Jumaat, 30 Disember 2016

Rebiu | SMALL MAN – Isu #3


SMALL MAN – Isu #3
32ms / A5 / Bahasa Inggeris
Eh! Semakin menipis pula penerbitan zine Small Man. Tak mengapalah kerana saya percaya zine berpengkalan di Melaka ini sentiasa mahu mengekalkan tarikannya. Satu kelebihan zine ini ialah penggunaan bahasa Inggeris yang santai dan mudah difahami. Small Man #3 diterbitkan sekitar 2012. Slot travelog menyiarkan catatan-catatan Azizi semasa berkunjung ke Ipoh dan Taiping di mana kesempatan diambil untuk hadir ke gig Welcome COMADRE (USA) and Farewell ALICE (Bandung, ID) di Rainhouse Studio pada 20 Julai. Keluaran kali ini tidak menampilkan sebarang interbiu tetapi diganti dengan satu kolum diberi nama Tape Freak. Di dalam kolum ini Azizi menulis tentang 2 rilisan split tape. Yang pertama, “Ottawa Noise Crash” 4-way split tape menampilkan Harsh Supplement, Schizohasra, No Refund dan The Facts (kesemuanya band noise punk/grind dari Kanada. Yang kedua ialah 4-way split ‘grindcore’ tape keluaran label Azizi sendiri iaitu Bebal Mailorder – “Manic Ear Desolation” mengetengahkan Kerena Neko (Malaysia), Gorgonized Docks (USA), Sakatat (Turki) dan KNB (Singapura). Dalam isu kali ini juga Azizi turut menulis pendapat-pendapatnya tentang scene skateboard dan isu-isu dalam scene muzik DIY. Pertambahan kuantiti produk zine, kaset serta cakera padat yang diulas menjadikan ruangan rebiu dalam zine ini sesuatu yang perlu dibaca. Percaya atau tidak, saya terus menyelak dan membaca segmen ulasan terlebih dahulu sebelum membelek ke penulisan-penulisan lain. Small Man saya sarankan untuk anda yang gemarkan zine yang simple, informatif, menghiburkan serta konsep layout yang kelihatan old-school. azizigrindcore@gmail.com

Rebiu | SMALL MAN – Isu #2


SMALL MAN – Isu #2
36ms / A5 / Bahasa Inggeris
Isu kedua Small Man dimulai dengan dengan catatan perjalanan, pemerhatian dan pengalaman Azizi (editor) sewaktu beliau berkunjung ke Kota Kinabalu sekitar Mei 2011. Azizi ke sana untuk menghadiri acara Borneo Grind Festival yang turut menyaksikan penampilan nama-nama besar seperti Rajasinga (Indonesia), Vormit, Tools Of The Trade, Psychotic Sufferance, Perpetual, Cafergot serta beberapa lagi band-band tempatan. Azizi kemudiannya mengetengahkan sebuah temubual bersama band Virginia On Duty yang begitu seronok untuk dibaca (saya sukakan soalan-soalan bijak yang dikemukakan oleh Azizi). Travelog kedua dalam isu ini berkenaan lawatan editor ke Temerloh untuk menonton persembahan live band grindcore dari Singapura iaitu Wormrot di Studio Arjuna pada 12 Jun 2011. Ruangan ulasan dalam Small Man zine adalah bahagian yang paling saya gemari. Saya sukakan tentang bagaimana caranya Azizi mengulas. Ringkas, telus dan tidak perlu keterlaluan pada masa yang sama matlamatnya signifikan. Ini sebuah pernerbitan zine DIY yang cukup baik dan hiasan kulit hadapan isu kedua ini agak unik. Emel: azizigrindcore@gmail.com. Harganya RM3 sahaja!

Rebiu | SMALL MAN – Isu #1


SMALL MAN – Isu #1
40ms / A5 / Bahasa Inggeris
Berkonsepkan travelog dan muzik underground (interbiu, rebiu dan laporan gig), fanzine bergelar Small Man adalah kelolaan Khairul Azizi yang mana sebelumnya pernah menyunting zine berbahasa Melayu iaitu Bebal Zine [juga pengendali distro Bebal Mailorder]. Saya tidak pernah memiliki zine Bebal, maka itu tidak dapat saya kenalpasti apa-apa perbezaan atau kelainan yang dilakukan saudara Azizi di dalam Small Man. Isu pertama ini diriliskan sekitar tahun 2011 memaparkan catatan-catatan perjalanan / pengembaraan, pengalaman, diari serta laporan-laporan ringkas beberapa gig yang dikunjungi editor, antaranya; The Curse Is Launched, Beware! (di The Wall, Batu Pahat pada 8 Januari 2011), The Friday Bang!! (di Studio Soundmaker, Pulau Pinang pada 11 Februari 2011), Unholy Alliance Revolt #2 (di Heaven aka MyEvo ClubHouse, Pandan Indah pada 12 Februari 2011) dan Let’s Get It On! Part 2 (di Seventh Heaven, Tampin). Small Man #1 turut menampilkan sebuah interbiu yang panjang-lebar dan terperinci bersama Always Last, sebuah band punk rock berpengkalan di Kuala Lumpur. Sebuah interbiu yang menarik dan padat melibatkan 8 mukasurat. Sebagaimana kemestian sebuah fanzine, Small Man juga mengadakan ruangan rebiu terhadap pro-cd, cd-r, tape dan juga zine. Kuantiti produk yang diulas memang banyak dan cara kupasannya sederhana tetapi sudah cukup informatif dan efektif. Untuk makluman, Azizi adalah penggemar muzik Grindcore. Hubungi: azizigrindcore@gmail.com. Grind on!

Khamis, 22 Disember 2016

Pengumuman Tunda & Sampel BANGKIT! #3


Maaf sedikit tertunda dari sasaran asal pengeluarannya. Bangkit! #3 sebenarnya dirancang untuk rilis sebelum/pada event Chaos in Rumah Api #4 namun memandangkan saya perlu memenuhi permintaan ibu untuk keluarga berkumpul di Melaka dan seterusnya pulang sekejap ke kampung di Mersing (22 – 26 Disember), rilisnya isu ini dipinda ke minggu pertama Januari 2017. Ia tetap akan datang!!!






Imej-imej di atas adalah sampel beberapa halaman daripada keseluruhannya 60 mukasurat yang telah selesai melalui proses rekabentuk dan susunatur. Nantikan penerbitannya nanti. Tidak berapa lama lagi!!

Rebiu | SMALL MAN – Isu #6


SMALL MAN – Isu #6
28ms / A5 / Bahasa Inggeris
Azizi selaku penyunting dan penerbit Small Man zine memang kreatif dalam menentukan imej atau design untuk hiasan kulit hadapan setiap isu keluarannya. Untuk Small Man #6, editor telah meletakkan imej (van) Bas Sekolah di mana itu sudah cukup menjadi tarikan, malah ada unsur nostalgia di situ. Isu kali ini memaparkan interbiu bersama XRDM, band fast hc/punk dari Sabah yang diterajui vokalis wanita. Terbaik interbiu ini. Azizi turut menyiarkan penulisan catatan-catatan perjalanan dan nota-nota peribadi beliau ketika menghadiri beberapa gig tempatan. Begitu juga beberapa rencana ringkas seperti Xenophobia? dan Communications!. Seksyen rebiu memang satu kemestian dalam Small Man zine dan ianya ruangan yang perlu dibaca. Kesemuanya ditulis dengan baik dalam Bahasa Inggeris yang ‘simple’ dan mudah faham. Tabik hormat saya untuk sebuah fanzine yang dihasilkan dalam gaya “sekolah lama”. Harap usaha ini berterusan. Hanya RM2 senaskah. Hubungi azizigrindcore@gmail.com atau facebook.com/bebalmailorder.

Rebiu | SMALL MAN – Isu #5


SMALL MAN – Isu #5
28ms / A5 / Bahasa Inggeris
Small Man zine telah lama juga keberadaannya dalam scene di mana pembikinan dan penerbitan isu pertama sekitar 2010/2011. Baru-baru ini saya telah dapatkan hampir kesemua 6 isu yang dikeluarkan setakat ini kecuali isu #4 yang tiada dalam stok editornya, Mohd Khairul Azizi. Untuk makluman, Azizi terlebih dahulu mengeluarkan Bebal Zine yang ditulis dalam Bahasa Melayu sebelum aktif menerusi Small Man ini. Bagi tujuan rebiu kali ini, saya memutuskan untuk mengulas dua isu terakhir. Small Man #5 sepertimana isu-isu terdahulu mengekalkan / kesinambungan konsep travelog dan muzik (grind/hc/punk). Azizi dalam isu ini menulis catatan-catatan travelog beliau ketika ke Medan, Indonesia (November 2012) dan dalam kesempatan itu, Azizi turut mengadakan interbiu band punk dari sana bergelar Jahat. Editor ini turut merakam perjalanan dan pengalamannya semasa di Siem Reap, Cambodia (Mac 2013). Small Man zine memiliki ruangan “Short Review” yang cukup menarik dan saya sukakannya. Kuantiti rilisan yang diulas agak banyak dan pelbagai; cd, tape, fanzine dan juga filem. Pendekatan ulasannya tidaklah begitu pendek dan bukan jenis panjang-lebar. Sederhana sahaja tetapi sudah cukup mengesankan. Small Man zine dizahirkan dalam format yang agak raw dan kelihatan begitu old-school penampilannya. Hanya RM2 senaskah. Hubungi azizigrindcore@gmail.com atau facebook.com/bebalmailorder.

Rabu, 21 Disember 2016

Rebiu | MOSH – Isu #17.5


MOSH – Isu #17.5
24ms / A5 / Dwi Bahasa
Ini adalah edisi khas yang diterbitkan sempena KL Zine Fest pada 8 Oktober 2016. Ahmad Nizamuddin Abdullah atau dikenali ramai dengan nama Nizang menggelarkan keluaran ini sebagai edisi dok dang dang. Telah sedia maklum, Nizang sebenarnya dalam proses penyediaan dan penerbitan Mosh Zine isu ke-18 dan beliau pernah menyatakan rancangan untuk merilis isu terbaru tersebut pada acara KLZF 2016. Sebaliknya, ekoran komitmen kerja, keluarga dan urusan pindah rumah, perancangan tidak dapat dilaksanakan meskipun semua bahan telah sedia ada. MOSH #17.5 menampilkan beberapa bahan yang bakal dimuatkan semula dalam isu #18 juga beberapa bahan lain yang dikatakan khusus untuk edisi khas ini sahaja. Artikel panjang “Lumpuh Di Temerloh” sangat menarik untuk dibaca, ianya satu pengalaman yang ditulis oleh Riduan Mohamad yang terperangkap dalam musibah banjir besar yang menimpa Temerloh sedikit masa lalu. Nizang turut menyiarkan temubualnya bersama Kah Kah Celaka, sebuah band Punk Rock dari Johor serta interbiu dalam Bahasa Inggeris bersama OOMK Zine (One Of My Kind), sebuah penerbitan kolektif yang berpeng-kalan di kota London. Turut disiarkan komik 2-muka “Persepsi” sumbangan Farriese dan ulasan kaset The Electric Ape In Stereo “We come in peace” oleh Abam Bear. Secara keseluruhan, sementara menanti isu sebenar MOSH #18, edisi khas #17.5 ini adalah treaser-nya. Bukan sahaja menerujakan, pengisiannya tetap bermanfaat apatah lagi dihiasi ilustrasi unik karya Aku Napie pada kulit hadapan. Hubungi nizangmosh@gmail.com untuk zine ini.

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #4


PEDAL TO THE METAL – Isu #4
52ms / A5 / Bahasa Melayu
Konsistensi dalam aspek penulisan, pengisian dan ketrampilan adalah tunjang kekuatan Pedal To The Metal. Ini yang meneguhkan faktor kepada mengapa zine bertemakan Metal Punk Berbasikal ini mesti-beli dan wajib dimiliki setiap isu keluarannya. Pedal To The Metal kembali dengan isu #4 pada Ogos 2016. Tidak seperti isu-isu terdahulu yang memaparkan elemen basikal itu sendiri, edisi kali ini menyuntik sedikit kejutan di mana peninju lagenda Muhammad Ali dipaparkan sebagai penghias kulit hadapan, sekaligus gambaran bahawa PTTM #4 merupakan isu penghormatan terhadap ahli sukan tinju antarabangsa tersebut. Muhammad Ali telah meninggal pada 3 June 2016, pada usia 74 tahun dan anda boleh baca ekspresi Ahmad Raimi (editor PTTM) terhadap atlit bergelar The Greatest ini dalam penulisannya di ruangan Hero Berdendang. Ketiadaan aktiviti kayuhan ekoran bulan Ramadhan dan Syawal menjawab persoalan tiadanya elemen basikal menghiasi pada frontcover kali ini. Ini juga bermakna tiada laporan travelog berbasikal yang mana merupakan antara intipati utama penghasilan zine ini. Namun, satu lagi keunikan PTTM #4 terletak pada pengisian slot intebiu di mana 3 buah band Black Metal tempatan telah ditemubual iaitu North Dark, Antaboga dan IVVIIV (Dead). Ia menjadikan isu kali ini sebuah isu yang “gelap” dan kehitaman tersebut bertambah kelam dengan adanya pula artikel panjang mengenai Blackfire – merujuk kepada ulangtahun ke-10 satu-satunya album penuh band berstatus cult ini “Lahir Dari Api” yang diriliskan pada 6.6.2006 lalu. Rammy turut memaparkan karya-karya senilukisnya dalam bentuk komik pendek Penghancur Wajah dan artwork di segmen Ilusi Minda Sakit. Begitu banyak yang boleh dibaca, ditelaah dan didalami dalam zine yang cukup berkualiti ini. Antaranya artikel seperti HMS Malaya (sejarah armada laut Inggeris tajaan raja-raja Melayu), laporan lawatan (bahagian pertama) Menjejaki Pattani Darussalam serta rencana info Diablo Swing Orchestra (kumpulan avant-garde metal dari Sweden). Selainnya, sebagaimana biasa, PTTM #4 turut menyiarkan beberapa puisi dan cerpen (sumbangan beberapa penulis undangan). Lebih banyak untuk dikupas dan diceritakan mengenai zine ini dan anda akan hanya dapat menikmatinya jika zine ini berada di tangan anda. Pelaburan RM8 senaskah yang amat-amat berbaloi. Diterbitkan di bawah Faithcraft Productions, salinan saya adalah #11/150 cetakan pertama.

Rebiu | HVTAM – Isu #3


HVTAM – Isu #3
48ms / A5 / Bahasa Melayu
Saya melihat evolusi; perubahan dan penambah-baikan dalam pembikinan zine HvTAM dari satu isu ke isu seterusnya. HvTAM #3 (keluaran Julai 2016) menyusul hanya selepas dua bulan isu terdahulu (#2 – Mei 2016) diriliskan. Dua bulan itu satu tempoh yang cukup singkat namun Jep selaku editor zine ini telah meletakkan tenaga dan kualiti yang jauh lebih besar dan terbaik untuk isu kali ini dan penampilan HvTAM #3 lebih tebal dan padat. Slot-slot interbiu; bersama CrimsonxDawn, Kah Kah Celaka, Tahi Suci dan juga Braincëll bukan sahaja dilakukan dalam pendekatan yang menarik, tetapi juga telah berkembang menjadi sessi-sessi interbiu lengkap, tidak seperti isu terdahulu yang berkonsep 5-soalan setiap interbiu. Ruangan “Canyon Merah Nan Sebatang” sebagai pembuka selera zine ini juga satu pembacaan yang mengesankan; dua perkongsian kisah realiti persekitaran penulis – terutamanya berkenaan berhadapan dengan situasi pemanduan tidak berhemah. Kisah benar yang ramai di kalangan kita menghadapinya ketika di jalanraya. 2 gig report dipaparkan; Ipoh Blast Fest (28 Mei 2016, Rainhouse, Ipoh) dan Laxmi Bomb in Malaysia (22 Mei 2016, Rainhouse, Ipoh) turut dijadikan sebahagian pengisian HvTAM #3. Kedua-dua laporan gig ini seakan menjadi highlight dalam isu ini dan saya berpendapat bahawa Jep memiliki kelebihan dalam menulis gig report, dalam gaya dan pengolahan tulisannya yang tersendiri. Seronok dibaca dan seakan membawa kita seperti berada dalam setiap suasana penceritaan penulis. Tidak ketinggalan seksyen rebiu ditampilkan ulasan-ulasan jujur beberapa produk cd, kaset, buku dan zine keluaran terkini. Tahniah Jep di atas usaha keras dan kesungguhan dalam penghasilan zine ini. Sebuah zine berkonsepkan ”kerat-dan-lekat” yang amat berbaloi untuk dimiliki pada harga hanya RM4 senaskah. Hubungi j3pham@yahoo.com ataupun di facebook.com/misterjep untuk pertanyaan lanjut. Sekali lagi tahniah buat Jep di atas kelahiran cahayamata baru. Semoga terus dilimpahi rezeki.

Rebiu | SKRIVA – Trilogi Satu


SKRIVA – Trilogi Satu
92ms / A5 / Dwi Bahasa
Sebagaimana tercatat pada kulit belakang, cetakan pertama zine ini adalah pada Ogos 2016, tulisan dan susunan oleh Zulkurnain Nor Amor. Sejujurnya saya tidak mengenali editor ini namun difahamkan beliau bukannya asing dalam scene hardcore/punk tempatan. Beliau juga bekas editor fanzine dan merupakan anggota kumpulan Young And Dangerous di mana dikenali dengan nama Kerk. SKRIVA secara umumnya himpunan penulisan-penulisan berbentuk peribadi (perkongsian beberapa kisah mengenai aktiviti dan hal-hal yang berada di persekitaran beliau), travelog panjang selama 6 hari keberadaan penulis di kepulauan Lombok (Indonesia) serta kecintaan editor kepada scene penulisan / zine dan juga muzik hardcore/punk. Agak banyak penulisan yang diolah dengan baik dan mengandungi mesej-mesej tertentu. Saya melihat zine ini sebagai satu perkongsian pengalaman di mana pembaca dapat mempelajari sesuatu daripadanya. Harga: RM7 senaskah. Hubungi: 012-3420243 (Zach). Boleh juga dapatkan dari DDT Distro – fb.com/ddtdistro.

Rebiu | RUANG – Isu #3


RUANG – Isu #3
44ms / A5 / Bahasa Melayu
Saya hingga saat ini belum berpeluang memiliki isu terdahulu zine Ruang. Atas dasar itu, saya tidak dapat melihat kesinambungan atau sekurang-kurangnya membuat sedikit perbandingan dengan isu #3 yang ada di tangan saya sekarang. Tidak mengapa. Ulasan ini harus terus merujuk kepada penerbitan Ruang #3. Zine ini adalah terbitan dan edaran Koloni Distro (berpengkalan di Temerloh, Pahang), disunting oleh dua individu bernama Finakio dan AN. Penampilan dan persembahan keseluruhan begitu menarik kerana kerana sebahagian besar halamannya (termasuk kulit) dicetak dalam warna penuh. Sepertimana nama diberi pada zine ini – RUANG, ianya begitu banyak memberi “ruang” kepada anak-anak muda tempatan menterjemah dan menyumbangkan karya-karya (seni) mereka samada dalam bentuk tulisan mahupun juga lukisan. Zine ini berkonsep terbuka; mengenai muzik, rencana, ilustrasi, komik, kartun, catatan peribadi, cerpen, puisi semuanya ada. Malah, terdapat juga penulisan-penulisan yang bersifat keagamaan dan ketuhanan. Rekaletak dan susunatur yang kemas dan menarik menampakkan pengisian zine ini begitu padat, tambahan pula dengan penggunaan grafik dan warna yang tepat dan bersesuaian. Ini bukan setakat makanan jiwa dari aspek bahan bacaan, tetapi juga santapan untuk mata yang menikmati setiap inci “ruang” yang ada di dalam zine ini. Tahniah kepada para editor dan juga kontributor yang menjadikan zine Ruang ini cukup baik untuk ditatap. Hanya RM5 senaskah (tidak termasuk pos). Hubungi e-mel: kolonidistro2016@gmail.com.
facebook.com/kolonidistro
instagram.com/kolonidistro

Rebiu | MARILAH EMPATI (Sampai Puas Hati)


MARILAH EMPATI (Sampai Puas Hati)
20ms / A5 / Bahasa Melayu
Tiada info mengenai siapa di belakang penulisan dan penerbitan zine ini, cuma pada bahagian prakata tercatat Nilai, yang kemungkinan merujuk kepada tempat di mana zine ini dihasilkan. Marilah Empati berkemungkinan juga sebuah publikasi one-off, bukannya zine bersiri sepertimana kebiasaan. Memuatkan beberapa artikel, zine ini menjurus kepada luahan pendapat, bersifat komentar atau lebih tepat kritikan-kritikan terhadap budaya sosio-ekonomi. Sejujurnya, setelah beberapa kali mengulang baca isi kandungan zine ini, saya masih termangu-mangu untuk memahami dan menghadam sepenuhnya mesej dan pengertian yang mahu disampaikan penulis zine ini. Saya menghormati kemahiran penulis dalam penggunaan dan penyusunan ayat pada peringkat bahasa yang begitu tinggi tetapi itu tidak cukup memberi kesan mudah faham buat saya sebagai pembaca bahan-bahan bacaan ringan dan sederhana ringan. Pun demikian, saya melihat zine ini sebagai satu penerbitan yang baik, berkualiti dan agak berat pengisiannya. Saya perolehi Marilah Empati ini pada harga RM3 dari facebook.com/noisehipster.distro.

Jumaat, 16 Disember 2016

Notasi | TRANSIT #1: AKU BUKANLAH PEMUISI


Kegiatan masa lapang aku kadangkala bila datang idea dan terinspirasi dengan suasana persekitaran, aku akan menulis puisi (sajak) atau catatan-catatan puitis di mana kemudiannya aku muat-naik ke blog peribadi / koleksi literatur dinamakan TRANSIT. Entah apa alasannya, tidak semena-semena aku melancarkan pengeluaran litzine Transit #1: Aku Bukanlah Pemuisi pada 1 Disember 2016 yang lalu. Dalam blog Transit aku umumkan:

Telah Terbit! Himpunan 12 Puisi & 4 Catatan acah-acah puitis karya syok sendiri Sufian Mohamed Salleh a.k.a Pyan Nathias. Dicetak dalam format minizine 20 mukasurat (termasuk kulit) bersaiz A5. Diterbitkan atas dasar sekadar satu koleksi peribadi yang ingin dikongsikan bersama rakan-rakan yang berminat. Ianya bukan untuk dijual-beli. Sesiapa yang ingin turut menikmati perkongsian ini, inbox saya nama & alamat. Hubungi: facebook.com/piankvlt

TRANSIT ZINE ini [berkemungkinan buat masa ini] bukanlah satu penerbitan serius dari aku. Ia sekadar himpunan koleksi peribadi untuk dikongsikan bersama sesiapa yang berminat, terutamanya dalam bidang kesasteraan. Barangsiapa yang mahukan sesalinan Transit #1 hubungilah aku dan aku lebih suka ianya ditukar (trade) dengan zine / stuff yang korang ada.

Nota: Terdahulu aku ada tampilkan 4 buah puisi tulisan aku di dalam edisi khas Bangkit! #2.5 di mana 2 puisi daripadanya aku muatkan semula dalam Transit #1 ini. Blog Transit boleh dilayari di: transit-seni.blogspot.com | Transit adalah projek sampingan (sub-project) Up The Punx / Bangkit! Fanzine.

BANGKIT! #3 dalam pembikinan!!


Edisi Ketiga BANGKIT! FANZINE dijadualkan kembali sedikit masa lagi. Untuk makluman, aku pada ketika ini sedang bertungkus-lumus menyedia dan menyiapkan isu #3 ini dengan harapan dapat diterbit dan boleh mula diedarkan sebelum atau pada tarikh berlangsungnya acara Chaos in Rumah Api #4 (23 - 25 Disember 2016). Itulah perancangan asalnya. Memandangkan tarikh tersebut sudah terlalu hampir, aku sedikit gusar sasaran tersebut tidak sempat direalisasikan. Sekitar 10 – 20 peratus lagi bahagian yang belum disiapkan. Agak banyak kekangan akhir-akhir ini; komitmen keluarga, pulang bercuti di kampung, masalah kesihatan dan sebagainya. Aku akan cuba. Pun demikian, aku memohon maaf lebih awal seandainya Bangkit! #3 tidak dapat dikeluarkan sewaktu berlangsungnya CIRA#4. 

ATOMICDEATH telah aku pilih dan tampilkan sebagai highlight dalam isu #3 ini. Temubual bersama band-band seperti ACID DISTORTION, LOSST, WÄRFEAR dan WEOT SKAM diketengahkan selaras dengan pembabitan mereka dalam CIRA#4 (sepertimana yang aku maklumkan tadi). Selainnya, turut disajikan interbiu bersama NOT THINGS!, xTOLAKKOKx, EXPLICIT dan TIKAMxLARI. Semuanya 9 buah band disoal-siasat, hehe! Untuk makluman, semua band yang dipaparkan masing-masing telah mengeluarkan rilisan-rilisan terbaharu mereka. 

Bangkit! #3 juga akan mengandungi seksyen REBIU yang agak besar skalanya berbanding isu-isu terdahulu. Kali ini 14-mukasurat padat dengan ulasan dan kupasan ke atas produk-produk cd, kaset dan juga zine-zine tempatan. Segmen INFORMASI turut diperbentangkan merangkumi 3-mukasurat dipenuhi berita-berita mutakhir, maklumat dan prebiu terkini scene hardcore punk serta aktiviti DIY di negara kita Malaysia. Beberapa ARTIKEL juga sebahagian daripada wadah pengisian isu kali ini antaranya termasuklah liputan gig, laporan scene dan sebagainya.

Terima kasih tiada terhingga buat rakan-rakan kontributor yang sudi menyumbangkan karya penulisan; Roots Radicals yang mengisi kolum “Hardcore Punk, Solidariti dan Kebebasan” dengan suntingan terkini artikel Ada Apa Dengan Rumah Api?, Encik Jep (HvTAM zine) yang melaporkan gig High Life vol.1, Tun Farul Azri yang mengimbau kembali scene terdahulu dalam Pogo via 1995/1996 (The Year Punk Broke), Mr.Apaisan yang mengimbas semula perjuangan pembikin fanzine dalam rencana Otai Makan Petai, Adi Herman yang melukis komik Kibota dalam episod Don’t Judge A Person By Its Face serta Trashnoiser yang menyalurkan interbiu bersama Weot Skam dan beberapa rebiu.

Ok. Ini sahaja yang dapat aku laporkan sedikit-sebanyak tentang proses pembikinan Bangkit! #3. Aku harap segalanya berjalan lancar dan sekali lagi maaf dipohon andaikata aku terpaksa menunda sedikit ke hadapan tarikh pengeluaran zine ini. Apapun, keep in touch dan terus ikuti perkembangan semasa pembikinan Bangkit! #3.

Pyan Nathias, 16 Disember 2016

Rebiu | DUM DUM TAK – Genocide


DUM DUM TAK – Genocide
Youth Crime Recordings / Majnvn Conspiracy
Apabila disebut nama Dum Dum Tak, band berpaksikan political punk yang cukup besar sejarah dan pengaruhnya di negara kita ini, saya kira apa sahaja yang keluar dan diriliskan dari mereka tiada perlu lagi sebarang pertikaian mahupun dolak-dalik, malah mesti dimiliki atas dasar nilai dan makna dalamannya, mesej-mesejnya yang cukup tinggi. “Genocide” memuatkan 3 buah lagu di mana dua lagu pertama; Genocide dan Pembangkang Yang Dibangkang Pembangkang adalah versi sebenar (mixed & mastered) yang sepatutnya dimasukkan dalam kompilasi “Penentangan Berterusan” manakala lagu ketiga; Turun Najib Turun merupakan rakaman terbaharu Dum Dum Tak selaras dengan kempen “Dalam Negara Yang Penuh Dengan Korupsi, Kita Semua Penghasut”. Segera dapatkan rilisan ini kerana ia boleh dikatakan eksklusif dan “rare”.
facebook.com/dumdumtakkl
facebook.com/YouthCrimeRecordings
facebook.com/majnvn

Rebiu | KRIGSSYSTEMET – Who’s Next To Be The Fucking Government?


KRIGSSYSTEMET – Who’s Next To Be The Fucking Government? 
Independen
Tape ini adalah Demo 2014 dan kemungkinan satu-satunya bahan rakaman dari Krigssystemet – sebuah band 3-piece yang tidak begitu diketahui profil mereka. Cuma pada inlay disebutkan barisan ahli-ahli pemuziknya dengan pseudonim seakan mahu berselindung identiti sebenar; Small (dram), Medium (gitar/vokal) dan Big (bass). Pun demikian, “Who’s Next To Be The Fucking Government?” bukanlah sebuah demo yang dirilis sambil lewa, malah ia mengandungi kekuatan tersendiri yang perlu diberi perhatian. Krigssystemet mempertaruhkan 6 buah lagu (termasuk intro, atau lebih tepat sebuah instrumental yang diletakkan sebagai trek pengenalan) berdurasi keseluruhannya lebih 9 minit. Secara muzikal, Krigssystemet menghidangkan muzik hardcore punk yang bingit, laju dan berkarat. Ianya boleh dianggap agak dipengaruhi oleh d-beat punk Sweden. Tidak pasti bagaimana lagu-lagu ini dirakam, berkemungkinan live recordings, kualiti bunyi keseluruhan berada pada tahap kotor dan kasar namun itu tidak langsung mencacatkan halatuju sebenar muzikal Krigssystemet; distorsi yang berterusan, agresi tanpa henti, kegarangan, kemarahan dan sudah tentu huru-hara! Tape ini khabarnya disediakan terhad 200 salinan sahaja dan saya perolehi salinan saya menerusi Blood Of War Records. Tiada apa lagi yang hendak diperkatakan cuma satu kesimpulan saya: demotape ini membunuh!
krigssystemet.bandcamp.com

Khamis, 15 Disember 2016

Rebiu | CON-DAMN THE CORRUPTOR – My Songs For You


CON-DAMN THE CORRUPTOR – My Songs For You
Akar Press / Broken Noise Records
Bagi kebanyakan termasuk pihak label pengeluar mengkategorikan muzikal Con-damn The Corruptor (CTC) sebagai Political Punk. CTC sendiri menggelar Punk Rock Sumazau sebagai deskripsi muzik mereka atas kecenderungan etnik dan gunaan instrumen tradisional tempatan seperti kulintangan, seruling, gandang dan sampoton dalam pengolahan lagu-lagu mereka. Manakala pada saya secara peribadi, saya melihat CTC sebagai sebuah band Folk Punk dimana band ini seolah-olah mendendangkan lagu-lagu rakyat dalam nuansa punk rock. CTC sentiasa berada dalam perhatian saya sebagai penyampai suara marhaen. Apa yang lebih menakjubkan, menerusi album kedua ini, CTC membuka skop punk terbuka lebih luas, tidak sekadar berbicara tentang permasalahan politik, penindasan dan peperangan. Dalam lagu berjudul Dowry, CTC mempersoalkan isu wang hantaran / perbelanjaan yang meningkat begitu tinggi dewasa ini sehingga menghalang hasrat sesebuah perkahwinan manakala menerusi lagu The Stray Song mereka mengutarakan keprihatinan terhadap kucing-kucing terbiar dan kelaparan. “My Songs For You” adalah sebuah album yang berada dalam toplist saya yang mana teramat-amat disarankan untuk wajib dimiliki, didengari dan dihayati. Semuanya ada di sana, di dalam album berdurasi 37 minit ini yang merangkumi kepelbagaian; keindahan muzik punk, kreativiti dalam rock, keunikan, ekspresi perasaan, emosi, segalanya. Ianya hampir sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata kerana kalian akan hanya dapat memahami dan turut sama berada dalam aspirasi CTC sekiranya kalian memiliki dan mendengar secara teliti album ini. Cukup hebat!
facebook.com/ConDamnTheCorruptor
facebook.com/akarpress
facebook.com/brokennoiserec

Rebiu | ANGKARA – Dogma


ANGKARA – Dogma
Broken Noise Records / Green Peace Distro / DIS346 / Zuath Generation Distro
Jika anda masih ingat dalam rebiu saya terdahulu dalam Bangkit! isu #1 terhadap Angkara berkenaan demo “Violation” (2014), saya agak kurang berpuashati dengan kualiti bunyi yang ditampilkan. Namun, dalam album pertama berjudul “Dogma” yang dikeluarkan hasil kolaborasi 4 buah label ini, semua itu telah diatasi dengan baik sekali, malah penambahbaikannya jelas lebih besar dan masif. Unit d-beat Hardcore / Crust Punk asal dari Kulim, Kedah ini kembali dengan begitu bergaya sekali dan “Dogma” itu benar-benar berkuasa serta penuh dengan tenaga. CD ini menyajikan 10 buah lagu serta tambahan sebuah intro menjadikan jumlah durasi keseluruhan 22:11 minit. Sessi rakaman serta proses mixing dan mastering telah dilakukan di Warehouz Studio bermula dari April 2015 hingga Januari 2016. Muzik mereka, lirik-lirik mereka, nyanyian mereka – semuanya menyatu umpama sebuah ekspresi amarah yang membuak dan meluap-luap. Mendengarkan deretan lagu-lagu dalam album ini dapat dirasakan garang dan bengisnya luahan dan laungan Angkara, seiring agresif-nya sifat-sifat irama muzik hardcore punk yang mereka persembahkan. Angkara dalam album ini dibarisi oleh Matt Rizal (vokal/gitar), Aziman Azmi (dram/vokal latar) dan kemasukan Pahrol Razi (bass/vokal latar) yang sebelum ini tidak terlibat dalam Demo 2014. “Dogma” didatangkan dalam pakej yang juga menarik, slipcase bersaiz 7" x 7" (seperti cover vinyl 7" EP). Angkara telahpun membuktikan potensi mereka dan tanpa ragu “Dogma” direkomen sepenuhnya mesti-milik.
facebook.com/angkaraband
angkara.bandcamp.com
facebook.com/brokennoiserec
facebook.com/addy.zaidy.1 (DIS346)
facebook.com/Green-Peace-Distro-828902057131372
facebook.com/ZUATH-Generation-Distro-1695016894043773

Rebiu | TAHI SUCI – Grinding Syiah Bastards


TAHI SUCI – Grinding Syiah Bastards
Metuk Ulau Underground Voices
Sebuah karya grindcore yang bukan biasa-biasa. Tahi Suci mendefinasikan muzik mereka sebagai Experimental Grindcore. Band asal Bintulu, Sarawak ini dibarisi Pendekar Mustar (vokal/gitar), Korawk Al Naseer (bass) dan Yang Arif (dram). Demo “Grinding Syiah Bastards” memuatkan 9 buah lagu di mana durasi keseluruhan hampir 17 minit. Di sudut muzikal, Tahi Suci dilihat cukup yakin mempelbagaikan aspek eksperimental dan unsur-unsur kejutan yang disulam dalam kebuasan Grindcore bawaan mereka; melibatkan injeksi elemen elektronika dan penggunaan sampel-sampel yang tepat dan bersesuaian dengan konsep band tersebut. Berkemungkinan tidak ramai yang mengetahui tentang genera elektronika seperti Dubstep dan EDM tetapi Tahi Suci cukup bijak dan berani memanipulasi bunyi-bunyian tersebut dalam struktur muzik Grindcore. Sepertimana dimaklumkan, proses rakaman telah dibuat di rumah (home studio) sekitar 2013 hingga 2015 maka itu kualiti bunyi dalam demo ini memanglah agak mentah dan kasar, namun pada dasarnya saya berpendapat ia agak mengena dengan kegarangan raw grind bikinan Tahi Suci itu sendiri. Dari segi lirikal, tema senikata-senikata tulisan mereka begitu fokus kepada kempen anti-Syiah, anti-Israel, anti-Freemanson, anti-Illuminati dan seumpamanya. Tahi Suci seakan berfungsi seperti sebuah agenda berobjektif mengutuk, menentang serta kecaman secara total ke atas anasir-anasir tersebut. Ini yang memperlihatkan Tahi Suci begitu beridentiti dan bergerak sebagai satu unit yang berkonsepsual. Penjudulan lagu-lagu Tahi Suci juga begitu unik bahkan seperti tidak pernah terlintas di fikiran penggunaan judul-judul seperti itu. Ini satu lagi kelebihan kepada Tahi Suci untuk dilihat berbeza berbanding kebanyakan. Tahi Suci turut menyelitkan saduran Police Bastard (lagu asal Doom) yang dimainkan dalam gaya grind mereka. Demo rilisan rasmi Metuk Ulau Underground Voices (2016) dalam format pro-cdr dan diberikan sticker percuma setiap pembelian pada harga serendah RM5 (tidak termasuk kos pengeposan) ini memang cukup berbaloi untuk dimiliki. Tiada kompromi. Hentam terus!!!
facebook.com/tahisuci
metukulau.blogspot.com

Rabu, 14 Disember 2016

Rebiu | LIBERAL LIBERALIS – self-titled


LIBERAL LIBERALIS – self-titled
Nervhous Records / Green Peace Distro
Kocokan-kocokan ritma melodik serta petikan-petikan solo gitar menggigit begitu mendominasi keseluruhan nuansa heavy hardcore / metalpunk bikinan Liberal Liberalis, band yang berpengkalan di bandaraya Kuching, Sarawak. Ianya (elemen melodik) kedengaran cukup jelas dan menonjol menerusi 6 buah lagu yang dimuatkan dalam “s/t” tape keluaran bersama label berpengaruh Nervhous Records dan Green Peace Distro. Muzik band ini terbina dari barisan pemuzik yang berkemahiran tinggi terutamanya pemain-pemain gitar mereka. Liberal Liberalis sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada kumpulan Armados dari Lahad Datu, Sabah di mana saya berpendapat kedua-dua band ini memiliki konsep muzikal yang boleh dikatakan serupa; iaitu mementingkan struktur melodik dalam irama hardcore/punk bawaan mereka. Lirik-lirik yang dinyanyikan Liberal Liberalis begitu menjurus kepada tema politikal semasa dalam negara; mengenai kepimpinan Najib, penyalahgunaan kuasa, korupsi, penindasan serta laungan suara mereka yang mahukan kebebasan dan keadilan. Untuk makluman, Liberal Liberalis telah ditubuhkan sekitar tahun 2011 dan dianggotai oleh Colt (bass/vokal), Hassan (gitar utama), Bolton Zymeth (gitar kedua) dan Ddek (dram). Tape ini dilancarkan pengeluaran dan pengedarannya pada 8 Oktober 2016, sewaktu berlangsungnya Kuala Lumpur: Zine Festival x Indie Comics x Distro Day Out. Tape ini menyeronokkan dan menghiburkan.

Rebiu | PEACEMAKER / KROSOT – Split 2016


PEACEMAKER / KROSOT – Split 2016
Raung Records
Split Cassette Peacemaker / Krosot ini ibarat ejen pemecah kesunyian. Kedua-dua unit ini adalah penjana bunyi bising keras Harsh Noise, sejenis genre electronic yang mana bagi aku akan membuat diri berasa segar setelah dikenakan kejutan elektrik, hehe!. Tapi kalau korang tak biasa dengan Harsh Noise, memang berdengung gegendang telinga korang (apatah lagi kalau mendengar menggunakan walkman/earphone). Peacemaker dari Philadelphia (USA) menamakan sound-nya sebagai transformational harsh noise dan ianya bukan calang-calang kerana ini projek solo oleh Richard Hoak, pemain dram band grind/death tersohor, Brutal Truth. Peacemaker dalam track berjudul “hallucinautical” mengikut pendengaran aku seakan bunyian bising sekata yang panjang, seperti HNW (Harsh Noise Wall) dan pada detik-detik tertentu disulami elemen renjatan dan kejutan besar. Memang menarik kerana ianya seumpama satu pelayaran di lautan luas yang tenang dan ada ketika-ketikanya dilambung ombak besar dan juga gelora ganas. Krosot pula sebenarnya tidak asing dalam scene terpencil Harsh Noise di negara kita ini. Unit yang dioperasikan oleh ahli anggota band noisegrind DOSA ini telah begitu lama berkarya menghasilkan bunyi-bunyian bising dan mereka telah begitu banyak rilisan dalam senarai diskografi mereka. Krosot yang mahu mendefinasikan sound mereka sebagai lo-fi harsh noise melalui track bertajuk “hydro apartheid” mempersembahkan satu bunyian bising panjang yang berkepelbagaian. Korang akan dengar macam-macam variasi dan dimensi bunyi dari track Krosot ini dan ianya seperti mengalir meresapi salur pembuluh urat saraf korang. Impaknya menakjubkan. Seperkara lagi yang menarik tentang split cassette ini ialah tentang pembikinan folded cover yang cukup kreatif (didatangkan pula dalam pilihan samada putih atau hitam) serta dihiasi artwork yang memang unik (karya Shaze). Hanya pada harga RM8 (tidak termasuk kos pengeposan), kaset ini sesuatu yang harus korang miliki jika berminat untuk mengalami getaran Harsh Noise.

Selasa, 13 Disember 2016

Rebiu | NO SECURITY – Drunk & Destroy


NO SECURITY – Drunk & Destroy
Pogo Tapes
Ok.. terus-terang aku nak beritahu, ini jenis punk yang betul punya happening, gila babi, tangkap liar, overdose mabok tak ingat dunia, haha!!! No Security datang dari kelompok Bukit Bintang Pyrate Punx, band 3-piece dianggotai Arol (vokal/gitar), Iwan (vokal/bass) dan Boy (dram). Kaset “Drunk & Destroy” ni rilis secara rasmi pada 28 November 2016, terhad 150 salinan sahaja dan merupakan produk sulung Pogo Tapes [PT001]. Kaset ni mengandungi 8 buah lagu termasuk cover Bang Blows dan The Scruffys (best siot), durasi keseluruhan kurang lebih dalam 16 minit gitu. Musicwise, pheww.. macam aku cakap awal tadi.. fuckin’ havoc beb! Deretan lagu No Security ni akan ajak korang layan berpogo-pogoan (bukan poco-poco tau) tak kenal erti penat.. baju basah jeruk dek peluh, ketiak masam dah macam cibai.. tapi disebabkan No Security, korang akan happy, terus enjoy sama kawan dan pogo sampai pecah kepala! Ini band yang membawa semangat punk UK82; GBH, Chaos UK, Disorder dan yang sewaktu dengannya. Cuma aku bengang sususan lagu dalam kaset tak sama dengan tracklist pada inlay tapi tu bukan masalah besar sebab lirik ada disertakan. Aku taknak cakap banyak, last aku rekomen: No Security “Drunk & Destroy” wajib ada dalam koleksi punk korang. Cepat hubungi pogotapes@gmail.com itupun doa dulu harapnya masih ada. Ahoy!

Khamis, 8 Disember 2016

Rebiu | DISTASTE – Six Tracks Demo


DISTASTE – Six Tracks Demo
Crysis Records
Mereka datang untuk lantang menentang! Melawan kebobrokan, memperjuangkan kebebasan. “Kebencian” itu dilepaskan dalam situasi cukup mendesak, penuh amarah! Itulah Distaste – sebuah unit d-beat hc/punk yang bukan sekadar mahu berada dalam kelompok besar band-band berjenama “dis–”, tapi lebih dari itu, mereka ada senjata tersendiri untuk lebih berbisa dan ampuh membinasa, meruntuhkan segala kepincangan-kepincangan dalam sistem. Distaste berasal dari Dungun, Terengganu dianggotai Kema B (vokal/gitar), Kema K (dram) dan Dink (bass). “Six Tracks Demo” yang dirilis pada Julai 2016 cukup bertenaga, mampat dengan idea-idea yang mengesankan. Mereka dikatakan agak terpengaruh dari inspirasi hc/punk Skandinavia seperti Kriegshot, Diskonto dan seumpamanya namun saya lebih melihat kepada inisiatif menyuntik elemen-elemen inovatif dalam dalam lagu-lagu ciptaan mereka. Itu yang mengagumkan. Dirakam di Musical Studio (diadun oleh Cdth Jhnm), kaset demo ini satu rilisan yang disyorkan. D-beat kasi pecah!
facebook.com/distasted
facebook.com/crysisrecords
crysisrecords.com

Rabu, 7 Disember 2016

Rebiu | ATOMICDEATH / IRON TOOTH – Trail Of Destruction


ATOMICDEATH / IRON TOOTH – Trail Of Destruction
Independen
“Trail Of Destruction” merupakan judul split CD terbaharu dari Atomicdeath, kali ini bersama Iron Tooth yang berlokasi di Jakarta, Indonesia. Split ini durasi keseluruhannya 26:49 minit dikeluarkan atas biaya independen, secara bersama kedua-dua pihak band. Masing-masing menyumbangkan 4 buah lagu. Setelah beberapa tahun, meskipun masih belum memiliki album penuh, malah ini projek kedua Atomicdeath dalam format split, Atomicdeath terus berkembang dengan baik, semakin berpengalaman dan berada di landasan tepat mencapai kematangan identiti dan halatuju muzikal mereka – Crust Thrash Metal Punk. Binaan lagu-lagu ciptaan Atomicdeath; baik dari segi olahan melodi, struktur dan juga susunannya begitu teratur, saling bertaut dan cukup menyerlahkan lagi definasi thrash/punk itu sendiri. Agak menarik juga bilamana Atomicdeath turut menyelitkan sebuah lagu cover – From Out Of Nowhere (lagu asal Driller Killer, sebuah band d-beat hardcore punk dari Malmö, Sweden). Baki 4 lagu selanjutnya milik Iron Tooth, satu nama yang sejujurnya baru saya kenali menerusi split CD ini. Ya, muzik mereka Thrash tetapi secara peribadi mengikut halwa pendengaran saya ianya tidaklah begitu menarik, tidak cukup kuat getarannya malah kedengaran biasa-biasa sepertimana kebanyakan band “simple” thrash. Mungkin saya perlu mendapatkan peluang untuk mendengar lebih banyak material-material Iron Tooth untuk saya dapat menyelami lebih jauh ke dalam muzik band ini. Apapun, “Trail Of Destruction” sebuah produk split yang bagus dan menghiburkan! Hubungi Atomicdeath dan Iron Tooth di emel masing-masing.
atomicdeathsquad@gmail.com
doombringer.records@gmail.com

Rebiu | ATOMICDEATH / BLOODSTONE – Hellish Nuclear Destruction


ATOMICDEATH / BLOODSTONE – Hellish Nuclear Destruction
Blood Of War Records
Dua tahun selepas cassette EP “Missile Massacre”, Atomicdeath kembali dengan lagu-lagu ciptaan baru dalam rilisan format split CD bersama band Singapura, Bloodstone. Split berjudul “Hellish Nuclear Destruction” tersebut dikeluarkan sekitar Mei 2011 oleh label tempatan, Blood Of War Records [BOW004]. Atomicdeath yang berpengkalan di Shah Alam mempertaruhkan 5 buah lagu yang dilihat kian membuktikan kemahuan dan kemampuan mereka untuk tampil dengan muzik segar percampuran Thrash Metal dan Crust Punk, malah mereka lakukannya jauh lebih baik dari apa yang telah mereka salurkan dalam EP terdahulu. Teriakan vokal berjemaah pada beberapa lagu, hentakan padu pada dram, kocokan-kocokan gitar yang benar-benar thrashing serta bahagian solo gitar yang tidaklah keterlaluan cukup nikmat didengari dan sudah pasti mengajak kepala turut sama berhenjut mengikut tempo irama mereka. 5 lagu yang cukup baik dari Atomicdeath, ditambah pula kualiti bunyi yang cemerlang; padat dan bertenaga. Bayangkan pertembungan Sacrilege (UK) dan Slayer (US) maka di situ anda temui Atomicdeath. Lima buah lagu berikutnya adalah dari Bloodstone, sebuah band lama yang dibentuk sekitar 2004. Muzik Thrash buatan band dari Kota Singa ini kedengaran lebih teknikal pada masa yang sama mengekalkan aura Thrash Metal klasik / tradisional. Mereka memiliki kelajuan, agresif dalam riffing-riffing serta shredding gitar serta olahan / susunan lagu yang mencabar. Band seperti Nuclear Assault dan Exodus mungkin boleh beri sedikit gambaran tentang apa yang dimainkan oleh Bloodstone namun saya kira mereka turut menyuntik elemen sedikit kelam dan kotor, seperti (era awal) Celtic Frost. Secara keseluruhan, saya simpulkan split CD berdurasi keseluruhan 35:55 minit ini satu produk yang perlu ada dalam koleksi Thrash/Punk anda! Hebat!

Selasa, 6 Disember 2016

Rebiu | EXPLICIT – Anthem Of Death


EXPLICIT – Anthem Of Death
Independen
Berpengkalan di selatan tanahair, Johor Bahru, Explicit bukanlah baru dalam scene dan mereka sebenarnya telah ujud semenjak awal tahun 2000 lagi. Secara mandiri tanpa bantuan label pengeluar, mereka telah melancarkan sebuah EP dalam format cd secara rasmi beredar pada 30 April 2016. Rilisan berjudul “Anthem Of Death” ini memuatkan sejumlah 4 buah lagu berdurasi keseluruhan 12:11 minit. Berdasarkan kepada catatan pada kulit slipcase cd, line-up Explicit dalam rakaman “Anthem Of Death” terdiri daripada Nen Chaos (vokal), Camel Kinje (gitar), Hammed (guitar), Dayat (bass) dan Fandi (dram – sessionist). Berdasarkan penelitian saya, muzik punk bawaan Explicit dalam EP ini kedengaran keras dan berat; dipenuhi elemen berontak dan huru-hara! Difahamkan sessi rakaman berlangsung secara live; maka itu memang kualiti bunyi agak raw dan kasar tetapi pada dasarnya itu cukup sesuai dengan lagu-lagu mereka sememangnya agresif, metallic dan thrashing! Teknik vokal semi-growl, petikan-petikan solo gitar yang membunuh.. semua ini adalah rupa wajah muzikal Explicit. “Anthem Of Death” adalah untuk anda yang meminati band-band berpengaruh seperti Venom, The Exploited dan Toxic Holocaust, sebagai contoh. Saya kurang pasti berapa salinan cd ini dicetak, tetapi salinan saya bernombor #5. Selain daripada di laman facebook, yang berminat untuk mendapatkan EP ini boleh berhubung di talian 012-7256445 atau 017-7006991.
facebook.com/explicit666punk

Isnin, 5 Disember 2016

Rebiu | ACID DISTORTION – Demo


ACID DISTORTION – Demo
Hellförced Records
Dentuman dari Batu Pahat; bising, bingit, padat, bertenaga dan meledak! Begitulah yang dapat saya rungkaikan tentang nuansa muzik Acid Distortion menerusi tape “demo” keluaran label tempatan, Hellförced Records pada 10 September 2016 lalu. Dianggotai oleh Fahmiacid (vokal), Motörmaniac (gitar), Kedak-K (bass) dan Acai (dram), Acid Distortion dalam demo “self-titled” ini mempertaruhkan 6 buah lagu, termasuklah Police Bastard (cover lagu asal band UK iaitu Doom). Jika diamati, Acid Distortion cukup bijak mengadun dan mengimplementasikan irama-irama crust / d-beat gaya Japanese dan Swedish, malah British juga dalam pengolahan lagu-lagu hardcore/punk mereka. Ini membuatkan karya-karya mereka cukup dekat di hati pendengar-pendengar yang menggemari band-band seperti Disclose, Disorder, Framtid, Mob 47, Shitlickers, Extreme Noise Terror dan seumpamanya. Nyanyian dan lirik-lirik Acid Distortion lantang membidas pelbagai kepincangan sistem politik (dalam negara) termasuklah menyentuh isu-isu seperti GST dan TPPA. Ini sebuah band yang benar-benar menarik dan mesti didengar. Awas.. distorsi berasid ini berada di sini untuk melecuhkan deria pendengaran anda! Keep noise forever! Up the punks!
facebook.com/hellforcedrecords
hellforced.blogspot.com

Rebiu | xTOLAKKOKx – Undone


xTOLAKKOKx – Undone
Tempang Records
Fastcore Baling, Kedah ini kembali dengan sebuah EP dalam durasi menghampiri 7 minit, menyusuli kejayaan Demo 2013 mereka “666 Thrash Fun” (keluaran Tebulaih Nyor Distro). EP ini memuatkan 4 buah lagu yang dilihat semakin menyerlahkan lagi kematangan dan halatuju muzikal Tolakkok. Selain kemuncak kelajuan dan kegarangan yang menjadi tumpuan dan akarumbi lagu-lagu band ini, mereka turut memasukkan unsur-unsur thrash separa-tempo dan idea-idea eksperimentasi lain memberikan lebih “ummpph!” kepada definasi fastcore bikinan band yang dianggotai oleh Bob Tapong (gitar/vokal), Alip Hidong (vokal) dan Pakya (dram) ini. Kualiti bunyi “Undone” berada pada tahap yang baik dan memuaskan – direkod dan mixed di studio Soundmaker, Pulau Pinang. Sepertimana demo terdahulu, Tolakkok dalam EP ini sekali lagi menyelitkan sebuah bonus, lebih tepat sebuah lagu selingan iaitu You Mean Everything To Me (Paul Anka) yang mana tujuannya mungkin untuk memberi sedikit rehat dan kelegaan kepada minda pendengar setelah diasak oleh mainan-mainan laju dan agresif dalam 4 lagu terdahulu. EP “Undone” ini terlalu singkat sebenarnya dan saya terperangkap dalam keinginan untuk mahu mendengar lebih banyak lagu dan produk dari mereka. Harap Tolakkok lebih giat menulis lagu, merakam dan keluar dengan pelbagai rilisan.
facebook.com/xtolakkokx-551560081537564
xtolakkokx.bandcamp.com
facebook.com/tempangrecords
tempangrecords.bandcamp.com

Rebiu | LOSST – Demo


LOSST – Demo
Independen
Boleh dikatakan tiada langsung informasi tentang Losst serta maklumat rakaman pada kulit kaset demo ini kecuali muzik mereka yang digelar Face Stomping Hardcore dan band ini asal Mentakab, Pahang (merujuk kepada bandcamp Losst). Apa yang saya dapat dengar dari demo bermuatan 5 buah lagu (durasi keseluruhan 6:49 minit) adalah satu himpunan irama yang cukup keras dan mendera. Biarpun kualiti rakamannya agak kasar, namun kedengaran cukup besar, tebal dan berat. Tidak hanya sekadar Hardcore old-school biasa, muzik Losst turut disulami melodi oi! / streetpunk membuatkan mainan Losst menyerlah dan mengasyikkan. Lontaran suara garau dari vokalis menambahkan lagi sengat ketrampilan muzikal Losst yang begitu tepat menghentak ke muka anda! Tiada syak lagi, ini sebuah band yang seharusnya diberikan perhatian khusus.
lossthc.bandcamp.com

Ahad, 4 Disember 2016

Rebiu | WÄRFEAR – Demo


WÄRFEAR – Demo
Independen
Wärfear boleh dikatakan satu nama yang tiba-tiba muncul dalam scene punk tempatan. Biarpun baharu (difahamkan ujud pada awal 2015), anggotanya adalah pemuzik-pemuzik berpengalaman di mana pernah bersama band-band seperti Osmantikos, Kerenaneko, Antiprotokol, antaranya. Wärfear terdiri daripada Fizam (gitar/vokal), Kecik (dram/vokal) dan Lan (bass/vokal) dan mereka telah merilis kaset demo “self-titled” mengandungi 5 buah lagu yang dirakam di IseekMusic (di bawah kendalian Mokhtar) pada April 2016. Muzik Wärfear adalah Crust Punk; mainan riff-riff gitar yang berbau metal, lantunan bunyi bass serta pukulan dram d-beat serta pekikan-pekikan kasar di bahagian vokal. Meskipun dirakam secara live, Wärfear masih mampu mendapatkan kualiti bunyi yang baik dan secara keseluruhan, Wärfear mengingatkan atau lebih tepat disimpulkan agak terinspirasi oleh band-ban seperti Wolfpack, Wolfbrigade, State of Fear, Tragedy, sebagai contoh. Ini sebuah demo sulung yang memberangsangkan! Segera dapatkannya daripada: Ahmad Izani bin Mohd Safian, No.9392 Batu 5 1/2, Simpang Bukit Lintang, 75460 Melaka.
warfear666.bandcamp.com