Sabtu, 6 Oktober 2018

Rebiu | THE AKSARA COMMUNE – Isu #3


THE AKSARA COMMUNE – Isu #3
40ms / A5 / Dwi Bahasa
Setelah kembali melalui isu #2 sekitar Februari 2018, The Aksara Commune tidak membuang banyak masa untuk datang lagi menerusi isu ketiga pada Ogos 2018 yang baru lepas, atau tepatnya dilancarkan semasa berlangsungnya acara Cyberjaya Zine & DIY Fest. The Aksara Commune secara fizikalnya seakan telah menemui identiti dan kualitinya yang tersendiri di mana seperti isu kedua yang lalu, isu #3 ini juga dicetak sepenuhnya di atas kertas yang dipanggil brown paper. Karim Abdullah selaku penulis dan penyunting utama dibantu rakan kerja penyuntingannya Sarajevo Amira Maisara (yang juga editor zine Distopia) dan Nadiah Aminuddin terus-menerus memberikan yang terbaik kepada penghasilan zine The Aksara Commune ini. Isu #3 ini menampilkan sebuah interbiu, bersama band Cha.Koy (kendalian Sara) dan saya dapati ianya merupakan versi berbahasa Inggeris kepada versi yang terdapat di dalam zine Distopia #2. Ini satu inisiatif yang menarik apabila dua zine saling bekerjasama, bahkan promosi untuk Cha.Koy akan lebih meluas memandangkan kelebihan zine The Aksara Commune yang boleh diedar-sebarkan lebih jauh ke peringkat antarabangsa. Empat gig review; Ipoh Experimental Music Festival (IEMF) vol.2, Weekend At The Park 2018, Weot Skam Mak Ang Tour!, dan Ipoh Blast Fest chapter 5 dilihat menjadi pengisian paling penting dan mencuri perhatian saya dalam isu kali ini di samping artikel-artikel seperti Legs McNeil: What’s Next After Rock n’ Roll?, Wayang Di-Atas #01: Titik Signifikan Idea, dan The Importance of Subsidization on Arts by Government. The Aksara Commune turut mempunyai pendekatan yang baik dalam mengulas album/muzik di mana isu kali ini melibatkan rilisan-rilisan dari Chelsea Light Moving “self-titled” (2013), Extreme Noise Terror “Being and Nothing” (2001), Azmyl Yunor “Warga” (2010), dan Radiowave “Cabaret” (2018). Pada keseluruhannya, ini zine yang cukup bagus dalam aspek penulisan, rekabentuk serta susunatur dan juga mutu percetakannya. Tahniah dan moga terus berkarya! Nota: Untuk penyediaan isu akan datang, The Aksara Commune menjemput sumbangan karya penulisan, kemukakan kepada theaksaracommune@gmail.com]
theaksaracommune.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan