Memaparkan catatan dengan label Psychotic Art Zine. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Psychotic Art Zine. Papar semua catatan

Sabtu, 15 Disember 2018

BPSD-04 | PSYCHOTIC ART ZINE: EDISI TRIBUTE AMIR FADLI


Telah Terbit! PSYCHOTIC ART ZINE: EDISI TRIBUTE AMIR FADLI (Disember 2018). Edisi Tribute ini menghimpunkan begitu banyak karya-karya seni (lukisan, penulisan kreatif, nota-nota memoir & sebagainya) sumbangan Shieda Qistina, Syab Afzan, Rammy Azmi, Redo, Jack Nicorelason Anthony, Adi Herman, Ocha Vozvyshennyy, Nasron Yasin, Aliff Shahrizan, Kucing Pink, Yusth Attack, Arell Arellika, Sue Emoqwin, Sharunizam Sariff, Indra Menus, XsuicideBomberX, Amir Syafiq, Syima Azlan, Saharudin Abd Rahman, Qhaiyum Benjamin, Quantumystic Locustar, MrAndalas, Fadzee Tussock, Pyan Nathias, Han Trashnoiser, dan Aku Napie. Turut diselitkan sehalaman Catatan Ringkas, mengandungi teks-teks dari Jåh, Fidaiyyin Al Farasu, Joe Kidd, Yassier Aiman, Ashie Ridzuan, Faizal Fauzi, Ali Rafiq, Faris Vader, Sung Ah Yien, Zaidy Ibrahim, Khabib Al Farabi, Ell Shuvah, Syaf Suhaime, Ejat Hamdan, Alessandro Bertolissi, dan Farouk Afandy. Sebagaimana tujuan asal penerbitan edisi tribute ini, RM5 dari setiap naskah akan disalurkan kepada keluarga (balu dan anak-anak) yang telah allahyarham Amir Fadli tinggalkan. Terhad 100 salinan sahaja dan setiap naskah turut disertakan poster mini percuma! Harga: RM8.00 senaskah [tidak termasuk kos pengeposan]


Terbitan & Edaran:
BANGKIT! PUBLISHING SUPPORT DIVISION

HUBUNGI:
facebook.com/piankvlt (Pyan Nathias)
facebook.com/bangkitzine
sufianmohamedsalleh@gmail.com
whatsapp 0192597570

Rabu, 12 September 2018

Notasi | KOLEKSI PERIBADI PSYCHOTIC ART ZINE


Warna-warni suka-duka kehidupan Allahyarham Amir Fadli diluahkannya sepenuh jiwa menerusi mahakarya Psychotic Art Zine. Terima kasih Amir tinggalkan ini semua. Cinta, kasih, semangat, perjuangan, pengorbanan, segala-galanya kau bekalkan menerusi setiap catatan, coretan dan lakaran yang ada dalam naskah-naskah berharga ni. Aku sayangkan kau Mir. Aku pasti akan rindu dan tertunggu-tunggu terbitnya isu baru Psychotic Art Zine. 

Nota: Ini adalah kesemua koleksi PAZ yang aku miliki setelah arwah kembali mengaktifkan artzine ini menerusi PAZ Book 1 (penjilidan artwork terpilih dari isu-isu awal) dikeluarkan pada November 2013. Aku ada 2 atau 3 isu terdahulu yang terbit dalam tempoh 1998/1999 sehingga tahun 2004 cuma terasa malas pula nak selongkar kotak-kotak yang ada di dalam stor. 

Pyan Nathias, 12 September 2018

Selasa, 4 September 2018

Notasi | AL-FATIHAH UNTUK AMIR FADLI

Pada 3 September 2018 sekitar jam 2:56 petang, aku memuat-naik satu posting di laman facebook milikku seperti berikut:


Allahu. Aku hilang kata-kata. Sampai hati kau tinggalkan aku Mir. Dah lama aku kenal kau Mir. Teringat aku banyaknya kenangan dengan kau zaman kita lepak Kodai Sopan Wisma Punca Emas. Kita jamming band projek Carnage. Encourage kau buat zine Psychotic Art. Macam-macam Mir. Even sampai sekarang kita masih berkolaborasi.. release split cd band kau Psychotic Sufferance, release projek noise kau Abhorstench, kau juga tak ketinggalan contribute tiga puisi dalam Sajak-Sajak Rebel Anak-Anak Punk. Persahabatan kita tak pernah putus since aku mula duduk Seremban 1995 dulu. Maaf Mir aku tak berkesempatan menjenguk kau di wad tempohari. Tapi kau tau Mir tiap kali aku lihat wajah kau dalam foto-foto yang disebar kawan-kawan, setiap itu juga aku panjatkan doa agar kau kembali berada dalam kesihatan yang baik. Aku tau kau sakit dan aku nak sangat kau sembuh. Aku nak kau pulang ke rumah, riang gembira bersama isteri & anak-anak kau Mir. Rindu kat kau Mir, last kita jumpa masa KLZF2017 lepas kan. Kau pergi juga ye Mir. Allah sayangkan kau kan Mir. Sedih aku Mir. Aku tak percaya kau dah takde. Allahuakbar. Ya Allah, Kau lindungilah sahabatku ini. Dia seorang yang sangat baik ya Allah. Rahmatilah dia dunia & akhirat. Mir... aku tak tau nak cakap apa dah.. aku benar-benar kehilangan kau Mir. Aku halalkan semua persahabatan kita selama ni, dan aku mohon kau juga halalkan juga semua yang ada dalam persahabatan kita. Tenang-tenang Mir kau di sana, satu hari nanti aku pasti menyusul. Aku harap kita ketemu lagi nanti di alam yang satu lagi. Sayang kau Mir. AL-FATIHAH untukmu sahabatku Amir Fadli bin Mohamad Zulkafli (15.02.1977 – 03.09.2018). – Pyan Nathias, 22 Zulhijjah 1439.


Berpisah hanya di alam nyata, persahabatan sentiasa kekal di hati. Terima kasih kawan. Foto dari blog yang pernah arwah Amir usahakan: psychoticartzine.blogspot.com.

Selasa, 9 Januari 2018

Rebiu | PSYCHOTIC ART ZINE – Isu #23


PSYCHOTIC ART ZINE – Isu #23
40ms / A5 / Dwi Bahasa
Psychotic Art Zine isu #23 telah diterbitkan pada 25 Disember 2016 di mana ianya keluaran khas sempena Seremban Zine Fest 2016 yang berlangsung di Bazaar MAINS, Seremban. Tertanya -tanya juga di mana isu ke-22 lalu saya dapatkan penjelasan dari Amir Fadli, editor PAZ. “Isu #22 memang Amir tak riliskan, mastercopy dia ada cuma ada sebab-sebab lain sahaja (ia belum dapat dikeluarkan). Nanti bila sampai masa dia akan rilis juga”, kata beliau. Berbalik kepada isu #23 ini, agak nipis namun masih sebuah penerbitan DIY yang mantap. Kali ini dengan kulit berkertas kuning dihiasi artwork karya Aku Napie. Sangat menarik artwork ini, menonjolkan kerbau dan petani/pesawah yang mana secara langsung menggambar imej Negeri Sembilan itu sendiri. Seperti biasa, isu ini memaparkan banyak ilustrasi / lakaran abstrak (disertai tulisan-tulisan tangan) Amir Fadli, yang mana saya kira ini trademark Psychotic Art. Kali ini juga turut terdapat lebih banyak puisi, beberapa cerpen dan ada juga artikel. Saya cukup tertarik dengan dua artikel (ditulis dalam bahasa Inggeris) iaitu A Glimpse Of Indonesian Noise History Seen Through A Cassette Compilation dan The History Of Jogja Noise Bombing, kedua-duanya oleh Indra Menus. Untuk makluman, saya turut menyumbang-kan 4 buah sajak dalam PAZ #23 iaitu Tanya Pada Nyawa, Duri, Bebas, dan Pada Sebuah Kehidupan. Amir Fadli khabarnya sedang menyiapkan isu baru yang dijadualkan rilis pada acara Kuala Lumpur Zine Fest 2017. Hubungi untuk editor Psychotic Art Zine untuk selanjutnya. sickscreen_p@yahoo.com

Rebiu | PSYCHOTIC ART ZINE – Isu #21


PSYCHOTIC ART ZINE – Isu #21
72ms / A5 / Dwi Bahasa
Tidak dapat dinafikan Psychotic Art adalah artzine yang paling lama bertahan, dan setakat ulasan ini dibuat, ia telah mencapai isu ke-23. Saya memiliki hampir kesemua isu yang telah dikeluarkan, tetapi untuk rebiu ini saya merujuk kepada Psychotic Art #21 yang dilancarkan penerbitannya pada 19 Disember 2015, semasa Kuala Lumpur Zine Fest tahun tersebut. Isu berkulit kertas hijau ini agak tebal. Penyunting dan pengendalinya saudara Amir Fadli ada meletakkan ayat “jampi serapah ke 21 di abad ke 21” di muka hadapan – mungkin tema keseluruhan isu ini, atau sekadar sebaris perkataan untuk disesuaikan dengan artwork “Bomoh” yang dihasilkan Aku Napie sebagai penghias kulit luar. Isu ini turut mendapat kontribusi-kontribusi daripada Patung Qasyira, Afiq Rostam, Adam Mohd Yusof, Emoqwin, Shahleyna, Edy Irwan, Karim Abdullah, Ocha Vozvyshennyy, Fice KB dan Asyiqin Adir, selain karya-karya seni Amir Fadli sendiri. Sejajar dengan ketebalannya, ini isu yang cukup sarat dan padat dengan penulisan-penulisan puisi (sajak) serta cerpen dan juga lukisan / lakaran akstrak disertakan deskripsi yang ditulis puitis, akan tetapi cukup pedas maksudnya. Terdapat juga beberapa penulisan yang ditulis dalam Bahasa Inggeris. Menarik. Ini antara isu terbaik pernah dihasilkan Psychotic Art Zine.