Sabtu, 28 April 2018

Notasi | KLABU ASAP – 2-in-1 Ep Collection




Hanya ada satu dalam dunia! Klabu Asap “2-in-1 Ep Collection”, 10 tracks terhimpun dari EP 2015 dan EP 2017. Punk rock yang syok dan enjoy giler! Memang kegemaran aku buat CD macam ni senang nak layan sekali harung terutamanya semasa memandu. Personal use only!, not and never for sale, haha! Nak buat CD camni korang kena support beli dulu kedua-dua EP dari Klabu Asap tu. Hubungi: facebook.com/klabuasapband.

Catatan: Pyan Nathias // 11/04/2018 // 00:19am

Rebiu | EMERGED – Astray


EMERGED – Astray
Emerged Records
Sungguh, saya hilang kata-kata untuk sebuah produk yang sebegini hebat! Ya, saya berkata benar bahawa yang ini sememangnya sangat-sangat hebat! Saya hanyut dan tenggelam di dalam arus alunan muzik bikinan Emerged, di dalam 7" EP berjudul “Astray” ini. Biar saya kongsikan sedikit cerita. Sebahagian besar hidup saya dewasa bersama muzik metal. Irama metal yang gelap dan suram seringkali menjadi pilihan dan kegemaran saya adalah Black Metal yang berpaksikan depresif serta melankolik. Semua elemen kesukaan saya ini ada dalam muzik mainan Emerged. Lagu-lagu Emerged adalah himpunan melodik memukau, mencengkam dan meresapi jiwa! Track Mukadimah, sebuah introduksi dalam format instrumental sepanjang 2:54 minit bagaikan petanda kalian pendengar harus bersedia bersiap-siaga untuk dibawa masuk ke dunia yang kelam dan penuh dendam. Saya pernah mengatakan bahawa band ini perlu diberi pemerhatian khusus berdasarkan kualiti yang mereka ada sewaktu mengulas Demo 2017 (dan juga menemubual mereka) dalam Bangkit! isu #5. Emerged terbukti kembali dengan langkah yang jauh lebih kehadapan dalam karya mereka. Kemarahan dan atmosferik menyatu membentuk nuansa Kifarah [4:10], track yang menyusul di Side A sebaik berakhirnya Mukadimah. Riff-riff gitar dan hentakan d-beat yang mengheret saya ke lembah persoalan; Apakah kemanusiaan telah mati? Apakah kewarasan sudah tiada lagi? Lagu yang di penghujung simfoni-nya menyeru kita bangkit!, melawan tanpa gentar dan berjuang untuk hak-hak yang kita ada. Beralih ke Side B, satu lagi epical/doomy crustcore disalurkan dalam track bertajuk Astray berdurasi 6:24 minit. Lagu yang mengisahkan tentang azabnya tekanan dan penindasan namun jangan dibiarkan diri “sesat” dalam penderitaan dan kemurungan berpanjangan. Ia kemudiannya mengajak anda untuk segera sedar dan bangkitkan amarah, bangun menentang segala ketidakwajaran yang ada di sekeliling kita. Tahniah Emerged yang terdiri daripada Solihin (gitar/vokal), Rohayizal (gitar), Zamruliman (bass) dan Arif (dram) dalam rakaman ini. Kalian telah cukup berjaya menghasilkan karya-karya yang begitu menakjubkan, karya-karya yang meremangkan bulu-bulu roma saya tatkala menghayatinya. Saya fikir rilisan ini bukan hanya untuk pendengar Blackened Hardcore / Crustcore / Stenchcore, tetapi saya suka nak syorkan untuk semua termasuklah peminat Depressive Black / Dark Doom Metal terutamanya. Vinyl berharga RM35 ini terdapat dalam dua pilihan; samada black atau clear vinyl. Saya memiliki yang clear, dan yang seronoknya saya turut memiliki versi kaset [salinan #30] keluaran Broken Noise Records (Limited Tour Tape 100pcs). Koleksi lengkap untuk sesuatu yang hebat!

Rebiu | INQUIRY LAST SCENERY / ESRARR – Circle Of Betrayal


INQUIRY LAST SCENERY / ESRARR – Circle Of Betrayal
GLord Records / Dekaden / Deleted Records
Pertembungan dua genera! – itulah yang saya lihat dan dengar dari rilisan split 7" EP ini. Ia menunjukkan tiada diskriminasi dalam music genres. Kepelbagaian jenis muzik boleh sahaja berada di bawah satu bumbung dan sama-sama mempertegakkan kebebasan berkarya! “Circle Of Betrayal” yang menemukan dua band tempatan ini dikeluarkan secara rasmi pada 15 November 2017. Inquiry Last Scenery dari ibukota Kuala Lumpur memperagakan irama deras dan penuh jeritan-jeritan keras Emoviolence / Screamo menerusi 4 buah lagu yang hampir kesemuanya berdurasi singkat (di bawah 1 minit); Circle Of Life [0:36], Epilog [2:13], Lukisan Tanpa Lakaran [0:53] dan You Have To Stop This Now! [0:31]. Kesemua lirik Inquiry Last Scenery ditulis dalam bahasa Melayu biarpun ada antara judulnya berbahasa Inggeris. Terdiri daripada Hanafi (dram), Kimi (gitar), Fahmir (vokal) dan Mukhriz (bass), muzik mereka begitu ribut dan menghentam, namun ada juga diselitkan elemen stoner/sludge pada lagu Epilog, mungkin untuk disesuaikan dengan konsep bawaan Esrrar yang menjadi rakan dalam split ini. Esrarr yang dibarisi oleh Ahmad Khusairi (bass/vokal), Farouq Azaziz (gitar) dan Syahir Shuhaimi (dram) berpengkalan di Jerantut, Pahang. Mereka menjana nuansa berat dan lembab Stoner / Sludge Metal pada dua lagu yang disumbangkan; Betrayal [1:55] dan High On Herbs [4:41]. Riff-riff yang pekat dan cukup layan kepala, lebih nikmat jika di bawah pengaruh herba keramat, hehe! Inspirasi Black Sabbath sudah tentu menguasai komposisi dan sound Esrarr, di samping nama-nama seperti Weedeater, Buzzoven mahupun Bongzilla. Vinyl ini tampil dengan senilukis yang menarik (oleh Rico Leong) serta percuma poster (saiz A3) dan sticker. Pada saya, ini split yang sangat memuaskan hati dan anda perlu segera dapatkannya! Mutakhir: Inquiry Last Scenery / Esrarr “Circle Of Betrayal” split disediakan pula dalam format cassette tape oleh Terr-Records, terhad 100 unit kaset rilis pada 21 April 2018.

Rebiu | THE BOLLOCKS – Viva La Punk


THE BOLLOCKS – Viva La Punk
GLord Records
Vinyl 7" ini satu rilisan yang eksklusif dari The Bollocks. “Viva La Punk” mengandungi 4 rakaman studio yang tidak pernah dikeluarkan serta 2 petikan live sekitar 1995/1996. EP ini dilancarkan pengeluarannya buat kali pertama pada 18 September 2017. Ianya habis dijual dalam masa hanya beberapa hari sahaja. Saya bertuah memiliki edisi terhad Gold Vinyl 100 unit sahaja yang mula diedarkan oleh Glord Records pada 3 Oktober 2017. Sepertimana kita ketahui, The Bollocks yang ditubuhkan dalam tahun 1994 adalah antara band yang begitu besar pengaruhnya dalam scene muzik punk tempatan maka itu rilisan istimewa berdurasi keseluruhan 13:47 minit ini sudah tentu cukup penting untuk berada dalam rak koleksi kita. Side A dimulai oleh Viva La Punk, salah satu lagu paling menonjol dalam EP “Revolution” (1997) dirakam semula selepas 10 tahun, iaitu pada 29 April 2007. Diberikan nafas baru terutamanya penambahbaikan pada drum beat berbanding lagu asal. Track kedua, Keeper Of The Reins merupakan lagu yang tidak pernah diperdengarkan. Ia rakaman sekitar tahun 2007 untuk sebuah kompilasi yang gagal diterbitkan sehingga kini. Sebuah lagu yang jelas menampakkan bermulanya pendewasaan karya The Bollocks berbanding “My Friend” (Demo 1994 / EP 7" 1996) dan Cass.EP “Revolution”. Ini lagu yang keras, pantas dan membelasah, di mana mereka mula menggunakan drop tune dan ke arah Crust Punk dari segi sound. Seterusnya, Politicians (Live) dipetik dari persembahan pentas The Bollocks dalam gig “A Charity Show” di Piccadilly Discotheque pada 21 Julai 1996. Terima kasih kerana mengabadikan kenangan berusia lebih 20 tahun ini. Side B didahului oleh System Of Hate, sebuah lagu yang ada kisah tersendiri di sebalik rakamannya. Dirakam pada tahun 2014, tempoh perantaraan “Revival” (2007) dan “Society Collapse” (2016). Fasa di mana The Bollocks kehilangan vokalis Farid yang menarik diri dan tugasan diambilalih oleh Adik yang selama ini hanya bermain bass. Lagu ini unreleased, mood yang hampir serupa Keeper Of The Reins, ianya thrashing dan metal-charged gitu! Menyusul kemudiannya lagu berjudul Bitch II yang mengembalikan pendengar kepada asal-usul The Bollocks yang awalnya berpegang pada irama Street Punk. Bitch II yang dirakam pada 1995/96 di Dreamwalk Studio, KL mempunyai kaitan dengan The Bitch yang pernah dimuatkan dalam Demo 1994 (kemudiannya dirilis dalam format vinyl “My Friend” 1996). Chaos KP (Live) menutup “Viva La Punk” 7" EP. Lagu yang sudah tentu paling nostalgik dari band yang sememangnya bermula di Kuala Pilah. Memori itu dipahat pula dalam format live version, direkod semasa gig pertama The Bollocks di acara “Submerge Your Mind” di Piccadilly Discotheque, sebuah venue gig yang sangat sinonim dengan pergerakan awal scene muzik underground tempatan sekitar 90-an. Untuk makluman, kesemua enam lagu yang dimuatkan dalam rilisan ini telah remastered oleh Tom (gitaris The Bollocks sendiri) di Green House Studio, Kuala Lumpur. Kalian tidak perlu ragu tentang kualiti bunyi meskipun sumber audio datang dari pelbagai sesi rakaman (tempat dan masa) yang berbeza-beza. Selain poster bersaiz A3, pelekat percuma dan sebagainya, booklet 12-mukasurat mengandungi penceritaan yang lebih terperinci untuk setiap lagu, lirik untuk lagu-lagu yang previously unreleased, dilengkapi pula dengan banyaknya foto-foto rare dari The Bollocks. Oh ya, koleksi “Viva La Punk” saya bertambah sempurna dengan adanya versi Cassette Tape [Euro Pressing] rilisan ini yang turut berada dalam milikan saya, hehe! Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada GLord Records untuk penyediaan pakej yang sangat-sangat menarik ini, sesuai dengan reputasi The Bollocks itu sendiri.

Rabu, 18 April 2018

Rebiu | THE ANTARA – Demo


THE ANTARA – Demo
Independen
Simfoni yang mendamaikan! Lagu-lagu yang membawa ketenangan ke dalam jiwa. Sejujurnya, saya agak sukar untuk meneka-neki sebarang definasi mahupun pengaruh-pengaruh yang berkemungkinan membentuk elemen muzik mainan The Antara. Saya hanya mampu memberi gambaran bahawa saya sedang terbang, terawang melayang bersama melodi-melodi halus dan indah ciptaan mereka. Demo ini satu permulaan yang cukup memberansangkan dari band asal Ketereh, Kelantan ini. Ia menampilkan tiga lagu; Rasa Hati, Detik Rahsia dan Hanya Didunia – berdurasi keseluruhan 13:30 minit. Muzik The Antara sebenarnya berada di dalam dan di antara integrasi 3 atau lebih sub-genre, dikacuk-adunkan dengan teliti dan hasilnya adalah karya-karya yang kedengaran begitu berseni. Kualiti komposisi itu juga dilengkapi pula dengan lontaran vokal yang amat mengasyikkan serta rakaman bunyi yang sememangnya tepat pada sifat muziknya, maka demo ini pada keseluruhannya saya anggap menakjubkan!
facebook.com/theantaraband
instagram.com/the.antara


Nota: Jika tiada aral, The Antara akan turut diketengahkan dalam Bangkit! Fanzine edisi khas “Rock Bebas” yang pada masa ini masih dalam pembikinan.


Berikut sedikit kajian awal oleh Bangkit! Fanzine bersama The Antara:


Secara ringkas boleh beritahu genre muzik The Antara dan contoh band / artis yang inspired penulisan muzik band korang ni?
Band yang memberi pengaruh adalah psychedelic rock seperti The doors, The Beatles di zaman psychedelic-nya, lebihan lagi karya-karya George Harrison, brit rock seperti Oasis, pengaruh elektrik dari The Killers, pengaruh The Who dan Kula Shaker. Kami juga terpengaruh dengan dikir barat, ada sebuah lagu judul Bersabar yang seakan dikir barat lenggok lagunya, maaf saya tak dapat nak sertakan di dalam cd demo kerana masalah teknikal, boleh di dengar dan tonton di youtube atau di facebook page kami. | rujuk: youtu.be/xOV33yyampg

Rabu, 11 April 2018

Rebiu | 96:01 EMANSIPASI – Edisi Pertama


96:01 EMANSIPASI – Edisi Pertama
16ms / A5 / Bahasa Melayu
96:01 Emansipasi adalah satu nama baru dalam scene penerbitan zine DIY tempatan dan edisi pertama ini juga dilancarkan pada pada 7 Oktober 2017 di #selangorzinefest. Sepertimana Konversasi Sulit dan Paragila, zine 96:01 Emansipasi ini juga hasilkerja individual salah-seorang aktivis Kolektif Sarata. Penyunting juga seorang wanita jelita bernama Fatimah Noor. Pengisian zine ini boleh dikatakan agak berat kecenderungannya, mengandungi penulisan-penulisan berbentuk kritikan sosial dan politik, unsur-unsur religi dan konsep perlawanan. Fatimah Noor menunjukkan inisiatif untuk membawa tema yang bersepadanan dengan nama 96:01 Emansipasi; 96:01 terinspirasi dari “bacalah...” ayat Al-Alaq 96:01 manakala Emansipasi dimaksudkan pembebasan minda (setelah membaca). Tulisan-tulisan yang boleh kalian baca, berfikir dan mengambil manfaat darinya termasuklah “Siapa Yang Salah: Individu Atau Institusi?”, “Rugi” dan “Konstruktivisme Dan Esensialisme”. Terdapat juga teks dalam format puisi seperti “Penyakit-Kita” dan “Penunda Dan Pengalah” selain turut diselitkan beberapa karya artwork / ilustrasi. Bersama zine ini saya turut diberikan helaian tambahan bertulis tangan mengandungi nota-nota ringkas antaranya berjudul “Parti”, “Anti Nuklear” dan “M.O.D.E.R.N.I.S.A.S.I”, juga disertakan mini poster “Persepakatan Dengan Tuhan”. Saya melihat satu kekuatan dan pendirian yang jelas dalam zine 96:01 Emansipasi dan edisi pertama ini sudahpun menampakkan satu permulaan yang baik. Emel saudari Fatimah Noor di emansipasi.96.01@gmail.com untuk selanjutnya.

Rebiu | PARAGILA – Isu #7


PARAGILA – Isu #7
16ms / A5 / Bahasa Melayu
Sudah agak lama juga saya mendengar nama zine ini, semenjak sekitar 2013 jika tak silap. Paragila dikendalikan gadis comel bernama Ieda Mazlan dan isu #7 (bertemakan ”tranqualiti” mungkin berdasarkan yang tercatat di kulit hadapan) yang saya ulas ini dilancarkan terbitan dan edarannya pada 7 Oktober 2017, sewaktu Selangor Indie Comic, Zine Fest & Distro Day Out. Zine ini terasnya menjurus kepada himpunan karya-karya seni Ieda Mazlan dalam pelbagai dimensi; ilustrasi, fotografi, literatur (puisi & cerita pendek) dan sebagainya. Saya terpaut hati dengan lukisan-lukisan Ieda yang kelihatan unik dan pelik (dan sudah tentu gila, hehe) tapi terkandung sebaliknya mesej-mesej tertentu. Begitu juga dengan seni fotografi yang menampilkan beberapa foto dicetak berwarna dan disertakan sekali keterangannya. Emel iiedamazlan@gmail.com untuk zine yang lahir dari salah seorang anak Kolektif Sarata ini.

Rebiu | KONVERSASI SULIT; Salah Satu Malam


KONVERSASI SULIT; Salah Satu Malam
12ms / A5 / Dwi Bahasa
Diffansina Rabu tidak menunggu lama untuk menyusul dengan edisi “Salah Satu Malam” zine puisi beliau, Konversasi Sulit. Sebenarnya saya tertarik dengan nama zine ini. Ianya agak unik. Setiap daripada kita pasti akan seringkali berbual-bicara dengan diri sendiri di dalam hati, di dalam perasaaan, di dalam fikiran dan hanya kita yang tahu apa sedang bersoal-jawab di dalam diri kita sendiri. Inilah yang mungkin mencetuskan nama zine ini. Konversasi Sulit; Salah Satu Malam diriliskan pada hari berlangsung Kuala Lumpur Zine Festival, 9 Disember 2017 di ATAS by Bijan Fx, Petaling Jaya. Naskah ini begitu nipis kali ini namun saya percaya ianya untuk mengimbangi kos percetakan di mana keseluruhannya dari kulit luar hingga ke mukasurat terakhir adalah berwarna penuh (full-coloured). Sangat-sangat menarik. Setiap halaman dimuatkan foto berwarna dan setiap foto disertai sajak-sajak puitis tanpa judul yang mendalam pengertiannya. Masukkan jiwa anda ke dalam coretan-coretan Diffansina Rabu maka di situ anda akan ketemui hatinya.

Rebiu | KONVERSASI SULIT; Sebelah Tangan


KONVERSASI SULIT; Sebelah Tangan
64ms / A5 / Dwi Bahasa
Boleh tahan juga tebalnya zine ini, sebuah zine himpunan puisi tulisan dan terbitan Diffansina Rabu. Terkandung di dalamnya sekitar 50 buah sajak dan catatan kata-kata puitis. Sebahagiannya agak ringkas namun sudah cukup besar makna-maknanya, menyentuh perasaan dan mengusik emosi. Tidak cukup dengan karya tulisan semata-mata, Diffansina Rabu turut menyelitkan beberapa foto tulen yang diambilnya sendiri, memperlengkapkan lagi penceritaan menyeluruh, luahan hati dan ekspresi jiwanya yang pelbagai; sedih, sepi, cinta, rindu, marah dah segalanya. Pada satu sudut, zine ini boleh dikatakan agak personal (peribadi) sifatnya akan tetapi di satu segi yang lain, ianya sebuah perkongsian yang akan lebih mendekatkan kita (pembaca) dengan si penulisnya Diffansina Rabu, lebih mengenalinya dan lebih menghormati serta menghargai kehidupannya. Pengisiannya yang disusunatur dengan baik disertai pula koleksi foto-foto berseni telah membuatkan naskah ini sangat menarik dan cukup tinggi nilai sentimentalnya. Konversasi Sulit; Sebelah Tangan telah dilancarkan pengeluarannya semasa acara Selangor Indie Comic, Zine Fest & Distro Day Out bertarikh 7 Oktober 2017 di SACC Mall, Shah Alam.

Jumaat, 6 April 2018

Rebiu | BAMM! ZINE – Isu #1


BAMM! ZINE – Isu #1
52ms / A5 / Bahasa Melayu

Ini zine baru dari Negeri Di Bawah Bayu, terbit sekitar Disember 2017. Meskipun tiga editornya hanya menggelar diri mereka sebagai Kepala 01, Kepala 02 dan Kepala 03, saya pasti salah seorang daripadanya adalah Norlaila Baizura Simeran, yang sebelum ini menyunting zine Bolos dan Garisandakan. Identiti dan fokus BAMM! Zine menjurus kepada mengetengahkan scene muzik, karya dan kegiatan seni serta human right di Sabah, di Sandakan terutamanya iaitu daerah kelahiran para editor zine ini. 

Secara fizikal, Bamm! #1 mempunyai citarasa dan tarikan tersendiri pada hiasan (graphic art) kulit hadapan, susunatur yang kemas, teliti dan serta pilihan jenis/saiz huruf yang cukup memberi keselesaan untuk pembacaan. Saya percaya pengalaman ketiga-tiga editor yang telah lama menulis dan menerbit zine masing-masing telah dibawa masuk dan disuntik ke dalam Bamm! Zine dan hasilnya memang mengkagumkan. 

Isu pertama ini menampilkan interbiu bersama Free Read Sandakan (sebuah kolektif/komuniti buku dan seni), Lina Klasik (pengamal DIY), The Paralysed (band Alternative Rock), Yunizam Yusop (aktivis charity), Junkiez (art movement/group), Putri Purnama (penerbit/pengarah filem pendek Dream To Fly), Gerodok (band otai Punk Rock yang cukup terkenal dengan lagu Bulan 8 di Sandakan) dan Burhan (penggiat budaya bundle). Jika diperhatikan, Bamm! Zine bijak mengujudkan variasi skop interbiu-nya dan pemilihan responden dari pelbagai bidang ini menjadikan Bamm! unik dalam aspek pengisiannya dan sangat menarik untuk dibaca. 

Saya juga sukakan slot “karya seni” yang memperkenalkan Aerick Lostcontrol, seorang anak seni yang menghasilkan artwork-artwork hebat termasuk menggunakan teknik Cukil Kayu. Empat buah karya Aerick dipaparkan beserta perincian deskripsinya sekali, memang best!. Selainnya, bahan penulisan yang juga tak kurang menarik antaranya certot “Mak Cik, Jangan Ampunkan Mereka!”, artikel “Kau Audiophile Kah?”, gig report “Johny Comes Lately live in Sandakan”, puisi “Tuhan Jadian” dan beberapa komik ringkas. 

Tidak cukup dengan pengisian-pengisian ini, Bamm! #1 turut menghadiahkan mixtape (cd-r kompilasi mini) secara percuma untuk pembeli/pembaca zine ini. Idea dan usaha yang sangat terpuji. Sudah tentu ia menyeronokkan, membaca zine ini sambil menikmati lagu-lagu dari Dirty Shoes, The Paralysed, Gerodok, Golly Sandra dan Con-Damn The Corruptor. Informasi (rebiu) setiap band & lagu turut disertakan di dua mukasurat paling tengah Bamm! #1. 

Nah! Apa lagi yang kalian mahu? Inginkan sebuah zine yang terbaik serba-serbi? Jika itu yang dicari, maka yang ini saya syorkan. Dapatkan sekarang sekali dengan BAMM! Zine #2 yang juga dahpun terbit baru-baru ini.

Rebiu | DISTOPIA – Isu #1


DISTOPIA – Isu #1
40ms / A5 / Bahasa Melayu

Kalau kalian masih ingat, saya pernah mengulas Distopia #0 (Isu Eksperimental) dalam Bangkit! #3. Di akhir ayat rebiu tersebut saya nyatakan: “Distopia ini satu penerbitan yang serius, bernas, mendidik dan sesuatu yang perlu lebih kerap dikeluarkan”. Semenjak itu saya menunggu dan terus menunggu keluarnya isu pertama zine ini. Distopia #1 (Disember 2017) terbit di hari #KLZF2017 setelah 3 tahun berlalunya isu #0 (Disember 2015), akhirnya. Ramai yang berkata masa begitu cepat berlalu tetapi bagi kebanyakan orang, penantian meskipun terlambat 15 minit adalah satu azab penyeksaan, nak-nak bagi mereka yang sedang hangat bercinta, betul tak?. 

Ok, berkenaan Distopia #1, penantian kepada kembalinya zine ini sebenarnya cukup berbaloi!. Editornya Sarajevo Amira Maisara seakan memeram terlebih dahulu semua idea dan tenaga yang ada selama beberapa tahun ini agar ianya cukup masak ranum sebelum dituai. Ternyata, Distopia #1 tampil jauh lebih baik kualitinya, luaran dan dalamannya. Isu ini hadir dengan mutu cetakan yang sangat bagus, kerja-kerja design & layout yang begitu kemas, sedap mata memandang (dan perlu saya katakan ianya hebat) bahkan dibaluti kulit berwarna penuh. “Dah macam pro-printed lah!”, detik hati saya saat kali pertama membelek-belek zine ini. 

Distopia #1 turut menampakkan kematangan dalam aspek pengisian. Saya menghormati Distopia kerana artikel-artikelnya di mana saya melihatnya sebagai identiti sebenar zine Distopia. Untuk kali ini, bahan rencana / artikel kritis diketengahkan dalam penulisan-penulisan berjudul “Wanita Dalit Melawan!”, “Fabrik Perjuangan Feminisme dan Konflik Dalaman” (kedua-duanya oleh Sarajevo) dan satu lagi sebuah esei bertajuk “Antara Dua Relatif” (sumbangan Karim Abdullah, editor zine The Aksara Commune). Perlukah saya ceritakan apa yang terkandung di dalam teks-teks bersifat edukatif ini? Saya rasa saya hanya perlu sarankan kalian segera dapatkan zine ini, baca sendiri dan perolehi manfaat darinya.  

Cukup jelas, Sarajevo (editor) mengotakan janjinya membawakan tema “wanita” untuk isu pertama ini. Selain dua artikel tulisan Sarajevo yang disebutkan tadi, “wanita” turut menjadi sebahagian daripada intipati dalam temubual bersama Radigals (band all-female Hardcore dari Singapura), pelakon teater Mia Sabrina Mahadir serta band folkpunk P-RM. Menariknya, bual-bicara Sarajevo bersama anggota kumpulan P-RM dibuat secara langsung (live interview) dan disunting dalam bentuk teks dengan jayanya. Salute untuk inisiatif ini.

Panjang sangat dah ke ulasan saya ni? Ok, biar saya beritahu sedikit lagi sebelum pergi kepada penutup. Bahan-bahan seperti puisi, book review, ulasan filem malahan posto-posto juga bukan sekadar pelengkap untuk dimuatkan dalam isu ini, tetapi ianya adalah kesempurnaan menyeluruh zine Distopia #1, dan tanpa ragu saya simpulkan, ini zine yang perlu kalian miliki! Segera emel zinedistopia@gmail.com atau cari Sarajevo Amira Maisara di facebook untuk memesan naskah anda.

Khamis, 5 April 2018

Rebiu | MANUSIASI – Isu #6


MANUSIASI – Isu #6
36ms / A5 / Dwi Bahasa
Belumpun lama isu #5 dikeluarkan, Manusiasi Zine segera menyusul dengan isu keenam yang rilis secara rasmi ketika berlangsungnya Kuala Lumpur Zine Festival, 9 Disember 2017. Meskipun agak nipis kali ini, semangat dan kekuatannya tetap sama sepertimana keluaran yang lepas. Cuma penggunaan font yang terlalu kecil membuatkan teks sedikit sukar untuk dibaca. [Nota: Saya ada diberitahu mereka mencuba teknik (memindah dari microsoft word ke adobe photoshop) yang pernah saya kongsikan di facebook tak berapa lama dahulu, rupanya saya sedar saya silap kerana “ajaran sesat” saya itu mungkin boleh mendatangkan kepayahan kepada yang mahu mencubanya, huhu, maafkan saya]. Manusiasi #6 dibuka oleh 3 penulisan di bawah ruangan “Diskusi Bebas” dan beberapa sajak menarik di dalam slot “Puisi”. Temuramah bersama The Electric Ape In Stereo yang berpaksikan muzik Ambient / Instrumental Post Rock mengisi kolum “Interview Band”. Pembaca juga dihidangkan beberapa penulisan / nota peribadi dalam sekyen “Cerpen Curhat”. Ruangan “Interview Santai” adalah bahagian yang paling saya cari dalam isu ini, kerana saya temui kelainan di dalamnya menerusi Manusiasi #5 tempohari. Isu #6 ini menampilkan Servants (alternative emo rock dari Puchong), Hello Kuching (sebuah penggerak aktiviti seni, muzik, sukan lasak, dll. di Sarawak) dan Ballroom Recital (post-rock / post-hardcore dari KL). Kita boleh lihat dan memahami pendapat-pendapat responden (yang mungkin tidak pernah diajukan persoalan sedemikian) mengenai isu rogol, penculikan kanak-kanak dan LGBT. Idea temubual seperti ini bagi saya sangat baik, perlu dikekalkan pada isu-isu seterusnya dan sudah tentu ianya bertepatan dengan halatuju Kolektif Sarata, sebuah kolektif yang didokongi para editor dan penulis utama Manusiasi Zine.

Rebiu | MANUSIASI – Isu #5


MANUSIASI – Isu #5
84ms / A5 / Dwi Bahasa
Sebenarnya 90% penulisannya adalah dalam bahasa kebangsaan dan cuma sedikit sahaja yang berbahasa Inggeris. Isu kelima Manusiasi Zine ini dilancarkan penerbitannya sewaktu berlangsungnya Selangor Indie Comic, Zine Fest & Distro Day Out bertarikh 7 Oktober 2017. Naskah yang agak tebal ini saya melihatnya sebagai “media rasmi” Kolektif Sarata kerana editor dan para penulisnya adalah individu-individu dari kalangan kolektif tersebut. Menurut catatan dalam ruangan Introduksi, isu ini boleh dianggap comeback mereka di mana terbitan terdahulu (isu #4) adalah pada November 2012. Kandungan Manusiasi #5 dipecahkan kepada enam bahagian; Puisi, Interview, Interview Santai, Cerpen, Diskusi Bebas, dan Artwork. Terdapat 19 buah sajak yang mengisi ruangan Puisi, sajak-sajak kontemporari yang mendalam pengertiannya, kritis dan sangat bebas. Himpunan puisi anak-anak muda ini pembuka selera untuk pembacaan seterusnya. Section Interview menampilkan Cukong Press (untuk makluman, ini temubual kendalian / sumbangan saya untuk zine ini), Pneumanarch dan Spooky Wet Dreams. Slot Interview Santai kelolaan Diffansina Rabu yang mana mengetengahkan band Emerged dan Rumpelskin merupakan bahagian yang paling saya suka dalam zine ini. Ini adalah kerana pendekatan interview itu dibuat yang sememangnya agak “santai” akan tetapi pengisiannya agak berat dan padat dengan ilmiah. Memang menarik bila band-band punk bersembang mengenai kes pemerkosaan, penderaan seksual kanak-kanak bawah umur dan cyberbully. Satu lagi bahagian yang saya gemar adalah Diskusi Bebas; menghimpunkan kira-kira 7 buah penulisan bercorak personal writings, ekspresi minda dan point of views. Secara keseluruhannya, Manusiasi ini zine yang amat bagus pengisiannya dan sarat dengan mesej. Layout yang mudah, kemas dan teratur serta saiz font yang enak untuk pembacaan menjadikan zine ini satu pilihan yang baik untuk dimiliki dan ditelaah. Tahniah kepada Amy dan Dfan selaku editor, para penulisnya Kesi, Ieda, Paan dan Emma serta kesemua contributors yang menjayakan Manusiasi #5. Menulis bukan Kriminal!
facebook.com/ManusiasiZine
twitter.com/ManusiasiZine

Rebiu | ULTIMATE DARKNESS – Volume III


ULTIMATE DARKNESS – Volume III
126ms / A4 / Bahasa Inggeris
Ultimate Darkness sebenarnya satu nama yang sudah lama ujud dalam scene zine metal ekstrim. Dua isu terawalnya rilis sekitar pertengahan 90’an. Setelah kira-kira 20 tahun ‘membeku’, zine yang dikendalikan oleh Ason dan Hy-Karl ini hadir kembali untuk isu ketiga pada Disember 2016 / Januari 2017. Berketebalan lebih 120 mukasurat, Ultimate Darkness #3 bukanlah jenis zine yang boleh habis dibaca dalam masa sehari-dua, saya sendiri mengambil tempoh hampir dua bulan untuk khatam keseluruhannya. Jadi, anda boleh bayangkan betapa padat dan sarat serta besarnya kuantiti kandungan majalah underground ini. Isu ini memuatkan 46 wawancara; bersama band-band lama dan baru, dan sebahagian besarnya nama-nama terkemuka dan berpengaruh dalam scene metal antarabangsa seperti Venom Inc (UK), Blasphemy (Kanada), Sadistik Exekution (Australia), Mutilator (Brazil), Merciless (Sweden), Master’s Hammer (Czech), Treblinka (Sweden), Belphegor (Austria), Pentacle (Belanda), Infernal Majesty (Kanada) dan banyak lagi termasuklah Brain Dead (Malaysia), Humiliation (Malaysia), Suffocated (China), Kryptos (India) dan Pathogen (Filipina). Temubual-temubual ini begitu baik kelolaannya, masif dan informatif. Cuma jika boleh di isu-isu akan datang zine ini mengulas lebih banyak produk rilisan di review section “Sepulchral Voice” dan “Old Funeral”. Keseluruhannnya, zine ini menampilkan design yang menarik, layout-nya kemas dan bersih, penggunaan saiz font yang tepat yang mana kesemua ini memudahkan pembacaan. Saya tanpa ragu syorkan Ultimate Darkness #3 untuk semua penggila muzik metal ekstrim. Sangat berbaloi dengan RM20 yang anda laburkan untuk senaskah isu ini. Terbaharu dilaporkan sebuah publishing house dari United Kingdom iaitu Cult Never Dies telah menerbitkan Ultimate Darkness: Zine Anthology 1995/2017 yang menjilidkan kesemua tiga isu #1 hingga #3 dalam bentuk buku dan lebih terkini, zine Ultimate Darkness vol.4 (Disember 2017 / Januari 2018) telahpun terbit dan berada di pasaran. Hubungi 019-2172500 untuk sebarang maklumat.