Memaparkan catatan dengan label Klabu Asap. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Klabu Asap. Papar semua catatan

Sabtu, 28 April 2018

Notasi | KLABU ASAP – 2-in-1 Ep Collection




Hanya ada satu dalam dunia! Klabu Asap “2-in-1 Ep Collection”, 10 tracks terhimpun dari EP 2015 dan EP 2017. Punk rock yang syok dan enjoy giler! Memang kegemaran aku buat CD macam ni senang nak layan sekali harung terutamanya semasa memandu. Personal use only!, not and never for sale, haha! Nak buat CD camni korang kena support beli dulu kedua-dua EP dari Klabu Asap tu. Hubungi: facebook.com/klabuasapband.

Catatan: Pyan Nathias // 11/04/2018 // 00:19am

Khamis, 23 November 2017

Liputan Gig | GARAGE SESSION #1


Acara: Garage Session #1
Band: Blank Shot / Kerak Nasik / Forgetting Francesca / Klabu Asap / Classmates / Seeing The River
Tempat: Garage Studio, Taman Melawati, Kuala Lumpur
Tarikh: 11 November 2017 (Sabtu)
Anjuran: Garage Studio & Space – facebook.com/garagestudio1

Saya akui, saya teramat jarang turun padang menghadirkan diri ke acara-acara gig semenjak beberapa tahun ini untuk menonton aksi-aksi pentas band-band tempatan. Selain limitasi masa yang kadang-kala dihimpit dengan pelbagai komitmen, masalah penglihatan saya untuk memandu di sebelah malam agak membataskan pergerakan. Entah mengapa, hari itu bertarikh 11 November 2017 saya begitu terdetik dan tertarik untuk datang ke acara Garage Session #1. Lokasinya tidaklah begitu jauh dari kediaman saya, sekitar 15 minit perjalanan berkenderaan. Senarai band yang dijadualkan membuat persembahan sebenarnya begitu mendorong untuk saya bergerak ke sini. Garage Session #1 pada dasarnya adalah gig berskala kecil di ruang studio yang diadakan bagi menyokong mini tour Blank Shot (Singapura), persinggahan pertama mereka sebelum ke Kuantan pada malam berikutnya. Agak terkilan, band Transitions yang berada dalam senarai awal tidak dapat bersama memeriahkan acara.


FORGETTING FRANCESCA tampil sebagai band pembukaan acara pada malam tersebut. Mereka ini adalah band 5-piece dari Petaling Jaya yang berpaksikan irama pop-punk. Meskipun pengunjung tidaklah ramai malahan boleh dihitung satu-persatu dengan jari, Forgetting Francesca tetap gah berdiri di hadapan memberikan yang terbaik dalam persembahan. Semangat mereka mengatasi segalanya, bahkan semakin hangat di penghujung persembahan dengan aksi-aksi berbaring di lantai. Lima buah lagu dibawakan, termasuk dua single mereka sendiri yang kedengaran lazat, rancak dan menghiburkan.
1. Intro
2. Cookies and Cream
3. We Got This (A Day To Remember)
4. Song 2: Creampie
5. December (Neck Deep)
6. The Rock Show (Blink-182)


KERAK NASIK menyusul mengisi ruang pentas. Band ibukota Kuala Lumpur terdiri daripada Azam (gitar), Faez (vokal) dan Kenit (dram) ini menerapkan unsur-unsur humor dalam penyampaian dan kepantasan Grindcore bawaan mereka. Memang lucu setiap kali gitarisnya menerangkan lagu-lagu yang dimainkan, apatah lagi semua ahli band ini mengenakan kostum yang mencuit hati. Dari segi muzik, walaupun hanya bersandarkan instrumen gitar dan dram, sound mereka begitu tebal dan berat – laju, bingit dan menghentam! Agak kelakar, mereka sendiri kurang ingat lagu-lagu yang dimainkan setelah selesai membuat persembahan. Antaranya: Kerak Nasik, Kerana Kangkung Badan Binasa, Ketidakhadaman, Gout Power, Goutness In The Forest, Seafood Membunuh, Cirit or Die, Dataku Habis serta sebuah cover dari Napalm Death, You Suffer. Apapun, ini band yang padu dan menceriakan suasana!


SEEING THE RIVER yang datangnya dari bandaraya Johor Bahru tanpa membuang masa mengambil alih pentas aksi. Saya kira, saya beruntung turutsama berada di Garage Session #1 untuk melihat kelibat beberapa band yang asalnya dari negeri kelahiran saya sendiri. Berpuluh tahun merantau di negeri orang, inilah peluang-peluang yang saya ada. Dibarisi lima pemuzik muda, Seeing The River memperagakan kuasa energetik dalam persembahannya – lincah, kencang dan disulami emosi di bawah nuansa Melodic Hardcore galasan mereka. Sistem bunyi begitu padat memenuhi ruang studio. Respon beberapa rakan pengunjung turut menaikkan lagi aura persembahan band ini. Vokalis dan pemain bass saling bertukar posisi pada lagu terakhir di mana sebahagian besar yang dimainkan dipetik dari rilisan EP mereka sendiri. Jitu, kuat semangat dan kudratnya!
1. Survive For Our Life 
2. Coin Face
3. Burn (Counterparts)
4. Second Chances 
5. Wake The Dead (Comeback Kid)


CLASSMATES turut bertandang menjayakan gig ini. Unit indie/modern rock / pop-punk asal Kota Tinggi ini bukannya calang-calang band. Mereka sudah cukup terkenal dengan antem “Luaskan Kuasamu (Dari Selatan)” yang telah memenangi Anugerah Lagu Johor 2014. Terdiri daripada Elham (vokal), Ucop (gitar), Din (bass) dan Kim (dram), band ini mempamerkan kreativiti mereka dalam penghasilan dan penyampaian lagu. Classmates memiliki vibe yang memukau, terserlah apabila ianya dipersembahkan secara langsung. Beberapa lagu didahului dengan intro yang mengasyikkan. Malam itu juga, Classmates tidak sekadar mendendangkan lagu-lagu rakaman terdahulu tetapi turut memperdengarkan lagu baru yang bakal dimuatkan dalam album akan datang. Lagu penutup Primadunia dinyanyikan bersama hampir kesemua yang ada di dalam studio ketika itu. Menarik!
1. Dakapan Kedua
2. Cuba 
3. Giliranku
4. Bagaikan 
5. Primadunia


BLANK SHOT datang jauh dari Kota Singa mengisi slot kedua terakhir. Ini salah-satu dari dua destinasi jejalah mereka di Malaysia. Malah turut dimaklumkan inilah show “luarnegara” pertama Blank Shot sejak ditubuhkan setahun yang lalu. Saya turut membeli EP “Stick 'Em Up!” (2015) untuk kenangan. Persembahan Blank Shot begitu ligat dan menyeronokkan walaupun ditimpa masalah teknikal (putus tali gitar) pada satu ketika, namun mereka kembali menyambung aksi bahkan lebih menggila, berlari dan menari. Blank Shot adalah Noise Punk Rock; bising, keras dan lantang! Seperkara yang menarik tentang Blank Shot ini, mereka adalah band “majmuk”; Andreas yang berbangsa Cina sebagai gitaris/vokalis, Omeigar berketurunan India yang juga vokalis selain bermain bass serta Raf, orang Melayu di posisi dram. Blank Shot membuktikan prejudis perkauman perlu ditolak jauh. Blank Shot membuktikan rasisme tidak sepatutnya wujud dalam muzik. Terbaik! Lapan buah lagu dipersembahkan termasuk cover songs.
1. Never Look Back
2. Fear the Shepherd
3. Scream
4. Get Away
5. Wired
6. Should I Stay or Should I Go (The Clash)
7. Run to the Hills
8. Blitzkrieg Bop (The Ramones)


KLABU ASAP diletakkan sebagai band penutup acara gig ni. Lagu-lagu Klabu Asap bukanlah asing di telinga saya. Kedua-dua rilisan EP band Johor Bahru ini ada dalam rak koleksi saya. Ini band yang sangat-sangat “menjemput” kaki saya memanjat tangga Garage Studio, untuk melihat dengan mata sendiri ragam mereka beraksi “live”. Botak dan rakan-rakannya beberapa kali ucapkan terima kasih di atas kesudian saya datang dan menunggu hingga habis gig. Jangan khuatir kawan, saya adalah jenis orang yang sentiasa menjadi paling awal memasuki dewan dan keluar setelah selesai semuanya. Saya mahu menikmati setiap minit persembahan band-band yang beraksi. Saya perlu menghargai jiwaraga yang mereka letakkan, titik-peluh yang mereka curahkan lebih dari nilai ringgit yang saya bayar di pintu masuk. Itulah saya, setiap kali saya berpeluang menghadiri acara gig. Klabu Asap tidak menghampakan. Mereka membuang semua keletihan untuk beraksi lincah-selincahnya seperti telah mendapat tonik. Lasak dan sungguh bertenaga! Penuh dengan aksi-aksi lompatan. Nyanyian-nyanyian sing-along Punk Rock mereka terus-menerus mengundang beberapa kerat penonton yang tinggal turutserta berlagu bersama. Klabu Asap melengkap malam Garage Session #1 dengan beberapa lagu terpilih dari EP mereka dan sebuah lagu Rancid.
1. Endahnya Chenta
2. Bikin Onar
3. Saya Ada Kawan
4. Fall Back Down (Rancid)
5. Rebong 
6. Chenta Itu Klabu Asap


Pada keseluruhannya, suka sukakan format gig ini kerana kepelbagaian genre muzik yang ditampilkan; dari keindahan melodi indie rock / pop-punk hinggalah kepada kebisingan Grind, dari ekspresi santai sampai ke aksi-aksi lari & lompat tanpa lelah! Scene muzik bebas dan DIY tidak pernah mati, malah berkembang pesat dari generasi ke generasi. Gig-gig kecil seperti ini banyak mengingatkan saya pengalaman-pengalaman terdahulu yang telah saya lalui. Meskipun scene ini terpencil dan sentiasa terpinggir di mata masyarakat, makna dan usaha band-band serta gig seperti ini cukup besar ertinya dalam memperkasakan karya-karya bebas. Mereka juga mempunyai suara untuk dilontarkan. Acara seperti ini akan sentiasa menjadi platform yang baik untuk semua band bergerak dan terus melangkah ke hadapan. InshaaAllah, saya akan datang lagi! Bangkit!

Teks & Foto: Pyan Nathias / 23.11.2017


Nota: Artikel ini akan disiarkan dalam Bangkit! Fanzine isu akan datang!

Ahad, 12 November 2017

Rebiu | KLABU ASAP – self-titled (EP 2017)


KLABU ASAP – self-titled (EP 2017)
Independen
Lazat! Sangat-sangat lazat sehingga mahu dijilat-jilat, sampai habis licin, haha! Ok, saya tidak bergurau ya, saya mahu memberi gambaran bahawa sesungguhnya serius, ini rilisan yang benar-benar memberi nikmat. Setelah dua tahun berlalunya EP pertama di tahun 2015, punkrockers dari Johor Bahru, Klabu Asap kembali berkarya lagi dan menghasilkan EP kedua mereka yang masih juga tanpa judul, mungkin boleh digelar EP 2017 sahaja. EP ini memuatkan lima buah lagu, berdurasi keseluruhan 16:50 minit. Sepertimana EP terdahulu, kali ini juga dirilis sekaligus dalam 2 format; CD dan kaset secara mandiri oleh Klabu Asap. Tabik hormat buat mereka ini yang punya semangat DIY yang cukup tinggi. Klabu Asap sememangnya telah dikenali dengan gaya muzik Punk Rock mereka yang bertenaga, rancak dan bermelodi sedap. 5 lagu dalam EP kali ini kesemuanya sedap-sedap belaka; garing, rangup dan mampu menarik pendengar untuk turut menyanyi bersama dari awal hingga ke akhir. Riff-riff yang kencang, menghiburkan, vibe yang menawan, struktur melodik yang melekat terus menjadi taruhan, kekuatan dan kelebihan Klabu Asap. Musicianship Klabu Asap tidak dapat dipertikaikan lagi. Pengendalian instrumen mereka kemas. Vokal juga “masuk air”, kena dengan irama dan lagu-lagunya. Rakaman di Studio 46 di bawah kendalian jurutera bunyi Ajen turut menghasilkan kualiti bunyi lebih mantap untuk EP kedua ini. Ini band yang tulis lagu untuk buat pendengar mereka rasa bahagia. Antem punk rock yang penuh dengan kasih sayang. Ya, Punk adalah Kasih Sayang!

Khamis, 16 Jun 2016

Interbiu | KLABU ASAP : 05.01.2016


KLABU ASAP pada asasnya sebuah nama baru dalam arena Punk Rock tempatan, akan tetapi keupayaan mereka menghasilkan EP yang berkualiti sangat menakjubkan! Band pop punk 3 anak muda dari selatan tanahair ini terdiri daripada Ijam (gitar), Botak (bass/vokal) dan Eddy (dram). Pasti ramai yang ingin tahu tentang Klabu Asap dan EP keluaran usaha mereka sendiri. Ikuti interbiu ini, bersama Botak.

Tahniah di atas pengeluaran “selftitled” EP dari Klabu Asap. Apakah makna rilisan ini kepada eksistensi band Klabu Asap itu sendiri? Bagaimana rupanya sambutan dan penerimaan para pendengar yang telah kalian perolehi setakat ini?
EP ni dibuat sebab alang-alang dah ada lagu sendiri dan sebab lama sangat tertangguh, selain untuk tinggalkan hasil dari band yang bernama Klabu Asap dalam scene punkrock Malaysia. Pasal sambutan tuuu... kira okay la.

Dua format sekaligus; CD dan kaset dicetak professional, diriliskan pula tanpa bantuan label. Klabu Asap cukup bertuah mampu melakukannya atas usaha sendiri. Memang benar, Punk dan DIY cukup rapat hubung-kaitnya. Pendapat kalian?
Kaset dibuat untuk budak-budak scene kaset.. diaorang kumpul benda ni.. CD tak perlu komen la kot. D.I.Y dan Punk?.. Saya ni bukan punk pun.. minat dengan muzik je. Saya dengar semua jenis muzik dan bunyi. D.I.Y cam biasa arr.. masuk bakul, angkat arr sendiri.. lemak kau nak orang angkatkn.. kau siapa??? Pahamkan...

Umum mengenali Klabu Asap sebagai sebuah Pop Punk. Sebaliknya, saya percaya kalian mempunyai deskripsi yang lebih tepat tentang bentuk muzik Klabu Asap. Bagaimana kalian definasikan irama punk yang dimainkan mengikut cara Klabu Asap? Dari mana datangnya inspirasi dalam mencipta lagu-lagu band ini?
Takde penerangan yang tepat pasal muzik Klabu Asap. Mungkin Blink-182 wannabeee kot.. semua lagu yang saya buat semua nak dapat sebijik macam Blink-182. Inspirasi lagu tuu... dia mai gitu je arr..

Mungkin ramai yang belum mengenali Klabu Asap. Ceritakan sedikit bagaimana band ini boleh terbentuk? Dan juga, siapakah kalian sebelum bersatu menubuhkan Klabu Asap? Mengapa namanya Klabu Asap?
Sejarah eaaa.. Klabu Asap ni cerita 6-7 tahun lepas kot.. 4 orang penyamun. Satu tempat kerja dan kawan baek. Jamming suka-suka.. Pastu abang jamming Taman Daya tu selalu tanya band apa eaa?? Nak jamming pun kena ada nama band ker??? Edi pun hembus Klabu Asap. Anggota asal Klabu Asap; Lan, Boi, Edi dan Botak. Pastu Lan keluar. Pastu Edi (juga keluar). Lan rekomen Ejam untuk ganti Edi. Pastu Boi plak (keluar). Edi aku minta tolong session drum untuk siapkan EP 2015 dan untuk gig-gig juga pinjam (Edi) sekejap.. dia banyak sangat band.

Cinta dan persahabatan dilihat menjadi tema utama penulisan senikata lagu-lagu kalian. Ianya mudah dan ringan apatah lagi digabungkan dengan satu irama punk yang mesra pendengar. Klabu Asap boleh diterima baik di pelbagai kelompok dan lapisan masyarakat. Adakah ini dirancang? Apakah ada juga hasrat untuk menulis subjek yang lebih berat?
Bab lirik memang betul lirik tu dirancang (EP pertama). Saja saya tulis pakai ayat pawer dan tajuk lagu yang tak boleh blah nak bagi Edi (gitaris dan vokal asal berdekah) dan dia memang berdekah hahahaha!!. Lirik dibuat untuk diterima masyarakat?... tak arrr. Untuk EP pertama tu semua lagu yang saya buat tu saja-saja buat untuk kawan-kawan dan bagi diaorang berdekah bila dengar.. tu je. Lirik berat belum pandai lagi. Belum mendalami lagi masalah tu...


Bagaimana kalian mencipta “mood” dalam lagu-lagu gubahan Klabu Asap? Olahan dan susunannya kedengaran begitu menarik dan mengesankan.
Mood lagu... Tah arrr.. saya buat tempo tu 100% nak dapatkan stail Blink-182.

Apakah kelebihan bekerja dan menghasilkan rakaman di Studio46 - Nyaring Studio? Kenalkan kepada kami siapa Ajen? Di sebalik produksi yang begitu baik ini, apa agaknya ruang-ruang kosong yang perlu Klabu Asap berikan improvisasi untuk rakaman dan rilisan mendatang?
Rekod kat Nyaring kelebihan tu saya tak tau arr.. Banyak band rekomenkan kat situ murah dan barang pawer. RM500 untuk 10 jam. Satu lagi saya mengharapkan mungkin Ajen boleh guide kami dengan pengalaman dia merekod. Kami satu hapa pun tak tau. Ajen ni dia ade band; I See Dumb People dan Eleventh Avenue. Dan juga sound engineer untuk Plague Of Happiness. Ruang kosong yang perlu dipertingkatkan? Semua perlu dibaiki.. masih tak dapat bunyi yang saya dengar dalam kepala.. ada sikit-sikit bunyi yang kacau tempo lagu. Maklumlah  rekod nak siap cepat (nak jimat kos sampai terlepas dengar 2-3 benda).

Ilustrasi pada sampul/kulit (menggambarkan peperangan, kebinasaan) pada saya bersifat kontra dengan konsep lirikal dalam EP ini. Boleh terangkan apa tafsir maksudnya?
Hahaha memang sengaja buat cam tu. Tak kena dengan lagu pop punk kaseh sayang yang Klabu Asap main. Konon nak bagi nampak ganas.

Dalam rebiu saya menulis: “..Klabu Asap tiada masalah untuk melangkah lebih jauh. Mereka mempunyai peluang untuk berada di arus perdana sepertimana Flop Poppy mahupun Bunkface seandainya mereka mahu”. Ia bukan cadangan. Ia sekadar satu pandangan. Kalian selesa dengan kenyataan itu? Atau terus mengorak langkah di laluan indie/bawahtanah?
Boleh main mainstream? Tak kot... sebab ni part time je. Saja buang-buang masa.. malu arr nak mainstream. Selesa main underground.. dapat sing-a-long dengan 2-3 orang kawan pun dah best dah.

Saya gembira menemubual Klabu Asap. Lebih lama, lebih banyak persoalan yang mahu ditanya. Cukup untuk kali ini. Soalan terakhir, mengapa harus penggemar muzik punk / hardcore / indie di luar sana segera dapatkan “selftitled” EP karya kalian?
Kenapa pendengar muzik bebas harus memiliki EP Klabu Asap?... Hahahaha... semua lagu dalam EP ni pasal kaseh sayang dan cinta. Kalau anda rasa tergolong dalam golongn tersebut, maka EP ni sangat direkomenkan kepada anda... hahahaha!!!



NOTA: Sepertimana disiarkan dalam BANGKIT! #1.

Isnin, 21 Disember 2015

Rebiu | Klabu Asap – self-titled


Klabu Asap – self-titled
Punk yang diwarnai kepelbagaian dan kekayaan melodi manis, mesra dan ceria adalah sandaran utama Klabu Asap, sebuah band 3-piece dari Johor Bahru. Kelima-lima lagu dalam EP ini begitu menghiburkan, mudah dihadam, menambat hati pendengar turut serta menyanyikan setiap bait senikata yang didendangkan. Botak dan rakan-rakannya memiliki kemampuan yang baik dalam menghasilkan struktur riff dan susunan lagu yang menarik, kemas dan menangkap. Pujian juga perlu diberi terhadap penggunaan sepenuhnya bahasa ibunda dalam penulisan lirik band ini. Bermotifkan cinta, persahabatan dan kerinduan, objektif mesej yang disampaikan lebih senang difahami dan diterima akal. Kualiti rakaman EP ini memang bagus dan memuaskan (hasil kerja rakaman di Studio46 - Nyaring Studio). Saya kira Klabu Asap tiada masalah untuk melangkah lebih jauh. Mereka mempunyai peluang untuk berada di arus perdana sepertimana Flop Poppy mahupun Bunkface seandainya mereka mahu. 
facebook.com/klabuasapband