Jumaat, 5 Oktober 2018

Rebiu | AWE METAL – Parodi Album Metal (edisi Inktober 2017)


AWE METAL – Parodi Album Metal (edisi Inktober 2017)
52ms / A5 / Bahasa Melayu
Cabaran Inktober (idea asal Jake Parker) telah menjadi fenomena di kalangan para pelukis dan kartunis seluruh dunia samada dari artis profesional mahupun amatur termasuklah mereka yang baru berjinak-jinak dengan bidang senilukis bahkan yang tiada langsung pengalaman melukis ingin juga turut serta menyahut cabaran ini. Inktober mengkehendaki setiap pelukis / kartunis menghasilkan satu karya menggunakan dakwat (ink) hitam pada setiap hari dalam bulan Oktober (setiap tahun) di mana ianya bermakna pada hari terakhir bulan tersebut akan terhasil 31 buah karya drawing / artwork. Jerry atau nama sebenarnya Rozairi Yahya sebelum ini pernah tampil dengan zine komik Acah-Acah telah dengan jayanya menyahut cabaran Inktober tahun 2017 yang lalu. Beliau memilih tema “Parodi Album Metal”, memparodikan frontcover rilisan-rilisan metal piliihannya. Sebagaimana kata Jerry, beliau bukannya bermaksud untuk ‘menyindir’, jauh sekali ‘menghina’ atau ‘menganjing’ tetapi sekadar memperlihatkan penghargaan Jerry terhadap album-album metal kegemarannya – dilihat dari sisi yang berbeza, lucu dan penuh usikan nakal. Jerry memparodikan banyak album-album metal, yang terkenal seperti Sodom “Agent Orange”, Darkthrone “Transilvanian Hunger”, Cromok “Image Of Purity”, Iron Maiden “Fear Of The Dark” sehinggalah ke rilisan-rilisan demo underground antaranya Ablasa “Maarijim Min Nar” dan Omen “Where Ravens Forever Fly”. Jerry memiliki satu bakat yang selama ini agak tersembunyi, stroke lukisan yang begitu tersendiri dan untuk lukisan-lukisan parodi Inktober 2017 ini penuh dengan idea-idea yang tak terjangka, nakal serta melucukan. Kesemua himpunan lukisan ini kemudiannya diterbitkan dalam satu format artzine DIY pada November 2017, dilengkapi dengan beberapa penambahan bahan lain termasuklah deskripsi yang memperjelaskan lagi inisiatif parodi yang beliau lakukan. Zine ini didatangkan dalam dua versi frontcover yang berbeza dan setiap versi pula berlainan juga mini poster percumanya. Jika anda seorang collector (pengumpul), anda pasti mahu mendapatkan kedua-duanya meskipun pada pengisian keseluruhannya adalah sama sahaja. Versi pertama menampilkan frontcover parodi kulit demo Rator “Evil Symphony” dan mini poster parodi Burzum “Filosofem” manakala versi kedua pula Nebiras “As The Sky Turns Black” bersama mini poster Darkthrone “Under A Funeral Moon”. Oh ya, sebelum terlupa dimaklumkan bahawa Awe Metal adalah watak utama dalam Acah-Acah Komik Zine selain Pojie Black, dua karakter yang melatari parodi-parodi album metal dalam zine ini. Semuanya menarik dan terbaik!
facebook.com/acahacahkomikzine

Tiada ulasan:

Catat Ulasan