Jumaat, 23 Mac 2018

BANGKIT! FANZINE – Isu #7


Diterbitkan secara rasmi pada 25 Mac 2018 | BANGKIT! FANZINE isu #7 | Edisi Ketujuh di bawah kategori “Siri Tetap” (Regular Series) ini menampilkan secara eksklusif salah sebuah band punk terawal tanahair iaitu ACID RAIN. Sejumlah 16 mukasurat memaparkan kisah tentang mereka; merangkumi dua bahagian interbiu dan sebuah artikel khas berjudul “Acid Rain: Rise From The Rubble”. Dalam isu ini juga Bangkit! turut menemubual 13DAS, THRASHIT, THY REGIMENT, HASHISHIAN, KIDS ON THE MOVE dan SECRET AGENDA. Untuk slot rencana, diketengahkan profil KARATZ, liputan gig M.C.B Terror Drones Mini Tour serta Together We Stand Part 10, dan juga artikel Punk! Aku Sudah Tua di bawah kolum Hardcore Punk, Solidariti dan Kebebasan!. Sebagaimana biasa, Bangkit! #7 tidak akan lengkap sekiranya tiada ruangan-ruangan seperti Buletin (Informasi Hardcore Punk Malaysia), ulasan-ulasan terhadap rilisan CD, Tape dan Zine di bawah seksyen Rebiu. Semua ini dipadatkan sepadat-padatnya dalam 60 mukasurat, bersaiz A5 dan ditulis sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.

Harga: RM8 senaskah (tidak termasuk kos pengeposan)
+ RM2 pos biasa
+ RM4 pos daftar
+ RM8 poslaju Semenanjung / RM12 poslaju Borneo

Pembayaran:
MAYBANK – 153010198114
SUFIAN MOHAMED SALLEH

hubungi:
facebook.com/piankvlt – Pyan Nathias (editor)
facebook.com/bangkitzine – Bangkit! Facebook
whatsapp 019-2597570


Nota: HARGA PUKAL ISTIMEWA untuk yang minat membantu pengedaran Bangkit! Fanzine – sila berhubung!

Rabu, 21 Mac 2018

Rebiu | MY OWN MIND – Isu #0


MY OWN MIND – Isu #0
28ms / A5 / Dwi Bahasa
My Own Mind zine isu #0 yang diterbitkan pada penghujung Januari 2018 dianggap sebagai “isu percubaan”. Ianya lebih kepada “edisi pengenalan” debut official isu #1 yang berkemungkinan diriliskan secara “split zine” bersama Bangkit! Fanzine akan datang. MOM #0 menghimpunkan interbiu-interbiu lama (sekitar 2013-2015) dalam blog Noise From Hell, blog kendalian editor zine ini iaitu Johan a.k.a Trashnoiser melibatkan band seperti Perek Kasi Gerek, Tolakkok, Tarantulah, Sete Star Sept (Jepun), Exterminate, Naked Weapon, Psychotic Sufferance, Kurasakuasa dan Brayok. Terdapat juga halaman Extra/Bonus menampilkan Perpetual, Penguasa Anjing, Bakteria dan Doom (UK). Trashnoiser turut menyelitkan ruangan buletin “Noise From Hell news updates” dan Sajak-Sajak Underground. Layout zine ini boleh dikatakan kemas dan menggunakan teknik cut-and-paste. Walaupun kandungannya sedikit basi tetapi saya fikir ianya masih menarik dan berbaloi untuk dijadikan koleksi zine do-it-yourself anda. Emel trashnoiser@gmail.com untuk maklumat lanjut.


Nota: MY OWN MIND #0 adalah terbitan dan edaran Bangkit! Publishing Support Division. Keluaran terhad 50 salinan sahaja. Harga cuma RM4.00 senaskah. Hubungi facebook.com/bangkitzine atau whatsapp 019-2597570 sekiranya berminat untuk dapatkan salinan anda!

