THE AKSARA COMMUNE – Isu #2
44ms / A5 / Dwi Bahasa
The Aksara Commune akhirnya kembali bersamanya isu kedua pada Februari 2018, kira-kira 16 bulan selepas isu pertama diterbitkan sekitar Oktober 2016. Pada satu ketika, saya agak gusar yang editornya saudara Karim Abdullah berhenti menulis / menerbitkan zine memandangkan kepada laman wordpress beliau yang lama tidak dikemaskini. Ianya penantian yang berbaloi kerana kepulangan zine TAC turut disertai kualiti penerbitan dan pengisian yang lebih memberansangkan! Cetakan berwarna pada kulit luar, penggunaan brown paper secara menyeluruh, hasilkerja rekabentuk & susunatur yang sangat rapi dan kemas (diselenggara Sarajevo Amira Maisara) serta kehadiran co-editor Nadiah Aminuddin yang cukup membantu telah meletakkan TAC pada tahap kualitinya yang tersendiri. Isu ini mengetengahkan temubual band bersama A Lot Like Turd dan The Pinholes, empat ulasan gig, beberapa artikel dan tidak ketinggalan ruangan ulasan album. Penulisannya sangat menyeronokkan untuk dibaca dan editor juga begitu fluensi dalam berbahasa Inggeris. The Aksara Commune ini pastinya zine yang wajib anda miliki, khabarnya mereka melancarkan isu ketiga pula di Cyberjaya Zine & DIY Fest, 11 – 12 Ogos 2018. Cepat dapatkan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan