Isnin, 13 Ogos 2018

Rebiu | NOSTALGIA SYOK SENDIRI – Isu #1


NOSTALGIA SYOK SENDIRI – Isu #1
40ms / A5 / Bahasa Melayu
Isu pertama Nostalgia Syok Sendiri (NSS) tampil dengan kulit luar yang hanya bersandarkan flyer lama gig Escape From Society (1999). NSS disunting dan diterbitkan oleh saudara Sharumnizam Sariff, sahabat lama saya di Seremban yang mana satu ketika dahulu pernah mengeluarkan zine Basuhotax!. NSS cukup jelas membawa elemen nostalgia manakala “syok sendiri” lebih menjurus kepada tafsiran editor yang menggambarkan sifat personal penghasilan zine ini. Terkandung lebih 10 buah sajak/puisi di dalam isu ini, sebahagian besar nukilan bro Sharumnizam sendiri, beberapa kontribusi dan tampalan keratan akhbar/majalah. Turut dimuatkan dua temubual lama yang rasanya tidak pernah disiarkan sebelum ini. Yang pertama bersama Fairulazha / Grind Your Ass zine di mana menariknya turut disiarkan salinan surat bertulis tangan dari editor zine berorientasikan muzik grindcore tersebut. Temubual kedua adalah bersama Iza, editor zine Propaganda. Menarik sebenarnya kedua-dua temubual ini meskipun sekadar jawaban yang disiarkan. Mungkin Sharumnizam dah kehilangan set soalan yang dikemukakan akibat terlalu lama tersimpan / terpendam. Selainnya turut diselitkan koleksi flyers lama, artwork, komik dan beberapa catatan peribadi. Sharumnizam berjaya membawa maksud “nostalgik” dari kompilasi himpunan kerja dan karya-karya lama beliau, kesinambungan kepada usaha-usahanya yang tergendala dari zine terdahulu, Basuhotax!. NSS #1 ini jika tidak silap saya dilancarkan pengeluarannya semasa Seremban Zine Fest 2016.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan