Memaparkan catatan dengan label Nostalgia Syok Sendiri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nostalgia Syok Sendiri. Papar semua catatan

Isnin, 13 Ogos 2018

Rebiu | NOSTALGIA SYOK SENDIRI – Isu #2


NOSTALGIA SYOK SENDIRI – Isu #2
44ms / A5 / Bahasa Melayu
Isu kedua Nostalgia Syok Sendiri tampil dengan wadah dan wajah yang lebih sempurna, kemas dan tersusun. Dikhabarkan terdapat dua versi kulit luar untuk NSS #2 ini. Yang saya miliki berkulit merah dengan foto lama Jaie Sil Khannaz menghiasi kulit hadapan. Versi lain berkulit biru menampilkan sepasang kanak-kanak bermain buaian, difahamkan anak-anak tuan editornya sendiri iaitu saudara Sharumnizam Sariff. Paparan utama isu kali ini saya kira adalah dua bual-bicara. Pertama bersama Lan Bear yang berkisar tentang Infectious Maggots. Agak menarik mereka bersembang (chatting) di alam maya, menerusi facebook. Mungkin akan lebih baik kalaulah bro Sharumnizam mencatatkan tarikh berlangsungnya perbualan tersebut. Yang kedua juga manuskrip wawancara di alam maya, bersama Skoba Bazzah dan mereka bercakap tentang Parasite, band grindcore dari Bandar Pusat Jengka yang dah ujud sekitar akhir tahun 80an. Sangat “rare” perbincangan ini dan saya pasti ia dapat dibaca hanya menerusi zine NSS isu kedua ini. Pengisian lain cenderung kepada konsep mengimbau memori (KLMJ) antaranya himpunan flyer-flyer lama, keratan akhbar dan juga koleksi artwork. Catatan-catatan peribadi editor sepertimana di bawah tajuk “Aku dan Dunia Muzik UG”, “Nasik Lemak Sambal Ikan Bilis”, dan “Senyum Tanda Gembira Atau Berduka???” adalah penulisan-penulisan yang wajib dibaca. Terbaik hasilkerja anda bro Sharumnizam. Saya menanti NSS #3 pula. Hubungi: facebook.com/sharumnizam.sariff.

Rebiu | NOSTALGIA SYOK SENDIRI – Isu #1


NOSTALGIA SYOK SENDIRI – Isu #1
40ms / A5 / Bahasa Melayu
Isu pertama Nostalgia Syok Sendiri (NSS) tampil dengan kulit luar yang hanya bersandarkan flyer lama gig Escape From Society (1999). NSS disunting dan diterbitkan oleh saudara Sharumnizam Sariff, sahabat lama saya di Seremban yang mana satu ketika dahulu pernah mengeluarkan zine Basuhotax!. NSS cukup jelas membawa elemen nostalgia manakala “syok sendiri” lebih menjurus kepada tafsiran editor yang menggambarkan sifat personal penghasilan zine ini. Terkandung lebih 10 buah sajak/puisi di dalam isu ini, sebahagian besar nukilan bro Sharumnizam sendiri, beberapa kontribusi dan tampalan keratan akhbar/majalah. Turut dimuatkan dua temubual lama yang rasanya tidak pernah disiarkan sebelum ini. Yang pertama bersama Fairulazha / Grind Your Ass zine di mana menariknya turut disiarkan salinan surat bertulis tangan dari editor zine berorientasikan muzik grindcore tersebut. Temubual kedua adalah bersama Iza, editor zine Propaganda. Menarik sebenarnya kedua-dua temubual ini meskipun sekadar jawaban yang disiarkan. Mungkin Sharumnizam dah kehilangan set soalan yang dikemukakan akibat terlalu lama tersimpan / terpendam. Selainnya turut diselitkan koleksi flyers lama, artwork, komik dan beberapa catatan peribadi. Sharumnizam berjaya membawa maksud “nostalgik” dari kompilasi himpunan kerja dan karya-karya lama beliau, kesinambungan kepada usaha-usahanya yang tergendala dari zine terdahulu, Basuhotax!. NSS #1 ini jika tidak silap saya dilancarkan pengeluarannya semasa Seremban Zine Fest 2016.