Memaparkan catatan dengan label Choosing Path. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Choosing Path. Papar semua catatan

Isnin, 23 Oktober 2017

Rebiu | CHOOSING PATH – Isu #1


CHOOSING PATH – Isu #1
68ms / A5 / Bahasa Melayu
Choosing Path #2 telah saya rebiu ada lama dahulu, dalam Bangkit! #2. Justeru teruja dan jatuh cinta dengan konsep dan pendekatan zine ini, saya terus menagih kiranya masih ada baki stok tersembunyi isu yang pertama. Maklumlah, mengikut hitungan telah lebih 4 tahun ia dikeluarkan. Setelah acapkali bertanya, Benny Pangazou akhirnya mengalah dan mengirim senaskah Choosing Path #1. Barangkali, ini salinan simpanan peribadinya sendiri, haha! Terima kasih kawan. Choosing Path #1 mengikut catatan diterbitkan pada Mei 2013. Sebagaimana biasa kelaziman sebuah fanzine, Choosing Path dalam isu ini menampilkan lima buah wawancara, melibatkan Fectus (grindcore dari Bekasi, Indonesia), Marvis Dirty Project (punk rock asal Kuching, Sarawak), Massgrind (grindcore dari Tawau, Sabah), Rotten Disease (grindcore berpengkalan di Penampang, Sabah) serta Deathmutt Records (sebuah record label underground yang dah lama bertapak di Sabah). Berdasarkan himpunan temubual ini, genera Grindcore mendapat tumpuan istimewa penulisnya. Tambahan pula, mini poster “Grindcore is Love!” bersaiz A4 disertakan percuma bersama Choosing Path #1 ini. Kita tinggalkan orientasi muzik dalam zine ini kerana saya melihat kepentingan menyeluruh Choosing Path dari sisi yang lain. Ada yang jauh lebih menarik tentang Choosing Path; pengisian-pengisian yang saya anggap paling unggul bahkan seakan menjadi highlight atau identiti “originality” zine ini adalah paparan bahan-bahan bacaan yang berkait-rapat dengan etnik dan budaya masyarakat Sabah. Cerita Rakyat adalah tentang negeri Sabah itu sendiri, diceriterakan dalam format intitusi kekeluargaan; perkahwinan, suami-isteri dan perpisahan. Sebuah kisah yang memberi kefahaman telus mengenai siapa Sabah sebenarnya. Dalam artikel berhubung Pemakaian Tradisional Kadazan Dusun, editor menghuraikan sebab-musabab ianya berwarna hitam bersalut kuning keemasan. Banyak foto-foto menarik diselitkan memudahkan lagi pemahaman (selain cuci mata asyiknya kejelitaan gadis-gadis Sabah, hehe!). Music Tunes (Sabahan Musical Instruments) memperkenalkan 7 jenis alat muzik tradisional termasuklah antaranya Sompoton, Tonkungan, Gabang dan Kulintangan – instrumen yang boleh dikatakan jarang didengari di kalangan orang Semenanjung seperti saya. Perayaan Pesta Keamatan antara penulisan yang paling menarik. Informasi lengkap pesta menuai yang bukan diambil dari mana-mana sumber bertulis. Ianya berasaskan penceritaan sebenar dari datuk penulis sendiri – merangkumi sejarah, tujuan hinggalah ke acara-acara keraiannya. Cukup jelas, Choosing Path membina kelainan yang mana tidak sekadar khusus untuk kelompok muzik underground sahaja tetapi juga boleh dibaca golongan umum. Lihat juga pada senilukis yang menghiasi muka hadapan (malah di belakang juga) yang menonjolkan ciri-ciri negeri Sabah. Ianya gambaran langsung kepada keunikan keseluruhan zine Choosing Path ini. Rencana-rencana lain yang turut dimuatkan termasuklah Wanita dan Rahim, Tip Membuat Api, Sedar Atau... (sumbangan editor lastkisszine), Ayat-ayat Kelakar Sepanjang Zaman oleh Sammy Vellu (yang ini lawak dan mencuit hati) dan juga penulisan berjudul Suratan atau Kebetulan? di mana dalam cerita panjang tulisan Benny Pangazou ini baharulah saya tahu bahawa beliau pernah keluarkan Your Win Zine dan newsletter bernama Masih Ada Yang Sayang – difahamkan keduanya terbit dan beredar untuk scene u/g Inanam sahaja, sekitar tahun 2003/2004. Tidak ketinggalan bahagian Review Section membabitkan 4 halaman mukasurat, ulasan ke atas produk-produk CD, 7" EP dan LP yang hampir kesmuanya saya sendiri tak pernah dengar, menarik! Saya ingin beritahu kepada Ben bahawa zine ini tidak samasekali “bodoh” sepertimana disebut di awal teks editorial. Ianya tepat dengan tujuan memupuk punkers yang berilmu. Choosing Path berkuasa, kaya dengan pengetahuan. Kekalkan trademark yang telah ada sambil kami menaruh harapan agar terbit nanti Choosing Path #3. Izinkan saya tamatkan kupasan ini dengan petikan kata Benny Pangazou sendiri di akhir editorialnya: Layang-layang tidak akan terbang mengikut arah angin. Layang-layang hanya terbang tinggi jika melawan angin.

Rabu, 22 Jun 2016

Rebiu | CHOOSING PATH – Isu #2


CHOOSING PATH – Isu #2
80ms / A5 / Dwi Bahasa
Dah lama sebenarnya aku dapat fanzine ni. Baru sekarang aku boleh buat sedikit ulasan mengenainya. Hampir keseluruhan Choosing Path ditulis dalam Bahasa Melayu, cuma beberapa halaman menggunakan Bahasa Inggeris terutamanya yang melibatkan band dari luarnegara. Choosing Path #2 diterbitkan pada November 2015 dan ia adalah karya Benny Pangazou, individu di sebalik band Penguasa Anjing, Con-Damn The Corruptor dan label Headhunter Records. Tujuh buah band ditemubual dalam isu kedua ini; Keep The Freedom (Punk Rock dari Tenom), Liberty Chaos (Street Punk dari Ipoh), Flagitious Idiosyncrasy In The Dilapidation (all-female Grindcore dari Jepun), Gayang Kuntilangan – (Death) Metal unik dari Penampang yang menggabungkan instrumen moden dan tradisional (Sabah) dalam pembikinan muzik mereka, Marjinal (Punk Rock berpengaruh dari Indonesia), RoundOff 40 (Pop-punk dari Kudat) dan Maddthelin (Post-Hardcore Kuala Lumpur). Aku cukup respek dengan metod dan olahan Ben mengutarakan soalan-soalan interbiu; yang mana pada aku ianya matang, berkembang dan kadang-kala di luar-jangka. Ben seorang editor yang terlebih dahulu melakukan kajian, persiapan dan rancangan teliti sebelum satu-satu set interbiu itu dipanjangkan. Ini yang menghasilkan sesebuah sessi temubual itu menjadi sangat terperinci dan mendalam. Kalian perlu baca bual bicara bersama Gayang Kuntilangan dan Marjinal di mana pada pendapat aku inilah antara interbiu yang menjadi highlight dalam Choosing Path #2. Ben sekali lagi membuktikan beliau adalah penulis yang baik, dewasa dan jujur dalam setiap penulisannya di mana hal ini aku rujuk kepada paparan-paparan rencana yang bukan sahaja berkisarkan muzik tetapi juga kehidupan budaya / kemasyarakatan persekitaran ruang-lingkup beliau. Ianya di-isi dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman dan inilah yang menjadi resepi kekuatan artikel-artikel seperti Headhunter/Pangazou dan “Land of Headhunter”, Siapa Marsinah? serta Aku, Sun Wukong dan Tamiya Mini 4WD. Ben dalam isu ini turut berkongsi cerita tentang aktivitinya dalam muzik, antaranya Laporan “Siok Sendiri Tour 2014” (Con-Damn The Corruptor), band awalnya Penguasa Anjing serta komuniti dan label beliau; Monsopiad Collective Movement dan Headhunter Records. Choosing Path #2 turut memberi ruang kepada penulis undangan iaitu Sara Minion. Bahagian lain yang perlu diberi perhatian dan cukup menarik untuk ditelaah adalah 10 mukasurat Seksyen Ulasan Audio. Kupasannya kreatif dan secukupnya informatif. Aku agak bimbang kiranya pengulasan ini menjadi terlalu panjang tetapi percayalah, sebuah hasilkerja yang baik perlu diberi lebih pengiktirafan. Biar saya akhiri ulasan ini dengan dua perkara paling tulen tentang Choosing Path #2. Pertama, kulit luar isu ini dihiasi artwork yang cukup original sifatnya. Nampak selamba tetapi penuh dengan makna. Kedua, pemberian percuma alat permainan puzzle tradisional kaum Rungus iaitu Inundazang. Ianya benar-benar menguji hinggakan aku terkesan (dan perlu muhasabah diri) akibat kegagalan menyelesaikan ujian permainan tersebut. Terbaik Ben. Konklusi aku terhadap Choosing Path #2, apa sahaja yang tersurat dan tersirat dari kandungannya, semuanya adalah mampat dan padat!. Hubungi Benny Pangazou di facebook.com/benny.pangazou atau talian 013-5529166.
facebook.com/Choosing-path-zine-1506412472905685