Memaparkan catatan dengan label Ayam Hitam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ayam Hitam. Papar semua catatan

Rabu, 21 Februari 2018

Rebiu | AYAM HITAM – Demo Loni Dop Serupo Mulo (Kecek Omputih Plop Doh!)


AYAM HITAM – Demo Loni Dop Serupo Mulo (Kecek Omputih Plop Doh!)
Independen
Tatkala demo “No Mix No Master (Against All Authority)” masih hangat dipasarkan, Ayam Hitam dengan kejutan kebiasaannya (difahamkan itulah hobi mereka) muncul lagi dengan demo cd-r baru pada 7 Ogos 2017, berjudul “Demo Loni Dop Serupo Mulo (Kecek Omputih Plop Doh!)”. Ini merupakan rilisan rasmi kelima dalam turutan diskografi Ayam Hitam dan ianya boleh dikatakan eksklusif kerana memuatkan kesemuanya lagu-lagu yang liriknya dalam Bahasa Inggeris. Rilisan kedua dalam tahun 2017 ini berdurasi hampir 12 minit; memuatkan lagu olahan/rakaman semula He Was A Boy di samping ciptaan-ciptaan baru iaitu Live In The City, 1696 dan Split, Spit and Bleed. Berdasarkan pengamatan saya dan perbandingan kepada rilisan-rilisan terdahulu, saya berpendapat ini adalah keluaran dan inisiatif terbaik dari Ayam Hitam setakat ini. Permainan dan mutu rakamannya jauh lebih kemas. Sedar tak sedar, saya telah menjadi pengikut setia band ini dan menyokong sepenuhnya perjuangan Ayam Hitam. Ini band yang bermain muzik tanpa terikat dengan sebarang format mahupun pengaruh. Mereka mencipta lagu-lagu berdasarkan jiwa dan naluri mereka sendiri. Dapatkanlah karya-karya Ayam Hitam sekiranya anda tidak kesah dengan tradisi sasau, rabak dan barai Punk Rock bikinan mereka, namun begitu pedas dan (pada masa yang sama) bernas dalam lirik-lirik serta mesej tulisan band ini. WhatsApp 012-6444947 (Ocha) untuk sebarang urusan berkaitan Ayam Hitam.
facebook.com/bandayamhitam
ayam-hitam.bandcamp.com

Rebiu | AYAM HITAM – No Mix No Master (Against All Authority)


AYAM HITAM – No Mix No Master (Against All Authority)
Independen
Susulan kepada tiga Demo-EP sepanjang tahun 2016; “Bunyi Jujur”, “Koboi, Babi, Pinokio & Kanak2” dan “Last Attack”, band Ayam Hitam kembali dengan karya terbaharu yang diriliskan pada 7 Jun 2017 iaitu “No Mix No Master (Against All Authority)” Demo 2017. Band yang pernah saya labelkan sebagai punk sasau dalam sebuah interbiu satu ketika dahulu (dalam Bangkit! #2.5) kini dilihat lebih baik dalam aspek komposisi lagu, kualiti bunyi rakaman malah pakej demo cd-r ini agak menarik di mana booklet/zine lirik 16-mukasurat turut disertakan. Demo 2017 berdurasi keseluruhan 36:14 minit ini mempertaruhkan sejumlah 13 buah lagu, antaranya Selamatkah Kita?, Fasis Yang Mulia, Anti Perang, Jagatraya dan Nuklear di samping turut memuatkan 2 lagu ‘remake’ iaitu Lawan dan Protes Rakyat yang mana gubahan asal pernah ditampilkan dalam rilisan-rilisan terdahulu. Genre mainan Ayam Hitam sebenarnya sukar untuk dikonklusikan. Mereka setia dengan pendekatan raw dan minimalist dalam gubahan serta rakaman lagu-lagu mereka. Kalian boleh sahaja meletakkan mereka di bawah jalur anarcho / political punk merujuk kepada konsep dan motif band ini. Terdapat juga lagu di mana mereka menyuntik elemen hip-hop (rapping) dalam demo ini. Ayam Hitam terus-menerus serius dalam dalam menyampaikan mesej-mesej radikal dan anarki mereka. Zine Lirik yang disediakan memperjelaskan lagi objektif punk band ini. Ayam Hitam dalam rakaman demo ini ditunjangi oleh Ocha (vokal/gitar), Kolo (vokal kedua), Mat Ghandi (gitar), Redo Gemok (bass) dan Mat Manan (dram). Untuk menutup ulasan ini, saya tuliskan kembali satu perenggan yang tercatat di bahagian “Akhir Kata!” dalam zine lirik: Perjuangan kita takkan sia-sia dalam melawan kezaliman kapitalisme, sampai bila? Sampai bila-bila pun kita akan lawan sesiapa sahaja yang cuba menghalang hak rakyat untuk hidup dengan lebih baik! Hidup Anarkis! Hidup Rakyat! Hidup kesamarataan!
facebook.com/bandayamhitam
ayam-hitam.bandcamp.com

Isnin, 20 Mac 2017

Rebiu | AYAM HITAM – Last Attack


AYAM HITAM – Last Attack
Independen
Saya kira saya perlu berikan double thumbs up kepada Ayam Hitam. EP ketiga ini bertambah bagus bikinannya, baik dari segi gubahan muzik, rakaman bunyi, pengisian mahupun produksi pengeluarannya. Lebih penting, teras anarki yang disemai dan dibajai dalam band ini semenjak mereka bermula semakin tumbuh melata, membesar dan lebih ketara. “Last Attack” tetap ‘sasau’ sebagaimana dua EP terdahulu “Bunyi Jujur” dan “Koboi, Babi, Pinokio & Kanak-Kanak”. Ya, saya telah menggelar mereka Punk Sasau merujuk kepada betapa barai dan rabaknya penyampaian muzikal mereka, namun Ayam Hitam ini tetap teguh, sentiasa utuh dan terus dewasa dengan konsep melawan mereka. Penentangan mereka terhadap kebatilan politikal, kebertanggungjawaban mereka dalam merubah mentaliti masyarakat, cakna mereka kepada hak-hak kehidupan adalah segalanya, diletakkan di tempat yang paling atas. Cubalah rujuk kepada helaian lirik yang dikembarkan; senikata-senikata lagu Ayam Hitam penuh dengan makna, ditulis puitis dan sarat pengertian. Mereka terdiri daripada penulis-penulis rebel di bawah naungan Cukong Press, tidak hairanlah idea-idea yang ada dalam band ini cukup-cukup radikal; tanpa sempadan dan tiada sekatan. EP kali ini berdurasi 9 minit 53 saat, memuatkan lima lagu; Restu Ibu Bumi, Papan Tanda Jalan, Menuju Anarki, Punk Is Back dan yang terakhir judulnya panjang semacam bebelan iaitu Semua Orang Pikir Mereka Hidup Selesa Dibawah Kapitalisma, Padahal Mereka Hanya Diguna Untuk Kepentingan Mereka, Dunia Perlu Diubah Dengan Cara Hapuskan Mereka, Hanya Satu Kata.... lagu pendek 46 saat liriknya cuma satu sebutan – fuck!. Nah, unik dan kreatif kan Ayam Hitam ini. Di mana ada kemahuan di situ ada jalannya, di mana ada kesungguhan di situ ada kejayaannya – di sinilah berdirinya Ayam Hitam. Menongkah arus. Amat jantan kokokannya!
facebook.com/bandayamhitam

Rebiu | AYAM HITAM – Koboi, Babi, Pinokio & Kanak-Kanak


AYAM HITAM – Koboi, Babi, Pinokio & Kanak-Kanak
Independen
Terima kasih kepada alam yang terus-menerus memberi kehidupan kepada ayam-ayam untuk kekal hidup tenang di reban masing-masing. Sebagai ayam-ayam yang bercita-cita tinggi dalam persatuan reban Ayam Hitam ini, kami berasa sangat berbesar hati setelah 3 bulan Ayam Hitam ditubuhkan secara rasmi, kami telah mengeluarkan dua EP termasuk yang ini dan sebelumnya EP Bunyi Jujur. Nak kata gelojoh, ya memang gelojoh pun, peduli apa, sebab kami nak share seni kami, pastu kami nak jual untuk lepas duit jamming akan datang. Malas dah cakap banyak, terima kasih sebab beli, jangan lupa lawan kerajaan korup!!!” – sekali lagi mohon maaf kerana saya salin kembali catatan Ayam Hitam yang terdapat dalam booklet 12-mukasurat EP kedua mereka ini. Saya fikir ianya penting dan lebih jelas untuk kalian fahami apa yang tersurat dan tersirat di sebalik “Koboi, Babi, Pinokio & Kanak-Kanak”. Ini sebuah rilisan yang luarannya tampak drastik, namun dalamannya radikal secukup-cukupnya. Anda tidak perlu melihat kepada keupayaan mereka dalam bermuzik. Muzik hanyalah sekadar sebuah platform. Dengar dan perhalusi suara-suara mereka, pesanan-pesanan mereka. Hakikat perjuangan sebenar Ayam Hitam ada pada setiap suara dan pesanan itu. Arus perlawanannya semakin deras, dalam iltizam yang kian menebal. Selain Ocha (vokal/gitar), Mat Ghandi (gitar utama) dan Epol (dram), Ayam Hitam dalam rakaman ini turut dibantu sessionist Mat Manan (bass). Tidak cuma kuatnya pengaruh blues dalam komposisi punk, band ini pada saya turut menyuntik unsur-unsur rock n’ roll, surf garage dan grind dalam aliran muzik mereka. EP 19-minit “Koboi, Babi, Pinokio & Kanak-Kanak” menghidangkan 5 buah lagu; He Was Just A Boy, Bersatulah Kaum Babi, Pinokio (Dara Puspita cover), Koboi Penyelamat Dunia dan sebuah hidden track berjudul Lawan. Hubungi efendymuslim@gmail.com atau 012-6444947 untuk lebih lanjut tentang apa adanya dengan Ayam Hitam. Dengarkan: sampai bilakah menjadi hamba, dipijak henyak dengan mereka, tiba masanya bangkit semula, rebut semua hak milik kita.
facebook.com/bandayamhitam

Rebiu | AYAM HITAM – Bunyi Jujur


AYAM HITAM – Bunyi Jujur
Independen
Lihat pada judulnya – “Bunyi Jujur”. Awal-awal lagi Ayam Hitam ini sudah memperakui apa yang terkandung dalam rilisan EP pertama mereka ini. Izinkan saya memetik catatan mereka pada helaian lirik yang disertakan: “Ayam Hitam taklah perfect mana untuk main band yang kami fokuskan pada genre Blues Punk, sebab hampir semua bebudak Ayam Hitam buta chord, tapi sebab passion kami, kami tetap nak main, sebab kami mampu pegang chord walaupun tak tau chord nama jadah apa, kami cuma tau nak sebarkan perlawanan melalui muzik, kalau tak best harap maaflah, sebab kami newbie, untuk sound record EP Bunyi Jujur ni, memang kami jujur record pakai henpon je, lepas tu cleankan, hah! Sebab kami ni miskin, takde duit nak record power-power mahal, sebab tu jugak kami jual murah, sebab nanti orang marah, lagi pulak tujuan kami terus keluarkan EP ni sebab kami jujurnya nak cari duit jamming sikit, bukan nak kaya pun. Nak kaya baik ayam.. ye tak? So.. kami harap kami dapat puaskan halwa telinga korang dengan EP ni, yang kurang kami minta maaf dan tunjuk ajar. TERUS SUPPORT PERLAWANAN RAKYAT!”. Hadamkan dimana, bagaimana dan kemana “kejujuran” Ayam Hitam dalam berkarya. Dibarisi Aepool Kojak (dram), Mat Ghandi (gitar 1), Ocha (vokal/gitar 2) dan TK(Nuril)/Harris (bass) dalam rakaman EP ini, Ayam Hitam menterjemahkan makna tulus ikhlas dalam ertikata yang sebenar. Meletakkan semangat dan jiwa besar di dalam kekurangan mereka. Sebaliknya, maksud perjuangan dan cita-cita yang begitu tinggi nilainya mengatasi sifat-sifat minimalis mereka. Tanpa “kejujuran”, kita tidak akan mampu menzahirkan sebuah perjuangan sepertimana yang dijayakan oleh Ayam Hitam ini. “Bunyi Jujur” memuatkan 7 buah lagu (18:10 minit durasi keseluruhan), termasuklah sebuah hidden track intro. Lagu disenaraikan adalah Protes Rakyat, Teman, Gaya Kita, Blur Perosak, Sang Katak dan Seragam Biru. EP dari Ayam Hitam ini diedarkan Cukong Media, hubungi emel cukongpress@gmail.com atau whatsapp 019-3243296. Ini sebuah perlawanan.. dan perlawanan ini berterusan, tanpa henti!
facebook.com/bandayamhitam

Jumaat, 3 Mac 2017

Notasi | AYAM HITAM – EP Collection 2016




Personal use only! Jangan dicari “EP Collection 2016” band Ayam Hitam ni di pasaran, memang takkan jumpa punya, haha! CD discography ni aku bikin sendiri senang nak dengar 3 EP dorang sekaligus dalam 1 CD. Sambil drive kereta, layan Ayam Hitam la beb. Nak buat camni, korang kena ada semua EP band punk sasau ni, huhu! Amacam, menarik tak? Saranan aku, dapatkan kesemua EP Ayam Hitam di: facebook.com/bandayamhitam

Catatan: Pyan Nathias // 03/03/2017 // 12:07pm