Rabu, 21 Disember 2016

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #4


PEDAL TO THE METAL – Isu #4
52ms / A5 / Bahasa Melayu
Konsistensi dalam aspek penulisan, pengisian dan ketrampilan adalah tunjang kekuatan Pedal To The Metal. Ini yang meneguhkan faktor kepada mengapa zine bertemakan Metal Punk Berbasikal ini mesti-beli dan wajib dimiliki setiap isu keluarannya. Pedal To The Metal kembali dengan isu #4 pada Ogos 2016. Tidak seperti isu-isu terdahulu yang memaparkan elemen basikal itu sendiri, edisi kali ini menyuntik sedikit kejutan di mana peninju lagenda Muhammad Ali dipaparkan sebagai penghias kulit hadapan, sekaligus gambaran bahawa PTTM #4 merupakan isu penghormatan terhadap ahli sukan tinju antarabangsa tersebut. Muhammad Ali telah meninggal pada 3 June 2016, pada usia 74 tahun dan anda boleh baca ekspresi Ahmad Raimi (editor PTTM) terhadap atlit bergelar The Greatest ini dalam penulisannya di ruangan Hero Berdendang. Ketiadaan aktiviti kayuhan ekoran bulan Ramadhan dan Syawal menjawab persoalan tiadanya elemen basikal menghiasi pada frontcover kali ini. Ini juga bermakna tiada laporan travelog berbasikal yang mana merupakan antara intipati utama penghasilan zine ini. Namun, satu lagi keunikan PTTM #4 terletak pada pengisian slot intebiu di mana 3 buah band Black Metal tempatan telah ditemubual iaitu North Dark, Antaboga dan IVVIIV (Dead). Ia menjadikan isu kali ini sebuah isu yang “gelap” dan kehitaman tersebut bertambah kelam dengan adanya pula artikel panjang mengenai Blackfire – merujuk kepada ulangtahun ke-10 satu-satunya album penuh band berstatus cult ini “Lahir Dari Api” yang diriliskan pada 6.6.2006 lalu. Rammy turut memaparkan karya-karya senilukisnya dalam bentuk komik pendek Penghancur Wajah dan artwork di segmen Ilusi Minda Sakit. Begitu banyak yang boleh dibaca, ditelaah dan didalami dalam zine yang cukup berkualiti ini. Antaranya artikel seperti HMS Malaya (sejarah armada laut Inggeris tajaan raja-raja Melayu), laporan lawatan (bahagian pertama) Menjejaki Pattani Darussalam serta rencana info Diablo Swing Orchestra (kumpulan avant-garde metal dari Sweden). Selainnya, sebagaimana biasa, PTTM #4 turut menyiarkan beberapa puisi dan cerpen (sumbangan beberapa penulis undangan). Lebih banyak untuk dikupas dan diceritakan mengenai zine ini dan anda akan hanya dapat menikmatinya jika zine ini berada di tangan anda. Pelaburan RM8 senaskah yang amat-amat berbaloi. Diterbitkan di bawah Faithcraft Productions, salinan saya adalah #11/150 cetakan pertama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan