Rabu, 31 Januari 2018

BPSD-01 | MY OWN MIND #0






Terbitan & Edaran:  Bangkit! Publishing Support Division | Kod: BPSD-01 | MY OWN MIND isu #0 menghimpunkan kerja-kerja penulisan dari blog NOISE FROM HELL (pada tempoh 2013-2015). Penerbitan isu ini mengetengahkan temubual-temubual bersama PEREK KASI GEREK, XTOLAKKOKX, TARANTULAH, SETE STAR SEPT (japan), EXTERMINATE, NAKED WEAPON, PSYCHOTIC SUFFERANCE, KURASAKUASA dan BRAYOK. Terdapat juga halaman Extra/Bonus menampilkan PERPETUAL, PENGUASA ANJING, BAKTERIA dan DOOM (uk). Turut dimuatkan ruangan Scene News Updates dan Sajak-Sajak Underground. Dikeluarkan TERHAD 50 SALINAN sahaja!

Harga: RM4.00 senaskah + RM1.00 kos pengeposan

Hubungi: facebook.com/bangkitzine / whatsapp 019-2597570

Rabu, 24 Januari 2018

Merchandise | KEYCHAIN BANGKIT!

KEYCHAIN: JOM BIKIN ZINE

Ok, sebelum aku terlupa, di sini aku nak arkibkan cerita mengenai Keychain Bangkit! Ini bolehlah dianggap merchandise pertama Bangkit! Fanzine. Benda ni tak dirancang pun. Aku sendiri belum pernah terfikir nak buat apa-apa merchandise bawah nama Bangkit! (rasa macam belum layak nak ada t-shirt, tote bag semua tu). Berbalik kisah pembikinan keychain ni, 20 unit keychain yang kiranya eksklusif ni disediakan oleh sahabat aku saudara Hanafi Shafie (Aku Napie) masa event Kuala Lumpur Zine Festival 2017 tempohari. Bila Napie offer nak tolong buatkan keychain untuk Bangkit! dan minta sediakan design 3cm x 3cm, aku rasa seronok gak lalu terus buat, hehe! Hasilnya macam gambar kat bawah ni la. Sebahagian aku edar percuma masa KLZF2017 haritu, sebahagian lagi aku beri percuma (melalui pos) pada penyokong setia Bangkit! Fanzine masa dorang order isu-isu baru. 20 unit jer, tak banyak so statusnya sekarang: OUT OF STOCK :(



Rabu, 10 Januari 2018

Rebiu | BUDAK FLAT


BUDAK FLAT
40ms / A5 / Bahasa Melayu
Budak Flat ni personal zine, satu naskah di mana Ocha Vozvyshennyy (Ocha lagi!) kongsikan kisahnya tinggal dan dibesarkan di sebuah rumah flat yang orang gelar “Flat Colombia”. Celaka Ocha, macamana dia boleh ingat benda-benda yang berlaku masa umur 5-6 tahun. Power betul memory card mamat poyo ni, haha! Gelaran “Flat Colombia” sebab area tu jadi pusat jualbeli dadah dan lubuk gangster. Patutlah Ocha jadi budak jahat sekarang, kahkah! Dalam zine Budak Flat ni ada 12 bahagian penceritaan, termasuk intro dan last. Okay, kalau nak cerita semua sampai minggu depan tak habis, jadi aku ambik past-part tertentu, cuma aku boleh bagitau semua bahagian cerita tu best! (nak tau lebih lanjut, beli.. jangan lokek poket). “Sukan” – bab ni Ocha cerita pasal dia main race basikal lagak lumba motor GP, main bola pecah cermin rumah orang. Paling aku geram hal badminton. Kalau aku dapat orang tua 30 tahun tu aku bagi pelempang jer, bodoh.. ada ke patut lawan dengan budak kecik 6 tahun. Dalam “Penjaga” Ocha cerita masa kecik umur 2 tahun dia kena sawan tangis, nak selesai masalah maka banyak tangan yang jaga dia, dan mungkin sebab nama tak sesuai, nama panggilan tukar jadi “Apis”. Benda ni buat aku terkenang diri aku sendiri, kes sama. Sebab tu kalau korang datang kampung aku, famili dan jiran-jiran panggil aku “Atan”, hihii. Pasal “Tadika” korang akan tahu bahawasanya Ocha ni “kaki berak”, kah! Ocha tanpa segan-silu beritahu dia kencing atas tilam toto sebab takut “Hantu”. Seronoknya baca kisah Ocha ni, korang akan teringat kisah-kisah diri sendiri. Macam aku, punyalah takut nak pergi/balik mengaji disebabkan hantu kum-kum. Hal “Pakcik Gemok dan Sembahyang Jumaat” ni sedih sikit, kisah Cik Gemok (orang tua jiran-jiran Ocha la) selalu tumpangkan Ocha dan kawan-kawannya gi masjid. Korang tau tak? Ocha bukan nak gi sembahyang sangat pun, tapi nak makan cendol free.. jahanam! Tapi sayang, Cik Gemok tiba masa pergi buat selamanya, sedih. Ahh sudah, takkan nak share semua kot. Banyak cerita lagi ni. Nak tau lebih lanjut korang beli la. Tak mahal pun, tak habis pun duit korang buat bayar minyak petrol naik harga tu. Budak Flat ni cerita-cerita syok. Bukan syok sendiri, ni realiti. Benda yang sama mungkin juga pernah terjadi pada korang. Boleh kenang-kenangkan sesambil baca zine ni. Pastu kalau mampu, tulis. Buat zine macam ni. Bahasa mudah, nada bercerita. Cepat dapatkan Budak Flat. RM7 jer pun. Terbitan Karya Raya Publishing. Edaran Kidal.

Rebiu | UTILIS! – Isu #2


UTILIS! – Isu #2
28ms / A5 / Dwi Bahasa
Kertas merah menjadi pilihan untuk kulit luar Utilis! #2. Ahh, ada saiz font yang terlalu kecil Ocha, terpaksa berkanta untuk membaca. Taklah banyak, ada yang besar – besar-lah pula. Tetapkan keseragaman Ocha. Saya faham, editor mahu selaraskan kepadatan dalam ketebalan zine yang sedikit dinipiskan berbanding isu terdahulu. Apapun, ini bukan perkara yang penting, pengisian itu yang diutamakan. Isu kedua ini membawa naik tema “Penganggur dan Pengangguran”. Hei, siapa tanam anggur kenalah berkebun di ladang Utilis! ini. Biar kenal gred anggur kamu, biar tahu kemana nak dijualbeli buah anggur kamu tersebut. Ini bukan isu terpencil, ini masalah negara, haha!. Kelainan dalam isu kali ini adalah wujudnya sesi-sesi temubual. Menarik juga bilamana Ocha memulakan slot interview dengan cara mendapatkan dahulu maksud penganggur dari beberapa rakan di laman facebook. Bagus, bermacam tafsiran dapat dilihat. Kemudian barulah disusuli temubual-temubual bersama 4 individu; Amir Syafiq, Petak Daud, Butan, dan E.Ahmad. Hakikatnya, keempat-empat ini bukanlah duduk goyang kaki tak bekerja langsung. Mereka bekerja sendiri, freelancer, independen. Masing-masing dengan persepsi dan perspektif tersendiri tentang pengangguran. Kesimpulannya sama, pengangguran satu isu mainan masyarakat, seringkali juga dipolitikkan, dan masyarakat lebih mudah menyalahanggap ertikata penganggur itu sendiri. Selainnya terdapat juga rencana ringkas Eksploitasi Tenaga Kerja, catatan harian seorang penganggur (dalam bahasa Inggeris) oleh Raven Yeoh serta 5 bahagian Skema Makna penganggur dan pengangguran yang dikutip dan dipetik dari sumber-sumber tertentu. Cuma rasanya Ocha perlu nyatakan dari mana sumber diambil pada akhir setiap bahagian, dan saya kira perlu juga Ocha adakan section penutup/konklusi; menggariskan penemuan-penemuan dari topik yang diperbincang-kan, merangkumkan kesemua pandangan dan cadangan, diakhiri mengusul solusi. Biar pembaca lebih mudah memahami. Biar masyarakat lebih cepat terdidik – sepertimana motif dan objektif Utilis! Ini zine yang lain macam konsepnya, sesuatu yang berbeza dalam scene zine tempatan. Syabas! facebook.com/OchaVoz

Rebiu | UTILIS! – Isu #1


UTILIS! – Isu #1
32ms / A5 / Dwi Bahasa
Utilis! ini adalah hasilkerja terbaharu Ocha Vozvyshennyy. Saya melihat zine ini sebuah naskah yang berani, tegas dan meletakkan prinsip di dalamnya. Isu pertama membawa topik “Pekerja Seks dan Transgender”. Ini satu isu yang dipandang jelek, jijik di kalangan masyarakat umum. Pelacuran dan maknyah, senang cerita. Tiada tempat di luar sana. Meskipun golongan ini bukan kehendak mereka jadi begitu, dan mereka ada sebab serta alasan tertentu mengapa jadi begini. Ocha (dan beberapa kontributor) membentangkan permasala-han ini menerusi Utilis!; menulis dan berpendapat, membahas dan memberi pandangan – dari haluan bertentangan, dari pihak yang memihak. Memang akan timbul banyak sangkalan, percanggahan atas isu yang berat seperti ini. Antara penulisan-penulisan yang dimuatkan termasuklah Asal Pekerja Seks dan Transgender (oleh Ocha), John, Pelacur Berkembar dan Gadis Berambut Merah (oleh Qayum Benjamin), Kenapakah Saya Menjadi Seorang Pelacur (tulisan Abib Ismadi) dan Kupu-Kupu Malam (oleh Rafiq Izzat). Terdapat juga beberapa artikel berbahasa Inggeris sumbangan Jake Carter. Selainnya turut diselit puisi, komik dan foto-foto berkaitan. Teknik cut & paste digunapakai dalam kemasan zine ini. Keseragaman font serta saiznya yang tepat memudahkan pembacaan. Kulit kertas kuning bukan bermaksud “otak kuning”. Ini zine yang mahu menyalurkan manfaat, berfaedah sepertimana ertikata “utilis” itu sendiri. Zine yang mahu memberi sebanyak mungkin kefahaman kepada masyarakat. Zine mahu masyarakat itu memahami, berilmu. efendymuslim@gmail.com

Rebiu | SUKA HATI – Isu #3


SUKA HATI – Isu #3
12ms / A6 / Bahasa Melayu
Edisi ketiga zine Suka Hati penulisnya Aepool Kojack. Dia ni bukan orang asing dalam scene penulisan dan penerbitan zine DIY. Beliau editor Belek Fanzine. Contribution Aepool Kojack dalam Suka Hati adalah “8 Kisah Manusia dan Pemetik Api”. Dari objek lighter (pemetik api) tu jer penulis ni dah boleh karang lapan buah cerita. Gaya tulisan, penceritaan oleh Aepool ni lain macam sikit. Maklumlah orang art. Cungkil kayu, art design, senimuzik semua dia tapau. Bukan aku buat cerita ni, Ocha yang tulis kat editorial. Even zine Belek tu pun dah sampai isu ke-5 dah dikeluarkan. Cerita-cerita yang Aepool persembahkan bukanlah jenis sembang rekaan macam isu-isu Suka Hati sebelumnya. Mostly kisah-kisah kebiasaan dalam masyarakat. Sesetengahnya Aepool cerita kisah sendiri berdasarkan watak “aku” dalam penceritaan-nya. Terselit juga unsur-unsur lucu. Part aku paling suka pasal keluarkan lighter dari celah coli, haha! Dalam cerita-cerita Aepool sebenarnya ada nilai sindiran dan kritikan. Samada korang (pembaca) terasa atau tak terasa jer. Tak terasa tu maknanya korang tak faham-lah, huhu! Aku harap Ocha teruskan projek zine Suka Hati ni. Kekalkan konsep dan formatnya. Kan kau (Ocha) cakap ramai yang email sumbangkan penulisan, kenapa tak keluarkan? Hihii. Ok, bila aku tengok balik ketiga-tiga isu Suka Hati yang dah diterbitkan ni, dorang ni semua duduk bawah satu bumbung – kolektif Rumah Bayang. Tak silap aku la. Kira pusing sana pusing sini geng-geng Cukong Press, Monkey Zine, Pickpocket Press, Ayam Hitam semua tu lah. Bagi jalan balik la projek Suka Hati ni.. pasni aku nak tengok/baca “8 kisah” dari Redo Gemok dengan Mat Ghandi pulak. Redo.. bagi la aku Zine Pendek kau tu. Dah 4-5 isu kuar satu isu pun aku takde lagi. Aku nak baca dan rebiu, hihi. Kita trade la dengan Bangkit!, itu pun kalau sudi, hehe. CP Zine aku ada #1, yang #2 nanti ada sen aku beli. Tu takpe. Ehhh... dah melalut mana rebiu aku ni. Konon nak pendek ringkas dah jadi panjang berjela jugak ni. Kasi tamat sini. Fullstop.

Rebiu | SUKA HATI – Isu #2


SUKA HATI – Isu #2
12ms / A6 / Bahasa Melayu
Menerusi pengeluaran Suka Hati #2 ni barulah aku tahu rupanya mini-zine ni ada konsep. Setiap isu mestilah terdiri daripada 8 buah cerita “sukahati”, tak lebih 1500 patah perkataan. Cool jugak idea ni, jarang anak melayu sebijak Ocha ni, kikikii.. puji sikit biar kembang serupa Ahmad Nisfu lobang hidong dia. Isu kedua ni penulisnya bernama Kolo-Kolo. Aku difahamkan (ada tulis kat part editorial) yang Kolo-Kolo ni seorang budak umur 14 tahun. Rasanya aku ada jumpa budak ni masa Selangor Zine Fest (2017) baru-baru ni. Backup vocal band Ayam Hitam. Dah pandai “pow” rokok aku, kahkahkah! Takde hal-lah! Untuk Suka Hati #2, Kolo-Kolo tulis “8 Kisah Dongeng”. Tak macam #1  yang sedikit sebanyak ada continuity antara setiap cerita, cerita-cerita pendek tulisan Kolo-Kolo ni masing-masing lain kisah, lain watak. Boleh tahan berdengung jugak dongeng si Kolo-Kolo ni. Ada yang merepek meraban, tapi tak tersasar dari situasi-situasi sebenar yang berlaku dalam kehidupan realiti ini. Contohnya macam tabiat melancap, ustaz facebook, rasis dan beberapa isu lagi antara perihal yang dikaitkan dalam penceritaan Kolo-Kolo. Bagus!

Rebiu | SUKA HATI – Isu #1


SUKA HATI – Isu #1
12ms / A6 / Bahasa Melayu
Dah ujung-ujung ni aku dah naik malas tulis ulasan panjang lebar. Kepala pun dah start nak migrain. Jadi aku kena cari bahan yang aku boleh tulis pendek-pendek, rebiu ringkas. Haa.. ada pun ni, zine Suka Hati. Zine yang aku beli masa KLZF2016 ni aku ada semua tiga isu (setakat yang dorang dah rilis 3 isu ni-lah, rasanya). So kita mula dengan isu pertama dulu. Kesemua ketiga-tiga isu keluaran zine Suka Hati ni editornya Ocha Vozvyshennyy (lagi-lagi Ocha, huh!), cuma penulis setiap isu berbeza, lain-lain orang. At the end, boleh disimpulkan Ocha ni orang yang gemar menulis, banyak idea dan suka terbitkan zine dan buku. Cukong Press tu dia punya-lah! Respek! Suka Hati #1 penulisnya Ocha, laaa.. dia jugak! Isu ni menampilkan “8 Kisah Masyarakat”. Maksudnya, terdapat lapan buah short stories, cerpen “fiksyen” ikut sukahati Ocha nak tulis. Ia berkisar tentang Aman, Amin dan Amira yang rupanya kembar tiga beradik yang dah lama terpisah akhirnya bertemu pada usia 87 tahun. Garapan cerita macam nak merapu, tapi bila fikir balik ada mesej-mesej tertentu. Overall, menarik gak la zine Suka Hati ni. Pemilihan saiz font baru betul untuk zine comel A6 ni, kalau nak banding Proziko tadi.

Rebiu | PROZIKO – Vol.1 (Nuklear)


PROZIKO – Vol.1 (Nuklear)
12ms / A6 / Bahasa Melayu
Pro-Zi-Ko – Projek Zine Kolaj. Zine ini diterbitkan di bawah label MONKey Zine. Motif: dibuat bersama-sama masyarakat, merapatkan hubungan komuniti setempat, pembelajaran terhadap kepentingan isu semasa alam dan politik idea, dan bergerak ke serata negara untuk pembikinan setiap isu. Vol.1 ni fokus isu “Nuklear” diterbitkan pada September 2016. Aku dapat zine bersaiz kecil ni masa KLZF tahun tersebut. Ocha Cukong Press punya kerja jugak ni. Konsep zine ni gabungan penulisan (artikel bersifat edukasional) dan imej kolaj (collage). Isu ni dibuat bersama komuniti kolektif Rumah 101, Sg. Acheh, Pulau Pinang. Aku malas nak komen pasal isi kandungan sebab pengisiannya memang pun bagus – dalam format penulisan pendapat penulis, re-write berdasarkan petikan sumber mahupun kutipan sumber disiarkan bulat-bulat. Aku cuma nak komplen dua perkara; pertama saiz font terlalu kecil, sakit mata aku nak baca. Buat zine saiz A6 ni ok, nice idea tapi penggunaan font kena betul. Bukan zine kecik, font jadi lebih kecik, hihi! Yang kedua pasal konsep kolaj yang jadi konsep pembikinan Proziko ni, tapi aku tak nampak pun kerja-kerja seni kolaj tu ditonjolkan lebih menyerlah. Ada, tapi kecik-kecik macam hiasan tempelan je. Pandangan aku, zine ni kena tepat dengan maksud kolaj tu, kena bikin style lebihkurang macam zine cut & paste tapi dalam teknik kolaj. Aku baca dalam ni ada plan nak buat vol.2 topik “Alam Sekitar”, tapi macam tak nampak bayang.

Rebiu | KITA KAWAN


KITA KAWAN
52ms / A5 / Bahasa Melayu
Kita Kawan satu lagi buahtangan solo Aku Napie, atau nama sebenarnya Hanafi Shafie (Bangkit! Fanzine ada menemubual kartunis indie ini untuk kalian kenali beliau lebih lanjut). Kalau google, search di laman facebook, sudah beberapa kali juga zine komik Kita Kawan ini diulang-cetak. Setiap versi berlainan kulit luarnya. Salinan yang saya ada ini Cetakan Ketiga Terhad, tahun 2016. Tagline-nya: 50 Karenah Kawan-Kawan Kau Dan Aku. Versi asal tak silap saya hanya 30, maknanya ada revision atau penambahan yang dibuat ke atas cetakan terbaru. Konsep Kita Kawan ini mudah, tetapi pengisiannya berat dan perkara realiti. Ia isu-isu yang berlaku hampir setiap hari, sepanjang kehidupan ini. Tentang perangai dan tabiat kita semua sesama kita (kau, aku, kita semua!) digambarkan dalam situasi “sebelum” dan “selepas”. Saya suka topik-topiknya,  cerita dan dialog-dialognya. Saya percaya, ada yang tepat ke batang hidung kamu sendiri, pembaca zine ini. Stroke kartun dalam komik Kita Kawan berbeza dengan Bujang Kartun. Stroke untuk ini hampir iras komik Aku & Dia! (seperti yang ditampilkan dalam dua volume awal komik Aku, Dia dan Bujang). Seperkara yang saya tahu, berbanding versi ini, format versi terdahulu setiap topik/situasi disusuli deskripsi/keterangan lanjut berkaitannya. Tetapi tiada dalam versi cetakan ketiga ini, ia diketepikan / dikeluarkan. Dan lagi, kalau dihitung-hitung semula bukannya 50 karenah, yang ada cuma 44. Tak apalah, yang penting mesej komik zine ini sampai menerusi sindiran-sindiran sinis dan pedasnya!

Rebiu | IMBAUZINE


IMBAUZINE
24ms / A5 / Bahasa Melayu
Kenangan Rock Kapak 80-90an. Ini tema yang mengisi Imbau Zine, yang saya fikir sebuah projek khas karyaan Aku Napie. Ini sangat dekat dan rapat di hati ramai pembaca pertengahan usia, seperti saya – yang remaja dan dewasa pada tempoh itu, melalui dan merasai era gemilang rock kapak, rock kangkang, zaman Battle Of The Bands. Kisah-kisah berambut panjang, berseluar ketat. Berkasut Aliph, t-shirt Loudness. Argghhhh...benar-benar nostalgik. Benar-benar mengimbas memori. Terima kasih Imbauzine, mengembalikan semua kenangan itu dalam bentuk sketch-sketch, ilustrasi-ilustrasi dan teks ringkas dan menarik. Ini tribute Aku Napie untuk semua brader rockers! Rock terus rock!!!

Selasa, 9 Januari 2018

Rebiu | BUJANG KARTUN – Edisi #4


BUJANG KARTUN – Edisi #4
68ms / A5 / Bahasa Melayu
Bujang Kartun edisi ke-4 (Cetakan Pertama Disember 2015) ini bagi saya sebuah rilisan super bumper. Tebal (68 mukasurat termasuk kulit luar), lebih serius dan kualiti produksi yang jauh lebih baik. Seperti biasa, banyak kisah-kisah Bujang disajikan, digarap dalam pelbagai celoteh mencuit hati. Saya tidak pasti mengapa Aku Napie mengatakan edisi kali ini agak rabak (sepertimana tercatat di mukasurat 1), tetapi saya melihat kompilasi kartun / komik dalam edisi ini istimewa dan sangat dekat dengan diri Aku Napie itu sendiri. Edisi ini sebaha-gian besarnya membawa tema zaman persekola-han. Ini kisah-kisah Aku Napie dan teman-temannya di bangku sekolah. Pengalaman dan nostalgia Aku Napie yang ditransformasikan ke bentuk karakter Bujang. Eksklusifnya edisi #3 ini, di bahagian Extra, selain slot Sketch dan Fan-Art, terdapat dua siaran penting yang akan membantu pembaca mengenali, mendekati dan memahami siapa dan apa adanya dengan Aku Napie itu sendiri dan di sebalik penghasilan Bujang Kartun. Paparan yang dimaksudkan adalah komentar oleh Rudi Mahmood (bekas editor Majalah Fantasi) dan kertas kajian pelajar UiTM. Sebagai penutup kepada ulasan ini, saya nak petik kembali catatan di kulit belakang: “Suatu pengembaraan yang paling menyeronokkan dan aku begitu gembira dapat menghasilkan karya seperti ini biarpun secara indie. Selepas beberapa tahun aku masih mengembara dalam dunia kartun Bujang ini. Banyak lagi yang perlu diteroka dan banyak lagi yang perlu diceritakan. Mungkin tiada yang istimewa bagi sesetengah orang, namun bagi aku inilah yang ingin aku lalui pada hari-hari yang mendatang”. Teruskannya Aku Napie, teruskan! Jangan pernah lupa apa yang membawa Aku Napie hingga ke hari ini. 

Rebiu | BUJANG KARTUN – Edisi #3


BUJANG KARTUN – Edisi #3
40ms / A5 / Bahasa Melayu
Entah dah berapa cetakan Bujang Kartun #3 ini saya tidak pasti. Ada dicatatkan cetakan pertama pada Mei 2013. Salinan yang ada pada saya berkulit hitam pekat ditampal pelekat Bujang Kartun. Inilah akibat lambat mengenali Aku Napie, yang mula menghasilkan imaginasi lukisannya sejak tahun 2009 lagi. Edisi ke-3 ini adalah “era baru” zine komik ini, di mana ianya 100% Bujang Kartun. Menariknya, selain daripada beberapa kisah Bujang yang dipersembahkan dalam bermacam ragam kesengalannya, dalam edisi ini turut diperkenalkan tentang Bujang lebih dekat. Antaranya, Bujang Revisited yang mengimbas kembali kartun pertama Bujang yang diterbitkan di facebook pada pertengahan 2011, Sejarah Bujang, biodata/biografi Bujang dan pengkongsian Aku Napie di sebalik lakaran asas serta idea melukis kartun/komik Bujang. Edisi ini turut menyelitkan 3-halaman Bujang Kartun Fan-Art, kompilasi artwork Bujang yang dihasilkan para peminatnya. Memang betul ngam-lah!!

Rebiu | BUJANG KARTUN – Edisi #2


BUJANG KARTUN – Edisi #2
36ms / A5 / Bahasa Melayu
Salinan komik Aku, Dia dan Bujang Kartun volume dua yang ada dalam koleksi saya ini adalah Cetakan Semula 2016. Keluaran asalnya pada Julai 2012. Dalam isu #2 ini terbahagi kepada 3 bahagian utama. Yang pertama, komik Aku dan Dia! Masih lagi berkisar pasangan bercinta yang saling usik-mengusik. Berbeza dari konsep komik drama dalam isu terdahulu, Aku dan Dia! yang dikatakan musim terakhir ini dipersembahkan dalam format loose comic. Ada 10 episod dengan pelbagai kerenah dan keletah, so sweet!. Bahagian kedua, Bujang Kartun. Kali ini watak Bujang digarap sebagai seorang adiwira bergelar Bujang Boy. 10 episod dalam  konsep kartun / komik satu mukasurat. Bermacam ragam. Superhero yang super sengal yang bikin orang geram, hehe!. Bahagian terakhir merupakan Bujang Kartun Edisi Istimewa. Karya-karya tribute atau dedikasi Aku Napie terhadap kartunis dan karakter komik yang dah pun popular di tanahair. Menarik idea ini dan garapan olahan Aku Napie juga terbaik. Sesiapa yang setia mengikuti zine Bujang Kartun pasti akan merindui kenakalan Aku & Dia, siri komik yang menemui noktah penamatnya dalam edisi ini. 

Rebiu | BUJANG KARTUN – Edisi #1


BUJANG KARTUN – Edisi #1
36ms / A5 / Bahasa Melayu
Ini merupakan terbitan pertama Bujang Kartun, yang mana pada ketika ini masih menggunakan judul Aku, Dia dan Bujang Kartun. Inilah karya-karya awal Aku Napie yang hari ini telah menempa namanya yang tersendiri dalam scene kartunis / komik indie tempatan. Terdapat dua bahagian utama dalam zine komik ini; yang pertama komik drama 10 mukasurat Aku & Dia musim ke-2 “Ragam Bila Berdating”. Ia kisah sepasang kekasih yang suka menyakat antara satu sama lain. Komik Aku & Dia ini telah mula dibuat sekitar tahun 2010. Musim Pertama disiar secara percuma di laman facebook Aku Napie. Kompilasi kartun loose (komik semuka) Bujang Kartun merupakan highlight kepada penerbitan komik ini. Watak utama bernama Bujang itu diujudkan sebagai nadi pelbagai penceritaan Bujang Kartun. Stroke Aku Napie sedikit-sebanyak mengingatkan kepada animasi Usop Sontorian dan kartun Din Beramboi. Mungkin dari situ datangnya idea dan inspirasi kepada Aku Napie. Salinan yang saya ada adalah Edisi Terhad, Cetakan Semula 2016.

Rebiu | HEAVY MENTAL


HEAVY MENTAL
40ms / A5 / Bahasa Melayu
Heavy Mental sebuah komik / artzine yang diperbuat di Shah Alam. Mungkin terbitan one-off, tiada edisi-edisi susulan. Ia menghimpunkan beberapa karya dari pelukis seperti Michael Madness, Headcleaner, N.D, Babarock dan Nixxamd. Pengisiannya banyak menampilkan komik-komik single panel, ilustrasi-ilustrasi kreatif dan artwork-artwork yang agak “jahat” stroke-nya. Turut dihiasi sedikit teks yang sebahagiannya bertema dunia rock kapak dan heavy metal, serta baik-bait lirik lagu yang disesuaikan dengan lukisan yang ditampilkan. Overall, menarik untuk santapan mata.

Rebiu | COREPEPS & SUPERFRIENDS – Isu #8


COREPEPS & SUPERFRIENDS – Isu #8
84ms / A5 / Bahasa Melayu
Corepeps adalah cantuman dua perkataan; Core dan Peeps, yang akhirnya dimaksudkan sebagai Manusia Kental. Isu #8 yang direalisasikan pada Disember 2016 ini dikhabarkan isu yang hadir kembali selepas 8 tahun “berdiam diri”, di mana isu terdahulu rilis di tahun 2008. Menurut tunjang belakangnya Arul, beliau kali ini berkolaborasi dengan begitu ramai rakan kontributor, “superfriends” yang turut serta menjayakan evolusi Corepeps – sebagaimana diungkapkan: Kita Tidak Jalan Sendirian. Corepeps ini artzine yang menggabungkan kepelbagaian karya seni independen; merangkumi senitulis, senilukis dan bermacam lagi benda-benda seni, berseni dan penuh kesenian. Kalau saya ditanya, jawaban saya pasti Corepeps – inilah artzine yang terbaik di kalangan scene zine tempatan. Ketrampilan Corepeps & Superfriends #8 ini persis majalah profesional. Ia memiliki kualiti tahap tinggi dari semua segi; terutamanya kandungan dan cetakan. Isu ini sarat lagi padat serta mampat dengan pelbagai wajah dan wadah pengisian. Begitu banyak penulisan yang boleh dibaca, samada dalam format catatan peribadi, anekdot mahupun rencana – dari kisah muzik, animasi, politik hinggalah ke cerita-cerita bolasepak dan puisi/sajak kontemporari. Begitu juga dengan hebatnya paparan-paparan berbentuk sketch, ilustrasi, artwork dan komik – keseluruhannya kelihatan begitu sempurna pada kacamata saya. Karya-karya yang saya kira terhasil dari tangan-tangan berkemahiran. Hasilkerja senilukis yang berada pada kelas-kelasnya yang tersendiri. Dengan ketebalannya yang mencapai 80 mukasurat, karisma luarannya, kemas rapinya rekabentuk dan susunatur dalaman zine ini, Corepeps (merujuk kepada isu #8 ini) cukup, cukup, cukup berbaloi untuk dimiliki. Nilai senaskah artzine ini jauh lebih tinggi dari hanya RM10 yang dilaburkan untuknya. Tabik-hormat berganda dari saya untuk Corepeps. Saya mahu menghargai kerja keras inisiatif kalian, yang berpenat-lelah melakar langit.

Rebiu | EKSPLOITASI SUNYI


EKSPLOITASI SUNYI
52ms / A5 / Dwi Bahasa
Eksploitasi Sunyi ini salah-satu zine yang dirasmi-kan rilisannya pada Perlis Zine Fest, 15 Oktober 2016. Ini zine puisi, gandingan sepasang sahabat (teman tapi mesra, mungkin!), gabungan dua tenaga anak muda yang ada dalam diri mereka idea-idea segar-bugar; Asraf Mohamad dan Najiha Amran. Kesemua sajak-sajak nukilan Asraf ditulis dalam Bahasa Melayu, manakala beberapa kerat puisi / kata-kata puitis Najiha diolah berbahasa Inggeris. Mereka berdua bagaikan lahir ke dunia untuk memiliki satu jiwaraga yang sama, berkongsi naluri dan sanubari yang serupa. Mereka berdua sepakat– sama dan serupa dalam mentafsir estetika “sunyi” dalam bait-bait perkataan yang cukup artistik, melankolik, bahkan romantis. Menyelusuri setiap halaman naskah ini, setiap kuntum rangkap penuli-sannya bagai berada di alam cinta, resah gelisah kasih sayang, gundahnya rindu, kecewa tak keruan, terperangkap dan terperap dalam “kesunyian” yang ada di antaranya. Terasa manisnya, terasa juga sakit pahitnya! Saya menelaah zine puisi ini, diiringi simfoni mendayu Cinta Sepi dendangan SEARCH, berulang-kali, bersekali dalam emosi yang tercipta dari Eksploitasi Sunyi. Hebat!

Rebiu | SEMUA DARI HATI (DARI KOTA EMOSI)



SEMUA DARI HATI (DARI KOTA EMOSI)
76ms / A5 / Bahasa Melayu
Ini zine puisi, terbitan dan edaran thekotapena. Biar saya tulis kembali cebisan kata yang tercetak pada halaman pertama, pada hemat saya ianya sedikit sebanyak menggambarkan pengisian zine ini: “Pada usia ini, ketika darah muda mengalir dalam diri, dan khayalan serta sentimen yang masih memenuhi jiwa.. ketika itulah cebisan ilham ini mula dirapikan.. kisah yang mungkin dikata orang, seakan penulisnya, menulis tentang nasibnya sendiri... siapa pun yang diwatakkan dalam kalam ini.. hidupnya penuh pengkesahan untuk dikalamkan...”. Semua Dari Hati terhasil dari himpunan karya 4 orang penulis remaja. Yang pertama, gadis yang menggelarkan dirinya sebagai Seorang Asyier, hadir dengan 17 buah sajak. Yang kedua bernama Nuha Anuar, juga seorang wanita di mana beliau menghadiahkan 8 sajak. Jejaka tampan Mursyid Asri sumbangkan 6 puisi nukilannya. Manakala yang terakhir Akhirul Hamka namanya. Lelaki ini mengkalaminasikan sebuah potret jiwa menerusi 30 karya coretannya. Saya terpandang nota kecil di muka tengah – Note to Self: RELAX. Saya bersetuju dengannya. Pada jumlah keseluruhan 61 buah puisi ini perlu dibaca dan dihadamkan dalam suasana santai, damai, dalam keadaan diri dan persekitaran yang tenang. Sajak-sajak ini pelbagai warna, cetusan rasa empat karakter; berbeza jiwa dan tulisan namun halanya masih tetap pada laluan yang sama, demi satu tujuan – berbicara meluah segalanya tentang hidup dan kehidupan, yang terungkap dari dasar dalam, dari lubuk perasaan, Dari Kota Emosi. Katanya, ini tulisan-tulisan hidup tak bernyawa. Benar, roh aksara subur pada makna-maknanya.

Rebiu | CATATAN PINGGIRAN


CATATAN PINGGIRAN
44ms / A5 / Bahasa Melayu
Catatan Pinggiran adalah perzine dihasilkan Jazli Safwan, atau nama penuhnya Mohamad Jazli Safwan bin Ali. Beliau tinggal di Langkawi dan menjalankan perniagaan percetakan, Mustika Cetak. Dilancarkan semasa acara Perlis Zine Fest 2016, zine ini asas formatnya adalah kompilasi penulisan kreatif Jazli Safwan; merangkumi catatan-catatan peribadi (anekdot dan cerita kontot) serta puisi karya beliau yang terkumpul sekitar tahun 2007-2010. Sepertimana diberitahu, ini adalah ekstraksi dan seleksi dari blog lama beliau yang kini tidak lagi aktif. Catatan Pinggiran menghimpun 17 catatan; antara yang menarik perhatian seperti Air Rumput, Budak-Budak La Ni, Plaza Rakyat, Dewasa: 1, Dewasa: 2, Mapley, Nasi Lemak Juadah Sahur... sekadar menyebut beberapa judul. Saya kagum, terpegun dengan pendekatan penulisan Jazli Safwan. Beliau kongsikan pengalamannya, perjala-nan dan kehidupannya dari kecil hingga dewasa dalam susun bahasa yang unik, puitis! Ayat-ayatnya pendek, ringkas – sepertinya Jazli sedang berada di hadapan kita, sedang bercerita – dengan baris-baris kata yang akan buat pendengar khayal, hanyut, terpukau dan mahu terus mendengar. Sangat kreatif. Senang difahami, terus ke jiwa, mudah dicerna-hadamkan. Begitu juga dengan himpunan sejumlah 7 buah sajak. Tidaklah keterlaluan. Sederhana, tetapi sudah cukup sempurna untuk sampai maksud dan pengertiannya di hati pembaca. Catatan Pinggiran ini zine yang benar-benar eksklusif menurut pandangan saya. Tidak sahaja istimewa pada Jazli Safwan, tetapi istimewa juga pada pemilik dan pembaca zine ini. Terharu juga dibuatnya bilamana Jazli menulis catatan “Terima kasih atas sokongan. Bro salah seorang pendorong untuk saya terbitkan zine ini” pada salinan yang saya ada, diikuti tandatangan beliau. Jangan berhenti di situ Jazli, teruskan menulis dan terbitkan zine. Catatan Pinggiran direkabentuk, diuruscetak dan diterbitkan oleh Hangtera Productions.

Rebiu | HASUTAN – Isu #2


HASUTAN – Isu #2
40ms / A5 / Bahasa Melayu
Episod 2: “Bahaya Sedekah” merupakan tema/topik yang ditampilkan dalam keluaran kedua zine komik Hasutan. Objektifnya seperti juga isu pertama dan memang itupun motif penerbitan ini– berdakwah menerusi senilukis kartun/komik. Tiga makhluk syaitan iaitu Ha, Sut dan An meneruskan pengem-baraan mereka, dengan segala macam taktik dan strategi memesongkan manusia. Sepertimana yang kita ketahui, syaitan adalah mahkluk jahat yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia daripada jalan yang benar, agar manusia tersimpang dari menjadi hamba yang beriman kepada Pencipta dan tergolong dalam ahli Neraka. Tiada pula puisi (sajak) dalam edisi ini. Lebih banyak petikan surah dan hadis nabi juga. Terdapat juga sambungan tips/ tutorial melukis komik mengikut kaedah yang diguna pakai dalam zine komik ini. Zine Hasutan bersifat pendidikan ini boleh dikatakan sesuai untuk tatapan/ bacaan masyarakat umum (Islam). Segala cerita diilustrasikan mengikut pendapat, idea dan batas pemikiran saudara Aiz7, atau nama sebenarnya Mohd Faiz bin Najamuddin.

Rebiu | HASUTAN – Isu #1


HASUTAN – Isu #1
44ms / A5 / Bahasa Melayu
Ini zine komik yang membawa tema keagamaan, bukan sekadar hiburan tetapi mengetengahkan unsur-unsur dakwah atau dalam ertikata lain bercirikan islamik. Penulis dan pelukis di sebalik komik Hasutan adalah Mohd Faiz bin Najamuddin, atau nama penanya Aiz7. Untuk isu pertama ini dikenali sebagai Episod 1: “Strategi Setan”. Aiz7 dalam kartun / komik beliau ini mewujudkan 3 watak makhluk syaitan bergelar Ha, Sut, dan An. Pengkisahannya adalah ketiga-tiga mahkluk yang mewakili syaitan ini menyusun strategi dalam usaha menghasut golongan manusia agar terus leka dan lalai dengan kepentingan dunia, dan menyembunyi-kan perkara yang benar mengenai akhirat. Zine Hasutan ini turut menyelitkan beberapa buah sajak, petikan/tafsiran ayat-ayat Al-Quran serta tips/tutorial melukis komik menggunakan aplikasi Sketchbook Express. Kulit zine dibikin dan dicetak berwarna penuh. Tahniah di atas penghasilan zine komik yang memberi manfaat, tidak lokek ilmu dan boleh dibaca seisi keluarga.

Rebiu | SAJAK-SAJAK YANG BERTEDUH DI BAWAH SURAM


SAJAK-SAJAK YANG BERTEDUH DI BAWAH SURAM 
72ms / A5 / Bahasa Melayu
Sajak-Sajak Yang Berteduh Di Bawah Suram mungkin boleh dianggap sebuah buku, tetapi saya meletakkannya di bawah kategori litzine, malah  pendekatan terbitannya juga mengikut kaedah zine DIY. Ini adalah himpunan puisi (sajak) karya Adi Herman, anak jati kelahiran Bintulu, Sarawak yang juga editor zine Bisak Palak serta penulis antologi cerpen Pentagram Di Atas Pusara. Sejumlah 50 buah sajak dimuatkan dalam Sajak-Sajak Yang Berteduh Di Bawah Suram, beberapa daripadanya ditulis dalam format prosa. Sajak-sajak ini dibahagi dua; Bahagian I dengan 25 buah sajak dan baki selebihnya di Bahagian II. Sebenarnya saya turut menyumbangkan penulisan prakata untuk penerbitan ini, di mana antaranya saya menulis: Adi Herman mungkin bukanlah seseorang yang mendapat didikan secara formal dalam bidang kesasteraan. Tapi percayalah, jika menulis dengan jiwa, jika ditulis dengan cinta, maka hasilnya akan jauh lebih bermakna. Inilah namanya bakat semulajadi, Anugerah Tuhan pada Adi Herman. Puisi-puisi, sajak-sajak, kata-kata puitis karya Adi Herman cukup bijak penghasilannya; halus, mendalam, pelbagai emosi bahkan unik menurut pandangan saya apatah lagi disulam dan dianyam dengan penguasaan bahasa yang baik. Penulisan-penulisan itu seakan “bernyawa” kerana itulah himpunan kata-kata yang datang dengan ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam. Sebagai kesimpulan, saya sarankan semua penggemar puisi / pengumpul buku puisi segera dapatkan naskah indah ini yang telah terbit dan mula diedarkan secara rasmi pada 24 Februari 2017 lalu. Kraf dan cetakannya dibantu oleh La Lectrice Borneo, diperkemaskan dengan teknik Japanese Stab Binding. Izinkan saya akhiri ulasan ini dengan menulis kembali catatan pada kulit belakang buku/zine Sajak-Sajak Yang Berteduh Di Bawah Suram: “...cinta adalah jelaga api yang sukar dijinakkan”.

Rebiu | METO – Vol.2


METO – Vol.2
64ms / A5 / Bahasa Melayu
Ben (editor) kembali dengan volume kedua perzine beliau, METO. Kali ini sedikit nipis, 64 halaman termasuk kulit. Pada dasarnya, ini sambungan kepada Vol.1 terdahulu, perkongsian kisah dan pengalaman hidup di sebuah pulau. Akan tetapi, dari satu sudut saya dapati cerita-cerita kali ini lebih “jahat”, lebih “gila”, lebih gedebe!. Dalam isu yang ini, penulis menghidangkan 6 cerita; Reception Sek Jahak, Curi, Kuasa Kuda / Minum / Todi, Kupu Kupu Itali, Cinta Sama Itu Hitler, dan Kemalangan. Penceritaan Ben kali ini agak lebih panjang lebar untuk setiap kisah namun cara dan gaya penulisan itu tidaklah membosankan. Ia seakan membawa pembaca seolah-olah berada sekali dalam setiap babak dan kejadian. Meto vol.2 ini sangat celaka, haha! Sebabnya, mata asyik merenung tajam beberapa foto gadis seksi berbikini yang turut diselitkan. Saya kira foto-foto original ini bukanlah sekadar hiasan semata, tapi pelengkap kepada pengisian menyeluruh zine Meto ini. Dapatkan vol.2 ini kerana ini penggenap kepada vol.1. Baru-baru ini saya mendapat khabar yang Ben mengeluarkan zine baru bernama NYELE. Saya belum dapat dan tidak tahu apa isi kandungnya. Saya terfikir, bukankah lebih elok jika Ben mengekalkan kesinambungan METO – maksud saya, Meto Vol.3 edisi “Nyele”. Mungkin Ben ada sebab-musabab tertentu, pengisian pada sisi yang berbeza. Entah, nanti saya mahu dapatkan sesalinan zine Nyele di KLZF2017.

Rebiu | METO – Vol.1


METO – Vol.1
88ms / A5 / Bahasa Melayu
METO? Apa maksudnya. Saya ada bertanya pada rakan-rakan di Kelantan dan mereka kata, “meto” lebihkurang seperti “agah” (berlagak/sombong) atau “gedebe” (samseng/berani). Zine Meto ini sangat tebal, 88 mukasurat termasuk kulit luar. Ditulis oleh saudara Ben (Skaliair Press) dan diterbitkan secara bersama dengan Kitartb, sebuah toko buku & seni (alternatif) di Kota Bharu. Seperti yang dinyatakan, ini bukannya travelog atau cerita khayalan si penulis. Berdasarkan pembacaan saya, ianya adalah himpunan coretan kisah-kisah realiti yang dilalui Ben, seseorang yang membesar, bekerja (di sebuah resort) dan menjalani kehidupan pada satu jangkamasa yang lama di sebuah pulau di Pantai Timur (malangnya nama pulau dirahsiakan, mungkin Ben ada alasan tertentu). Penceritaan Ben yang lahir dari hasil perkahwinan campur dalam zine Meto #1 ini melibatkan 21 kisah; Pulau, Kolej, Back To Home, Hustle, Pulau 101, Made in England, Kampung Nelayan dan Pasir Panjang, Perempuan, Kuda, Eat Sleep Dive Repeat, Jin, Lutong and Black Bikini, Only Natural, Guide Hati Awak, Made in China, Pasir Panjang, Jatuh Chenta, Hangover, Sesat, Hustle, dan Penumbuk. Untuk keseluruhan, gaya penulisan Ben agak menyeronokkan, terselit juga loghat-loghat setempat (Kelantan/Terengganu), pelbagai pengalaman melayani kerenah pelancong, persekitaran dan masyarakat penduduk pulau, ada yang lucu mencuit hati malah tersembul juga sisi jahat Ben, si penulis itu sendiri (haha!). Saya sukakan zine ini yang turut dihiasi beberapa foto keindahan pantai dan pulau. Ini bukan sekadar cerita-cerita biasa tentang pata (pantai), pula (pulau), budu (sos ikan bilis yang popular di pantai timur), tino (orang perempuan) dan nyele (aktiviti menyelam/skuba), tetapi secara menyeluruh saya juga melihat Meto vol.1 ini sebuah perkongsian pengalaman sebenar yang mungkin juga berguna untuk sesiapa yang ingin hidup dan bekerja di pulau. Sangat-sangat menarik!

Rebiu | GELANGGANG FILEM – Isu #12


GELANGGANG FILEM – Isu #12
40ms / A5 / Bahasa Melayu
Gelanggang Filem Fanzine #12 telah diterbitkan pada Oktober 2016 dan isu ini menampilkan tema “Animasi Malaysia ke Persada Dunia”. Bersesuaian dengan tema yang diketengahkan, editor fanzine ini telah mengadakan tiga temubual eksklusif mengenai animasi tempatan; yang pertama, Satria (The Warriors of 7 Elements) – bersama Azrul H Baharom, CEO Funcel Studio. Yang kedua, Ejen Ali – bersama Usamah Zaid, pengarah serta CEO WAU Animation Sdn Bhd dan yang ketiga, Didi & Friends – bersama En.Hairul, co-founder / producer Digital Durian. Turut diselitkan interbiu bersama Tadatada, pelukis komik Aliff Dalam 7 Dimensi yang mana kemudiannya difilemkan. Selaku editor, Xrantarox Farid turut menulis artikel Animasi Malaysia: Dari Kaca Mata Aku di mana beliau turut mengimbau kembali siri-siri animasi yang pernah mewarnai zaman kanak-kanaknya iaitu Usop Sontorian, Anak-Anak Sidek, Iceman, Wise Mice dan Keluang Man. Lain-lain paparan menarik dalam GFF #12 adalah wawancara bersama Tunku Mona Riza (pengarah filem Redha) serta rebiu filem Pekak (yang ditulis oleh Siti Amanda). Banyak lagi yang boleh dibaca menerusi isu kali ini tetapi malangnya Gelanggang Filem Fanzine #12 adalah isu terakhir yang diterbitkan sebelum editornya beralih arah kepada zine muzik indie Suara Kami. Malangnya juga Suara Kami Zine hanya satu isu dikeluarkan setakat ini (#1, November 2016) sebelum editornya “diam membisu” hingga ke hari ini. Saya amat berharap Farid kembali menulis dan meneruskan Gelanggang Filem Fanzine kerana ini zine yang lain dari yang lain, dan scene zine tempatan memerlukan zine yang seperti ini. 

Rebiu | GELANGGANG FILEM – Isu #11


GELANGGANG FILEM – Isu #11
40ms / A5 / Bahasa Melayu
Percaya atau tidak, saya mengumpul kesemua 12 isu keluaran Gelanggang Filem Fanzine yang telah diterbitkan setakat ini. Pun demikian, satu-satunya isu yang pernah saya rebiu sebelum ini adalah isu #7 (yang disiarkan dalam Bangkit! #1). Menariknya tentang zine ini ialah mengikut pemerhatian saya, inilah satu-satunya zine DIY yang membawa tema filem (komersil) dan dunia perfileman itu sendiri. Ianya bukan seperti majalah-majalah hiburan mainstream di luar sana yang lebih dipenuhi gosip murahan artis dan kehidupan selebriti, tetapi zine Gelanggang Filem ini mengangkat martabat seni filem dari sudut ilmiah. Gelanggang Filem #11 yang dikupas ini adalah “FFM Special Issue” – edisi bersempena Festival Filem Malaysia 28. Isu ini diterbitkan pada Ogos 2016. Antara kandungan yang menarik adalah rebiu penulis (Farid bin Ahmad Salleh atau nama facebooknya Xrantarox Farid) ke atas filem Mawar Putih (filem terakhir Mak Nani), pendapat beliau tentang pencalonan akhir Festival Filem Malaysia 28, kontroversi penarikan diri Yusof Haslam dari penganjuran FFM, artikel mengenai Festival Filem Malaysia Pertama (1980) dan pelbagai artikel-artikel ringkas seputar (kemelut) FFM28. Dalam isu ini turut terdapat sebuah interbiu bersama KOMFIT atau penuhnya Komuniti Filem Titiwangsa. Menerusi zine ini barulah saya tahu terdapat bermacam isu dan permasalahan di sebalik industri perfileman tempatan, terutamanya berkisar acara dan anugerah Festival Filem Malaysia tersebut.

Rebiu | JERF!!!


JERF!!!
28ms / A5 / Bahasa Melayu
Waahhh! Ini artzine yang boleh tahan menariknya. Ia dipenuhi dengan artwork-artwork, ilustrasi-ilustrasi yang “lain macam” stroke-nya. Saya kurang pasti sudah berapa isu Jerf!!! dikeluarkan setakat ini. Jika mengikut catatan ringkas di mukasurat 3, ini adalah penghasilan isu pertama. Dan kemungkinan juga nama-nama seperti E-pul, Badut666 dan Kucing Pink adalah individu-individu di sebalik karya-karya senilukis yang terdapat di dalam zine ini. Sungguh, sangat-sangat terbaik himpunan artwork yang terdapat artzine ini yang mana diterbitkan secara bersama oleh Psychotic Art Zine, WhiteBirds 666 Studio, C.H.A.P. Badut dan Leprikon Bazaar. Saya percaya mereka adalah freelancer – 012-9747139.

Rebiu | PSYCHOTIC ART ZINE – Isu #23


PSYCHOTIC ART ZINE – Isu #23
40ms / A5 / Dwi Bahasa
Psychotic Art Zine isu #23 telah diterbitkan pada 25 Disember 2016 di mana ianya keluaran khas sempena Seremban Zine Fest 2016 yang berlangsung di Bazaar MAINS, Seremban. Tertanya -tanya juga di mana isu ke-22 lalu saya dapatkan penjelasan dari Amir Fadli, editor PAZ. “Isu #22 memang Amir tak riliskan, mastercopy dia ada cuma ada sebab-sebab lain sahaja (ia belum dapat dikeluarkan). Nanti bila sampai masa dia akan rilis juga”, kata beliau. Berbalik kepada isu #23 ini, agak nipis namun masih sebuah penerbitan DIY yang mantap. Kali ini dengan kulit berkertas kuning dihiasi artwork karya Aku Napie. Sangat menarik artwork ini, menonjolkan kerbau dan petani/pesawah yang mana secara langsung menggambar imej Negeri Sembilan itu sendiri. Seperti biasa, isu ini memaparkan banyak ilustrasi / lakaran abstrak (disertai tulisan-tulisan tangan) Amir Fadli, yang mana saya kira ini trademark Psychotic Art. Kali ini juga turut terdapat lebih banyak puisi, beberapa cerpen dan ada juga artikel. Saya cukup tertarik dengan dua artikel (ditulis dalam bahasa Inggeris) iaitu A Glimpse Of Indonesian Noise History Seen Through A Cassette Compilation dan The History Of Jogja Noise Bombing, kedua-duanya oleh Indra Menus. Untuk makluman, saya turut menyumbang-kan 4 buah sajak dalam PAZ #23 iaitu Tanya Pada Nyawa, Duri, Bebas, dan Pada Sebuah Kehidupan. Amir Fadli khabarnya sedang menyiapkan isu baru yang dijadualkan rilis pada acara Kuala Lumpur Zine Fest 2017. Hubungi untuk editor Psychotic Art Zine untuk selanjutnya. sickscreen_p@yahoo.com

Rebiu | PSYCHOTIC ART ZINE – Isu #21


PSYCHOTIC ART ZINE – Isu #21
72ms / A5 / Dwi Bahasa
Tidak dapat dinafikan Psychotic Art adalah artzine yang paling lama bertahan, dan setakat ulasan ini dibuat, ia telah mencapai isu ke-23. Saya memiliki hampir kesemua isu yang telah dikeluarkan, tetapi untuk rebiu ini saya merujuk kepada Psychotic Art #21 yang dilancarkan penerbitannya pada 19 Disember 2015, semasa Kuala Lumpur Zine Fest tahun tersebut. Isu berkulit kertas hijau ini agak tebal. Penyunting dan pengendalinya saudara Amir Fadli ada meletakkan ayat “jampi serapah ke 21 di abad ke 21” di muka hadapan – mungkin tema keseluruhan isu ini, atau sekadar sebaris perkataan untuk disesuaikan dengan artwork “Bomoh” yang dihasilkan Aku Napie sebagai penghias kulit luar. Isu ini turut mendapat kontribusi-kontribusi daripada Patung Qasyira, Afiq Rostam, Adam Mohd Yusof, Emoqwin, Shahleyna, Edy Irwan, Karim Abdullah, Ocha Vozvyshennyy, Fice KB dan Asyiqin Adir, selain karya-karya seni Amir Fadli sendiri. Sejajar dengan ketebalannya, ini isu yang cukup sarat dan padat dengan penulisan-penulisan puisi (sajak) serta cerpen dan juga lukisan / lakaran akstrak disertakan deskripsi yang ditulis puitis, akan tetapi cukup pedas maksudnya. Terdapat juga beberapa penulisan yang ditulis dalam Bahasa Inggeris. Menarik. Ini antara isu terbaik pernah dihasilkan Psychotic Art Zine.