Rebiu | GRIND YOUR ASS – Isu #2


GRIND YOUR ASS – Isu #2
20ms / A4 / Bahasa Inggeris
Nama fanzine ini sering diperkatakan, kerap disebut-sebut malah ramai yang meminta agar ia kembali diterbitkan. Atas dasar ini saya percaya ianya sebuah zine yang bagus. Saya tidak pernah memilikinya sebelum ini dan sentiasa mencari peluang untuk mendapatkannya (kalau-kalau masih ada) untuk tatapan. Nasib saya baik akhirnya dapat juga salah-satu keluaran Grind Your Ass zine, isu #2. Diterbitkan sekitar 2005/2006 menurut editornya Mohd Fairulazha a.k.a Paloh. Format zine bersaiz besar ini meskipun agak nipis (hanya 20 mukasurat) akan tetapi isi kandungannya begitu padat dan sarat. Ia benar-benar menerujakan! Bersepadanan dengan namanya Grind Your Ass, pengisiannya fokus kepada genre Grindcore serta cabang-cabangnya; crust, gore, deathgrind, hardcore dan sealirannya. Isu ini menampilkan 8 interview; bersama Argon, Banzai 606, Fallen World (Singapura), Perpetual, Agathocles (Belgium), Parkinson, Spermblast dan Dosa. Saya begitu tertarik dengan semua temubual yang dijalankan. Olahan soalannya matang, konstruktif dan menyelit perbualan atas topik-topik yang advance. Pihak responden (band) turut bekerjasama memberikan jawaban-jawaban yang maksima terhadap setiap pertanyaan. Isu ini juga memuatkan banyak artikel yang bagus dan informatif, contohnya seperti The Rise of Crust, North Borneo West Bay Hardcore Scene Report dan Napalm Death Details Biography. Ruangan Reviews adalah bahagian yang perlu anda baca dalam GYA #2 ini. Ia melibatkan kuantiti produk yang besar jumlahnya merangkumi CD, Tape dan Zines. Paloh (editor) mempunyai skill dan tatacara mengulas yang serius, teliti dan terperinci. Kupasannya begitu profesional. Untuk keseluruhan, saya seperti membaca sebuah fanzine dari negara-negara Barat, tetapi saya perlu bangga bahawa zine ini dihasilkan dari Temerloh, Pahang. Wah! Harganya cuma RM2 senaskah (mungkin masih relevan dengan kos fotokopi pada waktu itu). Memang benar kata ramai, saya juga mengharap Paloh kembali menulis dan mengeluarkan lagi isu-isu baru Grind Your Ass!

Rebiu | MORBID ZINE – Isu #3


MORBID ZINE – Isu #3
28ms / A5 / Bahasa Inggeris
Morbid Zine isu #3 telah diterbitkan pada Oktober 2016 dan ianya adalah sebuah metal fanzine berpengkalan di Miri, Sarawak. Saya melihat kelahiran semula zine ini satu “kepulangan” yang sungguh baik dan penuh makna setelah ianya hiatus selama 13 tahun. Untuk makluman, penerbitan terdahulu adalah isu #1 (2002) dan isu #2 (2003). Tuan editornya yang bernama Wilson dalam isu ketiga ini telah menemubual band-band seperti Suri Mantra (Experimental Rock/Prog/Avant-Garde dari Miri), Tulah (Black Metal dari Kuching), Falling Farewell (Metalcore dari Miri), Anthroplague (Black Death Metal Kanada), Wrath Of Eden (Groove Metal dari Tawau), dan Perversion (Death Metal dari negara UAE). Terdapat juga artikel-artikel pendek berupa band profile / biografi ringkas mengetengahkan Dark Clown, Shadowmirth, Cannibal Landlord, Aramaic (UAE), Velhalla, Hypertika, Kherow, One Kill Wonder, Lahaujet, Dreadwords, Fake, Militant Attack, dan Dire Crown. Sebagaimana biasa pengisian sebuah fanzine turut dimuatkan ruangan berita “Morbid News” dan ulasan “Morbid Album Review”. Okay, meskipun nama ‘Morbid’ dan imej zine ini nampak seperti 100% metal, Wilson bijak menyelitkan beberapa band/penulisan genre lain seperti experimental dan alternatif yang mana menjelmakan sedikit kepelbagaian. Banyak perkara juga yang saya sukakan tentang zine ini. Olahan penulisannya sangat-sangat baik terutama di bahagian interbiu dan ulasan album. Yang paling saya suka adalah kecerdikan Wilson dalam kerja layout dan design, yang menjadikan zine Morbid #3 ini begitu menarik bukan sahaja dari aspek pembacaan tetapi juga tatapan mata. Ianya bersih, tersusun kemas, bervariasi dan kualiti cetakannya bagus. Morbid Zine #3 dikeluarkan terhad kepada 100 naskah, salinan milik saya bernombor 080 di mana saya perolehi dari pihak Drunkard Distro. Selanjutnya, hubungi Wilson (editor) di wilsonb@operamail.com.

Rebiu THE DICKSONS – Riot In The City


THE DICKSONS – Riot In The City
Independen
The Dicksons yang berpengkalan di Port Dickson, Negeri Sembilan telah merilis “Riot In The City" EP sekitar Ogos 2017 lalu. Pada asas keseluruhannya, muzik The Dicksons berpaksikan UK 80’s Oi!/Punk di bawah inspirasi band-band seperti Blitz, GBH, The Exploited dan The 4-Skins. Mereka ada juga menamakan beberapa band tempatan seperti The Bollocks, Carburetor Dung, The Garrison dan The Official sebagai sumber rujukan. Band yang dianggotai oleh Khalis (vokal/gitar), Sepet (gitar), Alep (bass) dan Ajeem (dram) ini memiliki kematangan dan kebolehan yang baik dalam menggubah dan menyusun lagu, menghasilkan lagu-lagu yang sedap didengar serta menghiburkan. EP berdurasi 13:32 minit ini menyajikan 5 lagu. Track pembukaan Riot In The City sememangnya huru-hara, sarat dengan kocokan ritma rancak memberontak disusuli lagu paling panjang dalam EP ini Confrontation memiliki pengaruh Oi! yang cukup tebal. Propagandha kembali lebih pantas, lebih keras dan panas kemarahannya diikuti Glory Years yang menyemarakkan semula sentuhan street rock/Oi! disulami melodi gitar yang lazat. Lagu terakhir Good For Dance sangat menarik, dan pendengar pasti tertarik untuk skankin bersama sepanjang lagu ini. “Riot In The City" sebuah EP yang hebat apatah lagi kualiti bunyinya yang superb, air tangan Tom Bollocks yang mengendalikan rakaman di Laguna Music / Greenhouse Studio pada 14 hingga 16 Julai 2017. Bangkit! Fanzine berhasrat untuk menemubual The Dicksons namun disarankan selepas mereka mengeluarkan album penuh pertama tidak berapa lama lagi. Nantikan!!

Rebiu | LIBERTY CHAOS – Tirani


LIBERTY CHAOS – Tirani
Sukma Records
EP “Tirani” oleh band bergelar Liberty Chaos ini diriliskan pada akhir Oktober 2017 dan ianya memuatkan sejumlah 7 buah lagu; Liberty Chaos, Para Penguasa, Liberate, Tirani, Chaos, Huru-Hara Negaraku, dan P.O.L.I.S. Unit berhaluan Chaos Punk ini berasal dari Kuala Kangsar, Perak ditubuhkan pada Ogos 2010. Setelah melalui beberapa fasa perubahan line-up, keanggotaan Liberty Chaos dalam rakaman “Tirani” terdiri daripada Ejan (vokal), Sumo (gitar), Andax (gitar), Oxnyee (bass) dan Arp (dram). Sukma Records melabel mereka sebagai Antifa Chaos Punk, dan ianya memang benar muzik Liberty Chaos dalam EP ini begitu meribut, penuh dengan kehuru-haraan, ritma-ritma yang cukup kencang dan garang mengiringi suara berang kemarahan vokalisnya. Nuansa bunyinya agak bising dan “barai”, difahamkan dirakam secara live recordings di String Theory Recs Studio, Ipoh. Kualiti rakamannya tidaklah teruk sangat bahkan saya melihatnya mengena-tepat dengan definasi “chaos” muzik punk Liberty Chaos. Lagu-lagunya memiliki komposisi yang baik, berinspirasikan band-band seperti Chaos UK, Disorder, Varukers, The Casualties, UK Subs dan seumpamanya, sekadar menyebut beberapa nama. Terdapat juga suntikan hardcore street punk dan crossover/thrashpunk yang menampakkan usaha band ini mewujudkan variasi. Liberty Chaos lantang menyuarakan lirik-lirik radikal, anti-fasis, anarki, penentangan terhadap korupsi dan pelbagai konsep perlawanan. Penampilan artwork oleh Makidam (Born of Freedom) pada frontcover kulit kaset memberi nilai-tambah kepada EP ini. Mainkan pada paras volume yang kuat dan rasai amarah Liberty Chaos! Pun demikian agak malang, sekitar Januari 2018 lalu diumumkan oleh Ejan bahawa band ini telah ditamatkan riwayatnya. Hubungi label sukmarecords@yahoo.com kalau-kalau tape ini masih ada diedarkan.

Khamis, 15 Mac 2018

Rebiu | TERRYROTTEN – Sperm From The Past


TERRYROTTEN – Sperm From The Past
Sukma Records / Raung Records
Rilisan EP “Sperm From The Past” seakan perlambangan kebangkitan semula sebuah band yang kini dijenamakan semula sebagai Terryrotten, selepas lebih 10 tahun ‘dibekukan’ dari nama terdahulu, No System (ditubuhkan pada 2003 di Taiping, Perak). Kepulangan Tok Moyang Gobek (bass/vokal) dan The Ghost (gitar), disertai ahli baru The Beast (dram) tampak begitu optimis dan bersemangat menerusi pertaruhan 9 buah lagu yang dimuatkan dalam EP tersebut. Difahamkan sebahagiannya gubahan semula lagu-lagu lama semasa era No System dan selebihnya adalah ciptaan-ciptaan terbaharu di bawah gabungan Terryrotten. Terma “Sick Humor Crust Punk” telah digunapakai secara meluas dalam mendefinasi muzik galasan Terryrotten. Saya melihat ‘sick’ dan ‘humor’ itu merujuk kepada tema atau konsep ruang-lingkup penulisan lirik-lirik lagu Terryrotten yang begitu kuat dengan herdikan dan sindiran terhadap kepincangan politik, korupsi serta isu-isu sosial dan kemanusiaan. Saya suka mendengar lontaran-lontaran vokalnya yang bervariasi dan bermain dengan emosi; garang, marah, memberontak dan ada masanya seakan mengeluh. Muzik Terryrotten yang dikatakan Crust Punk terbina dari kocokan-kocokan power chord yang pada asasnya mudah (simple) akan tetapi dipacu pantas, keras, kental dan agresif. Tidak sekadar bermain dengan kelajuan, struktur muzik mereka turut diwarnai petikan-petikan gitar catchy dan kreatif. Senimuzik ciptaan Terryrotten sebenarnya mengandungi kepelbagaian jika mengikut pendengaran dan pengamatan saya. Ianya hardcore punk yang turut disulami dan dikacuk bersama elemen-elemen Grind, Rock & Roll dan Thrash!. Yang menariknya juga, kesemua lagu dalam EP ini masing-masing didahului dengan intro; samada petikan klip, keratan filem dan sebagainya. Mungkin Terryrotten mahu mengujudkan identiti tersendiri menerusi pendekatan sedemikian. Dalam aspek produksi bunyi, hasil daripada proses rakaman di Decklab Studio (Taiping) di bawah kejuruteraan Jack Cheong dilihat telah membuahkan kualiti yang agak baik tanpa mengetepikan perisa “raw” yang diperlukan oleh sebuah band Crust Punk. “Sperm From The Past” adalah langkah kanan Terryrotten dalam scene HC Punk tempatan dan saya kira EP ini cetusan serta bekalan terbaik untuk band ini terus mara ke hadapan dalam berkarya.

Rebiu | TUNARUNGU – 4-Track Promo 2018


TUNARUNGU – 4-Track Promo 2018
Independen
Baru-baru ni aku terima beberapa CD rilisan Tuna-ungu, antaranya Lost Demo 2016, Kota Destruksi (Single 2017) dan yang aku ulas ni 4-Track Promo 2018. Aku tak berkesempatan nak ulas semua jadi aku pilih yang terkini sahaja, hehe! CD berdurasi 22 minit 30 saat ni mengandungi 4 track berpaksikan Harsh-Noise. Track pertama, Kota Destruksi ada elemen Industrial sikit, diikuti Hanyut & Tenggelam yang kedengaran agak Drone/Ambient Noise. Klausa Syaitan dipetik dari Nutcracker (anti-christmas compilation) dimana terdapat intro ’jingle bell’ dan track penutup Eksperimentasi Jahanam pula memang agak eksperimental nuansanya dan macam ada vokal-vokal kabur sikit. Agak menarik dan Tunarungu sememangnya dikenali sebagai komposer bunyian Harsh-Noise / HNW yang keras, buas dan bingit sebingitnya!

Rebiu | DELUSI – Terasing


DELUSI – Terasing
Fatamorgana Music Production
Saya percaya ramai antara kita yang kurang, malah langsung tidak mengenali Delusi. Mereka agak low-profile dan mungkin terpinggir dalam scene yang terpencil – Dark Ambient. Saya pernah menemubual projek bunyian ini dalam Bangkit! #5. “Terasing” ini rilisan Demo 2016, mengandungi dua track panjang; Terasing (13:27) dan Galau (16:00). Keseluruhannya, komposisi lagu-lagu gubahan Jiwa (pseudonim individu di sebalik Delusi) menerapkan alunan synthesizer yang depresif dan melankolik diadun bersama atmosferik simfoni alam, seperti desiran angin, air dan sebagainya. Irama halus seperti ini seakan membawa pendengar ke alam fantasi dan berimaginasi nasib diri; sayu, hiba dan keseorangan. Nuansanya begitu mengkhayalkan. Rilisan ini amat bagus dan disyorkan!

Rebiu | ARMADOS / TARANTULAH – Split Tape Demo


ARMADOS / TARANTULAH – Split Tape Demo
Berani Muntah Records
Split Tape ini yang menyatukan Armados (Lahad Datu) dan Tarantulah (Kuala Lumpur) telah dikeluarkan secara rasmi pada 25 Ogos 2016. Setiap band menyumbangkan 6 buah lagu; seleksi lagu-lagu terbaik dari rilisan-rilisan terdahulu masing-masing. Apa yang menarik mengenai split tape ini adalah “pertembungan di atas satu titik persamaan” – di mana kedua-dua band ini memiliki kesamaan pada asas/akar muzik mereka iaitu Metal Punk. Pertembungannya pula dilhat pada pertentangan haluan dan perbezaan pengaruh muzik masing-masing. Armados menerapkan elemen melodik, solo-solo menggigit dan kerja-gitar berkarisma dalam lagu-lagu ciptaan mereka, dan Armados berdiri di atas jenama Melodic Metal Punk. Manakala Tarantulah pula cenderung kepada nuansa raw, bunyi yang berat, crusty, riff serta beat yang lebih menjurus kepada permainan thrashing / grinding. Tarantulah mendefinasikan muzik mereka sebagai Moderate Metal Punk. Kedua-dua band ini sekali lagi berjumpa pada konsep lirik dan mesej-mesej yang serupa; kritikan politik dan sosial, kemarahan, kemanusiaan dan sebagainya. Split Tape ini sebuah rilisan yang sepatutnya menjadi salah-satu collective item kalian dan ianya menepati selera dua pihak iaitu metal dan punk, atau lebih kiranya anda sememangnya menghargai kedua-dua scene muzik ini. Recommended!

Rebiu | ARMADOS – Perang Ilmu Penghancuran (Discography 2006 - 2016)


ARMADOS – Perang Ilmu Penghancuran (Discography 2006 - 2016)
Voice Of Bornneo Label/Distro
Armados dari Lahad Datu, Sabah adalah satu nama yang telah lama bertapak dalam persada metal / punk tempatan. Band ini sudah mula wujud dan bergiat semenjak tahun 2006 lagi. Agak menyedihkan, mereka kehilangan salah seorang anggotanya Mohamat Fadzil @ Pajil (vokalis) yang telah kembali ke rahmatullah pada Julai 2016, hanya beberapa bulan selepas rilisan “Perang Ilmu Penghancuran” dikeluarkan. Rilisan diskografi 10 tahun (2006- 2016) eksistensi Armados ini menghimpunkan sejumlah 20 buah lagu, berdurasi keseluruhannya 61:10 minit. Ianya koleksi kesemua material Armados sepanjang sedekad dalam satu CD merangkumi “State Of Violence” (2008), “Ready For Destruction” (2013), “The End Of The World” (2015), “Perang Ilmu Penghancuran” (2016) dan tambahan 4 buah lagu bonus track. Secara muzikal, Armados adalah sebuah band yang cukup kuat menekan konsep ‘melodik’ dalam arus irama metalpunk mainan mereka. Guitarwork yang begitu kemas dan lancar disertai solo-solo indah yang mencengkam dan membuai adalah struktur paling menonjol dalam lagu-lagu gubahan band ini, mengiringi ritma-ritma kencang dan berat percampuran genre metal dan punk. Mereka juga meletakkan beberapa idea yang menarik dalam sesetengah lagu. Versi saduran Amon Amarth lagu berjudul Victorious March menguatkan lagi halatuju permainan melodi dalam definasi menyeluruh muzik Armados. Nuansa ‘punk’ lebih ketara dalam lirik-lirik yang ditulis yang menjurus kepada isu politik, kritikan kepada sistem pemerintahan, anti-perang dan konsep-konsep perlawanan. Rilisan “Perang Ilmu Penghancuran” (Discography 2006 - 2016) ini pada saya mempunyai nilai yang cukup tinggi dan tak terbanding. Ini adalah bukti perjuangan Armados selama sedekad ini, sebuah band melodic metalpunk yang mahu berdiri dan berkarya dalam identiti mereka sendiri. Sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah Pajil.

Isnin, 12 Mac 2018

Rebiu | ACID RAIN – Headache


ACID RAIN – Headache
Wanted Records
“Headache” EP 2016 adalah sebuah rilisan yang tertunda dari Acid Rain, di mana hanya dapat dikeluar-dan-edarkan sekitar Julai 2017. Segala kisah dan penceritaan di sebalik sessi rakaman serta informasi kandungan lagu-lagu yang dimuatkan dalam EP ini dicatat dengan teliti, lengkap dan jelas dalam risalah bersaiz A5 percuma “Surat Layang” 8-mukasurat [Nota: Kalian juga boleh mendapat penerangan selanjutnya melalui interbiu bersama Acid Rain dalam Bangkit! #7]. “Headache” tanpa sebarang keraguan merupakan sebuah lagi pakej rilisan yang menarik keluaran band otai dari Pulau-Pinang ini. Menjalani proses rakaman di Dusthall Studio pada 26 Jun 2016, EP ini mempertaruhkan 5 buah lagu; Chaos May 13th (rakaman semula 2016 dengan sedikit pengubahsuaian berbanding komposisi asal 1996, segar dan mantap!), Headache (rakaman baru lagu yang dicipta untuk EP Attack (2000) yang dibatalkan), Punk Invasion (boleh dikatakan lagu gubahan terbaharu Acid Rain sekitar 2015/2016 dan diperkenalkan dalam rilisan Punx Invasion: Europe Tour 2017), No Way Out (lagu baru bertemakan akibat penyalahgunaan dadah yang mana turut menampilkan sumbangan suara Jack Nicholson, sedikit lebih keras seperti The Exploited bertemu Slayer), dan lagu terakhir Boria Again (juga rakaman baru lagu yang dicipta untuk EP Attack (2000) yang dibatalkan). Meskipun Boria Again dikatakan bukan percubaan untuk meraih semula populariti lagu Boria Punk Rock Pulau Pinang, menurut pendapat saya secara peribadi, ianya memperkukuhkan lagi ‘trademark’ Acid Rain itu sendiri, sesuatu yang hanya ada dalam band ini. Sebagaimana biasa, Acid Rain dalam EP ini kekal setia dengan kehuru-haraan punk UK82 seperti The Exploited, GBH, Chaos UK, Discharge dan seumpamanya dengan sedikit percubaan mempelbagaikan variasi susunan dalam komposisi lagu. Namun, keseluruhannya ia tidaklah mengubah identiti dan keserasian punk tegar Acid Rain seperti yang kita dengari dalam rilisan-rilisan terdahulu. Jitu dan senantiasa bersemangat! Sukacita ingin saya maklumkan, “Headache” terbaik dan satu kerugian jikalau kalian tidak mendengarnya serta tiada dalam simpanan kalian. Emel wantedrecpg@gmail.com jika anda mahu tahu status edarannya. Berikut serangkap petikan lirik dari lagu Headache: Stand up punks don’t be sacred. Got no gear we don’t care. It’s matter counts on your head. Hasta la vista and Punk’s Not Dead.

Rebiu | ACID RAIN – Punx Invasion (Europe Tour 2017)


ACID RAIN – Punx Invasion (Europe Tour 2017)
Independen
Bagi saya, apa sahaja produk yang dikeluarkan Acid Rain perlu segera jadi rebutan dan diperolehi. Produk-produk mereka sudah tentu mempunyai nilainya yang tersendiri memandangkan Acid Rain itu adalah sebahagian daripada sejarah penting scene Hardcore Punk tanahair. Cakera Padat “Punx Invasion (Europe Tour 2017)” boleh dikatakan satu rilisan yang eksklusif sifatnya, dan boleh menjadi satu rare item pada masa hadapan. Ianya dikeluarkan sekitar Mac 2017 lalu, istimewa sempena siri jelajah (kali kedua) Acid Rain ke beberapa destinasi di benua Eropah. Saya menganggapnya eksklusif dan istimewa kerana kandungannya yang berkemungkinan hanya terdapat di dalam CD ini sahaja. Terdapat 8 buah lagu dimuatkan, berdurasi keseluruhan 20:05 minit. Ianya seakan album kompilasi dengan gabungan lagu baru dan lama: Punk Invasion (diambil dari Headache EP yang belum lagi dipasarkan pada ketika itu), Propaganda (rakaman semula lagu asal dari Streetpunk Anthem EP yang mana turut disumbangkan dalam kompilasi Vinyl Passion Compilation 2017), Powertrip (rakaman vokal alternate di mana ianya berbeza dengan yang terdapat dalam split LP bersama No Fly Zone), Punk’s Not Junk dan Hipokrit (kedua-duanya diambil dari kompilasi Stand Strong and Proud), Utusan Malaysia, Coup D’Etat, serta Boria Punk Rock Pulau Pinang (ketiga-tiga lagu terakhir dalam CD ini merupakan versi rakaman live semasa Northern Bikers Show). Penyediaan CD dicetak profesional ini sudah pasti satu inisiatif yang baik dalam mengembangkan nama dan muzik Acid Rain di Eropah. Pakej yang turut dilengkapi pemberian (percuma) glossy sticker, tour patch, tour tag dan bio-sheet menjadikan “Punx Invasion (Europe Tour 2017)” sebuah rilisan yang sangat-sangat menarik. Cubalah emel acidrainpunk@gmail.com kalau-kalau anda masih ada peluang memilikinya. United Punx Fuck The Borders!

Rebiu | THAL / HASHISHIAN – Taurean


THAL / HASHISHIAN – Taurean
Glord Records
Setiap keluaran Glord Records tidak pernah mengecewakan. Saya cukup terpikat dengan rupabentuk fizikal produk-produk rilisan label ini. Kemas dan menarik packaging-nya. Sekitar Jun 2017, Glord Records telah mengeluarkan split tape Thal / Hashishian “Taurean”. Nah! Ini satu lagi kelebihan Glord, di mana label ini berani mengetengahkan band-band yang mungkin tak ramai tahu mengenainya sebelum ini dan mereka seperti membawa kita menerokai perkara-perkara yang baru. “Taurean” mempertemukan Thal yang berpaksikan Stoner Rock dan band tempatan Hashishian yang bertunjangkan Sludge Doom, di mana masing-masing memperdengarkan tiga buah lagu. Thal atau penuhnya The Heathens Are Loose berasal dari Columbus, Ohio (Amerika Syarikat) dan dibarisi oleh John (Vince Green) Walker (vokal/gitar/bass) dan Kevin Hartnell (dram/gitar). Stoner Rock yang mengancam, sarat dengan riff-riff yang lazat dan hebat, serta susunan dan gubahan-gubahan melodi yang mengasyikkan. Muzik Thal mendapat pengaruh dari band-band seperti Danzig, Kyuss, Pentagram, Queens of the Stone Age dan sudah tentunya Black Sabbath. Lagu kegemaran saya dari Thal adalah Feast For The Wicked. Hashishian dari Kota Kinabalu, Sabah adalah sebuah band yang begitu mengejutkan! Sebabnya, saya tidak pernah tahu pun tentang keujudan mereka sebelum ini. Irama mainan mereka adalah Slugde Doom yang sangat-sangat masuk air dan layan kepala; berat, lembab serta mengkhayalkan! Dianggotai oleh Seth Nazgul (bass/vokal), Jiesus (gitar/vokal) dan Sur Gondrong (dram), muzik olahan Hashishian juga begitu kuat berinspirasikan Black Sabbath, di mana Hashishian boleh dikatakan antara band yang berada di bawah jalur evolusi irama Black Sabbath tersebut selain pengaruh-pengaruh lain yang datang dari Melvins, Sleep, Electric Wizard dan seumpamanya. Kredit juga saya berikan pada penyampaian vokal yang begitu hipnotis. Memang terbaik-lah! Lagu pilihan saya dari Hashishian adalah semua, haha, okay saya paling suka lagu Magic Of Kenna. Durasi keseluruhan split tape ini adalah 24:53 minit dan ianya menjanjikan satu kepuasan untuk para pendengar yang menggemari irama berakar-umbikan Doom. Really killer stuff!

Rebiu | THY REGIMENT – Iron Heart


THY REGIMENT – Iron Heart
Terr-Records
Material terbaharu unit KLHC Thy Regiment ini tersedia dalam dua format; CD oleh Terr-Records dan kaset keluaran Glord Records. Saya memiliki kedua-dua format namun untuk kerja ulasan ini saya merujuk kepada format CD. Sejujurnya, ini adalah pengalaman pertama saya mendengar muzik dan rakaman dari band yang dianggotai oleh Alwee (vokal), Kaza (gitar), Azam (gitar), Kenix (bass) dan Minn (dram) ini. CD “Iron Heart” yang berdurasi keseluruhan 20:32 minit menyajikan 5 buah lagu baru; Uprising, Stomper, Never Look Back, Get Away From Me dan Iron Heart, serta tambahan 2 lagu dipetik dari “Mindbleed” EP 2008 iaitu Chaotic dan Blind Conspiracy, dan diakhiri Nothing Fear, sebuah lagi lagu ekstra yang diambil dari kompilasi Give & Take (2012). Di sudut muzikal, Thy Regiment secara menyeluruhnya adalah (new-school) Hardcore kental yang begitu memukau, diperkasai oleh riff-riff lebat dan berat, permainan kencang, keras dan menghentam tanpa belas ehsan, dan saya sendiri mahu melihatnya jenisan Hardcore yang dekat melekat dengan elemen Thrash, seumpama Sepultura, Soulfly, Machine Head serta Slayer selain pengaruh-pengaruh besar Hatebreed, Snapcase, Madball, Sick Of It All dan pelbagai lagi. Kualiti bunyi hasil rakaman di MC 16 Studio di bawah kendalian Senndart (Daarchlea) telah memberi impak yang cukup menakjubkan untuk penghasilan rilisan ini; di mana ianya kedengaran begitu kuat, padat dan sangat bertenaga. “Iron Heart” ini sebuah rilisan yang perlu anda miliki jika inginkan muzik dan irama yang boleh melonjakkan semangat! Untuk makluman, versi kaset (keluaran Glord Records) menampilkan sedikit perbezaan di mana lagu Chaotic dan Blind Conspiracy diganti dengan Crifter dan Jihad. Saya cadangkan kalian dapatkan kedua-dua format ini untuk kepuasan maksima!

Rebiu | KIDS ON THE MOVE – Directions


KIDS ON THE MOVE – Directions
Alt+ Records
Kids On The Move boleh dikatakan band Straight Edge Hardcore yang mengancam! “Directions” EP (2012) mempertaruhkan enam lagu; Heavy Steps, Directions, Ruin, Hardship, The Perfect Con, dan Sunset. Muziknya penuh dengan kreativiti kerja gitar, variasi riff, garapan melodik yang menangkap serta lontaran suara beremosi. EP berdurasi 14:20 minit ini pada keseluruhannya sangat memikat dan entah mengapa saya begitu terpesona dengan lagu Sunset, track terakhir dan yang paling panjang, 5:53 minit. KOTM dipengaruhi oleh band seperti Youth Of Today, Ten Yard Fight, Hold True, Miles Away, Minor Threat dan yang sealiran dengannya.

Rebiu | PACK! MAN – Crisis Punk To Death


PACK! MAN – Crisis Punk To Death
Independen
Aku secara peribadi cukup respek dan kagum dengan band-band yang mahu berusaha di atas kaki sendiri, merilis secara D.I.Y dan bebas daripada terikat dengan label. Ada beberapa band pernah mengadu kat aku pasal dorang dah deal nak release material dorang dengan label-label tertentu tapi “bengang” sebab lambat dikeluarkan, kualiti produk tak seperti yang dijangkakan dan macam-macam permasalahan lain yang timbul kemudiaannya. Tapi pada aku, band tu patut salahkan diri sendiri kerana tak ada inisiatif untuk rilis sendiri dan masih mengharap pihak lain yang tolong keluarkan, sedangkan pihak tersebut (label) mungkin ada banyak komitmen rilisan lain, jadual dan mungkin juga kewangan/modal pusingan. Tape yang aku nak rebiu ni adalah salah-satu rilisan kendiri yang aku maksudkan, salute! PACK! MAN (aku tak tau band ni masih aktif atau sebaliknya sebab agak senyap tak kedengaran sekarang) ni difahamkan band asal Keningau, Sabah dan dianggotai oleh Richie & August (vox), Mij, Tone & Hry (strings) dan Ege (drums). “Crisis Punk To Death” yang tak silap aku dilancarkan pada 19 Februari 2016 [mengikut carian aku di post-post facebook, hehe!] menampilkan sejumlah 12 buah lagu Hardcore Punk stail 90an yang mana keseluruhannya boleh dikatakan kencang, pantas, meluap-luap kemarahannya dan betul-betul menggila! Sound pun sedap dan mantap, dan macam kena sangat dengan konsep muzik dorang. Semua lirik dalam Bahasa Inggeris dan ditulis dengan baik, dengan kandungan mesej yang bagus dan pastinya rebel. Aku suka tengok artwork-artwork yang ditampilkan pada sampul kaset serta teks-teks yang tulisan tangan. Sori-lah dah lama aku simpan tape ni tapi baru sekarang boleh buat sedikit ulasan. Apapun aku boleh cakap ini baru betul band/rilisan DIY punks! Emel: packman696@yahoo.com.

Rebiu | ROTTEN RUCKUS – Social Control


ROTTEN RUCKUS – Social Control
Basement Records
Untuk makluman, material “Social Control” ini dikeluarkan julung kalinya dalam format CDR secara independen oleh Rotten Ruckus pada tahun 2012 dan pihak Basement Records merilisnya dalam bentuk cassette tape sekitar 2013. Rotten Ruckus adalah unit political hardcore punk / punk rock dari Kelana Jaya / Petaling Jaya dan dalam rakaman “Social Control” ini dianggotai oleh Celine (vokal), Syataf (vokal), Meggi (gitar), Firdaus (gitar), Remi (bass) dan Aizat (dram). Secara keseluruhan, muzik binaan Rotten Ruckus adalah jenis punk yang sempoi, sedap didengar dan agresi yang tidaklah keterlaluan. Struktur komposisi lagu-lagunya pelbagai dan tidak terikat pada sub-genre tertentu; maksud saya dalam kesemua 10 lagu yang dimuatkan ada yang kedengaran agak melodic/pop-punk, ada yang street punk dan ada antaranya yang laju, garang serta marah-marah. Band ini menggunakan pendekatan dua suara di mana seorang daripadanya vokalis wanita. Saya kira ini satu rilisan yang seronok dinikmati apatah lagi kualiti bunyi rakamannya jelas dan boleh dianggap baik.