Memaparkan catatan dengan label Distopia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Distopia. Papar semua catatan

Sabtu, 6 Oktober 2018

Rebiu | DISTOPIA – Isu #2


DISTOPIA – Isu #2
40ms / A5 / Bahasa Melayu
“Menakjubkan!”. Saya katakannya begitu bukan kerana editornya seorang perawan jelita tetapi kerana Distopia itu sendiri. Ia memang sebuah zine yang benar-benar menakjubkan dalam keseluruhan kualiti; idea, penulisan, pengisian, rekabentuk dan susunatur, cetakan, segalanya!. Distopia berevolusi dengan pantas, membesar dan semakin dewasa, berdiri pada integriti, kredibiliti serta identitinya yang tersendiri. Saya semakin kagum dengan segala usaha Sarajevo Amira Maisara yang melakukan kerja keras dalam penerbitan Distopia, meletakkan zine ini pada tahap yang terbaik dan sempurna. Distopia #2 telah diterbitkan pada Ogos 2018, dilancarkan edarannya semasa Cyberjaya Zine & DIY Fest bertarikh 11 dan 12 Ogos 2018. Isu kali ini kian padat, disusun kemas dalam garapan layout yang menarik. Sebaik didahului Nota Editor dan coretan Blues Untuk Aku, halaman-halaman awal turut memuatkan 6-mukasurat penulisan Monolog, sambungan catatan Mei 2015 (terdahulu dari Isu Eksperimental); perkongsian selengkapnya pengalaman editor ini sendiri yang diberkas, dilokap dan disoalsiasat polis (ekoran menyertai himpunan anti-GST pada 1 Mei 2015). Empat artikel yang menjurus kepada perbincangan isu-isu sosial dan masyarakat perlu dibaca dengan teliti dan difahami intipatinya; “Jaminan Kecukupan dan Kuasa Makanan” (oleh Padi), “Kebersamaan Dalam Komuniti” (oleh Karim Abdullah), “Membebaskan Sang Melayu Terakhir” (Fadiah J.) dan “SDG’s idea Utopia selepas kegagalan projek MDG’s?” (oleh Sarajevo). Rencana-rencana ini sarat dengan isi. Dua sesi temubual diletakkan di bawah ruangan Fokus; bersama Ieda Mazlan (artis / aktivis seni) dan Cha.Koy (sebuah band berkonsepkan Mathrock). Selainnya, Distopia #2 turut dilengkapi ulasan filem di bawah kolum Seni & Budaya serta beberapa paparan lain. Untuk sebuah zine yang di dalamnya penuh dengan ilmu, mesej dan pengajaran-pengajaran yang boleh dimanfaatkan, zine Distopia ini amat-amat saya syorkan. Menakjubkan! Hubungi: zinedistopia@gmail.com.

Jumaat, 6 April 2018

Rebiu | DISTOPIA – Isu #1


DISTOPIA – Isu #1
40ms / A5 / Bahasa Melayu

Kalau kalian masih ingat, saya pernah mengulas Distopia #0 (Isu Eksperimental) dalam Bangkit! #3. Di akhir ayat rebiu tersebut saya nyatakan: “Distopia ini satu penerbitan yang serius, bernas, mendidik dan sesuatu yang perlu lebih kerap dikeluarkan”. Semenjak itu saya menunggu dan terus menunggu keluarnya isu pertama zine ini. Distopia #1 (Disember 2017) terbit di hari #KLZF2017 setelah 3 tahun berlalunya isu #0 (Disember 2015), akhirnya. Ramai yang berkata masa begitu cepat berlalu tetapi bagi kebanyakan orang, penantian meskipun terlambat 15 minit adalah satu azab penyeksaan, nak-nak bagi mereka yang sedang hangat bercinta, betul tak?. 

Ok, berkenaan Distopia #1, penantian kepada kembalinya zine ini sebenarnya cukup berbaloi!. Editornya Sarajevo Amira Maisara seakan memeram terlebih dahulu semua idea dan tenaga yang ada selama beberapa tahun ini agar ianya cukup masak ranum sebelum dituai. Ternyata, Distopia #1 tampil jauh lebih baik kualitinya, luaran dan dalamannya. Isu ini hadir dengan mutu cetakan yang sangat bagus, kerja-kerja design & layout yang begitu kemas, sedap mata memandang (dan perlu saya katakan ianya hebat) bahkan dibaluti kulit berwarna penuh. “Dah macam pro-printed lah!”, detik hati saya saat kali pertama membelek-belek zine ini. 

Distopia #1 turut menampakkan kematangan dalam aspek pengisian. Saya menghormati Distopia kerana artikel-artikelnya di mana saya melihatnya sebagai identiti sebenar zine Distopia. Untuk kali ini, bahan rencana / artikel kritis diketengahkan dalam penulisan-penulisan berjudul “Wanita Dalit Melawan!”, “Fabrik Perjuangan Feminisme dan Konflik Dalaman” (kedua-duanya oleh Sarajevo) dan satu lagi sebuah esei bertajuk “Antara Dua Relatif” (sumbangan Karim Abdullah, editor zine The Aksara Commune). Perlukah saya ceritakan apa yang terkandung di dalam teks-teks bersifat edukatif ini? Saya rasa saya hanya perlu sarankan kalian segera dapatkan zine ini, baca sendiri dan perolehi manfaat darinya.  

Cukup jelas, Sarajevo (editor) mengotakan janjinya membawakan tema “wanita” untuk isu pertama ini. Selain dua artikel tulisan Sarajevo yang disebutkan tadi, “wanita” turut menjadi sebahagian daripada intipati dalam temubual bersama Radigals (band all-female Hardcore dari Singapura), pelakon teater Mia Sabrina Mahadir serta band folkpunk P-RM. Menariknya, bual-bicara Sarajevo bersama anggota kumpulan P-RM dibuat secara langsung (live interview) dan disunting dalam bentuk teks dengan jayanya. Salute untuk inisiatif ini.

Panjang sangat dah ke ulasan saya ni? Ok, biar saya beritahu sedikit lagi sebelum pergi kepada penutup. Bahan-bahan seperti puisi, book review, ulasan filem malahan posto-posto juga bukan sekadar pelengkap untuk dimuatkan dalam isu ini, tetapi ianya adalah kesempurnaan menyeluruh zine Distopia #1, dan tanpa ragu saya simpulkan, ini zine yang perlu kalian miliki! Segera emel zinedistopia@gmail.com atau cari Sarajevo Amira Maisara di facebook untuk memesan naskah anda.

Ahad, 24 Julai 2016

Rebiu | DISTOPIA – Isu #0


DISTOPIA – Isu #0
28ms / A5 / Bahasa Melayu
Sebuah isu eksperimental suntingan dan terbitan Sarajevo Amira Maisara, dirilis pada Disember 2015. Distopia hampir keseluruhannya mengetengahkan topik-topik semasa dan realiti yang berlaku pada diri dan persekitaran penulis; cerita-cerita peribadi, curahan pendapat, perkongsian idea dan pengalaman. Semua ini dibentangkan dalam bentuk penulisan rencana. Antara artikel yang menarik perhatian seperti “Agenda Membaptis Masyarakat Ke Arah Modenisasi” yang mempersoal kewajaran pembangunan tanpa henti di Kuala Lumpur (dikaitkan dengan kebanjiran pusat-pusat membeli-belah, pembinaan lebuhraya dan sebagainya) yang akhirnya mengakibatkan kesan tidak baik kepada rakyat, ketidakstabilan sosio-ekonomi, kapitalisma dan konsumerisma, jurang kemasyarakatan dan pelbagai impak lain. Dalam “Monolog”, penulis mengongsikan pengalaman hitam beliau ditahan polis (ekoran menyertai himpunan anti-GST pada 1 Mei 2015), penyalahgunaan kuasa autoriti, pertuduhan tidak munasabah dan juga kehidupan dalam sel. “Relevankah Fanzine?” adalah kupasan penulis tentang pembikinan zine atas kertas pada era siber ini zaman di mana maklumat di hujung jari. Menariknya, menyunting dan menerbitkan zine sangat rapat dengan Sarajevo yang sememangnya seorang editor dan beliau tahu apa kelebihannya membikin zine. Distopia #0 turut menyelitkan bahan-bahan lain seperti puisi, ilustrasi, ulasan muzik dan literatur serta satu temubual bersama Ieda Mazlan, seorang pelukis dan juga aktivis Makanan Bukan Periuk Api. Secara total, Distopia ini satu penerbitan yang serius, bernas, mendidik dan sesuatu yang perlu lebih kerap dikeluarkan. Hubungi: zinedistopia@gmail.com.