Memaparkan catatan dengan label Trypophobia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Trypophobia. Papar semua catatan

Ahad, 12 Ogos 2018

Rebiu | TRYPOPHOBIA – Isu #3


TRYPOPHOBIA – Isu #3
72ms / A5 / Dwi Bahasa
Seandainya anda mencari sebuah zine yang padat, sarat malahan cukup pekat dengan pengisian ideologi, filosofi, sikap dan sifat-sifat sub-kultur punk, maka Trypophobia sentiasa berada dalam senarai media yang saya syorkan! Zine kelolaan dua editor, Ribut Cicak dan Fakkiu ini kembali menerusi isu ketiga yang terbit pada 9 Disember 2017 sewaktu berlangsungnya acara Kuala Lumpur Zine Fest tahun tersebut. Ini penghasilan yang lebih tebal berbanding isu-isu sebelumnya, terkandung begitu banyak artikel-artikel serta penulisan pelbagai wadah dan wajah (serius, berat, santai, panjang-lebar, ringkas, informatif, konstruktif, dan sebagainya) menyentuh bermacam-macam isu dan perihal; dari kritikan politik dan sosial hinggalah kepada persoalan pemikiran dan tindak-tanduk seorang yang mahu dirinya digelar pengamal budaya punk! Sangat menakjubkan isu kali ini bukan sahaja dalam aspek kuantiti dan kualiti kandungan, tetapi juga integriti penulis (kedua-dua editor dan beberapa kontributor) dalam menghasilkan penulisan masing-masing. Tryphopobia #3 turut menyelitkan temubual bersama Hacktick! (band pop-punk dari Klang), Unknown Soldier (street punk/oi Singapura), Ein SecondxCombat, dan Noise A Go Go’s (Jepun). Biar saya simpulkan keseluruhannya, untuk pembelian zine dan pembacaan yang akan membuatkan anda bersemangat, meningkatkan rebellious dalam diri anda, serta terseyum puas dengan nilai hanya RM6 untuk senaskah zine, maka Trypophobia perlu anda cari dan miliki, ianya mutlak!

Khamis, 19 Oktober 2017

Rebiu | TRYPOPHOBIA – Isu #2.5


TRYPOPHOBIA – Isu #2.5
24ms / A5 / Bahasa Inggeris
Meskipun sekadar edisi promosi untuk Trypophobia #3 yang jika difahami hendak dikeluarkan pada hari berlangsungnya Kuala Lumpur Zine Fest 2017, isu bersiri #2.5 yang berketebalan 20 mukasurat (tidak termasuk kulit) ini sahaja sudah begitu berat dan ketat pengisiannya; padat dengan ilmu dan penuh dengan manfaat. Sepertimana ulasan saya ke atas isu-isu terdahulu Trypophobia, saya tidak berganjak dari pendapat mempertimbangkan inilah satu-satunya zine (pada tempoh era ini) yang membawa dan menitikberatkan ideologi serta budaya punk di dalamnya. Menerusi Trypophobia #2.5, kedua-dua editor; Ribut Cicak dan seseorang lagi yang hanya mahu dikenali dengan nama Fakkkiu kali ini (haha!) telah membentang dan memperbincangkan pemikiran serta fahaman punk mereka dalam artikel-artikel seperti Punk Of The Day, Straight Edge Or Die, Ism-Schism-Smism, A Brief Look Into Chaos Theory, dan Post-Modern Punk (sekadar menyebut beberapa judul). Saya turut begitu tertarik dengan penulisan editor dalam artikel Malaysian Punk di mana penulis mengeluarkan pandangan terhadap lima band tempatan yang mendapat sisi istimewa di hatinya: Carburetor Dung, Dum Dum Tak, The Garrison, Ben’s Bitches, dan Pusher. Selainnya, isu promo ini turut menyelitkan dua artwork di halaman terakhir untuk sedikit sesi “brainwash” otak kalian, haha!! Bayangkan ini cuma versi pengenalan untuk isu sebenar, jitunya kandungan Trypophobia #2.5 ini cukup menggambarkan betapa padunya luaran dan dalaman isu #3 nanti. Dan tidak ketinggalan, kredit saya untuk penampilan penghias kulit luar yang teramat “evil” pada isu ini, hihi!

Sabtu, 16 September 2017

Rebiu | TRYPOPHOBIA – Isu #1


TRYPOPHOBIA – Isu #1
44ms / A6 / Bahasa Inggeris
Tempohari saya mengulas Trypophobia #2 di mana saya terpegun dengan pengisiannya. Ia mendorong saya untuk cuba mendapatkan isu pertama zine ini dan syukur sya masih berpeluang memperolehinya. Saiznya “comel” – A6, separuh A5. Nampak kecil namun pengisianya amat-amat padat, ketat dan sarat dengan manfaat. Trypophobia #1 yang dirilis pada Disember 2015 membawakan artikel-artikel mustahak seperti What is Punk, Judy Is A Fuck, Anarchism in Punk, GG Allin: The Man who Brings Danger to Rocks, Smoking Benefits, Banned in KL: I Don’t Care If You Burn My Boyfriend Pictures Mom, I’ll Still Love Him dan I Against I (Between Faith of Atheism and Religion). Turut dimuatkan interbiu panjang dan mendalam bersama Ben’s Bitches dan Benzoate serta prebiu informatif melibatkan band Pig-Krüst, Iqbal M dan Radiowave. Disertai juga satu ruangan rebiu muzik mengandungi ulasan-ulasan cd & tape yang ditulis dengan begitu baik sekali. Saya secara peribadi kagum dengan integriti dan kebolehan editor-editor Trypophobia ini. Mereka meletakkan ilmu yang subur dan segar di setiap helaian cetakannya. Penuh dengan pendedahan dan bahan-bahan “cuci otak”. Ini zine yang berada teguh pada pendiriannya – Do Not Fear The Irregularities (Jangan Kau Takut Dengan Kejanggalan). Ini adalah dari punk untuk punk! Hubungi mr.fadhlan@gmail.com (Muhd Fadhlan) ataupun oliverdabit666@gmail.com (Ribut Cicak) sebagaimana tercatat pada mukasurat terakhir, manalah tahu anda masih ada nasib untuk dapatkan senaskah Trypophobia #1.

Isnin, 27 Mac 2017

Rebiu | TRYPOPHOBIA – Isu #2


TRYPOPHOBIA – Isu #2
68ms / A5 / Dwi Bahasa
Trypophobia Zine dikendalikan oleh dua editor; seorang daripadanya tidak mahu dikenali (anonymous) dan yang kedua menggunakan nama pena Ribut Cicak. Isu #2 Trypophobia saya perolehi semasa acara Kuala Lumpur Zine Fest, 8 Oktober 2016 di mana difahamkan zine ini rilis / diedar secara rasmi pada tarikh tersebut. Ianya sebuah zine yang begitu “punk” dalam konteks pengisian dan juga fizikal (maksud saya berkenaan reka bentuk dan susun atur). Satu slot temuramah bersama SESAK!! [sebuah komuniti political street art] dan 3 mukasurat ruangan ulasan muzik & zine kelihatan seperti hanyalah bahan sampingan kepada zine ini yang keseluruhan besarnya memuatkan penulisan-penulisan berbentuk artikel, rencana-rencana yang agak panjang (dengan isi-isi yang baik), beberapa short stories serta personal notes yang kebanyakannya menjurus kepada pemikiran punk dan konsep perlawanan (anti-sistem). Antara artikel yang bagus dan menarik perhatian saya adalah Najib: He’s the Villain that Punks deserves, Anarkisme: Relevan atau tidak.., Dissection on Taqwacore, Peranan Punk Dalam Masyarakat, Zine Punk Dah Mati, To be or not to be punk, dan begitu banyak lagi penulisan / rencana lain yang bersifat penentangan politik, kritikan sosial, bahasan /  kupasan terhadap realiti semasa. Turut diselit laporan penulis untuk KLZF 2015 dan komen pihak zine ini terhadap filem Mat Moto (arahan Pekin Ibrahim). Saya tiada apa lagi yang hendak diperkatakan. Saya sukakan banyak perkara yang ada pada zine ini. Saya harap saya masih ada peluang untuk mendapatkan isu #1 yang terdahulu dan juga mahu editor-editor Trypophobia terus bekerja untuk kembali dengan isu ketiga. Hubungi offisialmy@gmail.com atau oliverdabit666@gmail.com.