Ahad, 7 Oktober 2018

Rebiu | EKSISTENSI – Edisi Revolusi


EKSISTENSI – Edisi Revolusi
40ms / A5 / Dwi Bahasa
Sebuah lagi zine baru dalam scene penerbitan zine DIY tempatan, dikendalikan oleh Oliver atau pemilik akaun bernama Ribut Cicäk II di laman sosial facebook. Oliver sebelum ini sudahpun dikenali menerusi kerja-kerja penulisan dan penyuntingannya menerusi zine Trypophobia (diusahakan bersama seorang lagi rakannya) namun melalui zine baru yang digelar Eksistensi ini beliau bergerak sendirian. Tidak seperti kebanyakan zine di luar sana yang ditandakan nombor siri pada setiap keluaran (contohnya #1, #2 dan seterusnya), Eksistensi memilih untuk menamakan setiap isu atas sesuatu tema tertentu. Eksistensi yang terbit buat julung kalinya ini dinamakan “Edisi Revolusi” atau uniknya, E//R. Naskah ini mula dilancarkan edarannya ketika berlangsung acara Cyberjaya Zine & DIY Fest 2018. Saya perhatikan Oliver telah menyuntik dan menyalurkan segala idea, tenaga dan kemampuannya dalam penghasilan Eksistensi: Revolusi. Kerja-kerja design & layout serta seni grafik yang cukup hebat! “Beginilah wajah sebuah zine underground yang sepatutnya!”, detik hati saya tatkala menyelak setiap helaian naskah ini. Hanya pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang membolehkan seseorang editor menghasilkan zine yang sedemikian rupa. Sebagaimana format Trypophobia, zine Eksistensi juga membawa konsep memperbanyakkan penulisan-penulisan berbentuk artikel dan esei pendek; himpunan pendapat, kupasan, hujah-hujah, fakta dan sebagainya. Tulisan-tulisan ini terhasil secara asli dan idea tulen saudara Oliver itu sendiri. Tabik saya berikan untuk hasilkerja yang sebegini. Sekiranya Trypophobia boleh dikatakan sebuah zine punk, Oliver sedikit keluar dari skop tersebut (bukanlah secara keseluruhan, ia masih tetap punk yang berdiri teguh pada prinsip melawan) menerusi Eksistensi yang lebih menjurus kepada perihal aktivisme dan isu-isu masyarakat moden. Pelbagai topik disentuh dengan baik dan kritis antaranya berkaitan konflik kelas, konsumerisme, kapitalisme, hak-hak asasi manusia dan kemanusiaan, sehinggalah kepada soal-jawab berkaitan kesenian, muzik dan budaya yang boleh kita baca dalam temubual bersama komuniri Free Read / Buku Jalanan Sandakan dan Negative Insight (sebuah zine hardcore punk di Massachusetts, USA). Tahniah Oliver di atas penghasilan zine Eksistensi yang berpotensi besar untuk lebih berkembang dan menjadi pemangkin kepada kelompok punk yang lebih terdidik. E//R boleh diperolehi pada harga hanya RM8, hubungi dabit666@gmail.com atau facebook.com/ributcicakII atau whatsapp +601118849491.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan