Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan

Jumaat, 7 Ogos 2020

Artikel | Pendapat Tentang Zine


Apa pendapat anda tentang zine? Dari dulu hingga sekarang dan 10 tahun akan datang? Adakah ianya masih relevan ataupun orang sudah melupakannya?Soalan oleh: Yoi Marius facebook.com/wf.distro / Jawaban dimuatkan dalam: SYNDROME ZINE #9

Aktiviti pembikinan zine pada kebelakangan ini sebenarnya semakin berkembang dan lebih meriah. Hal ini dapat dilihat dengan adanya acara-acara tahunan seperti zine fest dan buku jalanan. Berbeza dengan era 90an dahulu yang mana zine agak cenderung kepada konsep music-oriented fanzine, hari ini begitu ramai yang mengeluarkan zine-zine berintipatikan kompilasi/dokumentasi artwork, literature, personal writings, travelog, sub-cultures malahan juga ada yang berkisarkan tentang isu-isu sosio-politik. Sekarang, penulisan zine dilihat semakin bebas dan meluas skop pengisiannya. Dahulu kita hanya melihat lambakan zine yang menjurus kepada scene muzik underground; metal dan hardcore punk.

Saya secara peribadi gembira melihat perkembangan scene penerbitan zine masakini cuma agak terkilan dan semakin bimbang dengan kemerosotan penerbitan fanzine-fanzine yang menyokong gerakan muzik underground. Semacam dah tak ramai yang berminat untuk menulis dan mengeluarkan zine-zine metal, punk ataupun muzik indie. Tidak sepertimana ghairahnya scene 90an / awal 2000an. Saya tetap percaya dan sentiasa mahu menegaskan bahawa zine adalah satu tool penting dalam scene. Zine ini satu alat/medium yang bukan sahaja menjadi perantara di antara pemuzik dan pendengar/penggemar muzik, ia adalah penyebar dan pendokumentasian informasi yang tidak hanya relevan pada hari ianya dibaca tetapi juga relevan pada masa hadapan; 10 atau 20 tahun akan datang.

Memang benar informasi lebih pantas boleh diperolehi pada zaman internet dan media sosial sekarang ini tetapi ianya mudah hilang, lenyap dan tidak dapat diarkibkan. Zine bercetak, tak kiralah samada salinan fotokopi ataupun pro-printed memiliki satu nilai yang tersendiri. Ianya dokumentasi teks & imej yang bukan sahaja menyeronokkan untuk dibelek dan ditelaah, tetapi boleh disimpan dengan baik, diulang baca dan menjadi khazanah berharga pada masa hadapan. Zine samada kita sedari atau tidak, mencatatkan sejarah gerakan scene untuk dirujuk semula pada 10 atau 20 tahun akan datang. 

Dahulu saya adalah editor zine metal NATHIAS dimana 9 isu telah berjaya diterbitkan. Isu pertama terbit sekitar Mac 1993. Kalau dihitung, sudah 26 tahun usia isu pertama tersebut. Saya menyimpan satu salinan dan adakalanya saya buka semula isu tersebut. Ada band yang ditemubual telah menjadi nama besar dalam scene muzik metal antarabangsa. Ada juga yang telah dibubarkan tetapi muzik / rakaman mereka yang saya ulas ketika itu telah menjadi inspirasi & pengaruh kepada banyak band-band baru hari ini. Itulah yang saya maksudkan cacatan sejarah dalam sesebuah zine selepas lebih 25 tahun ianya diterbitkan. 

Fungsi dan objektif zine dalam scene amat penting dan tetap kekal relevan dari dulu, kini dan selamanya lebih-lebih lagi selagi wujudnya scene muzik underground dan sub-culture yang tidak mendapat perhatian di arus perdana. Scene dan zine ini tidak akan pernah mati. Mungkin ramai yang "terlupa" tentangnya kerana lemas dalam budaya hujung jari yang mempersona tetapi percayalah masih ada dan tetap akan ada sebahagian dari kita yang menghargai dan menyedari nilai tinggi di sebalik penulisan, pembikinan, penerbitan dan pengedaran fanzine-fanzine bercetak. 

Pyan Nathias (Bangkit! Fanzine) / 12 Disember 2019

Selasa, 15 Januari 2019

Liputan Gig | WEEK WITHOUT VIOLENCE #13


Acara: Week Without Violence #13
Tarikh: 28 September 2018
Tempat: Rumah Api, Kuala Lumpur
Band: Sweetass, Xyresic (Singapura), SS/Block, Gassed, Split Tongue, Generacion Suicida (USA)

SWEETASS
Band asal dari kotaraya Kuala Lumpur ini membuat persembahan pada ketika acara sebenar Week Without Violence #13 belum dimulakan secara rasmi. Kalau diikutkan jadual yang tercatat pada flyer, gig sepatutnya bermula pada jam 8:00 malam. Sebaliknya mungkin untuk menunggu kedatangan lebih ramai audien, pihak penganjur menangguhkan sedikit masa memulakannya. Di waktu yang sama kemungkinan juga Sweetass menghadapi halangan untuk menunggu lebih lama, lantaran itu mendorong mereka membuat persembahan lebih awal, sekitar jam 9:00 malam. Tak ramai yang menyaksikan Sweetass beraksi namun mereka tetap memberikan yang terbaik. Dibarisi Alang Sekitar (gitar/vokal), Zaki Ibrahim (gitar), Azlan Ariff (bass) dan James Rivers (dram), muzik Sweetass bolehlah dianggap hasil percampuran Grunge, Noise Rock dan juga Hardcore Punk. Mereka menamatkan persembahan dengan lagu Wa Caya Lu, salah-satu lagu yang mengangkat nama Sweetass dalam scene.

XYRESIC
Ini dikatakan “debut show” dari mereka. Tidak pasti samada maksudnya permainan live pertama band ini semenjak ditubuhkan, atau kemunculan julung kali mereka di bumi Malaysia untuk sebuah band yang berasal dari Singapura ini. Xyresic membuka acara sebenar Week Without Violence #13 sekitar jam 10:00 malam. Band ini dianggotai empat ahli pemuzik, termasuk pemain bass wanita. Dibarisi oleh S (vokal), I (gitar), A (bass) dan Y (dram), Xyresic mengenakan topeng serkup (balaclava) di sepanjang persembahan mereka. Muzik raw hard-core / spanish punk yang agak padat serta ekspresi dari vokalis juga begitu menarik. Xyresic juga baru sahaja mengeluarkan Demo 2018 mengandungi 4 lagu; Privilegios, Muerte, Abuso Racial, dan Nada.

SS/BLOCK
Pentas Rumah Api seterusnya diambilalih 4-piece bergelar SS/Block, sebuah band beraliran UK82 / Pogo Punk dari Mentakab, Pahang. Dianggotai oleh Azman (vokal), Dean (bass), Yoi (gitar) dan Pixs (dram), sebahagian dari ahli band SS/Block ini adalah tulangbelakang kepada Secret Records, label yang menganjurkan gig Week Without Violence #13 ini serta pihak yang bertanggungjawab mengendalikan jelajah Generacion Suicida di Malaysia. Pada ketika ini jumlah kehadiran penonton dilihat semakin ramai dan penonton mula berada di depan pentas untuk menyaksikan persembahan band lebih dekat. Satu persembahan yang mantap dari SS/Block dan mereka melancarkan rilisan baru “Raw Promo Tape” mengandungi dua lagu; Anti-77 Fascist Society dan Mob Violence, dirakam di studio I Seek Music pada 16 Ogos 2018, dikeluarkan oleh Secret Records.

GASSED
Band anak-anak muda ini memangnya tidak menghampakan, malahan aksi mereka begitu bertenaga. Tak silap mereka ini dari Shah Alam dan ada di antara anggotanya turut bermain bersama band Final Peace. Gassed membawakan raw hardcore / punk yang bingit dan padu, pekat dan penuh dengan amarah! Dianggotai individu-individu bernama Khairi, Haziq, Adnin dan Najeeb, Gassed memenuhkan ruang dengan nuansa bunyi yang cukup padat. Band ini turut melancarkan rilisan Demo 2018, dimuatkan 5 lagu; 1. Abused [1:14] / 2. May 13th (Bloodbath) [1:09] / 3. MO1 (Corruption) [1:25] / 4. New Government, Same Shit [1:01] / 5. Punk Police [1:24].

SPLIT TONGUE
Gamat! Aksi-aksi lasak dan lincah Pdoih serta rakan-rakannya dalam Split Tongue adalah sesuatu yang rugi kalau dilepaskan. Liar, kencang dan garang! Selain Pdoih selaku vokalis, Split Tongue dari Shah Alam ini dianggotai Gaga (gitar), At (bass) dan Lem (dram). Muzik band ini berpaksikan hardcore punk yang disuntik elemen oi!. Dalam kerancakan irama mainan mereka, para penonton turut memberikan aksi balas, saling tolak-menolak dan berhibur dengan setiap lagu yang dimainkan. Split Tongue juga turut mengambil kesempatan mengeluarkan rilisan EP 2018, memuatkan 5 lagu; 1. Killed / 2. Interest Of The Rich / 3. Fight For Your Cause / 4. Backstab / 5. Stupid World, terhad 200 salinan kaset sahaja!

GENERACION SUICIDA
Band melodic KBD-style punk dari Los Angeles ini merupakan headline dalam Week Without Violence #13, band yang diraikan sempena siri jelajah S.E.A Tour ‘18 mereka di mana Rumah Api, Kuala Lumpur adalah salah-satu daripada destinasi jelajah mereka. Persembahan Generacion Suicida yang dibarisi Tony (gitar/vokal), Kiwi (dram/vokal), Mario (gitar) dan Elias (bass) sememangnya dinantikan ramai pada malam tersebut. Bangkit! Fanzine turut menerbitkan edisi eksklusif Bangkit!: Generacion Suicida in Malaysia sempena kedatangan mereka ke sini. Muzik mereka rancak, sempoi dan menghiburkan. Ramai yang terpegun dengan cara permainan dan kejelitaan gadis pemain dram band ini, hahaha! Menurut perkiraan, sejumlah 22 buah lagu telah dipersembahkan oleh Generacion Suicida, dan apabila penonton mula menjeritkan “we want more.. we want more!”, mereka memenuhi permintaan dengan dua buah lagu lagi bagi mengakhiri persembahan Generacion Suicida di Rumah Api, Kuala Lumpur. Secret Records turut mengeluarkan cassette-tape “Reflejos” dari band berkenaan, mengandungi 11 buah lagu punk yang sedap-sedap belaka!

Laporan oleh: Pyan Nathias – 3 Oktober 2018
Nota: sepertimana tersiar dalam BANGKIT #10

Selasa, 29 Mei 2018

Profil | CLASSMATES : 07.02.2018


Classmates adalah band beraliran Pop Punk / Modern Rock asal Kota Tinggi, Johor yang ditubuhkan sekitar tahun 2007. Di awal pembentukannya, Classmates dianggotai oleh Syukri (vokal), Topek (bass), Elham (dram), Osman (gitar) dan Azim (gitar). “Kumpulan ini membuat persembahan buat pertama kalinya pada Hari Guru, emcee memperkenalkan mereka sebagai Classmates. Band ini terlebih dahulu dikenali sebagai Neighbourhood, tetapi mereka kemudiannya memutuskan untuk mengekalkan nama Classmates yang mana sedikit-sebanyak memperingati kemunculan sulung mereka di khalayak ramai dan itu juga persembahan yang menyalakan semangat mereka mengejar impian dalam industri muzik”, ujar Yohanna Tashi selaku Pengurus Perhubungan Awam (PR Manager) Classmates.

Karier Classmates bermula dengan pengeluaran Demo CD “The Initiation” pada tahun 2009. Ia habis dijual dalam masa 6 bulan akan tetapi mereka menghadapi sedikit tamparan bilamana gitaris Wan dan penyanyinya Syukri melangkah keluar dari band. Classmates kemudiannya dalam tahun 2010 telah merekrut Ucop sebagai pemain gitar kedua tetapi berhadapan satu lagi masalah line-up apabila Azim (gitar) pula menarik diri sekitar tahun 2011. 

Pada 2012, Classmates merakam dan meriliskan EP debut mereka berjudul “Good News Come Soon” yang turut memuatkan lagu Primadunia, sebuah lagu yang disenangi ramai dan meningkatkan nama Classmates di persada muzik indie tempatan. EP dalam format CD ini telah dikeluarkan oleh syarikat mereka sendiri iaitu High Castle Production and Entertainment dan dilaporkan telah terjual lebih daripada 500 salinan. “Lagu-lagu dari EP ini terutamanya Primadunia telah ke udara di kebanyakan stesen radio dan media sosial, antara yang terawal dimainkan di Suria fm, Hot fm, Xfm dan kemudiannya ERA fm. EP pertama Classmates ni telah dilancarkan di Urban Village Bangsar, atas kerjasama pihak Drugs Free Youth Association yang dikendalikan oleh Ein (Second Combat)”, kata Yohanna bagi pihak Classmates.

Sekitar tahun 2013, Topek tidak dapat meneruskan komitmennya sebagai pemain bass dan posisinya telah diganti oleh anggota baru bernama Din. Pertukaran ahli tidak menghalang Classmates untuk mula merekod beberapa lagu baru untuk projek rilisan seterusnya dan fan-base mereka juga dilihat semakin membesar. Di tahun ini juga Classmates hadir dengan sebuah lagi lagu yang mengukuhkan reputasi mereka iaitu Luaskan Kuasamu (Dari Selatan), sebuah tribute untuk Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Lagu ini telah dipertandingkan dalam Anugerah Lagu Johor 2014 dan Classmates memenangi kategori “Penulisan Lagu Terbaik”. Classmates semakin mendapat perhatian dan kerap diundang membuat persembahan di sekitar negeri Johor. Hasil kemenangan tersebut juga telah digunakan sepenuhnya dalam penerbitan EP kedua mereka, “Classmates”.

Di tahun 2015, Classmates berpeluang mengadakan siri jelajah di Singapura dan kesempatan itu diambil untuk mempromosikan EP self-titled yang telah mereka keluarkan, juga menerusi High Castle Production and Entertainment. “Setulus Kasih Tour” ini dilakukan bersama Imran Ajmain, seorang penyanyi pop yang cukup terkenal di negara jiran tetangga berkenaan. Elham mengambil alih tugasan sebagai penyanyi utama manakala juruteknik dram mereka iaitu Kim mengisi tanggungjawab sebagai pemain dram.

Dengan adanya keanggotaan yang cukup mantap dibarisi Elham Syah Abd Majid a.k.a Elham (vokal), Mohd Huzairie a.k.a Ucop (gitar), Hairudin Asmuni a.k.a Din (bass) dan Mohd Norhakim a.k.a Kim (dram), Classmates dilihat mahu terus berkarya dan tidak lagi perlu menoleh ke belakang. “Kami telah bermain di TV3 Jom Heboh, NegaRAKU fest, Northern Music Festival, Iskarnival, IP Kool, Rock The World, dan beberapa lagi event terkemuka. Jika mendapat ruang untuk memperdengarkan muzik kami di corong-corong radio atau beraksi di pelbagai acara gig dan konsert yang dianjurkan, maka itu semua adalah seumpama mimpi yang menjadi kenyataan bagi diri kami sebagai sebuah kumpulan muzik”, kata Classmates yang diwakili saudari Yohanna Tashi. 

Semenjak 2007, band ini telah merakam dan merilis beberapa material secara independen (di bawah produksi label milik Classmates sendiri). Mereka setakat ini telah mengeluarkan sebuah Demo, 2 rilisan EP, video muzik untuk lagu Primadunia dan Luaskan Kuasamu 2.0 (Dari Selatan), dan sebuah lagu kolaborasi bersama Datuk Dr Fazley Yaacob [lagu Pesan Raya dalam album “Ku Mohon Maaf Sayang” (2015) penyanyi tersebut]. Kedua-dua EP; “Good News Come Soon” (2012) dan “Classmates” (self-titled) EP 2015 boleh diperolehi secara pembelian online di iTunes dan Spotify.


Terbaharu pada Disember 2017 yang lalu, Classmate telah menyiapkan dan mula memperdengarkan sebuah single terkini mereka berjudul Giliranku. Lagu gubahan Ucop dan lirik oleh Elham ini dirakam di High Castle Studio, Shah Alam dan ianya adalah pengenalan kepada rilisan album penuh mereka yang akan datang. Untuk perkembangan selanjutnya, Classmates boleh dihubungi menerusi Yohanna Tashi (PR Manager) di talian: +60197266996 atau emel: classmateshxc@gmail.com. 


Nota: Teks suntingan Pyan Nathias. Terima kasih diucapkan kepada Yohanna Tashi dan Classmates secara keseluruhannya di atas penyediaan informasi dan foto-foto berkaitan. Artikel profil ini akan disiarkan dalam keluaran khas “Rock Bebas” yang bakal diterbitkan.

Khamis, 23 November 2017

Liputan Gig | GARAGE SESSION #1


Acara: Garage Session #1
Band: Blank Shot / Kerak Nasik / Forgetting Francesca / Klabu Asap / Classmates / Seeing The River
Tempat: Garage Studio, Taman Melawati, Kuala Lumpur
Tarikh: 11 November 2017 (Sabtu)
Anjuran: Garage Studio & Space – facebook.com/garagestudio1

Saya akui, saya teramat jarang turun padang menghadirkan diri ke acara-acara gig semenjak beberapa tahun ini untuk menonton aksi-aksi pentas band-band tempatan. Selain limitasi masa yang kadang-kala dihimpit dengan pelbagai komitmen, masalah penglihatan saya untuk memandu di sebelah malam agak membataskan pergerakan. Entah mengapa, hari itu bertarikh 11 November 2017 saya begitu terdetik dan tertarik untuk datang ke acara Garage Session #1. Lokasinya tidaklah begitu jauh dari kediaman saya, sekitar 15 minit perjalanan berkenderaan. Senarai band yang dijadualkan membuat persembahan sebenarnya begitu mendorong untuk saya bergerak ke sini. Garage Session #1 pada dasarnya adalah gig berskala kecil di ruang studio yang diadakan bagi menyokong mini tour Blank Shot (Singapura), persinggahan pertama mereka sebelum ke Kuantan pada malam berikutnya. Agak terkilan, band Transitions yang berada dalam senarai awal tidak dapat bersama memeriahkan acara.


FORGETTING FRANCESCA tampil sebagai band pembukaan acara pada malam tersebut. Mereka ini adalah band 5-piece dari Petaling Jaya yang berpaksikan irama pop-punk. Meskipun pengunjung tidaklah ramai malahan boleh dihitung satu-persatu dengan jari, Forgetting Francesca tetap gah berdiri di hadapan memberikan yang terbaik dalam persembahan. Semangat mereka mengatasi segalanya, bahkan semakin hangat di penghujung persembahan dengan aksi-aksi berbaring di lantai. Lima buah lagu dibawakan, termasuk dua single mereka sendiri yang kedengaran lazat, rancak dan menghiburkan.
1. Intro
2. Cookies and Cream
3. We Got This (A Day To Remember)
4. Song 2: Creampie
5. December (Neck Deep)
6. The Rock Show (Blink-182)


KERAK NASIK menyusul mengisi ruang pentas. Band ibukota Kuala Lumpur terdiri daripada Azam (gitar), Faez (vokal) dan Kenit (dram) ini menerapkan unsur-unsur humor dalam penyampaian dan kepantasan Grindcore bawaan mereka. Memang lucu setiap kali gitarisnya menerangkan lagu-lagu yang dimainkan, apatah lagi semua ahli band ini mengenakan kostum yang mencuit hati. Dari segi muzik, walaupun hanya bersandarkan instrumen gitar dan dram, sound mereka begitu tebal dan berat – laju, bingit dan menghentam! Agak kelakar, mereka sendiri kurang ingat lagu-lagu yang dimainkan setelah selesai membuat persembahan. Antaranya: Kerak Nasik, Kerana Kangkung Badan Binasa, Ketidakhadaman, Gout Power, Goutness In The Forest, Seafood Membunuh, Cirit or Die, Dataku Habis serta sebuah cover dari Napalm Death, You Suffer. Apapun, ini band yang padu dan menceriakan suasana!


SEEING THE RIVER yang datangnya dari bandaraya Johor Bahru tanpa membuang masa mengambil alih pentas aksi. Saya kira, saya beruntung turutsama berada di Garage Session #1 untuk melihat kelibat beberapa band yang asalnya dari negeri kelahiran saya sendiri. Berpuluh tahun merantau di negeri orang, inilah peluang-peluang yang saya ada. Dibarisi lima pemuzik muda, Seeing The River memperagakan kuasa energetik dalam persembahannya – lincah, kencang dan disulami emosi di bawah nuansa Melodic Hardcore galasan mereka. Sistem bunyi begitu padat memenuhi ruang studio. Respon beberapa rakan pengunjung turut menaikkan lagi aura persembahan band ini. Vokalis dan pemain bass saling bertukar posisi pada lagu terakhir di mana sebahagian besar yang dimainkan dipetik dari rilisan EP mereka sendiri. Jitu, kuat semangat dan kudratnya!
1. Survive For Our Life 
2. Coin Face
3. Burn (Counterparts)
4. Second Chances 
5. Wake The Dead (Comeback Kid)


CLASSMATES turut bertandang menjayakan gig ini. Unit indie/modern rock / pop-punk asal Kota Tinggi ini bukannya calang-calang band. Mereka sudah cukup terkenal dengan antem “Luaskan Kuasamu (Dari Selatan)” yang telah memenangi Anugerah Lagu Johor 2014. Terdiri daripada Elham (vokal), Ucop (gitar), Din (bass) dan Kim (dram), band ini mempamerkan kreativiti mereka dalam penghasilan dan penyampaian lagu. Classmates memiliki vibe yang memukau, terserlah apabila ianya dipersembahkan secara langsung. Beberapa lagu didahului dengan intro yang mengasyikkan. Malam itu juga, Classmates tidak sekadar mendendangkan lagu-lagu rakaman terdahulu tetapi turut memperdengarkan lagu baru yang bakal dimuatkan dalam album akan datang. Lagu penutup Primadunia dinyanyikan bersama hampir kesemua yang ada di dalam studio ketika itu. Menarik!
1. Dakapan Kedua
2. Cuba 
3. Giliranku
4. Bagaikan 
5. Primadunia


BLANK SHOT datang jauh dari Kota Singa mengisi slot kedua terakhir. Ini salah-satu dari dua destinasi jejalah mereka di Malaysia. Malah turut dimaklumkan inilah show “luarnegara” pertama Blank Shot sejak ditubuhkan setahun yang lalu. Saya turut membeli EP “Stick 'Em Up!” (2015) untuk kenangan. Persembahan Blank Shot begitu ligat dan menyeronokkan walaupun ditimpa masalah teknikal (putus tali gitar) pada satu ketika, namun mereka kembali menyambung aksi bahkan lebih menggila, berlari dan menari. Blank Shot adalah Noise Punk Rock; bising, keras dan lantang! Seperkara yang menarik tentang Blank Shot ini, mereka adalah band “majmuk”; Andreas yang berbangsa Cina sebagai gitaris/vokalis, Omeigar berketurunan India yang juga vokalis selain bermain bass serta Raf, orang Melayu di posisi dram. Blank Shot membuktikan prejudis perkauman perlu ditolak jauh. Blank Shot membuktikan rasisme tidak sepatutnya wujud dalam muzik. Terbaik! Lapan buah lagu dipersembahkan termasuk cover songs.
1. Never Look Back
2. Fear the Shepherd
3. Scream
4. Get Away
5. Wired
6. Should I Stay or Should I Go (The Clash)
7. Run to the Hills
8. Blitzkrieg Bop (The Ramones)


KLABU ASAP diletakkan sebagai band penutup acara gig ni. Lagu-lagu Klabu Asap bukanlah asing di telinga saya. Kedua-dua rilisan EP band Johor Bahru ini ada dalam rak koleksi saya. Ini band yang sangat-sangat “menjemput” kaki saya memanjat tangga Garage Studio, untuk melihat dengan mata sendiri ragam mereka beraksi “live”. Botak dan rakan-rakannya beberapa kali ucapkan terima kasih di atas kesudian saya datang dan menunggu hingga habis gig. Jangan khuatir kawan, saya adalah jenis orang yang sentiasa menjadi paling awal memasuki dewan dan keluar setelah selesai semuanya. Saya mahu menikmati setiap minit persembahan band-band yang beraksi. Saya perlu menghargai jiwaraga yang mereka letakkan, titik-peluh yang mereka curahkan lebih dari nilai ringgit yang saya bayar di pintu masuk. Itulah saya, setiap kali saya berpeluang menghadiri acara gig. Klabu Asap tidak menghampakan. Mereka membuang semua keletihan untuk beraksi lincah-selincahnya seperti telah mendapat tonik. Lasak dan sungguh bertenaga! Penuh dengan aksi-aksi lompatan. Nyanyian-nyanyian sing-along Punk Rock mereka terus-menerus mengundang beberapa kerat penonton yang tinggal turutserta berlagu bersama. Klabu Asap melengkap malam Garage Session #1 dengan beberapa lagu terpilih dari EP mereka dan sebuah lagu Rancid.
1. Endahnya Chenta
2. Bikin Onar
3. Saya Ada Kawan
4. Fall Back Down (Rancid)
5. Rebong 
6. Chenta Itu Klabu Asap


Pada keseluruhannya, suka sukakan format gig ini kerana kepelbagaian genre muzik yang ditampilkan; dari keindahan melodi indie rock / pop-punk hinggalah kepada kebisingan Grind, dari ekspresi santai sampai ke aksi-aksi lari & lompat tanpa lelah! Scene muzik bebas dan DIY tidak pernah mati, malah berkembang pesat dari generasi ke generasi. Gig-gig kecil seperti ini banyak mengingatkan saya pengalaman-pengalaman terdahulu yang telah saya lalui. Meskipun scene ini terpencil dan sentiasa terpinggir di mata masyarakat, makna dan usaha band-band serta gig seperti ini cukup besar ertinya dalam memperkasakan karya-karya bebas. Mereka juga mempunyai suara untuk dilontarkan. Acara seperti ini akan sentiasa menjadi platform yang baik untuk semua band bergerak dan terus melangkah ke hadapan. InshaaAllah, saya akan datang lagi! Bangkit!

Teks & Foto: Pyan Nathias / 23.11.2017


Nota: Artikel ini akan disiarkan dalam Bangkit! Fanzine isu akan datang!

Rabu, 1 November 2017

ADA APA DENGAN RUMAH API?


Teks & Foto oleh Roots Radicals.

Panas, gelap, dinding yang penuh diconteng dan dihiasi muzik keras yang bising. Itulah dia Rumah Api yang dahulu dikenali sebagai Gudang Noisy. Siapa sangka di sebalik hiruk-pikuk kota Pekan Ampang yang jalan rayanya sentiasa sibuk, tersorok satu entiti bernama Rumah Api yang kini semakin dikenali oleh masyarakat umum. Rumah Api yang terletak di Lot 178 Jalan Merdeka of Jalan Ampang ini pernah dinamakan sebagai “Top 5 Squat” di dalam sebuah blog/majalah terbitan Russia dan menjadi impian kebanyakan band-band D.I.Y. di negara-negara jiran untuk beraksi di pentas gig Rumah Api ini. Tetapi di sebalik kegelapan, panas dan muzik bising ini adalah kejujuran, semangat rebel untuk melawan penindasan yang diekspresi-kan dalam bentuk seni oleh anak-anak muda. 

Rumah Api bukan sekadar pentas bermain muzik seperti venue gig yang lain. Aktiviti berdiskusi, bengkel seni, screening, acara Really Really Free Market, Food Not Bombs dan pelbagai aktiviti lain yang menghiasi ruang di Rumah Api ini, malahan ruang bacaan Pustaka Semesta dan Tandang Store yang menjual rekod, CD dan merchandise dari band lokal dan luar negara turut menjadi tarikan kepada pengunjung Rumah Api. Boleh dikatakan juga bahawa Rumah Api telah menjadi satu landmark kepada pemuzik D.I.Y. dari luar negara yang berkunjung ke Kuala Lumpur. Rumah Api menjadi tempat untuk anak muda berhibur sama seperti tempat hiburan yang lain tetapi segelintir authority membenci aktiviti di Rumah Api adalah kerana kelantangan menentang penindasan, korupsi, idea menentang fasisma dan rasisma yang terselit di dalam lirik bersama muzik keras dan bising yang dimainkan di Rumah Api. 

Sebelum ini juga pihak polis pernah menyerbu Rumah Api yang dikenali sebagai Gudang Noisy pada 27 Mei 2010 iaitu ketika berlangsungnya gig tour band Berantakan bersama band dari Australia iaitu Kill The Apprentice. Seramai 123 orang telah ditahan dalam serbuan ini. Tahanan yang didapati lulus ujian air kencing dibebaskan sekitar jam 6 pagi keesokan harinya. Namun semangat Rumah Api tidak luntur malah saban tahun semakin aktif dengan aktiviti yang dijayakan oleh komuniti Rumah Api dan kini mempunyai acara berskala besar tahunan iaitu Chaos in Rumah Api yang dinanti oleh peminat muzik D.I.Y. di mana acara ini mengumpulkan berpuluh band yang hebat dari dalam dan luar negara. Rumah Api tidak mengehadkan genre hanya kepada Punk, Oi!, Hardcore, Thrash, Grind dan Metal sahaja. Malahan pemuzik indie/folk seperti Liyana Fizi juga pernah beraksi di pentas Rumah Api ini.

Tarikh 28 Ogos 2015 menjadi satu lagi detik hitam yang menyaksikan Rumah Api telah diserbu oleh pihak berkuasa kerana gig bertajuk Party Tonight, Revolution Tomorrow yang turut dibarisi oleh band punk lagenda Carburetor Dung yang dinantikan oleh ramai peminat muzik D.I.Y. Serbuan ini membukti-kan authority semakin terancam dan Rumah Api telah berada dalam pemerhatian mereka. Liputan media terutamanya media alternatif terhadap serbuan ini sebenarnya akan membuatkan lebih banyak pihak membuka mata dan menyedarkan mereka tentang kewujudan Rumah Api ini dan aktiviti yang dilakukan oleh komuniti Rumah Api ini. Seramai 116 orang telah ditahan selama 3 hari untuk disiasat. Beberapa tahanan dari luar negara telah ditahan lebih lama sehingga ada yang mengambil masa 5 hari kerana masalah birokrasi.

Bagaimanapun serbuan yang dilakukan di ambang Hari Kemerdekaan ini telah memberi impak yang agak besar. Pihak berkuasa telah merampas dan menyita banyak barang-barang kepunyaan Rumah Api dan juga barang peribadi milik pihak penganjur. Semoga Man Beranak tabah dan tidak patah semangat untuk menghidupkan kembali Rumah Api. Semoga Rumah Api akan kembali memberikan cahaya dalam kegelapan yang suram dan memberikan kehangatan dalam kedinginan kepada pencinta muzik D.I.Y. yang membenci segala jenis penindasan.

********************

Setelah lebih setahun artikel ini ditulis, dan kejadian diserbu pihak polis, Rumah Api kembali aktif dengan aktiviti gig dan show dari band-band lokal dan band luar yang sedang tour di Kuala Lumpur. Peristiwa diserbu pada malam 3 hari sebelum Hari Kemerdekaan tahun lepas tidak mematahkan semangat mereka untuk masih aktif, malah aktiviti di Rumah Api semakin rancak dan jadual gig boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu diadakan. Terdapat juga pengunjung baru yang sebelum ini tidak pernah menjejakkan kaki mereka ke Rumah Api datang untuk meninjau dan melihat aktiviti di Rumah Api.

Namun satu kejadian yang tidak disangka telah berlaku pada 19 Julai 2016 di mana satu insiden kebakaran telah terjadi di bahagian pintu masuk belakang yang juga telah mengakibatkan suis elektrik turut rosak dan menyebabkan Rumah Api terputus bekalan elektrik. Beberapa gig dan aktiviti yang sepatutnya dijadualkan diadakan di Rumah Api terpaksa dipindahkan ke tempat lain. Dikatakan seorang homeless yang sering tumpang tidur di sofa yang terletak di bahagian luar Rumah Api bertanggungjawab terhadap insiden kebakaran tersebut. Hasil solidariti dari rakan-rakan termasuk rakan dari luar negara dengan mengadakan gig dan aktiviti untuk mengumpul dana sedikit sebanyak membantu beban Man Beranak membaikpulih kerosakan yang dianggarkan mencecah sehingga RM7 ribu. Rumah Api kembali pulih dan mula beroperasi kembali pada 4 Ogos dan acara gig mula mewarnai kembali pada hampir setiap malam minggu selepas itu.

Bagaimanapun di sebalik keceriaan penghuni dan pengunjung Rumah Api, tersimpan kerunsingan dan kerisauan berkenaan projek pembinaan lebuhraya SUKE (Sungai Besi Ulu Kelang Expressway) yang sedang diusahakan oleh kerajaan negeri bersama pemaju Prolintas. Atas nama pembangunan, Rumah Api dan lot-lot kedai dan bangunan-bangunan lama di Pekan Lama Ampang yang telah wujud lebih 100 tahun akan dirobohkan termasuklah kawasan hutan Taman Rimba Ampang yang turut termasuk di dalam kawasan pembinaan SUKE ini. Projek lebuhraya sepanjang 24.4km ini dibantah oleh sebahagian penduduk sekitar bersama aktivis dengan mewujudkan persatuan The Say No To SUKE (SNTS) dan telah berapa kali mengadakan aktiviti bantahan dan kempen agar projek pembinaan lebuhraya SUKE ini dibatalkan. Walaupun diketahui bahawa projek ini sepatutnya ditangguh kerana ketiadaan laporan EIA (Environment Impact Assess-ment) dan beribu petisyen bantahan dihantar, kerja penebangan pokok dan kerja pembersihan tapak telah bermula di beberapa kawasan sekitar.

Pencinta muzik underground / independent akan merasakan kehilangan besar sekiranya Rumah Api berhenti beroperasi. Jika  projek pembinaan lebuhraya SUKE ini terus berjalan dan bangunan-bangunan di Pekan Lama Ampang yang turut menempatkan Rumah Api dirobohkan, kemungkinan Chaos in Rumah Api 4 pada tahun ini adalah yang terakhir. Tidak mustahil juga selepas ini penganjur gig terpaksa menyewa club, studio dan feel tersebut tidak sama seperti yang terdapat di “punk house” Rumah Api. Malahan sekiranya Rumah Api berpindah lokasi, “vibe”nya juga mungkin tidak sama seperti yang sedia ada sekarang.

Kadang-kadang aku tersenyum sendirian dan bertanyakan kepada diri sendiri ketika berjalan menuju Rumah Api sekiranya ada gig yang menarik minat aku, “Di mana lagi kita boleh jumpa tempat cool sebegini yang terletak di antara balai polis dan sebuah tokong?”. Walaupun terpaksa menonton live band di sebelah curahan air yang melimpah keluar dari paip yang bocor ketika hujan lebat ataupun bahang panas seperti sauna bagi mereka yang tidak biasa, tiada tempat lain yang dapat menggantikan Rumah Api. Rumah Api adalah satu tempat yang sangat istimewa bagi pengunjung setia yang juga merupakan penggemar muzik bebas di Malaysia.


Terimakasih Roots Radicals [fb.com/roots.radicals.14] di atas sumbangan artikel ini di mana teks asal telah disiarkan dalam Zine Tribute Untuk Rumah Api. Tulisan ini dikemaskini dengan beberapa isu terkini. Terima kasih juga kepada pihak Karyaraya Publishing di atas keizinan menyiarkan semula artikel ini di sini.

NOTA: Sepertimana disiarkan dalam BANGKIT! #3

ALCOHOLIC CROCOCRUST SPLIT


Evolusi muzikal D-Beat / Crust Punk begitu pesat berkembang di seluruh Malaysia. Penubuhan band-band yang memainkan irama sebegitu kian menggalakkan bukan sahaja di Semenanjung malah di kepulauan Borneo juga. Di bandaraya Kuching, Sarawak telah dapat dikenalpasti dua band yang dilihat berbakat besar dan berpotensi tinggi dalam menjana kualiti terbaik genre tersebut dan mereka adalah PÏG-KRÜST dan BAKTERIA. 

Mereka masing-masing mengeluarkan material yang bermutu. Pïg-Krüst tampil dengan rilisan berjudul “Punk Sampai Parai” (keluaran Sukma Records) di mana garapan muziknya cukup jitu dan penuh energi. Bakteria pula mengeluarkan “Gut Raw D-Beat Assault” (di bawah kolaborasi Tempang Records dan Green Peace Distro) yang kedengaran keras, padu dan beremosi alunan lagunya. Ekoran dari 2 produk berformatkan kaset inilah tercetusnya idea diadakan rilisan split di antara mereka, terbitan sebuah label tempatan – BLAZT PROMOTION.

--- “This is a meeting of two uprising Punk acts from Kuching City, Sarawak; PÏG-KRÜST and BAKTERIA. The 2-way split cd-r comprising of 9 tracks (22 minutes) of impressive D-Beat / Crust Raw Punks; aggressive, chaotic & straight-in-your-face. Both band delivers the best definition to Punks Not Dead!” ---

“Alcoholic CrocoCrust Split” telah dikeluarkan dan mula beredar secara rasmi oleh Blazt Promotion [Kat#: B1601] pada tanggal 1 Jun 2016. Rilisan split ini adalah inisiatif menyatukan dua band berwibawa yang lahir dari bandar dan negeri yang sama, meng-gandingkan dua band terbaik atas dasar nuansa muzikal yang serupa. Keseluruhannya menghimpun-kan 9 buah lagu sebagaimana senarai berikut:

PÏG-KRÜST
1. World of Shit – 1:26
2. Kroni Didahulukan, Korupsi Diutamakan – 1:27
3. Dis-War – 2:14
4. Destroyed Society – 3:32
5. Dunia Tanpa Tuhan – 2:45
BAKTERIA
6. Ignorant Mass – 2:40
7. Secret Extermination – 2:15
8. Thought Control – 2:00
9. Mindless Act – 3:02

Pïg-Krüst yang dianggotai oleh Paul (vokal), Benben (bass), Benji (gitar), Gino (gitar) dan Weemee (dram) telah meletakkan 3 buah lagu baru dalam “Alcoholic CrocoCrust Split” bakinya 2 lagu dipetik dari kaset “Punk Sampai Parai”. Muzik Pïg-Krüst ditafsir sebagai D-Beat/Metal Raw Punk distortion. Manakala Bakteria yang telah berada dalam scene semenjak pertengahan 2007 lagi selesa dengan definasi Dis-HC Crust Gut Raw Punx. Band dibarisi Ray Bakteria (gitar / vokal), Manjan Bulat (bass / vokal) dan Paipenis (dram) memuatkan 4 lagu yang diambil dari rilisan “Gut Raw D-Beat Assault”.


Ilustrasi untuk kulit luar split berformatkan CD-R ini adalah hasil karya Röttenwörx. Terhad kepada 40 salinan sahaja, pengeluaran “Alcoholic CrocoCrust Split” turut disokong oleh label band masing-masing iaitu ROTTEN DISTRO dan HUMANOISE DIY CLOTHING. Dapatkan split ini pada harga cuma RM7 (belum termasuk kos pengeposan) dari Blazt Promotion atau wakil pengedar rasminya Deathsales Distibution – facebook.com/deathsales.

INFORMASI:


NOTA: Sepertimana disiarkan dalam BANGKIT! #2

Selasa, 29 November 2016

KIBOTA – The Chaos Rockerz


Doodle budak punk mohawk ini sebenarnya lakaran spontan seorang sahabat bernama Adi Herman sebaik sahaja beliau menerima naskah Bangkit! #1. Ia dilakar pada belakang envelope kiriman zine tersebut yang diterimanya pada 10 Jun 2016. Simply, ia menarik perhatian dan aku sangat menghargainya. Tak ramai yang ada bakat melukis sepintas lalu seperti Adi yang turut digelar Pendekar Mustar di akaun facebook beliau. Aku terfikir ada baiknya aku tukar ilustrasi (cilok dari internet) pada banner / header blog aku Up The Punx dengan yang ini. Barulah nampak ada originality, tak gitu?. Automatically, ia secara rasmi aku anggap maskot kepada Bangkit! Fanzine. Budak mohawk ini diberi nama KIBOTA. 

Eh, siapa atau apa itu Kibota??? Kebetulan cerita berkaitan Kibota menjadi bahan bicara antara aku dan Adi beberapa hari sebelum doodle ini terhasil. Masa tu kami deal untuk trade antara Bangkit! #1 dan zine karya beliau Bisak Palak #1. Adi adalah anak jati kelahiran Bintulu, Sarawak. Aku beritahu Adi yang aku pernah stay Bintulu, tahun 1988 hingga pertengahan 1991, study di UPM Kampus Bintulu. “Uihhhh zaman lama tu... saya kecik lagi masa tu, haha!”, jawab Adi. Cepat masa berlalu. Dah 25 tahun aku tinggalkan Bintulu. Rindu rasanya kat Bintulu. That time aku selalu beli kaset metal/rock kat satu kedai muzik sekitar bandar tu, lupa dah nama kedai tu. Sekarang ni mungkin dah banyak berubah dan membangun. Dulu airport tengah-tengah bandar. Adi maklum sekarang airport dah kat tempat lain, dah ada shopping complex sekarang. Aku tanya: “KIBOTA... pernah dengar?”. Selamba rock Adi respon: “gengster tu!”. 

Memang betul kata Adi. Kibota itu satu kumpulan gangster atau samseng yang berkeliaran aktif di bandar Bintulu pada masa tersebut. Aku pun cerita kat Adi satu perkara yang tidak aku lupakan hingga hari ini: “(Kibota) kuat paw budak-budak UPM yang keluar ke bandar dulu-dulu. Tapi aku save. Ada satu hari tu, ada sorang mamat duduk depan aku. Duit dia jatuh, bergulung-gulung berikat beb. Tak tau berapa ratus ribu. Aku ambil bagi dia. Aku cakap “bang.. duit abang jatuh”... Since that day tiap kali ke bandar, tiap kali terjumpa, dia mesti tegur aku. Sesekali lepak borak-borak. Dia bagi aku t-shirt... tertulis KIBOTA. Dia cakap dia ahli kumpulan tu”. 

Begitulah kisahnya. Kiranya aku selamat dan terlindung dari kena paw, haha!. Aku pun dah tak ingat nama mamat tu dan t-shirt Kibota yang super rare tu pun ntah mana hilang. Syukurlah, Adi beritahu sekarang geng-geng kibota dah takde. Banyak dah insaf dan ada yang jadi tabligh. Aku lupa apa maksud Kibota. Tak silap aku ia akronim pada nama penuh kumpulan tu. Adi cuma maklum kibota tu senjata yang dibuat daripada besi yang melekat kat penumbuk. Kenangan itulah yang mahu aku abadikan pada doodle ini. Pelukisnya Adi dari Bintulu dan Bintulu mengingatkan aku kepada Kibota. 

Apapun, jangan pula disalah anggap. Gangsterisme atau kegiatan samseng tidak ada kaitan langsung dengan zine Bangkit!, blog Up The Punx apatah lagi scene Hardcore Punk. Scene ini sihat dan berwawasan. Punk Makan Sampah yang pernah heboh satu ketika dulu adalah fitnah dan pembohongan dari media kerajaan yang tidak beretika. Nazi Punks boleh pergi mampus, fuck off!. Kibota di sini tidak membawa maksud yang tidak baik. Malah rasanya ada sedikit pengajaran dari apa yang aku ceritakan di atas tadi. Kalau kita berbuat baik kepada seseorang, biarpun kita tahu orang itu bukan orang baik (jahat), Tuhan akan membantu kita dan memberi kita lebih banyak kebaikan (perkara-perkara yang baik).

Terima kasih buat Adi Herman di atas doodle Kibota dan keizinan menggunakannya sebagai maskot Bangkit! Fanzine. Bagi yang belum mengenali Adi, beliau adalah seorang penulis kreatif yang berbakat besar. Dialah individu di sebalik buku Antologi Cerpen “Pentagram Di Atas Pusara”, tunjang utama zine Bisak Palak (Antologi Penulisan Kreatif Warga Bintulu) serta juga ahli band experimental grindcore Tahi Suci. Adi Herman boleh dihubungi di gautama_81@yahoo.com atau facebook.com/adiherman696.


NOTA: Sepertimana disiarkan dalam BANGKIT! #2.5

Sabtu, 24 September 2016

Ekspos | MISGIVE


Merujuk kepada arena muzik independen dan scene underground tempatan, hampir sukar untuk dicari dan ditemui sebuah kumpulan yang kesemuanya dianggotai oleh kaum wanita. Sebuah band yang menggelarkan diri mereka sebagai MISGIVE mungkin satu-satunya jawaban kepada pencarian kalian pada masa ini – mereka adalah all female punk rock band dari Kota Kinabalu, Sabah.

MISGIVE bermula pada 1 Jun 2013 dengan line-up terdiri daripada Reen Rebecca Rushell Molinus aka Reen (vokal/gitar), Celyane Anne Rodrigues Muyuk aka Yen (vokal/bass), Brenda Rodney aka Brenda (gitar utama) dan Josephine Pun Yin aka Pinpin (dram). Pada 20 April 2014 MISGIVE merilis EP pertama berjudul “Short Skirts, Shot Guns”. Kira-kira dua bulan sebelum itu, bertarikh 14 Februari 2014 mereka melancarkan single Short Skirts, Shot Guns di laman YouTube – youtu.be/Rauj2KHwDCM – sebagai langkah awal pengenalan band dan promosi pengeluaran EP.

EP “Short Skirts, Shot Guns” dikeluarkan menerusi kerjasama MISGIVE dan Kenny Cleod Productions serta BMT (Borneo Music Technology) Studio. Ianya memuatkan 5 buah lagu berdurasi keseluruhannya 13:28 minit punk rock yang cukup menghiburkan. CD tersebut diedarkan pada harga cuma RM10 dan sangat disarankan kepada penggemar-penggemar band seperti Blink-182, Rancid, Four Years Strong, Distillers, NOFX, Anti-Flag, The Loved Ones dan seumpamanya, di mana inilah band-band yang banyak mempengaruhi karakter muzikal MISGIVE.

“Short Skirts, Shot Guns” dilancarkan secara rasmi dalam satu persembahan secara akustik di at Mint Store Wawasan Plaza (Kota Kinabalu) diikuti promosi besar-besaran dalam jelajah Short Skirts, Shot Guns Tour di Semenanjung Malaysia dan Singapura pada 24 hingga 27 Mei 2014. Usaha tersebut diteruskan di Borneo apabila MISGIVE turut terlibat dalam beberapa gig di Sarawak dan negeri kelahiran mereka, Sabah. 

MISGIVE juga telah menjalani penggambaran dan melancarkan dua Video Muzik rasmi mereka iaitu; “Short Skirts, Shot Guns” MV mula dipertontonkan pada 23 Mac 2014 di youtu.be/ITDjXAF0Z_U dan “Don't Need No Words” MV pada 1 Februari 2015 di youtu.be/NQ3BWy4RONs. Kedua-dua video ini diarahkan oleh Radzie Rahman. Kredibiliti MISGIVE sebagai sebuah band yang berbakat besar dan berpotensi tinggi telah menarik perhatian Afraid Clothing, Vans dan Cort Guitar & Bass untuk menaja pemakaian dan instrumen muzik MISGIVE.

Sebagaimana lumrah kebanyakan band di dunia ini, MISGIVE turut ditimpa masalah penarikan diri anggota band bilamana pada 5 April 2015 Brenda dan Pinpin mengambil keputusan membawa haluan masing-masing untuk tidak ladgi bersama Reen dan Yen. Namun kekosongan itu segera dilengkapi oleh Sabreena Jade aka Sabby (dram) yang menyertai MISGIVE pada 16 April 2015 dan bermulalah era baru band ini bergerak secara bertiga sahaja.


Perjalanan MISGIVE tidak akan terhenti. Mereka mungkin akan meriliskan materi terbaharu tidak berapa lama lagi selain giat aktif muncul di pentas. Antara gig-gig besar yang pernah diterajui MISGIVE adalah seperti Smash Fest, The Freak Bistro Tawau (23/11/2014), Rock The World 2014, Stadium Bukit Jalil Kuala Lumpur (13/12/2014), Meet Up Kuching 2015, Le Civic Centre, Kuching (29/02/2015) dan juga Maximum Rock & Roll: The Global Edition, Karamunsing Room, Kota Kinabalu (16/05/2015).

INFORMASI
+60-10-9447250


Nota:
*Teks oleh Trashnoiser – trashnoiser@gmail.com
*Disediakan pada 16 Julai 2016
*Untuk siaran Bangkit! #2.5 – Edisi KLZF2016

Isnin, 8 Ogos 2016

HC PUNK DALAM HIDUP KU!

Hardcore Punk, Solidariti dan Kebebasan. Ini tagline Bangkit! Fanzine. Ketiga-tiga perkataan ini bukan sahaja berkait-rapat dalam satu aspek tetapi juga memiliki makna dan tafsiran yang lebih luas dalam pelbagai sudut; pada diri seseorang dan persekitaran hidup ini. Aku berhasrat untuk menjadikan kolum ini ruangan tetap dalam setiap isu Bangkit!. Untuk edisi pertama ini aku menjemput saudara Benny Pangazou menulis...


Salam sejahtera para pembaca sekalian. Nama aku Ben atau juga dikenali dengan nama pena aku Benny Pangazou. Well, Pangazou tu bukan nama bapa aku mahupun nama keluarga aku. Pangazou tu adalah nama gelaran bagi pemburu kepala bagi pahlawan kadazan pada zaman dahulu meskipun aku bukan kadazan dan berbangsa rungus norway, tapi dalam bahasa rungus pun Pangazou mempunyai makna yang sama iaitu pemburu kepala. Aku pakai nama tu sebab aku suka benda-benda yang berkait dengan ritual, mistik dan juga budaya tapi itu tidak bermakna aku seorang pengamal ilmu hitam!. Aku ada menjalankan satu record label dan juga mini distro yang bernama DIAKI NU RECORDS & DISTRO yang dulu dikenali dengan nama Headhunter Records. Aku juga merupakan penulis zine Choosing Path yang kini baru menginjak isu ke-2. Aku juga merupakan seorang pemain gitar dan vokalis untuk kumpulan band kelakar yang bernama Con-Damn The Corruptor. Ok ini bukannya ruangan untuk memperkenalkan diri diri tapi ruangan ni untuk berkongsi cerita tentang punk!. Mau berkenalan nanti kau boleh kontek aku di facebook atau whatsapp.

Ok aku sebenarnya bukannya seorang pakar layak untuk menceritakan apa benda yang dipanggil punk ni tapi aku akan cuba kongsikan sikit pengalaman aku sepanjang aku mengenali benda alah punk ni. Punk datang pada seseorang itu dalam banyak cara dan setiap orang itu ada pembawaannya tersendiri dan cara dia berfikir sebab punk ianya adalah idea dan bukannya sesuatu yang ada tertulis di dalam mana-mana kitab. Baik-buruknya punk itu bergantung pada kau. Aku pada asalnya cumalah seorang budak biasa yang selalu menjadi mangsa buli di mana-mana saja. Aku juga minat pada kumpulan band yang mengangkat imej belah tengah masa tu macam New Boyz, Boboi, Westlife dan macam macam lagi. Aku kenal benda punk ni daripada seorang kawan aku yang bernama Deden. kalau mau tau lebih lanjut pasal dia kau boleh sembang dengan aku di whatsapp atau facebook. Daripada dia aku mula baca zine dan juga dengar band band yang sudah semestinya kau tidak akan dengar di media mainstream pada masa itu dan waktu itu adalah sekitar 2003. Tapi walaupun begitu aku juga sangat meminati muzik metal dan band metal pertama yang aku kenal adalah Pantera!.

Masa berlalu pantas akhirnya kawan aku tu tadi pindah ke Penang untuk bersekolah di sana dan bila dia sudah tiada bermakna sudah tiada la punk dalam hidup ini. Tapi mungkin sudah jodoh aku dengan punk ni selepas kawan aku tu pindah, aku bertemu lagi dengan kawan yang lain dan berkongsi minat yang sama dan keadaan ini berlarutan sehinggalah hari ini. Dan apa yang kamu nampak pada aku hari ini adalah hasil tinggalan kawan aku 10 tahun dulu... tapi jangan ingat yang aku ni punk yang diprogram yang harus ikut begini dan begitu kerana aku mencorakkan punk mengikut acuan hidup aku sendiri. Dalam punk ni kau boleh pilih untuk mengambilnya secara serius, suka-suka, ataupun part time. Secara serius di sini bermaksud mengaplikasikannya di dalam kehidupan ko sehari-hari... suka-suka pula maksudnya cuma minat pada muziknya sahaja... manakala part time pula minatnya itu bermusim... bila nampak kawan aktif balik ber-punk dia pun sibuk mau ber-punk tapi bila kawan sudah hilang maka secara automatiknya dia pun hilang juga dan kembali ke kehidupan normalnya ataupun dia akan pergi ke budaya lain macam skins, metal, indie, hip hop dan banyak lagi dan golongan part time inilah yang orang sebut poser.  Bagi aku, poser ni adalah normal sebab ianya adalah salah satu proses pembelajaran hidup dan mencari jati diri. Tidak payah mau fuck diorang sangat sebab yang poser ni juga yang beli stuff-stuff band kau!. Dan kau harus ingat yang satu masa dulu pun kau juga pernah berada di tempat diorang. So tugas kau adalah membimbing budak-budak tu bukan mencerca diorang.

Dalam punk ni aku belajar banyak perkara ada yang baik dan ada yang buruk. Well, standard la kan budaya punk ni ciptaan manusia memang ada slack-nya. Tapi kau sebagai manusia mesti pandai menilai mana yang baik mana yang buruk. Dan melalui punk ni juga aku melihat dunia ini dari sudut yang berbeza. Aku belajar untuk tidak mendiskriminasikan kaum lain kerana aku juga pernah didiskriminasi oleh kawan-kawan aku dulu hanya kerana aku berlainan bangsa dari diorang dan menganggap bangsa diorang adalah bangsa yang standard!. Pergi mampus kau dengan pride kau tu tidak ingin aku punya kawan macam kau. Punk mengamalkan semangat equality atau kesamarataan. Dalam punk semua manusia itu sama tiada mulia tiada hina semua sama rata kerana samada kau hitam atau putih mahupun kelabu taik itik kau tetap seorang manusia yang dicipta oleh Tuhan dari nenek moyang kita nabi Adam dan isterinya Hawa melainkan kau bertuhankan charles darwin maka kau adalah dari golongan monyet!. Tapi monyet pun hidup bermasyarakat so apa sebabnya kau mesti hidup berpuak-puak?.

Punk mengajar aku supaya jangan percaya pada politik dan juga ahlinya sebab semua yang keluar daripadanya adalah palsu dan penuh dengan penipuan.  Percaya ka kau kalau kerajaan cakap diorang mau hapuskan kemiskinan di negara ni? Tidak! Aku tidak percaya sebab bila semua rakyat sudah kaya dan senang, rakyat sudah tidak perlukan lagi kerajaan dan tidak akan mengharapkan kerajaan lagi. Kerajaan cuma akan bagi “gula-gula” saja supaya kita akan terus berharap pada diorang. Lepas tu muncul lagi parti baru kononnya untuk membela nasib rakyat tapi 2x5 ja kehkehkeh!. Aku tidak pernah percaya pada politik dan ahlinya!.

Aku juga belajar untuk menjadi diri aku sendiri. Aku sebenarnya tidak berapa memikirkan sangat pasal fesyen punk ni walaupun itu juga adalah salah satu sebab aku tertarik pada budaya serpihan ni. Tapi setiap kali bila aku pakai dressing punk, ada satu perasaan yang muncul dalam diri aku iaitu KEYAKINAN! Aku rasa aku la yang paling hensem saat mengenakan battle jacket dan boot. Aku rasa inilah aku! Tapi bukan bermakna aku akan berpakaian begitu sehari-hari. Aku akan sesuaikan dengan keadaan juga sebagai contoh adalah tidak rasional untuk aku berdressing punk hanya untuk membeli garam dan kicap di kedai runcit cukup la sekadar berseluar pendek, baju band dan selipar jepun jangan dilupa wallet sekali sebab walau kau punk macamana pun, kalau kau tidak bawa duit kau tidak akan dapat membeli kicap dan garam itu. Aku hanya akan berdressing punk bila aku rasa aku mau saja.

Punk juga merupakan kasih sayang bak kata Pisschrist PUNK IS LOVE!. Kau ingat punk tu tiang lampu ka? Punk pun manusia juga macam kau ada perasaan ingin disayangi, menyayangi, geram, marah dan macam-macam lagi. Sebab tu wujudnya aktiviti macam food not bombs, buku jalanan, d.i.y workshop dan macam-macam lagi. Itu adalah satu tindakan yang menunjukkan yang punk peduli pada masyarakat sekeliling. Saat seseorang itu kelaparan tanpa makanan disebabkan kemiskinan, food not bomb muncul menghulurkan makanan. Saat orang itu kehausan ilmu akibat tidak mampu bersekolah, muncul buku jalanan. Saat orang itu mempunyai bakat tapi dia tidak tau apa yang boleh dilakukan pada bakatnya itu, muncullah d.i.y workshop untuk mengajar kemahiran pada yang memerlukan. Ilmu bukan untuk didagangkan, ilmu adalah hak setiap manusia dan makanan juga adalah hak setiap orang samada kau orang kadazan atau orang mexico bila kau lapar kau akan cari makanan dan bila kau ada rezeki yang lebih apa salahnya kau kongsi dengan orang yang memerlukan? Kalau kau kongsi, orang lain gembira kau pun dapat pahala insya-Allah rezeki kau akan bertambah. Ini pun mau aku ajar ka?.

Dalam punk ni aku dapat ramai kawan hampir seluruh dunia la senang cakap. Dari kawan sekampung, KK, Kedah, Johor, KL, Penang, Ipoh, Kuala Pilah, Norway, Sweden, Bulgaria, Beijing, Seoul, Tokyo semua la, aku dapat kenalan dari punk ni la. Aku yakin budak clubbing tidak ada kawan yang ramai macam aku. Kau pernah rasa ka berbual, lepak, minum kopi dengan line-up band yang power? Ataupun bergurau senda sambil ketawa guling guling dengan vokalis band yang kau minat? Dalam punk ja kau akan rasa benda-benda yang siok tu tanpa perlu ada VIP PASS apa lancau semua tu. Tidak perlu menang pertandingan untuk duduk di backstage bersama artis tu. Kau siap boleh beli stuff/material direct face to face dengan tuan punya band lagi tau. Dalam punk tiada jurang antara peminat dan band!. Yang ada cuma persahabatan yang saling menyokong yang membuatkan kau kuat menempuh hidup ni. Bila aku pergi gig atau acara yang bersangkutan dengan punk ni aku mesti jumpa kawan-kawan lama dan baru dan lama kelamaan aku rasa semua adalah family aku dan aku berada di dunia yang lain dan inilah yang membentuk komuniti. Mau join dengan budak punk ni tidak payah mau bayar yuran ahli ataupun menyerahkan keperawanan kau sebab punk bukan kumpulan gengster atau kumpulan terancang. Mau join budak punk cuma bawa diri, akal fikiran dan semestinya hormat itu adalah kuncinya. Paling penting jangan rasis sebab punk terima kau seadanya tanpa mengira latar belakang kau dan punk untuk semua.

Dalam punk juga aku juga belajar untuk menghormati pandangan orang lain dan tidak memperlekehkan orang lain. Sukahati kau la dengan kau punya ideologi asal kau tidak menyusahkan orang lain dan aku, teruskan saja tapi kalau apa yang kau buat tu salah aku kena tegur kau juga sebab aku berada dalam kategori jiran yang baik dan mengambil berat... bukan untuk aku tapi untuk diri kau sendiri juga.

Banyak lagi yang aku mau tulis sebenarnya ni tapi nanti kalau aku tulis panjang-panjang risau pula aku zine ni akan ter-split dengan tulisan abang Pian pula kehkehkeh aku cuma penulis jemputan ja dan aku berterima kasih pada abang Pian sudi jemput aku dalam zine dia ni. Kau pula lepas ni jangan asal nampak ja budak punk terus chop budak punk ni jahat siapa tau dia tu jaga solat dan selalu tolong mak dia di rumah jangan asal nampak orang berserban tu terus chop orang tu warak sedangkan pikor dragon ball tu selalu berserban pun tapi tidak pernah solat tau. Jaga diri hindari nyamuk aedes. Tiada aedes tiada denggi!.

Teks oleh Benny Pangazou [4 Februari 2016]
Emel: mohdaidil.pangazou.pulianabdul@gmail.com
Facebook: facebook.com/benny.pangazou
WhatsApp: 011-2535525

NOTA: Sepertimana disiarkan dalam BANGKIT! #1.