Memaparkan catatan dengan label Soft. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Soft. Papar semua catatan

Ahad, 12 November 2017

Rebiu | SOFT – Nostalgia


SOFT – Nostalgia
Héma Records
Saya percaya bahawa album pertama mereka “A Warm Romanticism In Coldwave Room” telah menerima perhatian selayaknya, bukan setakat di sini akan tetapi juga di peringkat antarabangsa berdasarkan pemerhatian saya ke atas band ini. Band shoegaze / post-punk dari Ipoh, Soft telah kembali dengan full-length kedua mereka berjudul “Nostalgia” sekitar Mei 2017 dalam format 12" vinyl gatefold disertai 20 mukasurat booklet. Pembeli boleh memilih warna piring yang diinginkan; samada hitam, putih ataupun merah. Pada September yang baru lalu, rilisan ini disediakan pula dalam format CD menerusi Héma Records, sebuah label yang berpengkalan di Solo, Indonesia. Berdurasi keseluruhan 55:55 minit, album kali ini menghidangkan 11 buah lagu yang lebih matang bikinannya, lebih energetik serta kualiti bunyi yang lebih memberikan impak kepada pendengaran. Soft tidak sekadar meneruskan apa yang mereka tawarkan dalam album terdahulu, tetapi turut menambahbaik pelbagai aspek untuk menjadikan “Nostalgia” sebuah album susulan yang luarbiasa! Bersesuaian dengan judulnya, Soft kali ini seperti mahu mengajak para pendengar mengimbau kembali kenangan-kenangan dulu, memori lampau masing-masing. Benar bagai dikata, alunan muziknya membuatkan diri saya sendiri merenung jauh ke luar jendela, melayang bersama zaman silam yang dilalui, yang sudah tentunya terkandung bermacam kisah nostalgik. Sesetengah lagu pula berada dalam nuansa suram dan seram, terus-terang saya katakan ianya berpuaka dan berhantu! Sebagai penggemar muzik Dark Ambient, saya jatuh cinta dengan track bertajuk Song For Apollo Heights. Sudah tentu semua lagu-lagunya menarik termasuklah Dark Bass Tortured yang menonjolkan permainan bass dan saya kira ramai juga yang akan meminati lagu seperti Teenage Poetry On Vhs Dreams, Eternal Kiss And First Flowers, Tamar Jalis dan Grunge Glory. Ini album yang akan saya syorkan kepada semua orang. Ini album yang benar-benar layan perasaan.
facebook.com/hemarecords
hemarecords.com

Rebiu | SOFT – A Warm Romanticism In Coldwave Room


SOFT – A Warm Romanticism In Coldwave Room
Rumah Horror / Toothache Splinter / Obscura
Depressive metal/rock, shoegaze, darkwave, drone, ambient, noise dan seumpamanya telah menjadi sebahagian kegemaran saya sejak sekian lama, sejak saya mengenali band seperti Mortiis dan Aghast hinggalah kepada Hijokaidan serta Merzbow. Mereka-mereka ini bukan sahaja kreatif dalam mempelbagaikan eksperimentasi, tetapi juga melibatkan permainan emosi. CD “A Warm Romanticism In Coldwave Room”, album pertama Soft yang saya miliki ini adalah cetakan kedua di tahun 2016 yang mana keluaran asalnya pada tahun 2013. Ianya mengandungi tujuh buah lagu berdurasi keseluruhan 26:35 minit; 1. Chapter, 2. Tapes, 3. Voices Lost In Echoes, 4. Girl Ghost, 5. First Kiss and Death Off, 6. Virgo Venus Venera, dan 7. Past. Saya agak sukar untuk memberi deskripsi sebenar gaya muzik Soft. Ia merangkumi dan mengadun semua genre yang saya sebutkan di permulaan tadi dengan Shoegaze dan Post-Punk sebagai asas dan tunjangnya. Kalau menurut pihak Soft sendiri, mereka lebih gemar mentafsirkannya sebagai “softloudgaze”. Sound mereka banyak dikuasai efek-efek echo dan reverb, serta manipulasi distorsi yang mengkhayalkan. Riff dan melodi lagu-lagu band ini akan membawa pendengar merewang-rewang, terbang di awangan. Pendengar seperti berada di alam surreal, di dunia subliminal, berfantasi bersama irama lagu-lagu Soft yang mengasyikkan. Ianya hebat dan memukau! Ditambah pula dengan pendekatan vokal yang agak minimal, namun cukup hipnotik dan menghanyutkan. Ini sebuah album yang betul-betul sempurna mengikut pendapat saya dan ianya dalam kategori yang jarang-jarang ditemui dalam konteks scene tempatan. Keseluruhannya tersangat menakjubkan!
facebook.com/softloudgaze
facebook.com/rumahhorror