Rabu, 31 Oktober 2018

BPSD-03 | FAST AS FUCK #1


FAST AS FUCK – Isu #1
Editor: Harshziqr
Rilis: 31 Oktober 2018
Kod: BPSD-03
Harga: RM6.00 senaskah

Temubual bersama BADAK MILITIA (Indonesia), BANGKOK ANARCHY (Thailand), COMMIT ARSON (Philippines), DEMISOR (Singapore), GODFESTER (Thailand), INSUFFERABLE (UK), KASRAKASS (Malaysia), MAGGOT BATH (Australia), MENTOR GRINDER (Ecuador), MIERDA HUMANA (Peru), MUNTAH DARAH (Malaysia), SYSTEM DESTROYER (Argentina), TUSSOCK (Malaysia) dan WEEDEOUS MINCER (Russia). Juga terdapat ruangan berita, artikel, ulasan, musick sampler dan sebagainya! 40 mukasurat, ditulis dalam Bahasa Inggeris.


Terbitan & Edaran:
BANGKIT! PUBLISHING SUPPORT DIVISION
facebook.com/bangkitzine

Ahad, 28 Oktober 2018

Rebiu | ACID DISTORTION / CIPLIKKER – Acidlikker


ACID DISTORTION / CIPLIKKER – Acidlikker (Two Way Split Of Drunkard)
Green Peace Distro / Sukma Records / B.P Drunkard Records
Split-Tape ini menampilkan dua band punk dari Batu Pahat, Johor. Setiap mereka menampilkan 4 buah lagu, dan masing-masing dengan sebuah lagu cover. “Acidlikker” dikeluarkan pada Julai 2017 (terlebih dahulu dalam versi CD kuantiti terhad pada Januari 2017). Acid Distortion yang dibarisi Acai (dram), Kedak K (bass), Motormaniac (gitar) dan Fahmiacid (vokal) menawarkan kelantangan dan kegarangan Noise Punk menerusi lagu-lagu berjudul Action, Dogs of War, Fuck Nazis Forever, dan War System (Shitlickers cover). Punk yang agak bising, metallik dan cukup energetik. Band ini pernah saya temubual dalam Bangkit! isu #3. Ciplikker yang dianggotai Schizo (vokal), Dekwan (gitar), Jack D (bass), Jaweed (dram) dan Emi (gitar kedua) adalah satu nama yang baru saya kenali. Mungkin juga band baru dari punk squat The Wall. Mereka menyampaikan lagu-lagu seperti Drink Drunk Disorder, Drunkard Punk, FOAD, dan Protes To Survive (The Varukers cover). Aliran muzik Ciplikker pada saya agak cenderung kepada Street Punk, atau maksud saya berinspirasikan UK82 Hardcore Punk. Ayuh mabuk bersama mereka, haha!. Pada keseluruhannya ini rilisan split yang menarik, kualiti rakaman yang raw tetapi masih tetap baik dan paling penting menepati kehendak genre muzik yang dimainkan.

Rebiu | DISKANGKÜNG – Kangkungcore


DISKANGKÜNG – Kangkungcore
Green Peace Distro
Menurut yang tercatat pada sampul kaset, lagu-lagu yang terdapat di dalam rilisan ini direkod secara live dan diadun di studio Hotsounds sekitar tahun 2012. Kaset ini kemudiannya dikeluarkan pada November 2016. Apa yang saya difahamkan, “Kangkungcore” menjurus kepada kompilasi lagu-lagu yang pernah dirakam oleh Diskangküng termasuklah sebuah lagu rakaman semula. Senarai lagu seperti berikut: 1. 28 Julai 1914 (WW1) / 2. Bom Atom / 3. Dunia Huru Hara / 4. Kangkungcore / 5. War Is Misery / 6. Oppressive System / 7. Pak Menteri Berkepala Babi / 8. Perang Bangsat (re-record). Diskangküng berasal dari Batu Pahat, Johor dan dianggotai oleh Ait (gitar), Man (vokal), Hafiz (dram) dan Shah (bass). Berdasarkan pendengaran dan pengamatan saya, Diskangküng membawakan muzik D-beat / Crust Hardcore Punk yang keras, memberontak, lantang – penuh dengan kemarahan, dan juga kebencian! Saya juga berpendapat wujud elemen-elemen dark / blackened hardcore atau mungkin lebih tepat pengaruh genre stenchcore dalam lagu-lagu garapan Diskangküng. Riff-riff gitar kedengaran garang di sebalik nuansa bunyi yang kuat dan berat, petikan bass yang agak menonjol serta permainan twin pedal yang begitu baik oleh pemain dram mereka. Diskangküng pernah terlibat dalam 4-way split CD “Capitalist War Holocaust” (2012) bersama Exkoriator (Singapura), Angkara (Kedah) dan Geen Naam (Kuala Lumpur) di mana 4 lagu dari Diskangküng dalam split tersebut turut dimuatkan dalam cassette-tape “Kangkungcore”. Jahat!

Jumaat, 26 Oktober 2018

Rebiu | EXPLICIT / EXITUS – Raw As Hell


EXPLICIT / EXITUS – Raw As Hell
Muzikbox Production
Kaset split ini rilis sekitar Ogos 2017 di mana band tempatan Explicit dari Johor Bahru dipertemukan dengan Exitus yang datangnya dari negara Filipina. Masing-masing dengan sumbangan 5 buah lagu. Explicit telah saya rebiu rilisan mereka sebelum ini; EP “Anthem Of Death” dan penglibatannya dalam kompilasi “Ngauman Selatan”. Dalam split “Raw As Hell”, tiga lagu pertama Explicit juga sebenarnya diambil dari EP 2016 mereka tersebut iaitu lagu Black Heart, Anthem of Death, dan Holocaust Sex Maniac. Explicit mengakhiri pengisian mereka di Side A dengan lagu Riot dan Fear. Tidak banyak yang boleh saya perkatakan tentang Explicit kerana saya sudahpun mengulas mengenai mereka, band berhaluan Chaos Punk yang raw, kaotik, agresif, kuat dengan elemen thrash/crust metal di dalam nuansa rebellious yang mereka sampaikan. Explicit dipengaruhi band-band seperti Venom, The Exploited dan Toxic Holocaust. Exitus berpengkalan di bandar Cainta yang terletak dalam provinsi Rizal, Filipina. Kesemua lagu Exitus yang disusun pada Side B dalam split ini dipetik dari dua demo pertama mereka; “Let Them Rot!!!” (Demo 2015) dan “Rot 'Em All” (Demo 2016). Lagu-lagu mereka Scumfuckinglot, This Metal Lust, Writ of Blood, Bacterial Suffering, dan Yenshua memiliki perisa old-school yang nyata. Exitus memperaga riff-riff lasak Black Thrash, Speed dan Death Metal diadun bersama unsur-unsur Rock & Roll. Atas sebab itu mereka sendiri mendefinasikannya sebagai Black Rot n’ Roll. Kedengaran keras, kejam dan nakal di mana inspirasi terbesar mungkin dari Venom dan Motörhead di samping nama-nama berpengaruh seperti Hellhammer, Sarcófago dan Celtic Frost. “Raw As Hell” sebuah rilisan split 2-hala yang menarik dan hanya 100 unit kaset yang dikeluarkan.

Rebiu | ANTARA DUA DARJAT – Demokrasial


ANTARA DUA DARJAT – Demokrasial
Green Peace Distro
“Bila kami membikin kugiran Antara Dua Darjat lapan tahun yang sudah, kami tak terbayangkan sejauh mana ianya akan pergi. Di fikiran cuma ingin berkongsi penuh masa muda kami yang berapi-api. Ruang terbuka itu kami cipta muzik bersama, menyalurkan idea dan protes pada apa yang tak kena di lingkungan kami melalui muzik itu sendiri. Banyak lagi hal yang kami tak dapat lakukan kerana jarak dan waktu membataskan kami seperti dulu. Lalu ada kesudian dari Pidot (Green Peace Distro) untuk meriliskan kembali karya kami dalam materi kaset”. Ini adalah sebahagian daripada catatan yang ditulis Antara Dua Darjat pada inlay tape ini, menggambarkan seolah-olah ini rilisan terakhir dari mereka yang sehingga kini menyepikan diri dari scene. “Demokrasial” mula dilancarkan edarannya pada 29 Julai 2016, membariskan 8 buah lagu termasuk termasuk 2 lagu bonus. Saya tidak mengetahui tentang Antara Dua Darjat sebelum ini dan saya fikir dua bonus tersebut rakaman yang belum pernah dikeluarkan dalam mana-mana rilisan mereka yang terdahulu. Antara Dua Darjat berasal dari Kulai / Kota Tinggi, besar kemungkinan dari beberapa kawasan FELDA dalam daerah-daerah tersebut dan atas sebab itu mereka sering dikatakan mewakili komuniti P.K.S (Punk Kelapa Sawit). Lagu-lagu band ini yang kesemuanya dalam Bahasa Melayu juga jelas memperjuangkan nasib anak-anak petani / pekerja ladang felda seperti dalam lagu Penindasan Buruh Kasar dan Pang Kelapa Sawit selain mesej-mesej lain antaranya anti-diskriminasi, anti-fasis, motivasi dan hak-hak kebebasan. Muzik band yang dianggotai Acyd (vokal), Pojie (gitar), Mamat (gitar/vokal), Ajib (bass) dan Naz (dram) ini menjurus ke arah Street Punk Rock; rancak, diberi kekuatan dalam aspek melodik, struktur yang mudah pada sesetengah lagi di mana kekadang semudah permainan 2-kord / 3 kord, lagu-lagu yang pada saya senang dihadam tetapi sedap dilayan. Selepas lebih dua tahun dikeluarkan, saya berpendapat cassette-tape terhad 100 salinan sahaja ini telah tiada lagi di pasaran scene hardcore punk DIY tanahair.  

Khamis, 25 Oktober 2018

Rebiu | THE FOUR-WAY SPLIT: AURAL MAYHEM PROJECT


THE FOUR-WAY SPLIT: AURAL MAYHEM PROJECT
Dogma Artistic Guerrilla
“Aural Mayhem Project” adalah judul kepada rilisan split 4-hala berdurasi 69:22 minit, dikeluarkan pada Ogos 2010. Split CD yang pada dasar dan keseluruhannya berteraskan genre electronic / experimental soundscape ini menampilkan Neurotic Euphoria (Malaysia), Serigala Jahanam (Indonesia), Napalmed (Republik Czech) and Jerk Kerouac (Malaysia). Bagi saya yang menghargai dan boleh menikmati karya-karya seni berlandaskan bunyi-bunyian, sudah tentu rilisan sebegini menerujakan saya. Neurotic Euphoria menerusi Hope 1.0: The Astral Collision (9:07) menghidangkan kepelbagaian dimensi dan eksperimentasi bunyi elektrik di mana seakan terdapat 4 atau 5 komponen yang tergabung di sepanjang struktur utama track tersebut. Projek duo kendalian Zach Neurotic dan Leyla Euphoria ini begitu berjaya menghasilkan bibit-bibit seram dan mengerikan dari bunyian Drone / Noise ciptaan mereka. Serigala Jahanam menampilkan track paling lama tempoh-mainnya dalam split ini; Malapetaka IV: Epilog (27:58). Ia bermula dengan bunyian umpama deruan angin, senyap dan merayap. Kemudiannya berpusar kencang seperti ribut yang menggoncang. Akhirnya menjadi asakan-asakan Harsh Noise Wall (HNW) yang panjang seolah-olah kemusnahan dan kesan-kesan kehancuran. Ianya seperti menghumban kita ke lembah derita apabila mereka memasukkan elemen tribal dari paluan dram / gendang pada minit 25:30. Sungguh apokaliptik!. Napalmed sebenarnya satu nama yang telah lama saya dengar. Sekitar lebihkurang pertengahan 90’an, nama ini sudah mula tersebar menerusi flyer-flyer yang dikirim dan bertukar-ganti. Gabungan tenaga Martin.B, Pavel.H dan Radek.K juga menyajikan track yang agak panjang; Generatesteron 2 (22:35). Ramuan trio ini adalah bunyian ekstrim Harsh / Industrial Noise, disulami nada rendah lo-fi noise dan banyak juga melakukan sentuhan improvisation bagi mengujudkan frekuensi-frekuensi berlainan di sepanjang track dimainkan. Ciri utama genre sebegini adalah bising sebisingnya dan kebingitan!. Jerk Kerouac adalah nama terawal yang saya ketahui jika merujuk kepada scene noise tempatan. Azzief, individu yang mengendalikan projek ni memulakan track berjudul A Belly Gone Supernova (9:43) dengan sedikit kerja remix selama lebihkurang satu setengah minit (sampel sebuah nyanyian lagu lama dilatari bunyi sederhana mainan pedal efek) sebelum seterusnya menggasak dan meledak dengan bunyi-bunyi elektronik distorted keras dan kesat, tempias humming pada sesetengah tempat, sesekali dimasukkan vokal dan feeback. Ini untuk peminat Japanese noise seperti Merzbow dan Incapacitants. Pada keseluruhannya, “Pleasant sound for pleasant people! Get ready for the ultimate ears annihilation!” ujar label pengeluar dan saya bersetuju dengan itu. Rilisan ataupun genre seperti ini hanya mudah diterima orang-orang yang mampu mendengarnya dan sanggup menghadapi penderaan pada gegendang telinga. 500 unit CD dikeluarkan dan salinan saya bernombor 438. Diedarkan oleh Your.Slave.State.

Rebiu | RESTRAINT – Rise Above Hate


RESTRAINT – Rise Above Hate
Persistence Records
Selain pengetahuan mendalam mengenai muzik yang dimainkan, saya juga mengambilkira usia dan pengalaman lebih 15 tahun dalam industri ini telah menjadi faktor kepada berdirinya Restraint seperti hari ini – matang dan berkaliber! Restraint kembali menerusi album penuh kedua “Rise Above Hate” pada Oktober 2016 selepas sembilan tahun debut mereka “Pure From Blood” dikeluarkan, iaitu pada Julai 2007. Pembelajaran bertahun melalui acara gig dan pelbagai persembahan live termasuk segala ilmu yang dikutip dari revolusi muzik itu sendiri telah mendewasakan Restraint hinggakan mereka kedengaran begitu handal dalam kesemua 8 lagu yang dimuatkan. Ini Hardcore yang cukup padu, heavy-sounding, ligat dan begitu memberontak! Tidak hanya inspirasi New-school Hardcore keras dan lasak yang menjadi pertaruhan mereka, Restraint dengan jelas mengadun sifat buas dan kebengisan Thrash Metal di setiap jalur irama lagu-lagu yang dipersembahkan. Samada anda datang dari sisi Hardcore ataupun dari kelompok Thrash, ini album yang perlu dikongsi dan diraikan bersama. Headbanging dan moshing, stagediving dan kickboxing, singalong dan fingerpointing – segalanya bersatu di atas ruang lantai yang sama. Susunan muziknya sungguh bijak, olahan riff-riff maha-berat, diperkasakan lagi oleh produksi bunyi yang padat dan melekat membuktikan betapa berwibawanya band ini yang dibarisi oleh Ijam Wahap (vokal), Mizan Basir (gitar), Afwan Mokhtar (gitar), Zam (bass) dan Apeq (dram). Beberapa lagu dalam album ini turut mendapat sentuhan solo gitaris undangan, Andre Tiranda (Siksakubur), Godoy (Massacre Conspiracy) dan Iskandar Tajuden (Artefacts). Booklet 12-mukasurat tidak sekadar dicetak lirik tetapi juga explanation terperinci kisah dan mesej di sebalik setiap lirik yang ditulis. Saya tidak mahu mengulas lebih panjang. Ini “Rise Above Hate” berdurasi 28:52 minit yang perlu anda miliki – Hardcore Metal berapi, kuat semangatnya bangkit dari rasa benci, penuh dengan kemarahan! Restraint meletakkan martabat MYHC tepat pada tempatnya!

Rebiu | RIOT IN ASIA – Demos


RIOT IN ASIA – Demos
Independen
Riot In Asia atau dikenali juga dengan singkatan R.I.A adalah band yang bertunjangkan muzik poppunk / rock alternatif / popcore dari Kota Kinabalu, Sabah. Band yang menurut sejarahnya ditubuhkan pada November 2012 ini kalau mengikut catatan mutakhir dianggotai oleh Sean (vokal), Bonbon (vokal/gitar utama), Reyner (gitar kedua), Eboy (bass) dan Rafi (dram). R.I.A pada sekitar 2013 telah mengeluarkan himpunan 4 lagu-lagu terawal mereka dalam satu cd-r yang dinamakan “Demos”. Berdurasi keseluruhan 14:30 minit, “Demos” menyenaraikan lagu-lagu seperti berikut: 1. Next To You (3:38) / 2. No Extraordinary Life (4:16) / 3. Wish This Night Would Last Forever (3:05) / 4. Anthem (3:31). Bagi pendengar muzik Blink-182 atau NOFX, atau yang sedikit nakal seperti Rancid, atau mungkin juga yang agak sell-out semacam Green Day, Simple Plan dan Sum 41, saya bertanggapan lagu-lagu bawaan R.I.A ini dengan mudah memenangi hati anda. R.I.A bermain dengan kocokan-kocokan gitar rancak, catchy, tidaklah terlalu berat dan lebih mementingkan melodik-melodik yang manis dan ceria. Begitu juga dengan lenggok nyanyian yang tak jauh beza dengan kebanyakan band-band pop / melodic punk rock di luar sana. Rilisan yang agak baik bagi saya dari segi bunyi di mana kedengaran bersih, bukan jenis demo yang raw hasil rakamannya dan memuaskan (bersesuaian dengan nuansa muzik yang dimainkan). Ini demo lama, mungkin dah tiada dipasarkan dan band ini pun seperti dalam keadaan hiatus. Pun demikian, cuba-cubalah hubungi mereka.

Rebiu | SKITSÖFRENIA – Ställa Inför Rätta


SKITSÖFRENIA – Ställa Inför Rätta
20 Eyes Records
Pada ketika saya membeli dan menikmati muzik Bombräd “Demo 2016”, Hadi dari Tempang Records / Noise Horror Distro memberitahu saya bahawa itu bukan band pertama yang mengetengahkan konsep lirik dan nyanyian dalam bahasa Skandinavia. Katanya, Skitsöfrenia yang berpengkalan di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur pernah melakukannya lebih awal. Kemudiannya, saya melihat seorang sahabat di Ipoh memuatnaik status jualan beberapa CD lama di facebook beliau. Saya terlihat “Ställa Inför Rätta” dan segera mendapatkannya. Berdasarkan cari-selidik saya, rilisan bermuatan 10-lagu berdurasi 10:29 minit ini dikeluarkan dalam tahun 2006, di bawah 20 Eyes Records yang beralamat di Subang Jaya, Selangor. Saya dapati konsep lirik dan nyanyian dalam bahasa Skandinavia tidaklah sepenuhnya. Ia hanya melibatkan tiga lagu terakhir, itupun termasuklah dua lagu cover band asal Sweden. Selainnya lagu-lagu berbahasa Inggeris dan satu dalam bahasa Melayu. Hmm... mungkin saya perlu mendapatkan rilisan-rilisan lain dari Skitsöfrenia, split-split yang melibatkan mereka dan CD berjudul “Totally Swedish” terutamanya. Menerusi CDr “Ställa Inför Rätta” (yang bermaksud “Bring To Justice” dalam terjemahan Inggeris), band yang dianggotai Zafrenia (vokal), Skit Lasse (gitar), Skulltompä (bass) dan Mäd Yeh (dram) cukup jelas menggalas muzik yang berinspirasi Scandi-crust / d-beat hardcore / kängpunk. Dua lagu cover, masing-masing dari Anti Cimex dan Mob 47 lebih menjelaskan lagi halatuju muzik mereka. Apa yang kurang bagi saya adalah kualiti rakaman dan produksi bunyi. Agak mendap dan tenggelam. Mungkin juga CD saya yang bermasalah. Untuk genre yang sebegini, saya merasakan bunyi gitar kurang tajam, kurang berpasir malahan tidak cukup bising / bingit. Vokal juga agak terlalu mentah dan tidak bergaung. Maksud saya ianya tidak seperti suara-suara parau yang sedikit bergema (echoed) dan ke dalam sebagaimana yang banyak dipraktikkan band-band sealirannya. Mengikut cetakan inlay, rakaman dilangsungkan di I Seek Music Studio di bawah kejuruteraan saudara Mokhtäär. Nama Mokhtar Rizal pun dah berubah swedish, hehe! Keseluruhannya, bukanlah nak merendah-rendahkan keupayaan Skitsöfrenia tapi rilisan ini pada saya kurang menyengat.

Rabu, 24 Oktober 2018

Rebiu | TROPHY KNIVES – Turmoil


TROPHY KNIVES – Turmoil
Independen
Saya menemubual dan menjadikan band ini coverstory dalam Bangkit! #8. Sewaktu saya menerbit dan mula mengedarkan isu tersebut, Trophy Knives juga membawa keluar rilisan kedua mereka, EP “Turmoil” (secara rasmi pada Record Store Day, 21 April 2018). Ini band yang ada pada mereka karakter dan karismanya yang tersendiri, baik dari segi produksi bunyi, komposisi muzik bahkan juga identiti dan penampilan. Keupayaan Trophy Knives sebagai sebuah band Punk Rock standard internasional tidak boleh disangkal lagi. Mereka profesional dan berwibawa, membina potensi yang semakin membesar malahan langkah juga kian melebar – bermain di Thailand, Hong Kong dan tidak berhenti untuk terus bergerak ke hadapan. Kerancakan, catchy dan amarah menjadi tunjang kepada acuan utama dalam “Turmoil”, kemudiannya kelembutan, kelunakan dan permainan emosi melengkapi kesempurnaan muzik olahan band ini yang dibarisi Vinesh Muniandy (vokal/gitar), Khairi Iskander (dram), Sani Khalid (gitar/vokal) dan Syamir Ali (bass/vokal). Tidak cukup dengan hidangan segar dan enak 5 lagu ciptaan baru, Trophy Knives turut menyelitkan 3 bonus versi akustik di mana 2 daripadanya lagu-lagu dari Demo/EP 2017. Cubalah dapatkan kedua-dua format yang dikeluarkan. Untuk 23:46 minit muzik Punk Rock yang luarbiasa dan berbeza, ia langsung tidak merugikan. Ini adalah kerana anda telahpun meletakkan produk Punk Rock terbaik di negara ini tersusun di rak koleksi kaset dan CD anda, percayalah!

Rebiu | NAKED WEAPON – No Longer Fear


NAKED WEAPON – No Longer Fear
Foxhole Records
Band Mentakab, Pahang ini tak aktif lagi agaknya. Facebook mereka lama tidak dikemaskini. Nama Naked Weapon juga dah tak naik dalam mana-mana flyer gig tempatan 2 atau 3 tahun kebelakangan ini. “No Longer Fear” merupakan Demo-Tape 2013 dari band yang dianggotai Mohd Fixreey (gitar), Apeng (bass), Zulfiqar (dram) dan Pudinpinkosos (vokal) dan ianya memuatkan lima lagu; 1. Intro / 2. No Longer Fear / 3. Stop All The Blood / 4. Zero Authority / 5. The Storm. Kualiti bunyi yang begitu baik hasil sentuhan Tom (The Bollocks) di studio Laguna. Naked Weapon boleh tahan menarik olahan muzik dan persembahan mereka; meledakkan d-beat / crusty hardcore yang meleret, bermelodik, riff-riff berat, dan nuansa mereka kedengaran kelam dan hmmm.. jahat! Saya suka band ini tidak hanya pada kemas dan ketatnya permainan mereka tetapi pada elemen atmosferik yang ada di dalam lagu-lagu mereka. Naked Weapon mungkin banyak mengambil pengaruh dari Tragedy, atau mungkin juga inspirasi band seperti From Ashes Rise. Kesemua lirik dicetak dalam inlay dan mesej-mesej Naked Weapon adalah mengenai peperangan, keamanan, penentangan serta kebebasan.

Selasa, 23 Oktober 2018

Rebiu | LANGGAR LARI – Sa-puloh Tahun (Diskografi 2005-2015)


LANGGAR LARI – Sa-puloh Tahun (Diskografi 2005-2015)
Pooks Records
Saya masih ingat, arwah Amir Psychotic Sufferance / Psychotic Art Zine suka berkongsi cerita tentang perkembangan scene di Negeri Sembilan menerusi sembang-sembang kami di SMS telefon tangan biarpun waktu itu kami sudah berjauhan kerana saya berpindah kerja di Kota Bharu. Untuk makluman, saya berkenalan dan bersahabat dengan arwah semasa saya bekerja di Seremban, 1995 hingga sekitar 2000 begitu. Salah satu nama yang pernah terpacul dari mesej-mesej ringkas arwah adalah Langgar Lari, band thrashcore power dari Bahau, katanya. Saya al-maklumlah, masih taksub dengan Metal Ekstrim pada tempoh tersebut, tiada-lah teruja sangat, hahaha, cuma motifnya cerita saya ini untuk memberitahu yang saya telah dengar nama Langgar Lari sekitar pertengahan hingga akhir 2000an lagi. Cerita tentang “kebagusan” Langgar Lari terus saya dengar lagi dari Johan (pengendali blog Noise From Hell, sekarang editor zine My Own Mind). Lebih menarik, Johan turut menyumbangkan sebuah temubual bersama Langgar Lari untuk dimuatkan dalam isu pertama Bangkit! Fanzine. Apabila saya mendapat tahu adanya rilisan diskografi Langgar Lari dikeluarkan oleh sebuah label dari Indonesia, saya terus mencari dan mendapatkannya dari sebuah label distro tempatan. Saya fikir inilah peluangnya untuk mendengar kesemua material band ini semenjak mereka bermula dan sepanjang satu dekad keberadaan mereka. Saya mahu mengenali dan mengetahui “kebagusan” band yang dicerita-ceritakan ini. Fuhh! Thrashcore yang dahsyat! Berdesup perginya! “Lumayan Pak!”, mungkin begitu ungkap masbro Sigit, pemilik label Pooks Records. Kaset diskografi ini dirilis secara rasmi pada 9 September 2015, menghimpunkan 32 tracks keseluruhannya. Kesemua lagu terkumpul sepanjang 10 tahun eksistensi Langgar Lari dalam scene; daripada 5 rilisan terdahulu bermula Demo 2005 sehingga split bersama Terlarang, ditambah pula ekstra 4 live tracks terakam semasa band ini bermain di BTNK, K.Lumpur sekitar 2013. Memanglah lumayan. Koleksi yang cukup berbaloi dan besar harganya buat saya yang sekadar mendengar nama sahaja sebelum ini. Langgar Lari dalam kaset ini dicatatkan terdiri daripada Amri Matahari (vokal), Topex Thrash (gitar) dan Cdoth Jahanam (dram) pun demikian turut dimaklumkan pada pengenalan rilisan (dalam inlay), mereka sebagaimana kebanyakan band lain pernah juga beberapa kali bertukar line-up. Siapapun di sebaliknya, Langgar Lari tetap berdiri di atas nama Thrashcore! Gila punya laju ini band. Membelasah dan menghentam! Pada tempatnya memperlahan tempo, meredakan cungap, itu pun sebentar sahaja sebelum kembali laju selajunya! Semangat dan keringat melekat dalam lagu-lagu mainan Langgar Lari, dipekatkan lagi oleh jiwa punk yang kuat! Band ini untuk anda yang menggemari Spazz, Charles Bronson, Domestik Doktrin dan seumpamanya. Patutlah arwah Amir Fadli begitu berbangga dengan Langgar Lari.
facebook.com/langgarxlari
langgarlari.bandcamp.com
facebook.com/pooksrecords

Rebiu | LANGGAR LARI / TERLARANG – Split


LANGGAR LARI / TERLARANG – Split
Tempang Records / Gore In Gore Out Records
Ini split-tape yang sudah agak lama berada dalam simpanan saya. Split ini rilis pada Mei 2015 terhad 200 unit sahaja! Ianya pertembungan dua band yang berkongsi satu genre yang sama; Langgar Lari (Bahau, Negeri Sembilan) dan Terlarang (Kuala Kangsar, Perak) – kedua-duanya berpaksikan Hardcore yang kencang, laju dan membelasah. Definasi tepatnya, Thrashcore! Mereka ini bukanlah muka baru dalam scene thrash / fast hardcore ketika split ini dikeluarkan. Masing-masing sudah bergelumang memperjuangkan karya mereka semenjak awal era 2000an lagi. Tiga lagu pertama dari Langgar Lari (Hamba, Manusia Gila, dan Bebas dan Telus) adalah lagu baru yang direkod khas sekitar Februari 2015 untuk split ini. Tiga lagu selebihnya dipetik dari rilisan-rilisan terdahulu; Jangan Datang Malam Ini (dari split-tape bersama SMG, 2012), Politikku Politikkmu (dari 4-way split CD “War Like A Game! Misery Is Guaranteed!” bersama Abnormal Psychology, Young And Dangerous dan Kick Enemy, 2009) dan Majikanku (Demo 2005). Manakala dari pihak Terlarang, mereka nampaknya lebih bersedia menyumbangkan kesemuanya lagu-lagu eksklusif dan segar. Tujuh lagu dihidangkan Terlarang direkod pada Oktober 2014; Penjenayah Kelamin, Thrashing War, Sangkar Neraka, Help!!, Agenda Tangan Syaitan, Lawan, dan Freedom of Yourself. Agresif dan energetik membawa Langgar Lari dan Terlarang bertemu pada satu titik dalam split ini. Masing-masing memiliki kekuatan, bersemangat, deras dalam permainan lagu yang pendek-pendek, garang! Ini muzik yang akan buat kalian tak keruan, berlari liar ke sana ke mari, melompat setinggi yang boleh! Thrashcore dulu, kini dan selamanya!
langgarlari.bandcamp.com
terlarang.bandcamp.com
facebook.com/tempangrecords
facebook.com/gigoxrecords

Rebiu | ROUND OFF – Get That Hope!


ROUND OFF – Get That Hope!
Rockstock Records
Empatbelas buah lagu, durasi keseluruhan 47:56 minit, sound production mantap, packaging yang menghampiri taraf album penuh, sebaliknya Round Off masih mahu malah lebih selesa mengiktiraf rilisan “Get That Hope!” ini hanya berstatus Demo / EP kedua mereka. Tabik-hormat dari saya untuk usaha yang sebegini besar. Band skinhead asal Kuantan ini berkarya bukannya untuk menjual muzik mereka tetapi lebih kepada berkongsi hasilkerja dan kepuasan bersituasi menang-menang untuk dua belah pihak; diri mereka sendiri dan para pendengar karya muzik band ini. 14 lagu beb! 13 lagu original dan satu coversong Sham69 ‘Borstal Breakout’, kesemua senikata lagu pun turut dicetak pada sampul CD berharga hanya RM15 seunit, apa lagi yang kamu mahu??? Round Off secara muzikal tidak mengikat diri mereka pada genre Traditional Oi!. Punk Oi! / Street Rock hanyalah akarumbi komposisi lagu-lagu mereka yang saya dengar telah diperkembangkan lagi dengan kepelbagaian idea dan elemen. Kerja gitar yang bijak, stroke drum yang menarik, bass yang seakan menari, semua ini membuatkan lagu-lagu Round Off dalam “Get That Hope!” kedengaran segar, seumpama menghirup udara baru! Selain bermain dengan kerancakan serta sound yang tebal/berat, Round Off pada pada lagu-lagu tertentu mengendurkan tempo dan menawarkan pula irama-irama catchy yang menawan. Kepelbagaian idea, suntikan elemen tak terjangka yang membawa mereka keluar dari Oi! kebiasaan adalah rempah-ratus kepada kecemerlangan rilisan ini. Saya fikir anda perlu segera dapatkan CD ini dan enjoy sepuas-puasnya muzik ciptaan Round Off. Lagu pilihan? Tiada, saya sukakan kesemuanya!

Isnin, 22 Oktober 2018

Rebiu | 199X – Someday


199X – Someday
Pawerkord Merch / Kelipan Store / Spupu Records
Bermain muzik di bumi Kelantan bukannya mudah bahkan acapkali juga berhadapan dengan risiko. Saya pernah berbelas tahun menetap di Kota Bharu, pernah diserbu dan ditahan pihak autoriti ketika berkunjung ke satu acara gig yang dilangsungkan di sana. Tak banyak band yang muncul dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini mungkinlah kerana kekangan kuat dari sistem pemerintahannya yang berlandaskan agama. Atas dasar kepayahan inilah saya sering merasa dan melihat band-band yang lahir di negeri itu lebih cepat dewasa dan mencapai tahap matang. Kematanganlah faktor kepada terhasilnya band yang hebat dan karya-karya yang berkualiti. Kalaulah kata-kata ini terlalu tinggi buat band seperti 199X, sudah tentu saya tetap mahu menobatkan ini adalah Punk Rock terbaik di Kelantan. “Someday” sebuah EP yang direalisasikan dalam format CD pada tahun 2016, mengandungi 5 lagu lazat lagi menyelerakan! Melodi-melodi yang enak, riff-riff garing dan rangup serta susunan muzik laju dan rancak pasti sahaja mengundang kalian berlari dan melompat, seiring lagu-lagu yang dialunkan. Tidak sekadar itu, 199X cukup bijak menyulam elemen ska / reggae pada tempatnya dan kalian tanpa dipaksa-paksa skankin sendirian mengikut irama. Usah dirisaukan tentang output rakaman mahupun produksi bunyi keseluruhan dalam CD ini, ianya cemerlang Gred A++. Saya ingin sekali melihat 199X melangkah lebih jauh dari zon di mana mereka berada sekarang. EP selama 18:38 minit muzik Punk Rock berkuasa besar yang benar-benar menghiburkan! “Let’s party, we’ll kick those problems now, ‘cause we are all the same!”, saranan 199X menerusi lagu Water, untuk kalian yang dahagakan muzik terbaik!
facebook.com/pawerkord
facebook.com/kelipanstore
facebook.com/199xband

Rebiu | BROKEN ARM – Demo 2018


BROKEN ARM – Demo 2018
Independen
CDr ini merupakan rilisan demo pertama dari Broken Arm, band berhaluan youthcrew / straightedge Hardcore asal Tawau, Sabah. Ianya demo berdurasi singkat 5:42 minit menampilkan tiga lagu; 1. Positive Mind (1:51) / 2. Tak Berubah, Tetap Sama (1:35) / 3. Keep The Faith (2:16). Dua lagu pertama dalam Bahasa Melayu dan pada keseluruhannya Broken Arm membawa mesej-mesej positif, memperjuangkan gaya hidup sihat dan cukup jelas menentang penyalahgunaan dadah! Hardcore mainan Broken Arm begitu baik garapannya; kental, kenyal dan bertenaga! Ini mungkinlah bukan sesuatu yang baru bahkan telah kalian dengari dari ratusan malah ribuan band yang serupa alirannya, namun sebalik-nya dari Broken Arm ia seperti ada sesuatu yang “jujur” yang menjalar dalam kesemua lagu ciptaan mereka – meletakkan emosi dan dedikasi pada satu keutamaan tertinggi. Rakaman telah di Grindbros Studio dan sentuhan Azan Ridzuan saya kira sudah cukup menghasilkan kualiti bunyi yang baik untuk satu rilisan yang berstatus “demo”. Ini saya syorkan untuk penggemar muzik Hardcore belah-belah Indonesia serta berpengaruhkan NYHC.

Rebiu | OBLIGASI – self-titled


OBLIGASI – self-titled
Pissed Off! Records / Hardcore Detonation
Rilisan EP ini di bawah kerjasama Pissed Off! Records dan Hardcore Detonation, dikeluarkan sekitar awal Januari 2018. Tape berdurasi hampir 8 minit ini merupakan debut-release dari sebuah band 4-piece asal Seremban, Negeri Sembilan bergelar Obligasi. Sejumlah 11 buah lagu terkandung di dalamnya; kencang, garang, penuh kemarahan! Obligasi yang ditunjangi Ghazali (vokal), Banni (gitar), Zulkhairi (bass) dan Najib (dram) begitu bertenaga dalam membawakan muzik Powerviolence yang sememang terhasil dari komposisi singkat riff-riff gitar deras, hentakan dram tanpa belas serta lontaran vokal yang keras! Obligasi dalam EP ini tidaklah semata-mata menumpukan kepada kelajuan yang saya kira mungkin banyak berinspirasikan band-band seperti Spazz dan Charles Bronson, mereka juga mengadunnya dengan elemen-elemen heavy breakdown, kedengaran seperti band Lack of Interest. Obligasi turut menyelitkan saduran ‘Behind This Tongue’, lagu asal band Infest. Kaset ini satu rilisan EP yang menarik pada keseluruhannya, kualiti bunyi masih pada tahap yang baik meskipun sekadar rakaman homestudio (kecuali dram dirakam di Atoi Studio, Seremban 2). Bagi kalian yang menggemari antem-antem short, fast & loud!, ini pilihan yang tepat jika kalian mahu dengarkannya diolah oleh sebuah band tempatan. Karya yang impresif!

Rebiu | ROMI & The JAHATs – Playlist For Malaysian Tour 2018


ROMI & The JAHATs – Playlist For Malaysian Tour 2018
Kasih Sayang & Kawan-Kawan
Kalau korang dambakan Punk Rock yang haluannya berada di antara keseronokan riff-riff melodik dan permainan rancak, lagu-lagu yang iramanya tanpa disedari bikin tubuh badan korang bergoyang, nyanyian-nyanyian yang mengundang korang berdendang bersama (singalong), ini band dari kota Jakarta akan penuhi selera korang. “Playlist For Malaysian Tour 2018” mengandungi 11 lagu Punk Rock lazat, lagu-lagu yang cukup sedap untuk santapan telinga dan juga makanan jiwa. Sebahagian lirik-lirik lagu mereka ada ketikanya kedengaran lucu, penuh satira tapi di sebaliknya serius dan cukup kuat mesej-mesej positif yang ada di dalamnya. Cassette-Tape ini dikeluarkan terhad 200 unit sahaja, untuk benefit tour RTJ yang mengadakan jelajah mereka di Singapura dan Malaysia pada 18-22 Oktober 2018. Pernah dengar Marjinal? Ok, RTJ ni musically boleh kata satu kelompok dengan Marjinal, lebih kurang sama tapi tak serupa. RTJ ada something yang buat dorang berbeza. Boleh bayangkan tak? Pening lalat eh? Ok, kalau pening lalat cepat-cepat dapatkan tape ni. Artwork cantik, lirik semua ada!
facebook.com/rtj.official
facebook.com/kasihsayangdkk

Rebiu | S.A.M – Malam Saribu Bulan


S.A.M – Malam Saribu Bulan
Independen
Saya pernah mendengar karya-karya ambien yang agak kelam dari scene tempatan, antaranya Ablaze Eternal yang bertemakan kerakusan api dan neraka serta Maqâbir yang menjurus kepada soal kematian dan alam kubur. Kemunculan S.A.M dalam scene Dark Ambient tanahair sesuatu yang lebih memeranjatkan mengikut pemerhatian saya. Nuansa bunyian S.A.M kedengaran lebih “gelap” dari istilah “kelam” itu sendiri. Ianya cenderung dan sangat rapat kepada Black Metal, cuma unsur “metal” yang ditiadakan. Hanya ”kehitaman” yang menguasai secara menyeluruh, dan saya secara peribadi menamakannya Black Ambient. “Malam Saribu Bulan” menghimpunkan 10 karya ambien berdurasi 58:58 minit yang sungguh menyeramkan, ngeri dan sangat berpuaka! Saya nasihatkan anda jangan berani-berani mendengar CD ini di kala larut malam, dalam suasana lampu malap apatah lagi bergelap sementara menanti mata terlelap. Ini adalah kerana bunyi-bunyian serta bisikan-bisikan halus yang keluar dari CD ini akan meremang segala bulu roma yang ada pada tubuh anda, dan anda memejam mata sekuatnya terganggu oleh ketakutan! Terus-terang saya katakan, S.A.M cukup berjaya mendefinasikan “kehitaman” dalam karya-karya ambien gelap yang dipersembahkannya. Berhantu dan merasuk!
facebook.com/darknoisepsychedelic
samdarknoisepsychedelic.bandcamp.com

Ahad, 7 Oktober 2018

Rebiu | RUANG – Edisi 1


RUANG – Edisi 1
44ms / A5 / Bahasa Melayu
Jangan terkeliru dengan satu lagi zine bernama Ruang yang pernah saya ulas sebelum ini. Ruang yang ini adalah zine anarko menurut pertimbangan saya. Zine ini membuka “ruang” kepada perbincangan mengenai anarkis dan anarkisme; siapa dan apa idea-idea di sebalik kelompok ini. Meskipun menitikberatkan sifat-sifat akademis dan intelektual, perbincangan dalam bentuk artikel-artikel ini ditulis dalam gaya yang santai atas tujuan agar ia mudah difahami dan tidak lagi disalahertikan (di mana idea anarkisme lazimnya disalahfaham oleh masyarakat). Saya melihat dan membaca begitu banyak ilmu pengetahuan dikongsikan menerusi edisi sulung zine Ruang ini, dan percayalah bahawa ilmu adalah senjata. Yang bagusnya, Ruang terhasil dari kolaborasi ramai penulis; dari kolektif Rumah Bayang / Cukong Press, Organisasi Terlarang, Kolektif Ketepi dan beberapa lagi. Beberapa “ruangan” diwujudkan antaranya Isu Semasa, Tokoh, Sejarah, Budaya, Seni, Buku dan sebagainya; dimuatkan artikel-artikel penting seperti Anarki Sekarang! (oleh Hadri Shah), Peranan Percetakan Dalam Gerakan (oleh Ocha), Sejarah Awal Anarkisme (Dans), Peranan Poster Dalam Penentangan (Amir Syafiq), ulasan buku Anarkisme Untuk Pemula (Ali Rafiq) dan sebagainya. Pembikinan zine ini saya kira telah dirancang cukup rapi, secara teliti – setajam ilmiah yang ada di dalamnya. Mantap!
facebook.com/majalahruang

Rebiu | EKSISTENSI – Edisi Revolusi


EKSISTENSI – Edisi Revolusi
40ms / A5 / Dwi Bahasa
Sebuah lagi zine baru dalam scene penerbitan zine DIY tempatan, dikendalikan oleh Oliver atau pemilik akaun bernama Ribut Cicäk II di laman sosial facebook. Oliver sebelum ini sudahpun dikenali menerusi kerja-kerja penulisan dan penyuntingannya menerusi zine Trypophobia (diusahakan bersama seorang lagi rakannya) namun melalui zine baru yang digelar Eksistensi ini beliau bergerak sendirian. Tidak seperti kebanyakan zine di luar sana yang ditandakan nombor siri pada setiap keluaran (contohnya #1, #2 dan seterusnya), Eksistensi memilih untuk menamakan setiap isu atas sesuatu tema tertentu. Eksistensi yang terbit buat julung kalinya ini dinamakan “Edisi Revolusi” atau uniknya, E//R. Naskah ini mula dilancarkan edarannya ketika berlangsung acara Cyberjaya Zine & DIY Fest 2018. Saya perhatikan Oliver telah menyuntik dan menyalurkan segala idea, tenaga dan kemampuannya dalam penghasilan Eksistensi: Revolusi. Kerja-kerja design & layout serta seni grafik yang cukup hebat! “Beginilah wajah sebuah zine underground yang sepatutnya!”, detik hati saya tatkala menyelak setiap helaian naskah ini. Hanya pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang membolehkan seseorang editor menghasilkan zine yang sedemikian rupa. Sebagaimana format Trypophobia, zine Eksistensi juga membawa konsep memperbanyakkan penulisan-penulisan berbentuk artikel dan esei pendek; himpunan pendapat, kupasan, hujah-hujah, fakta dan sebagainya. Tulisan-tulisan ini terhasil secara asli dan idea tulen saudara Oliver itu sendiri. Tabik saya berikan untuk hasilkerja yang sebegini. Sekiranya Trypophobia boleh dikatakan sebuah zine punk, Oliver sedikit keluar dari skop tersebut (bukanlah secara keseluruhan, ia masih tetap punk yang berdiri teguh pada prinsip melawan) menerusi Eksistensi yang lebih menjurus kepada perihal aktivisme dan isu-isu masyarakat moden. Pelbagai topik disentuh dengan baik dan kritis antaranya berkaitan konflik kelas, konsumerisme, kapitalisme, hak-hak asasi manusia dan kemanusiaan, sehinggalah kepada soal-jawab berkaitan kesenian, muzik dan budaya yang boleh kita baca dalam temubual bersama komuniri Free Read / Buku Jalanan Sandakan dan Negative Insight (sebuah zine hardcore punk di Massachusetts, USA). Tahniah Oliver di atas penghasilan zine Eksistensi yang berpotensi besar untuk lebih berkembang dan menjadi pemangkin kepada kelompok punk yang lebih terdidik. E//R boleh diperolehi pada harga hanya RM8, hubungi dabit666@gmail.com atau facebook.com/ributcicakII atau whatsapp +601118849491.

Sabtu, 6 Oktober 2018

Rebiu | THE AKSARA COMMUNE – Isu #3


THE AKSARA COMMUNE – Isu #3
40ms / A5 / Dwi Bahasa
Setelah kembali melalui isu #2 sekitar Februari 2018, The Aksara Commune tidak membuang banyak masa untuk datang lagi menerusi isu ketiga pada Ogos 2018 yang baru lepas, atau tepatnya dilancarkan semasa berlangsungnya acara Cyberjaya Zine & DIY Fest. The Aksara Commune secara fizikalnya seakan telah menemui identiti dan kualitinya yang tersendiri di mana seperti isu kedua yang lalu, isu #3 ini juga dicetak sepenuhnya di atas kertas yang dipanggil brown paper. Karim Abdullah selaku penulis dan penyunting utama dibantu rakan kerja penyuntingannya Sarajevo Amira Maisara (yang juga editor zine Distopia) dan Nadiah Aminuddin terus-menerus memberikan yang terbaik kepada penghasilan zine The Aksara Commune ini. Isu #3 ini menampilkan sebuah interbiu, bersama band Cha.Koy (kendalian Sara) dan saya dapati ianya merupakan versi berbahasa Inggeris kepada versi yang terdapat di dalam zine Distopia #2. Ini satu inisiatif yang menarik apabila dua zine saling bekerjasama, bahkan promosi untuk Cha.Koy akan lebih meluas memandangkan kelebihan zine The Aksara Commune yang boleh diedar-sebarkan lebih jauh ke peringkat antarabangsa. Empat gig review; Ipoh Experimental Music Festival (IEMF) vol.2, Weekend At The Park 2018, Weot Skam Mak Ang Tour!, dan Ipoh Blast Fest chapter 5 dilihat menjadi pengisian paling penting dan mencuri perhatian saya dalam isu kali ini di samping artikel-artikel seperti Legs McNeil: What’s Next After Rock n’ Roll?, Wayang Di-Atas #01: Titik Signifikan Idea, dan The Importance of Subsidization on Arts by Government. The Aksara Commune turut mempunyai pendekatan yang baik dalam mengulas album/muzik di mana isu kali ini melibatkan rilisan-rilisan dari Chelsea Light Moving “self-titled” (2013), Extreme Noise Terror “Being and Nothing” (2001), Azmyl Yunor “Warga” (2010), dan Radiowave “Cabaret” (2018). Pada keseluruhannya, ini zine yang cukup bagus dalam aspek penulisan, rekabentuk serta susunatur dan juga mutu percetakannya. Tahniah dan moga terus berkarya! Nota: Untuk penyediaan isu akan datang, The Aksara Commune menjemput sumbangan karya penulisan, kemukakan kepada theaksaracommune@gmail.com]
theaksaracommune.wordpress.com

Rebiu | DISTOPIA – Isu #2


DISTOPIA – Isu #2
40ms / A5 / Bahasa Melayu
“Menakjubkan!”. Saya katakannya begitu bukan kerana editornya seorang perawan jelita tetapi kerana Distopia itu sendiri. Ia memang sebuah zine yang benar-benar menakjubkan dalam keseluruhan kualiti; idea, penulisan, pengisian, rekabentuk dan susunatur, cetakan, segalanya!. Distopia berevolusi dengan pantas, membesar dan semakin dewasa, berdiri pada integriti, kredibiliti serta identitinya yang tersendiri. Saya semakin kagum dengan segala usaha Sarajevo Amira Maisara yang melakukan kerja keras dalam penerbitan Distopia, meletakkan zine ini pada tahap yang terbaik dan sempurna. Distopia #2 telah diterbitkan pada Ogos 2018, dilancarkan edarannya semasa Cyberjaya Zine & DIY Fest bertarikh 11 dan 12 Ogos 2018. Isu kali ini kian padat, disusun kemas dalam garapan layout yang menarik. Sebaik didahului Nota Editor dan coretan Blues Untuk Aku, halaman-halaman awal turut memuatkan 6-mukasurat penulisan Monolog, sambungan catatan Mei 2015 (terdahulu dari Isu Eksperimental); perkongsian selengkapnya pengalaman editor ini sendiri yang diberkas, dilokap dan disoalsiasat polis (ekoran menyertai himpunan anti-GST pada 1 Mei 2015). Empat artikel yang menjurus kepada perbincangan isu-isu sosial dan masyarakat perlu dibaca dengan teliti dan difahami intipatinya; “Jaminan Kecukupan dan Kuasa Makanan” (oleh Padi), “Kebersamaan Dalam Komuniti” (oleh Karim Abdullah), “Membebaskan Sang Melayu Terakhir” (Fadiah J.) dan “SDG’s idea Utopia selepas kegagalan projek MDG’s?” (oleh Sarajevo). Rencana-rencana ini sarat dengan isi. Dua sesi temubual diletakkan di bawah ruangan Fokus; bersama Ieda Mazlan (artis / aktivis seni) dan Cha.Koy (sebuah band berkonsepkan Mathrock). Selainnya, Distopia #2 turut dilengkapi ulasan filem di bawah kolum Seni & Budaya serta beberapa paparan lain. Untuk sebuah zine yang di dalamnya penuh dengan ilmu, mesej dan pengajaran-pengajaran yang boleh dimanfaatkan, zine Distopia ini amat-amat saya syorkan. Menakjubkan! Hubungi: zinedistopia@gmail.com.

Rebiu | seriGALA


seriGALA
72ms / A5 / Bahasa Melayu
Zine seriGALA ini terhasil dari gabungan tiga tenaga yang memiliki satu jiwa yang sama. Ketiga-tiga individu ini bukanlah asing dalam scene penulisan independen dan penerbitan zine do-it-yourself malahan mereka berpengalaman luas dan sudah cukup lama dalam bidang ini. Mereka yang dimaksudkan adalah Nizang (editor zine Mosh), Dhani Ahmad (editor Sebutir Bintang Merah) dan Bam Bear (zine Norifumi). Saya kurang pasti samada seriGALA ini penerbitan yang bersifat one-off ataupun akan ada siri-siri seterusnya kerana tidak pula dinyatakan bahawa yang ini adalah isu #1. Zine seriGALA terbit dari kesepakatan mereka bertiga mendokumentasi penulisan-penulisan di facebook dan blog dalam format zine; bahan bercetak di atas kertas yang akan kekal selama mana disimpan rapi di tangan. Nizang menghidang beberapa temuramah mini yang mengikut rancangannya tidak akan dimasukkan dalam zine Mosh. Kebanyakan perbualan ringkas berkonsepkan lima soalan dipetik dari blog beliau iaitu Sketch Your Brain, antaranya melibatkan band-band seperti In A Sense, Peligrosos, Republik Anak Timur, P-RM, Klabu Asap, Shizuka Ben Aman, Verminator, dan artikel Pelajar Autism. Dhani Ahmad juga menyajikan interbiu lima soalan bersama responden yang pelbagai latarbelakangnya; Amir Farid dan Khairul Azmin (geng pengayuh basikal), Lot Buku, Bang Man (punk rocker), Benz Ali (aktivis, penulis & penerbit buku), Adam Adli & Khalid Ismath (aktivis), Fahmi Reza (aktivis) serta band-band seperti Akajita dan Not Things!. Dhani turut menyediakan ruangan ulasan zine serta dua artikel menarik; “Kawalan Kebersihan Aras Tinggi” dan juga “Qu Puteh Sang Rebel”. Bam Bear yang cukup saya kenali menerusi ulasan-ulasan beliau terhadap produk-produk muzik band tempatan termasuklah zine dan buku turut mengabadikan penulisan-penulisan beliau yang selama ini hanya di facebook di dalam zine seriGALA. Gaya penulisan dan pendekatan ulasan Bam Bear cukup berbeza, unik dan tersendiri. Memang benar seriGALA ini zine baru namun sebaliknya kerjasama trio Nizang, Dhani dan Bam Bear telah menyuntik satu nilai yang cukup besar dalam kemunculan seriGALA itu sendiri. Saya begitu mengharapkan ini bukan yang pertama dan terakhir. Saya mahu ada isu kedua dan edisi-edisi seterusnya. Teruskanlah menulis meskipun sekadar di laman maya, simpan salinannya di dalam hard disk ataupun pendrive, dan tiba masanya satu hari nanti kembalilah ke meja rundingan berbincang tentang seriGALA #2. Untuk makluman pembaca, zine seriGALA yang saya ulas ini berharga RM8 senaskah, terbitan Karya Raya pada Jun 2018 dan diedarkan oleh Kidal. Segeralah dapatkannya!
facebook.com/karyarayapublishing
facebook.com/kolektifkidal

Jumaat, 5 Oktober 2018

Rebiu | ULTIMATE DARKNESS – Volume IV


ULTIMATE DARKNESS – Volume IV
108ms / A4 / Bahasa Inggeris
Jika sekiranya anda merasakan zine metal Deadhead adalah yang terunggul di negara ini, anda perlu melihat juga zine Ultimate Darkness dan menilai semula tanggapan anda selama ini. Ultimate Darkness tidak memerlukan penulisan-penulisan berbentuk negatif, provokasi dan mempergunakan media seperti ini untuk memburuk-burukkan satu pihak yang lain. Ultimate Darkness membawa sifat dan sikap sebenar sebuah fanzine metal tulen. Zine yang baik adalah zine yang menjadi perantara dalam komuniti muzik itu sendiri; melaungkan kekawanan, mempromosikan keakraban, menjunjung satu semangat yang sama – UNITY!. Ultimate Darkness yang dikendalikan dua bersaudara Ason dan Karl telah kembali menerusi isu ke-empat, keluaran Disember 2017 / Januari 2018. Ini zine yang cukup tebal, kuantiti pengisian yang begitu besar, dicetak profesional dengan kerja-kerja design & layout yang sangat kemas dan tersusun rapi. Anda perlu memperuntukkan masa selama berbulan-bulan untuk menghabiskan bacaan setiap teks yang terkandung di dalam Volume IV ini. Kalaulah anda fikirkan RM25 agak mahal untuk senaskah Ultimate Darkness #4, anda silap!. Ini zine yang dijamin akan mengembalikan kepuasan maksima yang anda mahukan terhadap nilai yang telah anda laburkan. Isu ini mengandungi sejumlah 45 buah temubual “eksklusif” bersama begitu banyak band-band penting dalam scene metal antaranya Frederick Melander (ex-Bathory), Possessed, Morbid, Tenali Jarva (ex-Sentenced / Impaled Nazarene), Grand Belial’s Key, Acheron, Abyssic Hate, Nocturnal Breed, Torturer dan banyak lagi kalau hendak disenaraikan kesemuanya. Ianya termasuk juga bersama band-band elit Asia antaranya Necrotic Chaos, Surrender Of Divinity, Athotorgh, Paganfire, Antacid, sekadar menyebut beberapa nama. Wawancara-wawancara ini diperbuat begitu terperinci, mengorek dalam sedalam-dalamnya, menyelongkar segala cerita yang mungkin selama ini tersimpan rahsia. Kepadatan Ultimate Darkness #4 disaratkan lagi dengan reviews section yang terpecah kepada dua; “Sepulchral Voice’ (produk-produk CD terkini) dan “Old Funeral” (rilisan-rilisan era 80an dan 90an). Selain itu terdapat juga artikel-artikel band, record label, laporan konsert dan sebagainya sepertimana yang sewajibnya ada dalam sebuah fanzine metal, bukannya ruang untuk meluahkan emosi, melepaskan dendam atau irihati pada satu pihak yang tidak bersependapat. Malaysia berbangga memiliki satu penerbitan zine metal bertaraf antarabangsa yang sehebat ini, Ultimate Darkness!

Rebiu | AWE METAL – Parodi Album Metal (edisi Inktober 2017)


AWE METAL – Parodi Album Metal (edisi Inktober 2017)
52ms / A5 / Bahasa Melayu
Cabaran Inktober (idea asal Jake Parker) telah menjadi fenomena di kalangan para pelukis dan kartunis seluruh dunia samada dari artis profesional mahupun amatur termasuklah mereka yang baru berjinak-jinak dengan bidang senilukis bahkan yang tiada langsung pengalaman melukis ingin juga turut serta menyahut cabaran ini. Inktober mengkehendaki setiap pelukis / kartunis menghasilkan satu karya menggunakan dakwat (ink) hitam pada setiap hari dalam bulan Oktober (setiap tahun) di mana ianya bermakna pada hari terakhir bulan tersebut akan terhasil 31 buah karya drawing / artwork. Jerry atau nama sebenarnya Rozairi Yahya sebelum ini pernah tampil dengan zine komik Acah-Acah telah dengan jayanya menyahut cabaran Inktober tahun 2017 yang lalu. Beliau memilih tema “Parodi Album Metal”, memparodikan frontcover rilisan-rilisan metal piliihannya. Sebagaimana kata Jerry, beliau bukannya bermaksud untuk ‘menyindir’, jauh sekali ‘menghina’ atau ‘menganjing’ tetapi sekadar memperlihatkan penghargaan Jerry terhadap album-album metal kegemarannya – dilihat dari sisi yang berbeza, lucu dan penuh usikan nakal. Jerry memparodikan banyak album-album metal, yang terkenal seperti Sodom “Agent Orange”, Darkthrone “Transilvanian Hunger”, Cromok “Image Of Purity”, Iron Maiden “Fear Of The Dark” sehinggalah ke rilisan-rilisan demo underground antaranya Ablasa “Maarijim Min Nar” dan Omen “Where Ravens Forever Fly”. Jerry memiliki satu bakat yang selama ini agak tersembunyi, stroke lukisan yang begitu tersendiri dan untuk lukisan-lukisan parodi Inktober 2017 ini penuh dengan idea-idea yang tak terjangka, nakal serta melucukan. Kesemua himpunan lukisan ini kemudiannya diterbitkan dalam satu format artzine DIY pada November 2017, dilengkapi dengan beberapa penambahan bahan lain termasuklah deskripsi yang memperjelaskan lagi inisiatif parodi yang beliau lakukan. Zine ini didatangkan dalam dua versi frontcover yang berbeza dan setiap versi pula berlainan juga mini poster percumanya. Jika anda seorang collector (pengumpul), anda pasti mahu mendapatkan kedua-duanya meskipun pada pengisian keseluruhannya adalah sama sahaja. Versi pertama menampilkan frontcover parodi kulit demo Rator “Evil Symphony” dan mini poster parodi Burzum “Filosofem” manakala versi kedua pula Nebiras “As The Sky Turns Black” bersama mini poster Darkthrone “Under A Funeral Moon”. Oh ya, sebelum terlupa dimaklumkan bahawa Awe Metal adalah watak utama dalam Acah-Acah Komik Zine selain Pojie Black, dua karakter yang melatari parodi-parodi album metal dalam zine ini. Semuanya menarik dan terbaik!
facebook.com/acahacahkomikzine

Rabu, 3 Oktober 2018

Notasi | Sajak-Sajak Rebel Anak-Anak Punk; ulasan KuZine


Zine; Sajak-Sajak Rebel Anak-Anak Punk.
Kandungan; Puisi & ilustrasi.
Terbitan; Bangkit! Fanzine.
Tahun terbit; Jun 2018.
Penulis; 26 penulis.
Pereka ilustrasi; 5 pereka ilustrasi.
Harga; RM8.

Zine yang mengandungi 46 buah puisi dan 8 buah ilustrasi ini adalah sebuah rakaman sejarah tentang suara-suara dari anak-anak Punk berkenaan isu-isu yang berputar di sekeliling mereka.

Tidak ada yang tidak disentuh mereka, bermula dari hal-hal kekuasaan (Mr Andalas, Adi Herman, Alip Moose, Nuar Cashaft, Petak Daud);

kepada isu-isu pemikiran masyarakat (Mr Andalas, Syima Azlan, Rien Sd, Kuntum, Fadzil Mohamad, Redo Gemok, M. Firdaus Kamaluddin, Kodi Amain, Sijasad Bersiong, Han, Amir Fadli, Petak Daud);

beralih kepada sikap-sikap ahli politik (Rien Sd, Acek Marhaen, Ayiefitri, Man Rabaxx, Fadzil Mohamad, Sijasad Bersiong, Sufian Mohamed Salleh, Amir Fadli);

berpindah semula kepada puisi-puisi yang merujuk semula kepada sikap diri sendiri (Khairul Kontradiksi, Ocha Vozvyshenny, Kodi Amain, Redo Gemok, Anak Sial, Sue Emoqwin, Man Dugong, Tinie Tebuan, Farisi Che, Amir Fadli);

dan akhirnya sebuah puisi cinta dari Mr Andalas.

Antara puisi pilihan kami di KuZine adalah;

1. Di Mana Anarkis Pada Usia 30-an, tulisan Sue Emoqwin; 
2. Mimpi, tulisan Man Dugong, dan; 
3. Erti Kekalahan, tulisan Mr Andalas.

Zine ini turut memuatkan 8 ilustrasi/lukisan daripada Fadzee Tussock, Roots Radicals, Ieda Mazlan, Harshziqr, dan Fahmi Reza.

Kata SO Husain, dalam kata pengantar untuk zine ini; "...suara-suara dari anak-anak muda yang dikumpul di dalam kompilasi ini jelas membuktikan sebaliknya. Nyata sekali ada antara mereka yang berkesedaran tinggi mengenai segala ragam kenanaran, kebobrokan, kebejatan, kebebalan, konflik dan polemik yang berlegar di sekitar mereka. Terbukti ada sebahagian anak muda, setidak-tidaknya seperti yang dipaparkan di sini, sangat sedar tentang posisi dan peranan intelektual, kultural, sosial dan politikal yang boleh dan perlu diambil dan dimainkan mereka demi mengubah paradigma masyarakat,"

Apabila membaca zine ini, dapat atau tidak kita pasti akan menghidu bau amarah, turut merasa kesakitan yang dilihat dan dihadapi oleh penulis-penulis. Hal-hal buruk yang dirasakan tidak tepat ditulis dengan lantang dan jujur. Tetapi kemudiannya, kita menjadi keliru pula, apabila membaca puisi-puisi yang turut mempersoalkan tempoh kelakuan yang dilakukan kita. Dan kekeliruan itu pastilah tidak lengkap pula apabila selesai membaca kumpulan puisi ini tanpa ada perasaan untuk melakukan sesuatu demi mengubahnya.

Tetapi, perlawanan pastilah hal-hal yang berterusan, dan tulisan-tulisan ini barangkali menjadi penyedar dan pengingat kepada penulis-penulis, masyarakat dan seluruh anggota manusia di masa akan datang untuk terus melakukan sesuatu.

Malah tulisan-tulisan ini, menjadi bukti bahawasanya di zaman dan era ini, pemikiran dan idea adalah ruang yang tidak terbatas. Kita semua berhak berfikir, dan kemudiannya kita juga berhak mengatur susunan perkataannya.

Puisi-puisi di dalam kumpulan ini juga adalah bukti, bahawasanya puisi mempunyai tugasnya sendiri. Salah satu darinya adalah, puisi harus menerangkan benar dan salah, menghuraikan mudah dan susah.

Untuk membeli zine ini, boleh terus menghubungi Pyan Nathias di Facebook, di facebook.com/bangkitzine, atau terus email ke sufianmohamedsalleh@gmail.com.

ulasan oleh KuZine;

Isnin, 1 Oktober 2018

BANGKIT! #10 dalam pembikinan!!


Hari ini hari pertama di bulan Oktober 2018. Saya kembali ke meja editor untuk mempersiapkan isu ke-sepuluh Bangkit! Fanzine. Saya menangguhkan sekejap kerja-kerja penulisan dan penerbitan Bangkit! #10 kerana agak “sibuk” dengan pengeluaran Edisi Eksklusif: Generacion Suicida in Malaysia serta keluaran 4 CD terbaharu Blazt Promotion. Bangkit! #10 akan menampilkan 10 interbiu keseluruhannya; P-RM, DESTROYING EARS, GERODOK, NATANG, 199X, S.A.M, BROKEN ARM, SPLIT TONGUE serta BAMM! ZINE manakala INFLUËNZIA (yang sudah diketengahkan dalam Generacion Suicida in Malaysia) akan disiarkan semula dalam layout yang berbeza serta lebih banyak foto. Harapnya semua kerja penulisan berbaki (ruangan ulasan cd / tape / zine terutamanya) dapat diselesaikan dengan lancar dan Bangkit! #10 boleh diterbitkan pada akhir Oktober ini.