana yang sewajibnya ada dalam sebuah fanzine metal, bukannya ruang untuk meluahkan emosi, melepaskan dendam atau irihati pada satu pihak yang tidak bersependapat. Malaysia berbangga memiliki satu penerbitan zine metal bertaraf antarabangsa yang sehebat ini, Ultimate Darkness!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan