Khamis, 25 Oktober 2018

Rebiu | SKITSÖFRENIA – Ställa Inför Rätta


SKITSÖFRENIA – Ställa Inför Rätta
20 Eyes Records
Pada ketika saya membeli dan menikmati muzik Bombräd “Demo 2016”, Hadi dari Tempang Records / Noise Horror Distro memberitahu saya bahawa itu bukan band pertama yang mengetengahkan konsep lirik dan nyanyian dalam bahasa Skandinavia. Katanya, Skitsöfrenia yang berpengkalan di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur pernah melakukannya lebih awal. Kemudiannya, saya melihat seorang sahabat di Ipoh memuatnaik status jualan beberapa CD lama di facebook beliau. Saya terlihat “Ställa Inför Rätta” dan segera mendapatkannya. Berdasarkan cari-selidik saya, rilisan bermuatan 10-lagu berdurasi 10:29 minit ini dikeluarkan dalam tahun 2006, di bawah 20 Eyes Records yang beralamat di Subang Jaya, Selangor. Saya dapati konsep lirik dan nyanyian dalam bahasa Skandinavia tidaklah sepenuhnya. Ia hanya melibatkan tiga lagu terakhir, itupun termasuklah dua lagu cover band asal Sweden. Selainnya lagu-lagu berbahasa Inggeris dan satu dalam bahasa Melayu. Hmm... mungkin saya perlu mendapatkan rilisan-rilisan lain dari Skitsöfrenia, split-split yang melibatkan mereka dan CD berjudul “Totally Swedish” terutamanya. Menerusi CDr “Ställa Inför Rätta” (yang bermaksud “Bring To Justice” dalam terjemahan Inggeris), band yang dianggotai Zafrenia (vokal), Skit Lasse (gitar), Skulltompä (bass) dan Mäd Yeh (dram) cukup jelas menggalas muzik yang berinspirasi Scandi-crust / d-beat hardcore / kängpunk. Dua lagu cover, masing-masing dari Anti Cimex dan Mob 47 lebih menjelaskan lagi halatuju muzik mereka. Apa yang kurang bagi saya adalah kualiti rakaman dan produksi bunyi. Agak mendap dan tenggelam. Mungkin juga CD saya yang bermasalah. Untuk genre yang sebegini, saya merasakan bunyi gitar kurang tajam, kurang berpasir malahan tidak cukup bising / bingit. Vokal juga agak terlalu mentah dan tidak bergaung. Maksud saya ianya tidak seperti suara-suara parau yang sedikit bergema (echoed) dan ke dalam sebagaimana yang banyak dipraktikkan band-band sealirannya. Mengikut cetakan inlay, rakaman dilangsungkan di I Seek Music Studio di bawah kejuruteraan saudara Mokhtäär. Nama Mokhtar Rizal pun dah berubah swedish, hehe! Keseluruhannya, bukanlah nak merendah-rendahkan keupayaan Skitsöfrenia tapi rilisan ini pada saya kurang menyengat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan