Isnin, 22 Oktober 2018

Rebiu | 199X – Someday


199X – Someday
Pawerkord Merch / Kelipan Store / Spupu Records
Bermain muzik di bumi Kelantan bukannya mudah bahkan acapkali juga berhadapan dengan risiko. Saya pernah berbelas tahun menetap di Kota Bharu, pernah diserbu dan ditahan pihak autoriti ketika berkunjung ke satu acara gig yang dilangsungkan di sana. Tak banyak band yang muncul dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini mungkinlah kerana kekangan kuat dari sistem pemerintahannya yang berlandaskan agama. Atas dasar kepayahan inilah saya sering merasa dan melihat band-band yang lahir di negeri itu lebih cepat dewasa dan mencapai tahap matang. Kematanganlah faktor kepada terhasilnya band yang hebat dan karya-karya yang berkualiti. Kalaulah kata-kata ini terlalu tinggi buat band seperti 199X, sudah tentu saya tetap mahu menobatkan ini adalah Punk Rock terbaik di Kelantan. “Someday” sebuah EP yang direalisasikan dalam format CD pada tahun 2016, mengandungi 5 lagu lazat lagi menyelerakan! Melodi-melodi yang enak, riff-riff garing dan rangup serta susunan muzik laju dan rancak pasti sahaja mengundang kalian berlari dan melompat, seiring lagu-lagu yang dialunkan. Tidak sekadar itu, 199X cukup bijak menyulam elemen ska / reggae pada tempatnya dan kalian tanpa dipaksa-paksa skankin sendirian mengikut irama. Usah dirisaukan tentang output rakaman mahupun produksi bunyi keseluruhan dalam CD ini, ianya cemerlang Gred A++. Saya ingin sekali melihat 199X melangkah lebih jauh dari zon di mana mereka berada sekarang. EP selama 18:38 minit muzik Punk Rock berkuasa besar yang benar-benar menghiburkan! “Let’s party, we’ll kick those problems now, ‘cause we are all the same!”, saranan 199X menerusi lagu Water, untuk kalian yang dahagakan muzik terbaik!
facebook.com/pawerkord
facebook.com/kelipanstore
facebook.com/199xband

Tiada ulasan:

Catat Ulasan