Memaparkan catatan dengan label Pedal To The Metal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pedal To The Metal. Papar semua catatan

Isnin, 13 Ogos 2018

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #7


PEDAL TO THE METAL – Isu #7
60ms / A5 / Bahasa Melayu
Pedal To The Metal #7 diterbitkan pada Mac 2018. Ini zine yang sememangnya sentiasa saya nantikan keluarannya. Terkejut juga dicatatkan tuan editornya Rammy Azmi a.k.a Ahmad Ra1m1 menderita robekan meniscal yang mengakibatkan beliau sukar berjalan beberapa minggu sebelum menyiapkan isu ketujuh ini. PTTM terus setia dengan prinsip dan konsepnya, menariknya kali ini sedikit lebih tebal hingga mencapai 60 halaman termasuk kulit luar (ah! suka benar saya menikmati frontcover-nya, ia cantik). Sebagaimana biasa seperti isu-isu sebelumnya, editor menulis dan melapor aktiviti-aktiviti berbasikal, kembara dan riadah beliau dalam isu ini; kayuhan 3 hari 2 malam bersama Marco Yolo (di sekitar negeri Perlis), travelog Merantau ke Palembang dan juga catatan panjang Menjejaki Air Terjun Kampung Tauhid, Bukit Permata. Tulisan-tulisan editor ini tidak sekadar penyaluran informasi dan perkongsian pengalaman, tetapi turut menyelitkan / dikaitkan elemen keagamaan menjadikan keseluruhan teks-teks ini memiliki nilai ilmiah yang tinggi dan nemberi banyak manfaat. PTTM #7 turut memaparkan 3 interbiu; bersama Devourer Of Light, Kvlts, dan Overhaul. Tiga genera muzik yang berbeza dan konversasi yang matang untuk anda telaah, sangat menarik! Cerpen “Ixaxaxar” sumbangan Nayyir al-Fakka bolehlah saya anggap novel mini kerana ia melibatkan 15 mukasurat, haha! Banyak lagi yang boleh dibaca dan dihayati pengisian serta mesejnya dalam zine yang cukup padat dan sarat ini termasuklah ulasan manuskrip dan ulasan muzik ghuluw. Semuanya sentiasa terbaik dari Pedal To The Metal yang baru-baru ini dikhabarkan menukar nama kepada Rakap Besi.

Rabu, 1 November 2017

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #6


PEDAL TO THE METAL – Isu #6
52ms / A5 / Bahasa Melayu
Setelah mengeluarkan Pedal To The Metal #5 pada Disember 2016, sahabat saya Raimi Barbarossa atau mahu dikenali dengan nama pena Ahmad Ra1m1 sebagai editor zine ini dilihat agak terganggu dengan situasi hidup dan persekitarannya, mengakibatkan zine bermotifkan “Metal Punk Berbasikal” ini tidak dapat mengekalkan konsistensi penerbitannya sebagaimana biasa. Selain daripada kesibukan bertugas (malah beliau telah berpindah dari Kangar ke Gombak), Raimi sepertimana diceritakan agak sibuk dengan rakaman band projek beliau dan pada masa yang sama dikhabarkan sedang menyiapkan penulisan sebuah buku. Kami beberapa kami bertemu, melepak dan berbual-bual di sebuah restoren mee tarik di Sri Gombak di mana saya beberapa kali juga “membakar” beliau untuk cuba-cuba mencuri masa merealisasikan isu baru Pedal To The Metal. Akhirnya, Raimi “terbakar” juga dan hasilnya isu terkini #6 berjaya beliau terbitkan pada bulan Julai lalu – rilis sempena Perlis Zine Fest bertarikh 1 Julai 2017. Pedal To The Metal seperti selalunya, sentiasa mempunyai pilihan yang menarik dalam mengisi slot-slot interbiu di mana kali ini ia menampilkan Filsufatia (sebuah band solo yang berpaksikan instrumental depressive / atmospheric / melancholic Black Metal), Lifeform (kugiran Thrash Metal yang agak obscure keujudan mereka), Insultor (band berhaluan Black Metal yang sememangnya “jahat” penampilannya, haha!), serta As Rusty Empyrean (instrumental Post Rock dari Johor Bahru) sumbangan Asrap Mohamad. Temubual-temubual ini bukan sahaja menarik untuk dibaca, tetapi “terbaik” olahannya di mana soalan-soalan yang dikemukakan sangat matang dan bukannya pertanyaan-pertanyaan tipikal. Band-band turut tidak kedekut memberikan respon yang mantap dan lengkap. Raimi selaku penulis berwibawa turut menulis artikel-artikel ringkas namun cukup informatif mengenai band-band Al-Azazhil, Verminator, Flagitious Idiosyncrasy In The Dilapidation (Jepun), Nile (dalam rencana “Seruan Kepada Kemusnahan”) dan juga Terryrotten. Penulisan paling saya suka, di mana saya anggap “highlight” kepada Pedal To The Metal adalah laporan 7-mukasurat Hammersonic Festival 2017. Ia bukan liputan acara berkenaan semata-mata, tetapi travelog menyeluruh mengenai sebuah pengembaraan di tanah Jakarta. Sebagaimana diketahui, Pedal To The Metal turut berkonsepkan aktiviti kembara dan riadah. Meskipun tiada laporan eksklusif berkaitan kegiatan kayuhan (berbasikal) seperti beberapa isu terdahulu, isu #6 ini masih memiliki laporan-laporan seperti Meneroka Gua Bukit Ketepi dan juga Menjejaki Pasar Terapung Ban Pru. Keterbukaan Pedal To The Metal diteruskan semenjak isu pertama ia diterbitkan. Zine ini mempunyai kekuatan dalam menyediakan keseimbangan antara dunia muzik ekstrim, karya-karya seni, ilmu pengetahuan dan kerohanian juga. Maka di dalamnya pembaca tidak tersekat hanya berada pada satu sudut sahaja, tetapi turut dibawa mendapat manfaat dari karya-karya seperti cerpen, ilustrasi dan juga komik Hasppidy yang merupakan kartun trademark kepada zine ini. Sebelum ulasan saya terhadap Pedal To The Metal #6 ini menjadi lebih panjang, saya perlu tamatkan di sini dengan hanya beberapa patah perkataan rekomendasi untuk zine hebat ini. Saranan saya, inilah zine yang sepatutnya menjadi “kemestian” untuk diperolehi semua golongan pembaca, kerana di dalamnya semuanya ada!

Isnin, 27 Mac 2017

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #5


PEDAL TO THE METAL – Isu #5
52ms / A5 / Bahasa Melayu
Meskipun dikatakan dalam kesulitan berpindah lokasi dari Kangar ke Gombak (atas komitmen kerjaya), Raimi tetap berusaha dan berupaya menerbitkan Pedal To The Metal isu yang ke-5, rilis pada Disember 2016. Konsistensi dalam prestasi dan kualiti zine ini kekal terpelihara. Zine ini kembali kepada hiasan kulit luar memaparkan basikal dan pemandangan – menepati konsep travelog yang menjadi intipati utamanya. Kalian boleh baca teks laporan (serta beberapa foto) aktiviti kayuhan basikal Ride To Kota Kuala Kedah yang dilakukan penulis dan rakan Wan Fazrul sejauh 47km pada 4 September 2016. Sambungan artikel (Bahagian II) laporan Menjejaki Pattani Darussalam juga boleh dibaca dalam isu ini. Turut disiarkan laporan zine fest yang berlangsung di Perlis dan Bintulu, Sarawak. Untuk sisi muzik, PTTM #5 membawakan wawancara bersama band death/thrash tempatan berwibawa Malapetaka dari Kuala Lumpur. Uniknya, isu kali ini turut menemubual kumpulan/individu bukan dari golongan muzik lasak iaitu The Impatient Sisters (band 3 gadis adik-beradik dari Kuantan yang menamakan muzik mereka sebagai indie-folk) dan Kim Herrin (gadis pemain dram yang khabarnya kini terlibat bersama Candy). Dalam slot interbiu juga, isu ini cukup eksklusif dengan pengisian bual-bicara bersama Dr. Noorwan Arif (yang juga rakan lama saya di zaman 90an), pembikin Thanatopsis Zine. Sepertimana yang pernah saya tulis dalan rebiu isu-isu terdahulu, Pedal To The Metal adalah penerbitan yang perlu anda ikuti jika mahukan sebuah zine ada semua di dalamnya. Selain travelog dan muzik, zine ini terus mengadakan ruangan-ruangan literatur (puisi dan cerpen), senilukis (ilustrasi dan komik) serta penulisan-penulisan berbentuk rencana/artikel dan rebiu untuk skop yang pelbagai dan tidak terhad. Bukan hanya mementingkan gaya penulisan yang menarik, PTTM turut mengutamakan kualiti pengisian yang mendidik dan bermanfaat. Teruskan berkarya Raimi!
facebook.com/cyclingmetalpunk
cyclingmetalpunk.blogspot.com

Rabu, 21 Disember 2016

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #4


PEDAL TO THE METAL – Isu #4
52ms / A5 / Bahasa Melayu
Konsistensi dalam aspek penulisan, pengisian dan ketrampilan adalah tunjang kekuatan Pedal To The Metal. Ini yang meneguhkan faktor kepada mengapa zine bertemakan Metal Punk Berbasikal ini mesti-beli dan wajib dimiliki setiap isu keluarannya. Pedal To The Metal kembali dengan isu #4 pada Ogos 2016. Tidak seperti isu-isu terdahulu yang memaparkan elemen basikal itu sendiri, edisi kali ini menyuntik sedikit kejutan di mana peninju lagenda Muhammad Ali dipaparkan sebagai penghias kulit hadapan, sekaligus gambaran bahawa PTTM #4 merupakan isu penghormatan terhadap ahli sukan tinju antarabangsa tersebut. Muhammad Ali telah meninggal pada 3 June 2016, pada usia 74 tahun dan anda boleh baca ekspresi Ahmad Raimi (editor PTTM) terhadap atlit bergelar The Greatest ini dalam penulisannya di ruangan Hero Berdendang. Ketiadaan aktiviti kayuhan ekoran bulan Ramadhan dan Syawal menjawab persoalan tiadanya elemen basikal menghiasi pada frontcover kali ini. Ini juga bermakna tiada laporan travelog berbasikal yang mana merupakan antara intipati utama penghasilan zine ini. Namun, satu lagi keunikan PTTM #4 terletak pada pengisian slot intebiu di mana 3 buah band Black Metal tempatan telah ditemubual iaitu North Dark, Antaboga dan IVVIIV (Dead). Ia menjadikan isu kali ini sebuah isu yang “gelap” dan kehitaman tersebut bertambah kelam dengan adanya pula artikel panjang mengenai Blackfire – merujuk kepada ulangtahun ke-10 satu-satunya album penuh band berstatus cult ini “Lahir Dari Api” yang diriliskan pada 6.6.2006 lalu. Rammy turut memaparkan karya-karya senilukisnya dalam bentuk komik pendek Penghancur Wajah dan artwork di segmen Ilusi Minda Sakit. Begitu banyak yang boleh dibaca, ditelaah dan didalami dalam zine yang cukup berkualiti ini. Antaranya artikel seperti HMS Malaya (sejarah armada laut Inggeris tajaan raja-raja Melayu), laporan lawatan (bahagian pertama) Menjejaki Pattani Darussalam serta rencana info Diablo Swing Orchestra (kumpulan avant-garde metal dari Sweden). Selainnya, sebagaimana biasa, PTTM #4 turut menyiarkan beberapa puisi dan cerpen (sumbangan beberapa penulis undangan). Lebih banyak untuk dikupas dan diceritakan mengenai zine ini dan anda akan hanya dapat menikmatinya jika zine ini berada di tangan anda. Pelaburan RM8 senaskah yang amat-amat berbaloi. Diterbitkan di bawah Faithcraft Productions, salinan saya adalah #11/150 cetakan pertama.

Khamis, 16 Jun 2016

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #3


PEDAL TO THE METAL – Isu #3
Faithcraft Productions
Tema riadah (berbasikal dan jelajah) seakan hilang dalam edisi lepas, isu #2. Ya, memang ada (Kayuhan di Kuala Perlis) tetapi tidaklah terlalu meriah dan menyerlah sepertimana dilaporkan di isu #1 (di mana dimuatkan 4 laporan kayuhan basikal). Identiti Pedal To The Metal sebagai media Metal Punk Berbasikal membuatkan tema kayuhan, jelajah riadah selain elemen muzik menjadi perkara pertama yang akan saya semak setiap kali isu baru Pedal To The Metal dikeluarkan. Syukur, biarpun hanya satu, isu #3 ini yang dirilis pada Jun 2016 menampilkan kembali konsep awal zine ini; didahului dengan flyer unik dan tersendiri membuka laporan kayuhan jelajah “Ride the Tide in Langkasuka – An Evening with Funeral Pyre”. Ianya sejauh 98km pada 2 April 2016 menyusuri keindahan Pulau Langkawi sekaligus bersua-muka dengan band Black/Death FUNERAL PYRE yang dianggotai oleh saudara Man (terdahulu bersama Nefarious Azarak). Menjejaki Air Terjun Chamang mengisi slot Jelajah dan Juadah, satu kawasan rekreasi yang berkesempatan dikunjungi Rammy (editor zine ini) sewaktu beliau turut serta dalam satu gig yang berlangsung di Raub. Untuk sisi muzikal, Pedal To The Metal #3 mengetengahkan sessi wawancara bersama TORCH (Pangeran rock aneh dari Pahang), DOSA (perintis Noisecore dari Perlis) dan PERPETUAL (raja Grindcore dari Sabah). Orientasi seni muzik turut dipanjangkan pada isu kali ini bilamana Rammy menulis 2 repot gig; Grundar Death Fest 4 di Embrace Hall bertarikh 26 Mac 2016 dan Bertukang Malam-Malam 7 di Kecapi Studio, Raub pada 7 Mei 2016 yang turut disertai band beliau WRECKÄR – malah band ini turut diperkisahkan di bawah halaman prebiu/analisis band selain NERVOSA, band thrash metal wanita yang mencetuskan fenomena di Sao Paulo, Brazil. Sepertimana pembaharuan yang dibuat pada isu ke-2, pemaparan karya senitulis seperti sajak dan cerpen kian bertambah kuantitinya dibantu sumbangan penulis luar/jemputan. Cuma kali ini hilang pula sudut “Ilusi Minda Sakit”. Banyak lagi rencana-rencana yang disiarkan, yang pelbagai subjek dan objektif-nya. Izinkan saya terus kepada konklusi: Pedal To The Metal telah meletakkan satu tanda aras baru dalam pembikinan zine DIY tempatan. Di sini segalanya ada, semua konsep makalah independen; kombinasi perzine (personal zine), fanzine muzik underground, kompilasi senilukis dan ilustrasi, antologi kesasteraan dan penulisan kreatif, segalanya!. Ianya perkongsian ilmiah pengetahuan dan pengalaman; geografi, sejarah, jasmani dan kerohanian. Ini majalah budaya dan kesenian. Ini buku tentang kehidupan dan peradaban. Semuanya!. Satu manuskrip hebat olahan sahabat lama saya, insan pelbagai bakat bernama Ahmad Raimi. 52ms / A5 / Bahasa Melayu / Salinan #50/100.
cyclingmetalpunk.blogspot.com
ra1m1.blogspot.com
faithcraftmobile.blogspot.com

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #2


PEDAL TO THE METAL – Isu #2
Faithcraft Productions
Penulisan saya agak panjang dalam mengulas isu pertama terdahulu. Maka itu tidak perlulah lagi introduksi itu ini berkaitan zine Pedal To The Metal. Isu kedua tebitan Mac 2016 dimulai dengan kolum Hero Berdendang [Nota: Kolum yang juga telah ujud di isu pertama tetapi tidak saya sentuh dalam rebiu]. Dalam kolum ini Ahmad Raimi (editor) membayar penghormatan terhadap pemergian (kematian) Lemmy Kilmister, pengasas dan peneraju Motörhead – seorang pemuzik dan sebuah band agung yang menjadi idola serta inspirasi kebanyakan band-band metal dan punk seluruh pelusuk dunia. Penerbitan Pedal To The Metal #2 dilihat kian berkembang dan meningkat ke satu peringkat lagi bilamana penulisan-penulisan kreatif seperti puisi dan cerpen turut diberi ruang penyiaran di samping mengekalkan identiti Metal Punk Berbasikal; riadah kayuhan dan elemen muzik lasak. Hal ini dinyatakan dalam satu perenggan prakata – “Zine ini diterbitkan tanpa ada satu matlamat hakiki padanya. Aku anggap ia sebagai salah satu karya seni bagi meraikan bahasa dan falsafah.” – kata Ahmad Raimi. Travelog Kayuhan di Kuala Perlis, artikel Menjejaki Makam Puteri Lindungan Bulan serta Menjejaki Tan Yong Pong, Satun adalah pengisian yang memenuhi tema asas beriadah (Berbasikal, Jelajah dan Juadah) dalam fanzine ini. Interbiu-interbiu bersama JEHOVAH THE SATYR (Death Metal dari Sukabumi, Indonesia), HEREAFTER (Thrash Metal kelahiran Selangor) dan UNVEILED (Brutal Death buatan Johor) ditampilkan mengisi slot muzikal, selain rencana-rencana hebat seperti Dari Florida ke Malaysia bilamana Raimi melihat dan mencatat definasi dan deskripsi muzik Death Metal mengikut pendapat peribadinya sendiri. Turut ditulis dengan baik hal-hal kerenah sampingan dalam bermuzik; antaranya penulisan “Pornografi dan Heavy Metal” dan “Kemaruk Artis dan Autograf”. Beberapa paparan ilustrasi adalah lakaran kartunis Aku Napie, termasuklah pengenalan kepada Haspiddy – maskot Pedal To The Metal. Penyiaran 3 buah cerpen adalah sumbangan penulis luar/jemputan; 2 darinya karya Remie Deen dan 1 dari Adi Herman. Empat halaman terakhir untuk Pedal To The Metal #2 disudahi dengan seksyen Ulasan Muzik Ghuluw; himpunan rebiu padat yang ditulis dengan akal ke atas beberapa rilisan metal tempatan, termasuklah terhadap dua produk dari label saya sendiri, Blazt Promotion. Tetapan kulit luar berwarna dan helaian kertas kuning seakan kekal sebagai jatidiri Pedal To The Metal zine, di samping kekalnya format 52 mukasurat, bersaiz A5 dan Bahasa Melayu sebagai pengantar. Salinan saya #90/100. Hubungi e-mel: faithcraftproductions@yahoo.com atau WhatsApp: 019-2281979.
facebook.com/pedatodameta
facebook.com/faithcraftproductions

Rabu, 15 Jun 2016

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #1


PEDAL TO THE METAL – Isu #1
Faithcraft Productions
Ahmad Raimi Azmi atau lebih senang dipanggil Rammy adalah kenalan lama saya dalam scene muzik underground tanahair. Beliau di peringkat awal era 90-an dikenali sebagai editor fanzine metal Kemenyan dan ahli band blackthrash The Ravens. Kreativiti anak kelahiran Perlis Indera Kayangan ini terus berkembang sehingga hari ini menerusi aktiviti dan projek beliau seperti Au Revoir (band avant-garde metal), Wreckär (band metalpunk), Ahmad Ra1m1 (projek solo muzik Ambient) dan pelbagai lagi termasuklah penglibatannya dalam kumpulan lagenda Blackfire. Identifikasi Rammy cukup jelas, seseorang yang multi-talented, innovatif dalam kerja-kerja kreatifnya dan sering mahu menonjolkan kelainan dan sifat-sifat mahakarya dalam setiap penghasilan karya-karya beliau. Cerita tentang penerbitan Pedal To The Metal zine telah saya dengar sekitar Oktober 2015, sebaik sahaja Rammy menghimpunkan koleksi kerja-kerja penulisan lamanya dalam satu buku bernama KEMENYAN: Book of Metal Sorcery. Pedal To The Metal mengikut asal dan asasnya adalah satu aktiviti riadah berbasikal (sambil beramal) yang dijalankan oleh Rammy bersama beberapa rakannya yang kemudiannya dilapor dalam bentuk travelog dan dimuat-naik di blog label beliau – faithcraftmobile.blogspot.com. Pada masa yang sama, sebagai individu yang cukup pelbagai tabiat penulisannya, Rammy turut mengujudkan blog di mana beliau menyentuh bukan sahaja hal-ehwal kesenian muzik dan perfileman tetapi juga perkara-perkara berkaitan kerohanian, kehidupan dan segala macam kerenah manusiawi dan persekitaran. Blog itu diberi nama Khusyuk Kematian – ra1m1.blogspot.com. Inilah dasar dan rangka utama termaktubnya Pedal To The Metal zine; kegiatan berbasikal itu sendiri dan dokumentasi penulisan dari dua blog yang disebutkan tadi. Sesuatu yang lahir dari kesedaran betapa pentingnya ia dicetak dalam format fizikal. Isu perdana Pedal To The Metal zine terbit secara rasmi pada Disember 2015, memuatkan 4 laporan kayuhan basikal. Yang pertama dari Kangar ke studio Soundmaker di Pulau Pinang untuk menghadiri acara JASAD: Brutal in Malaysia Tour 2014 (bertarikh 14 Mei 2014 sejauh 175km). Keduanya, kayuhan Kickin’ And Thrashin’ Fist ke Alor Setar pada 30 Ogos 2014 bagi menziarahi sahabat lamanya CS Wild yang mengendalikan toko muzik berat Hard & Heavy Shop serta label Thrashingfist Productions. Seterusnya dilapor kayuhan berjarak dekat (5km) dari Terminal Bas Larkin ke Stopzone Hall pada 1 November 2014 untuk menyaksikan persembahan An Evening with Frank Blackfire, ikon gitaris thrash metal Jerman yang dikenali umum kelibatnya yang pernah menganggotai band-band gergasi Sodom dan Kreator. Travelog terakhir yang ke-4 adalah Ride & Roll to Singora, kayuhan sejauh 58km dari Padang Besar ke Hatyai, Thailand pada 16 Mei 2015 bertujuan melawat dan menikmati dengan mata sendiri panorama Hatyai-Songkhla serta kegiatan scene underground di persekitarannya. Setiap travelog Rammy bukan sahaja berkisar catatan diari dan tips berbasikal itu sendiri tetapi dilengkapi juga dengan kupasan terperinci setiap destinasi kayuhannya, sebagai contoh rebiu persembahan band-band yang beraksi di pentas acara yang dikunjunginya. Tanpa basikal, insan hebat ini akan bermotorsikal pula. Aktiviti “rempit” kali ini adalah menjejaki Urak Lawoi dan Koh Lipe di Satun, Thailand diabadikan panjang-lebar dalam ruangan Jelajah dan Juadah. Bagi memenuhi tuntutan segmen temubual, Pedal To The Metal #1 menampilkan wawancara terperinci dan mendalam bersama 2 personaliti hebat disiarkan; bersama Anita Yusof – pengembara wanita, penjelajah bermotorsikal dan juga bekas anggota kumpulan rock Sherox, dan seterusnya bersama Nizang – figura muzik punk tanahair, tentang Mosh Zine, band Dum Dum Tak, scene punk rock tempatan dan paling bernilai perkongsiannya mengenai pembedahan pemindahan organ buah-pinggang yang telah Nizang lalui. Pengisian-pengisian lain dalam isu pertama ini adalah rencana mengenai muzik Ambient, ilustrasi sumbangan Abi Suffian, Ulasan Muzik Ghuluw dan beberapa artikel. Analisa ringkas band ABBATH (ditubuhkan oleh Abbath selepas meninggalkan IMMORTAL) menyempurnakan lembaran penutup zine ini. Cukup jelas dan nyata, Rammy seorang yang serius dan bersungguh dalam berkarya. Pedal To The Metal zine ini bukan main-main bikinannya. Ia himpunan penulisan teks yang digarap cukup baik dan teliti dibantu rekabentuk dan susunatur yang kemas dan terancang. Bukan sahaja zahiriah kulit luarnya yang dicetak profesional, kertas keras berkilat dan berwarna penuh, tetapi Rammy yang memang peribadinya pelik-tapi-unik menggunakan kertas berwarna kuning pada semua helaian dalamannya. Penerbitan ini secara fizikalnya 52 mukasurat termasuk kulit luar, bersaiz A5 dan ditulis dalam Bahasa Melayu. Salinan saya #62/200. Tahniah Rammy dan Pedal To The Metal – anda memang benar-benar Metal Punk Berbasikal!.