Memaparkan catatan dengan label Atomicdeath. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Atomicdeath. Papar semua catatan

Rabu, 7 Disember 2016

Rebiu | ATOMICDEATH / IRON TOOTH – Trail Of Destruction


ATOMICDEATH / IRON TOOTH – Trail Of Destruction
Independen
“Trail Of Destruction” merupakan judul split CD terbaharu dari Atomicdeath, kali ini bersama Iron Tooth yang berlokasi di Jakarta, Indonesia. Split ini durasi keseluruhannya 26:49 minit dikeluarkan atas biaya independen, secara bersama kedua-dua pihak band. Masing-masing menyumbangkan 4 buah lagu. Setelah beberapa tahun, meskipun masih belum memiliki album penuh, malah ini projek kedua Atomicdeath dalam format split, Atomicdeath terus berkembang dengan baik, semakin berpengalaman dan berada di landasan tepat mencapai kematangan identiti dan halatuju muzikal mereka – Crust Thrash Metal Punk. Binaan lagu-lagu ciptaan Atomicdeath; baik dari segi olahan melodi, struktur dan juga susunannya begitu teratur, saling bertaut dan cukup menyerlahkan lagi definasi thrash/punk itu sendiri. Agak menarik juga bilamana Atomicdeath turut menyelitkan sebuah lagu cover – From Out Of Nowhere (lagu asal Driller Killer, sebuah band d-beat hardcore punk dari Malmö, Sweden). Baki 4 lagu selanjutnya milik Iron Tooth, satu nama yang sejujurnya baru saya kenali menerusi split CD ini. Ya, muzik mereka Thrash tetapi secara peribadi mengikut halwa pendengaran saya ianya tidaklah begitu menarik, tidak cukup kuat getarannya malah kedengaran biasa-biasa sepertimana kebanyakan band “simple” thrash. Mungkin saya perlu mendapatkan peluang untuk mendengar lebih banyak material-material Iron Tooth untuk saya dapat menyelami lebih jauh ke dalam muzik band ini. Apapun, “Trail Of Destruction” sebuah produk split yang bagus dan menghiburkan! Hubungi Atomicdeath dan Iron Tooth di emel masing-masing.
atomicdeathsquad@gmail.com
doombringer.records@gmail.com

Rebiu | ATOMICDEATH / BLOODSTONE – Hellish Nuclear Destruction


ATOMICDEATH / BLOODSTONE – Hellish Nuclear Destruction
Blood Of War Records
Dua tahun selepas cassette EP “Missile Massacre”, Atomicdeath kembali dengan lagu-lagu ciptaan baru dalam rilisan format split CD bersama band Singapura, Bloodstone. Split berjudul “Hellish Nuclear Destruction” tersebut dikeluarkan sekitar Mei 2011 oleh label tempatan, Blood Of War Records [BOW004]. Atomicdeath yang berpengkalan di Shah Alam mempertaruhkan 5 buah lagu yang dilihat kian membuktikan kemahuan dan kemampuan mereka untuk tampil dengan muzik segar percampuran Thrash Metal dan Crust Punk, malah mereka lakukannya jauh lebih baik dari apa yang telah mereka salurkan dalam EP terdahulu. Teriakan vokal berjemaah pada beberapa lagu, hentakan padu pada dram, kocokan-kocokan gitar yang benar-benar thrashing serta bahagian solo gitar yang tidaklah keterlaluan cukup nikmat didengari dan sudah pasti mengajak kepala turut sama berhenjut mengikut tempo irama mereka. 5 lagu yang cukup baik dari Atomicdeath, ditambah pula kualiti bunyi yang cemerlang; padat dan bertenaga. Bayangkan pertembungan Sacrilege (UK) dan Slayer (US) maka di situ anda temui Atomicdeath. Lima buah lagu berikutnya adalah dari Bloodstone, sebuah band lama yang dibentuk sekitar 2004. Muzik Thrash buatan band dari Kota Singa ini kedengaran lebih teknikal pada masa yang sama mengekalkan aura Thrash Metal klasik / tradisional. Mereka memiliki kelajuan, agresif dalam riffing-riffing serta shredding gitar serta olahan / susunan lagu yang mencabar. Band seperti Nuclear Assault dan Exodus mungkin boleh beri sedikit gambaran tentang apa yang dimainkan oleh Bloodstone namun saya kira mereka turut menyuntik elemen sedikit kelam dan kotor, seperti (era awal) Celtic Frost. Secara keseluruhan, saya simpulkan split CD berdurasi keseluruhan 35:55 minit ini satu produk yang perlu ada dalam koleksi Thrash/Punk anda! Hebat!