Memaparkan catatan dengan label The Aksara Commune. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label The Aksara Commune. Papar semua catatan

Sabtu, 6 Oktober 2018

Rebiu | THE AKSARA COMMUNE – Isu #3


THE AKSARA COMMUNE – Isu #3
40ms / A5 / Dwi Bahasa
Setelah kembali melalui isu #2 sekitar Februari 2018, The Aksara Commune tidak membuang banyak masa untuk datang lagi menerusi isu ketiga pada Ogos 2018 yang baru lepas, atau tepatnya dilancarkan semasa berlangsungnya acara Cyberjaya Zine & DIY Fest. The Aksara Commune secara fizikalnya seakan telah menemui identiti dan kualitinya yang tersendiri di mana seperti isu kedua yang lalu, isu #3 ini juga dicetak sepenuhnya di atas kertas yang dipanggil brown paper. Karim Abdullah selaku penulis dan penyunting utama dibantu rakan kerja penyuntingannya Sarajevo Amira Maisara (yang juga editor zine Distopia) dan Nadiah Aminuddin terus-menerus memberikan yang terbaik kepada penghasilan zine The Aksara Commune ini. Isu #3 ini menampilkan sebuah interbiu, bersama band Cha.Koy (kendalian Sara) dan saya dapati ianya merupakan versi berbahasa Inggeris kepada versi yang terdapat di dalam zine Distopia #2. Ini satu inisiatif yang menarik apabila dua zine saling bekerjasama, bahkan promosi untuk Cha.Koy akan lebih meluas memandangkan kelebihan zine The Aksara Commune yang boleh diedar-sebarkan lebih jauh ke peringkat antarabangsa. Empat gig review; Ipoh Experimental Music Festival (IEMF) vol.2, Weekend At The Park 2018, Weot Skam Mak Ang Tour!, dan Ipoh Blast Fest chapter 5 dilihat menjadi pengisian paling penting dan mencuri perhatian saya dalam isu kali ini di samping artikel-artikel seperti Legs McNeil: What’s Next After Rock n’ Roll?, Wayang Di-Atas #01: Titik Signifikan Idea, dan The Importance of Subsidization on Arts by Government. The Aksara Commune turut mempunyai pendekatan yang baik dalam mengulas album/muzik di mana isu kali ini melibatkan rilisan-rilisan dari Chelsea Light Moving “self-titled” (2013), Extreme Noise Terror “Being and Nothing” (2001), Azmyl Yunor “Warga” (2010), dan Radiowave “Cabaret” (2018). Pada keseluruhannya, ini zine yang cukup bagus dalam aspek penulisan, rekabentuk serta susunatur dan juga mutu percetakannya. Tahniah dan moga terus berkarya! Nota: Untuk penyediaan isu akan datang, The Aksara Commune menjemput sumbangan karya penulisan, kemukakan kepada theaksaracommune@gmail.com]
theaksaracommune.wordpress.com

Ahad, 12 Ogos 2018

Rebiu | THE AKSARA COMMUNE – Isu #2


THE AKSARA COMMUNE – Isu #2
44ms / A5 / Dwi Bahasa
The Aksara Commune akhirnya kembali bersamanya isu kedua pada Februari 2018, kira-kira 16 bulan selepas isu pertama diterbitkan sekitar Oktober 2016. Pada satu ketika, saya agak gusar yang editornya saudara Karim Abdullah berhenti menulis / menerbitkan zine memandangkan kepada laman wordpress beliau yang lama tidak dikemaskini. Ianya penantian yang berbaloi kerana kepulangan zine TAC turut disertai kualiti penerbitan dan pengisian yang lebih memberansangkan! Cetakan berwarna pada kulit luar, penggunaan brown paper secara menyeluruh, hasilkerja rekabentuk & susunatur yang sangat rapi dan kemas (diselenggara Sarajevo Amira Maisara) serta kehadiran co-editor Nadiah Aminuddin yang cukup membantu telah meletakkan TAC pada tahap kualitinya yang tersendiri. Isu ini mengetengahkan temubual band bersama A Lot Like Turd dan The Pinholes, empat ulasan gig, beberapa artikel dan tidak ketinggalan ruangan ulasan album. Penulisannya sangat menyeronokkan untuk dibaca dan editor juga begitu fluensi dalam berbahasa Inggeris. The Aksara Commune ini pastinya zine yang wajib anda miliki, khabarnya mereka melancarkan isu ketiga pula di Cyberjaya Zine & DIY Fest, 11 – 12 Ogos 2018. Cepat dapatkan!

Isnin, 27 Mac 2017

Rebiu | THE AKSARA COMMUNE – Isu #1


THE AKSARA COMMUNE – Isu #1
108ms / A5 / Bahasa Inggeris
Mengikut penelitian saya, asas pembikinan dan penerbitan isu pertama (October Issue) zine The Aksara Commune ini adalah kompilasi bahan-bahan penulisan / bacaan yang terlebih dahulu diletakkan secara online di blog (menggunakan nama yang sama) kendalian Karim Abdullah [fb.com/karim.anderson.79], seorang penuntut di Universiti Malaya jika tidak silap saya. The Aksara Commune terbahagi kepada 4 teras utama; Gig Review, Album Review, Band Interview dan juga Article. Penulisan-penulisan dalam bahasa Inggeris ini digarap dengan begitu baik dan teliti. Saya sukakan slot interbiu yang mana menampilkan 3 band yang agak asing dalam pengetahuan saya iaitu EF’IL (Ambient / Instrumental / Post-Rock dari Ipoh, Perak), Ippie Gomas (Dreamy / Sadcore / Indie Rock, juga dari Ipoh) dan Piri Reis (Emoviolence / Skramz dari Shah Alam, Selangor). Pemilihan dan usaha mengetengahkan band-band seperti ini membuatkan orang-orang seperti saya membuka mata dan meneroka lebih jauh dalam scene muzik bebas tempatan. Penulis turut menyediakan ulasan yang cukup eksklusif untuk album The Afternoon Gentlemen “Complete Pissedography 2008-2012” (Grind / Powerviolence dari Leeds, UK) dan The Electric Ape In Stereo “We Come In Peace” (Shoegaze / Experimental / Post-Rock dari Ipoh). Keseluruhan zine ini mantap cuma mungkin lebih baik jika rekaletak dan susunatur dapat diperkemaskan dan dipadatkan bagi mengurangi ruang kosong dan ketebalan yang tidak perlu. Agak malang juga, selepas The Aksara Commune #1 diterbitkan dalam format fizikal, blog berkenaan tidak lagi dikemaskini dengan bahan-bahan baharu. Saya tidak pasti samada saudara Karim Abdullah masih lagi menulis dan tidak tahu juga kemungkinan adanya isu-isu susulan zine ini. Apapun, harap beliau kembali berkarya.
theaksaracommune.wordpress.com