Sabtu, 6 Oktober 2018

Rebiu | DISTOPIA – Isu #2


DISTOPIA – Isu #2
40ms / A5 / Bahasa Melayu
“Menakjubkan!”. Saya katakannya begitu bukan kerana editornya seorang perawan jelita tetapi kerana Distopia itu sendiri. Ia memang sebuah zine yang benar-benar menakjubkan dalam keseluruhan kualiti; idea, penulisan, pengisian, rekabentuk dan susunatur, cetakan, segalanya!. Distopia berevolusi dengan pantas, membesar dan semakin dewasa, berdiri pada integriti, kredibiliti serta identitinya yang tersendiri. Saya semakin kagum dengan segala usaha Sarajevo Amira Maisara yang melakukan kerja keras dalam penerbitan Distopia, meletakkan zine ini pada tahap yang terbaik dan sempurna. Distopia #2 telah diterbitkan pada Ogos 2018, dilancarkan edarannya semasa Cyberjaya Zine & DIY Fest bertarikh 11 dan 12 Ogos 2018. Isu kali ini kian padat, disusun kemas dalam garapan layout yang menarik. Sebaik didahului Nota Editor dan coretan Blues Untuk Aku, halaman-halaman awal turut memuatkan 6-mukasurat penulisan Monolog, sambungan catatan Mei 2015 (terdahulu dari Isu Eksperimental); perkongsian selengkapnya pengalaman editor ini sendiri yang diberkas, dilokap dan disoalsiasat polis (ekoran menyertai himpunan anti-GST pada 1 Mei 2015). Empat artikel yang menjurus kepada perbincangan isu-isu sosial dan masyarakat perlu dibaca dengan teliti dan difahami intipatinya; “Jaminan Kecukupan dan Kuasa Makanan” (oleh Padi), “Kebersamaan Dalam Komuniti” (oleh Karim Abdullah), “Membebaskan Sang Melayu Terakhir” (Fadiah J.) dan “SDG’s idea Utopia selepas kegagalan projek MDG’s?” (oleh Sarajevo). Rencana-rencana ini sarat dengan isi. Dua sesi temubual diletakkan di bawah ruangan Fokus; bersama Ieda Mazlan (artis / aktivis seni) dan Cha.Koy (sebuah band berkonsepkan Mathrock). Selainnya, Distopia #2 turut dilengkapi ulasan filem di bawah kolum Seni & Budaya serta beberapa paparan lain. Untuk sebuah zine yang di dalamnya penuh dengan ilmu, mesej dan pengajaran-pengajaran yang boleh dimanfaatkan, zine Distopia ini amat-amat saya syorkan. Menakjubkan! Hubungi: zinedistopia@gmail.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan