Selasa, 29 Mei 2018

Interbiu | ZIRCONIA : 24.05.2018


Sebenarnya saya hanya mengajukan beberapa soalan ringkas kepada band Sabah bernama ZIRCONIA ini bagi tujuan mendapatkan sedikit maklumat untuk dimuatkan dalam ruangan informasi. Akan tetapi mereka cukup ramah bercerita panjang lebar melebihi dari jangkaan skop pertanyaan saya. Ekoran itu, saya memutuskan untuk mengubah dan mengolah semula teks dalam bentuk temubual. Terima kasih kepada Chet (gitar) yang memberikan respon, mewakili Zirconia yang turut dianggotai Baba (dram), Roy (bass) serta Jenifer (vokal). – Interbiu oleh Pyan Nathias

Hello Zirconia. Boleh kongsikan asal-usul penubuhan band serta latarbelakang line-up yang membentuk Zirconia?
Hi bro. Zirconia ni asal Penampang ditubuhkan oleh saya (Chester) yang dikenali sebagai Chet, selaku ketua band dan juga pemilik BMT Studio. Pada asalnya kumpulan saya adalah W.O.R.M, band 90an. Sekitar 2010 saya tinggalkan W.O.R.M dan tubuhkan HIDE. Lagu-lagu HIDE dihidupkan semula di mana penyanyi asal adalah perempuan yang bernama Heidi Nualin namun keadaan semakin sukar untuk survive. Masa tu tidak banyak gigs tambahan pula pemain drum dan bass tidak tetap lalu keadaan menekan Heidi dan Chet berpisah, berehat ikut haluan masing-masing. 

Namun semangat HIDE masih dalam jiwa Chet yang bertahun menunggu peluang untuk tubuhkan band. Pada suatu hari Chet terjumpa Baba, drummer yang mempunyai bakat yang besar. Chet kagum dengan stroke Baba yang menonjolkan sound dan cara Baba sendiri. Chet yakin ia akan melekat dengan riff-riff Chet. Semasa rakan-rakan band Baba jamming, Chet offer Baba dan minta bantu untuk main drum lagu-lagu Chet lalu dari situlah bermula Zirconia. Chet sentiasa menganggap Baba seperti saudara. Sebab Baba sentiasa membantu dari segala aspek dalam muzik Chet. 

Zirconia ditubuhkan sekitar tahun 2015 untuk menghidupkan kembali lagu-lagu HIDE. Ada suatu masa Chet terjumpa semula Heidi penyanyi asal HIDE. Keinginan untuk membawa semula penyanyi asal HIDE bagaimanapun tidak menjadi disebabkan hal-hal yang tak dapat dielakkan. Zirconia pada masa itu adalah Chet sebagai guitaris dan hanya Baba selaku drum. Baba kemudiannya menjemput Roy Middleton sebagai bassist. Roy seorang yang berpengalaman bermain bass dan selain bass, Roy juga boleh bermain gitar. 

Selama setahun berlatih lagu lama dan lagu ciptaan baru tanpa disedar Zirconia membentuk satu identiti dengan corak muzik yang tersendiri. Zirconia adalah sebuah band yang serius. Namun begitu Zirconia sering mengalami masalah penyanyi. Disebabkan muzik Zirconia yang berat, banyak vokalis perempuan sukar untuk faham dan selami feel corak muzik Zirconia. Tetapi Zirconia amat bersyukur kerana ada vokalis-vokslis yang berbakat datang mencuba dan selamatkan band. 

Akhirnya Chet jumpa Jen yang dilatih, bahkan masih lagi berlatih hingga sekarang. Peningkatan Jen semakin bagus dan Jen lah antara yang bertahan dalam Zirconia. Band banyak mengalami up & down, ada masa-masa down dan rehat panjang tetapi muzik Zirconia itu sendiri buatkan kami semua rindu untuk bawa. Kalau sekian lama tak jumpa bila jamming lagu-lagu secara langsung kembalikan semangat untuk berjuang. Zirconia adalah satu perjuangan dan nasib band terletak pada chemistry setiap pemain.

Jelaskan secara tepat tentang muzik bawaan Zirconia serta band-band yang begitu besar pengaruhnya terhadap kalian?
Konsep muzik Zirconia adalah campuran berasaskan rock, jazz, blues, hard rock, 70’s rock, metal dan sebagainya. Zirconia tidak terikat dengan satu concept tetapi major adalah hard rock. Muzik Zirconia  sebahagian besar pengaruh muziknya datang dari barat ala-ala Creed, Smashing Pumpkins, Soundgarden, Stone Temple Pilots, Metallica dan sebagainya.

Bagaimana dengan penulisan lagu-lagu sendiri? 
Zirconia setakat ini telah mencipta lebih 15 buah lagu antaranya bertajuk Forgotten, Sakura, Prince Tonight, Long Ghost Road, Maya, Dance With Me, Atlantis, Are You Lost, Arrival (instrumental), Drive (instrumental), Time, Dream dan juga Together.

Saya baru mengenali tentang Zirconia dan kurang mengetahui apa antara rilisan yang telah kalian keluarkan. Ceritakan lebih lanjut mengenai rilisan terbaharu serta perkembangan semasa dari band ini?
Selama 4 tahun ini Zirconia hanya release hasil karya dalam bentuk demo di BMT Studio sendiri. Zirconia lebih pentingkan mutu persembahan daripada full album. Pun demikian, Zirconia akan merancang full album dan muzik video buat pertama kalinya pada tahun ini. Dijangka akan siap pada Disember 2018 nanti.

Apakah antara harapan dan sasaran Zirconia dalam scene “Rock Bebas” tanahair?
Harapan Zirconia adalah untuk menjadi contoh kepada generasi yang baru agar jangan give up, angkat senjata anda dan teruskan berjuang habis-habisan bersama-sama majukan industri muzik terutamanya untuk local band. Be local for global. We can make a change. Rock on!

Terima kasih Zirconia. Ada apa-apa lagi yang hendak diperkataksn sebagai penutup?
Zirconia banyak menyumbang pada industri muzik di perantauan ini dan juga banyak menyokong band-band yang lama dan baru. Sentiasa bantu band lain sekiranya mereka kekurangan. Sebenarnya banyak lagi cerita yang mahu disampaikan, mungkin tak siap sampai esok. Oleh itu akhir sekali Zirconia amat berterima kasih kepada Tuhan kerana kurniakan bakat pada kami dan berkat pada band. Tidak dilupakan keluarga, peminat, kawan-kawan dan pihak-pihak tertentu yang menyokong dan bagi semangat untuk kami. Sekian, terima kasih bro.

Profil | CLASSMATES : 07.02.2018


Classmates adalah band beraliran Pop Punk / Modern Rock asal Kota Tinggi, Johor yang ditubuhkan sekitar tahun 2007. Di awal pembentukannya, Classmates dianggotai oleh Syukri (vokal), Topek (bass), Elham (dram), Osman (gitar) dan Azim (gitar). “Kumpulan ini membuat persembahan buat pertama kalinya pada Hari Guru, emcee memperkenalkan mereka sebagai Classmates. Band ini terlebih dahulu dikenali sebagai Neighbourhood, tetapi mereka kemudiannya memutuskan untuk mengekalkan nama Classmates yang mana sedikit-sebanyak memperingati kemunculan sulung mereka di khalayak ramai dan itu juga persembahan yang menyalakan semangat mereka mengejar impian dalam industri muzik”, ujar Yohanna Tashi selaku Pengurus Perhubungan Awam (PR Manager) Classmates.

Karier Classmates bermula dengan pengeluaran Demo CD “The Initiation” pada tahun 2009. Ia habis dijual dalam masa 6 bulan akan tetapi mereka menghadapi sedikit tamparan bilamana gitaris Wan dan penyanyinya Syukri melangkah keluar dari band. Classmates kemudiannya dalam tahun 2010 telah merekrut Ucop sebagai pemain gitar kedua tetapi berhadapan satu lagi masalah line-up apabila Azim (gitar) pula menarik diri sekitar tahun 2011. 

Pada 2012, Classmates merakam dan meriliskan EP debut mereka berjudul “Good News Come Soon” yang turut memuatkan lagu Primadunia, sebuah lagu yang disenangi ramai dan meningkatkan nama Classmates di persada muzik indie tempatan. EP dalam format CD ini telah dikeluarkan oleh syarikat mereka sendiri iaitu High Castle Production and Entertainment dan dilaporkan telah terjual lebih daripada 500 salinan. “Lagu-lagu dari EP ini terutamanya Primadunia telah ke udara di kebanyakan stesen radio dan media sosial, antara yang terawal dimainkan di Suria fm, Hot fm, Xfm dan kemudiannya ERA fm. EP pertama Classmates ni telah dilancarkan di Urban Village Bangsar, atas kerjasama pihak Drugs Free Youth Association yang dikendalikan oleh Ein (Second Combat)”, kata Yohanna bagi pihak Classmates.

Sekitar tahun 2013, Topek tidak dapat meneruskan komitmennya sebagai pemain bass dan posisinya telah diganti oleh anggota baru bernama Din. Pertukaran ahli tidak menghalang Classmates untuk mula merekod beberapa lagu baru untuk projek rilisan seterusnya dan fan-base mereka juga dilihat semakin membesar. Di tahun ini juga Classmates hadir dengan sebuah lagi lagu yang mengukuhkan reputasi mereka iaitu Luaskan Kuasamu (Dari Selatan), sebuah tribute untuk Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Lagu ini telah dipertandingkan dalam Anugerah Lagu Johor 2014 dan Classmates memenangi kategori “Penulisan Lagu Terbaik”. Classmates semakin mendapat perhatian dan kerap diundang membuat persembahan di sekitar negeri Johor. Hasil kemenangan tersebut juga telah digunakan sepenuhnya dalam penerbitan EP kedua mereka, “Classmates”.

Di tahun 2015, Classmates berpeluang mengadakan siri jelajah di Singapura dan kesempatan itu diambil untuk mempromosikan EP self-titled yang telah mereka keluarkan, juga menerusi High Castle Production and Entertainment. “Setulus Kasih Tour” ini dilakukan bersama Imran Ajmain, seorang penyanyi pop yang cukup terkenal di negara jiran tetangga berkenaan. Elham mengambil alih tugasan sebagai penyanyi utama manakala juruteknik dram mereka iaitu Kim mengisi tanggungjawab sebagai pemain dram.

Dengan adanya keanggotaan yang cukup mantap dibarisi Elham Syah Abd Majid a.k.a Elham (vokal), Mohd Huzairie a.k.a Ucop (gitar), Hairudin Asmuni a.k.a Din (bass) dan Mohd Norhakim a.k.a Kim (dram), Classmates dilihat mahu terus berkarya dan tidak lagi perlu menoleh ke belakang. “Kami telah bermain di TV3 Jom Heboh, NegaRAKU fest, Northern Music Festival, Iskarnival, IP Kool, Rock The World, dan beberapa lagi event terkemuka. Jika mendapat ruang untuk memperdengarkan muzik kami di corong-corong radio atau beraksi di pelbagai acara gig dan konsert yang dianjurkan, maka itu semua adalah seumpama mimpi yang menjadi kenyataan bagi diri kami sebagai sebuah kumpulan muzik”, kata Classmates yang diwakili saudari Yohanna Tashi. 

Semenjak 2007, band ini telah merakam dan merilis beberapa material secara independen (di bawah produksi label milik Classmates sendiri). Mereka setakat ini telah mengeluarkan sebuah Demo, 2 rilisan EP, video muzik untuk lagu Primadunia dan Luaskan Kuasamu 2.0 (Dari Selatan), dan sebuah lagu kolaborasi bersama Datuk Dr Fazley Yaacob [lagu Pesan Raya dalam album “Ku Mohon Maaf Sayang” (2015) penyanyi tersebut]. Kedua-dua EP; “Good News Come Soon” (2012) dan “Classmates” (self-titled) EP 2015 boleh diperolehi secara pembelian online di iTunes dan Spotify.


Terbaharu pada Disember 2017 yang lalu, Classmate telah menyiapkan dan mula memperdengarkan sebuah single terkini mereka berjudul Giliranku. Lagu gubahan Ucop dan lirik oleh Elham ini dirakam di High Castle Studio, Shah Alam dan ianya adalah pengenalan kepada rilisan album penuh mereka yang akan datang. Untuk perkembangan selanjutnya, Classmates boleh dihubungi menerusi Yohanna Tashi (PR Manager) di talian: +60197266996 atau emel: classmateshxc@gmail.com. 


Nota: Teks suntingan Pyan Nathias. Terima kasih diucapkan kepada Yohanna Tashi dan Classmates secara keseluruhannya di atas penyediaan informasi dan foto-foto berkaitan. Artikel profil ini akan disiarkan dalam keluaran khas “Rock Bebas” yang bakal diterbitkan.

Rebiu | THE JETHROÉS – Jesselton Stereoroid


THE JETHROÉS – Jesselton Stereoroid
Thunder Records / Sonic Vibes
Kita mungkin tidak pernah sangka dan menjangkakan bahawa nun jauh di negeri Sabah sana wujud sebuah band Stoner Rock yang cukup berkaliber. Saya tidak berpeluang mendengar dan mendapatkan album pertama mereka “Hellish Dogma” yang diedarkan sekitar tahun 2015, akan tetapi menerusi CD Single “Jesselton Stereoroid” (2018) ini saya dapati band bernama The Jethroés ini sepatutnya perlu diberi perhatian sejak hari pertama mereka bermula dan diikuti rapat perkembangannya dari masa ke semasa. Ini adalah kerana The Jethroés ini sememangnya sebuah band yang benar-benar padu dan mantap; berkualiti tinggi di segenap aspek merangkumi komposisi lagu, produksi bunyi, kemahiran, kekemasan dan segalanya! CD Single “Jesselton Stereoroid” yang berdurasi keseluruhan 10 minit 18 saat menampilkan 2 lagu; 1. Jesselton Stereoroid (3:42) dan 2. Doomsday Blues (6:36). Dalam aspek muzik, The Jethroés memiliki sentuhan groove yang tersendiri, elemen psychedelic yang kuat melekat, unik dan kreatif dalam gubahan, dan mereka kelihatan begitu pakar menghasilkan karya-karya Stoner Rock yang bergetar! Lagu pertama, Jesselton Stereoroid, sebuah lagu yang rancak dan rock ‘n’ roll. Dari garapan distorsi yang keras mereka beralih kepada permainan yang berat dan lembap dalam lagu kedua, Doomsday Blues, lagu yang cukup kuat elemen psychedelic dan doom rock. Penyampaian vokal dalam kedua-dua lagu ini juga begitu baik, penuh perasaan dan menusuk kalbu. Kualiti rakaman serta ketelitian dalam produksi bunyi turut memberi impak menyeluruh kepada kekuatan CD Single “Jesselton Stereoroid”. Tanpa sebarang keraguan, sekali lagi saya sarankan agar diberi pemerhatian khusus kepada potensi The Jethroés ini kerana kemampuan yang ada dalam band ini sudah pasti akan diteruskan dalam album kedua mereka akan datang, “B.A.T.H.E.M” (Bloom As The Moon) yang dijadualkan rilis tahun hadapan. Ini band yang menyakinkan!

Jumaat, 25 Mei 2018

Rebiu | THE JAPS – So Be It


THE JAPS – So Be It
Gloomy Room Records
Sebuah lagi band dari scene muzik indie Sibu, Sarawak. The Japs menerusi CD berjudul “So Be It” ini benar-benar memikat hati saya. Ini CD berdurasi 35:16 minit dengan kandungan lapan buah lagu berbahasa Inggeris yang sangat sedap didengar, santai dan sempoi nuansanya. Saya sendiri setiap kali memainkannya, saya pasti akan mahu terus mengulang dengar berkali-kali dan berhibur dengan kelazatan muzik bikinan The Japs. Mereka cerdik dalam meletakkan riff-riff catchy dan melodi yang melekat pada tempatnya dan disusun dengan baik, tanpa perlu terlalu kompak atau teknikal. Vibe dan hook lagu-lagu The Japs dalam rilisan “So Be It” ini sebenarnya kedengaran ringan, senang diterima,  mudah dihadam namun cukup menyelerakan. The Japs menurut saya mempersembahkan muzik Indie Rock yang diperkuatkan dengan elemen-elemen Garage Rock 60-an, Britpop dan tak ketinggalan perisa Rock ‘n’ Roll. Terus terang, saya sukakan kesemua 8 tracks yang dimuatkan dalam CD ini, dan perlu juga saya maklumkan terdapat satu hidden track, sebuah lagu dalam bahasa Melayu yang bersambung dengan lagu ke-lapan. Tanpa sangsi, ini rilisan yang saya kira akan menepati citarasa sesiapa sahaja yang mencintai rock dan keujudan band seperti The Japs ini sudah pasti akan terus menghidupkan scene DIY indie rock tempatan.

Khamis, 24 Mei 2018

Rebiu | IM INNOCENT – Never Fast Forward


IM INNOCENT – Never Fast Forward
Independen
“Never Fast Forward” adalah judul Single CD yang dirilis band bergelar Im Innocent dari Kota Kinabalu, Sabah. Ianya mempertaruhkan dua lagu berkonsep instrumental berdurasi keseluruhan 8:33 minit. Lagu-lagunya adalah Confused (3:48) dan Surround (4:45). Im Innocent sedikit-sebanyak mempunyai persamaan di sudut muzikal dengan band Human Energy Collective dari Sibu, Sarawak yang mengeluarkan “self-titled” Demo CD, maksud saya berformatkan irama instrumental. Post-Rock garapan Im Innocent ini begitu mengasyikkan. Meskipun tanpa vokal, Im Innocent seolah-olah berbicara dan bercerita menerusi petikan-petikan gitar dan susunan muzik yang syahdu dan penuh rasa melankolik, kedengaran sangat lembut, tenang serta mendamaikan! Produksi bunyi yang dihasilkan juga sangat-sangat baik dan ini memberi kepuasan kepada pendengar seperti saya menikmati serta menghayati bunyi-bunyi yang keluar dari permainan gitar serta alat muzik lain termasuklah eksperimentasi dari sound effect yang digunapakai. Ini muzik yang hadir dari lubuk jiwa, dicipta untuk membuai dan membelai jiwa para pendengar yang mendengarinya. Sepertimana disebutkan Innocentclair (pengasas dan pemain bass kumpulan ini), jika kiranya kalian menggemari muzik dari Coldplay, Mono, Elskavon, Mew dan If Trees Could Talk umpamanya, kalian pasti boleh jatuh cinta dengan karya-karya yang dihasilkan Im Innocent. Tak sabar rasanya menanti lahirnya EP mereka akan datang yang berjudul “Even The Great Fall”. Pasti menarik!

Jumaat, 4 Mei 2018

BANGKIT! FANZINE – Isu #8


Diterbitkan secara rasmi pada 4 Mei 2018 | BANGKIT! FANZINE isu #8 | Edisi Kelapan di bawah kategori “Siri Tetap” (Regular Series) ini mengetengahkan band TROPHY KNIVES sebagai cover story. Mereka telah mengeluarkan demo-tape “self-titled” sekitar Jun 2017 di mana ramai pihak menganggap ianya produk punk rock tempatan terbaik tahun tersebut. Atas dasar itulah Bangkit! Fanzine mengadakan temubual bersama vokalisnya Vinesh Muniandy sekitar bulan November 2017. Terkini, Trophy Knives baru sahaja keluarkan EP berjudul “Turmoil” dalam format kaset dan cakera padat, dirilis pada 21 April 2018 sempena Record Store Day. 

Bangkit! #8 juga menampilkan interbiu bersama APPÄRATUS yang sekarang ini dalam rangka Euro-Tour, skate/thrash punk dari Johor Bahru iaitu C4D, THE KIDS yang boleh dikatakan satu nama baru dalam scene serta unit street rock & roll SEPTEMBER CLASH. Dalam edisi ini juga Bangkit! menerima beberapa sumbangan interbiu iaitu BOMBRÄD yang dikendalikan oleh Encik Jep dari Hvtam Zine dan tiga temubual kelolaan Trashnoiser dari blog Noise From Hell / zine My Own Mind iaitu bersama ROUND OFF, FILE 106 dan A LOT LIKE TURD.

Istimewa juga dalam isu ini kolum “Hardcore Punk, Solidariti dan Kebebasan!” kembali dalam format bual-bicara di mana Bangkit! bawakan pula diskusi eksklusif bersama KOLEKTIF SARATA. Turut dimuatkan rencana “T-Shirt, Taik dan Rock n Roll” tulisan Anonim dan liputan gig M.A.D Place Launching Show sumbangan Mëll Terror. Laporan acara Garage Session #1 juga disiarkan. Sepertima biasa, ruangan informasi scene, rencana, ulasan tape/cd/vinyl/zine, testimoni dan sebagainya turut menjadi sebahagian daripada pengisian 60 mukasurat fanzine DIY bersaiz A5 yang pastinya tidak akan mengecewakan anda!

Harga: RM8 senaskah (tidak termasuk kos pengeposan)
+ RM2 pos biasa
+ RM4 pos daftar
+ RM8 poslaju Semenanjung / RM12 poslaju Borneo

Pembayaran:
MAYBANK – 153010198114
SUFIAN MOHAMED SALLEH

hubungi:
facebook.com/piankvlt – Pyan Nathias (editor)
facebook.com/bangkitzine – Bangkit! Facebook
whatsapp 019-2597570


Nota: HARGA PUKAL ISTIMEWA untuk yang minat membantu pengedaran Bangkit! Fanzine – sila berhubung!

Rabu, 2 Mei 2018

Rebiu | WEOT SKAM / RUPTURE – Split


WEOT SKAM / RUPTURE – Split
Fvkof Records / Kandar Mosh Distro
Kali terakhir Weot Skam merilis adalah CD album “Six-Pack Tsunami Attack!!!” (2013). Kini selepas beberapa tahun, band berasal Pulau Pinang ini kembali dengan lagu-lagu Hardcore yang begitu kencang, garang dan lantang. Lagu-lagu Hardcore yang penuh maki-hamun seakan meludah tepat ke muka para politikus dan kapitalis, tanpa kompromi. Weot Skam dalam rilisan split-tape bersama Rupture yang dikeluarkan sekitar September 2017 ini memperdengarkan empat lagu baru berdurasi keseluruhan hampir 5 minit; Laksamana Hang Cibai, Apa Lancau, Mimpi Ngeri Kolonel Astronaut, dan Kan Lemma Puki Chow Cibai. Kualiti sound yang mantap dan energetik kali ini dari Weot Skam, hasil daripada airtangan Tom Bollocks di mana kerja-kerja rakaman dan adunan telah dibuat di Green House Music Kuala Lumpur sekitar Februari 2017. Weot Skam yang dibarisi Leon (bass), Edd (gitar), Dzul (vokal) dan Samm Ah Keat (dram) pada saya sangat menggila menerusi 4 lagu dalam split ini berbanding apa yang telah saya dengar dalam “Six-Pack Tsunami Attack!!!” tempohari. Riff-riff thrashing yang pantas dan menyengat, komposisi yang singkat dan padat, penyampaian vokal juga sangat-sangat deras, semuanya kedengaran begitu membelasah dengan kuat sepenuh kudrat. Terbaik Weot Skam! Rupture adalah satu nama yang kini telahpun menjadi lagenda dalam scene Australia. Band hardcore punk dari Perth ini telah ditubuhkan pada tahun 1989 dan aktif sehingga hujung 2001, tahun di mana vokalis mereka Andrew ‘Gus Chamber’ Sheen meninggal dunia. Rupture sepanjang kariernya telah mengeluarkan begitu banyak album full-length, rilisan split dan vinyl, dan band yang turut dianggotai Stumblefuck (gitar), Zombo (bass) serta AK47 (dram) ini telah mempengaruhi dan menjadi inspirasi kepada begitu banyak band hardcore/punk. Lima lagu dalam split ini adalah live tracks dirakam sewaktu persembahan Rupture di White Sands Hotel, Scarborough, 30 Jun 1994. Rakaman ini asalnya untuk rilisan split 7" EP bersama Disorder oleh sebuah label di Eropah namun tidak menjadi kenyataan. Lagu-lagu live tersebut akhirnya boleh didengari hanya melalui split bersama Weot Skam ini. Memang tidak dapat dinafikan Rupture sebuah band yang cukup gah dalam identiti dan kelas muziknya yang tersendiri. Ayuh segera dapatkan split-tape Weot Skam / Rupture ini yang cuma 200 unit dikeluarkan. Salinan saya #074.

Rebiu | TROPHY KNIVES – self-titled


TROPHY KNIVES – self-titled
Independen
Demo-EP bermuatan empat buah lagu ini merupakan rilisan pertama Trophy Knives, diriliskan sekitar Jun 2017. Ini band yang hadir ke dalam scene bersama kualiti yang cukup lengkap serba-serbi; musicianship, komposisi lagu, rakaman bunyi, penyampaian, segalanya!. Lagu-lagu berjudul It’s All In My Head, Amputated, We Can’t Be Saved dan Catastrophe adalah garapan muzik Punk Rock yang benar-benar hebat! Lazat dan cukup sifat nuansanya. Olahan riff serta rentak yang rancak, kedengaran begitu menakjubkan pada tarikan dan getarannya. Tona serta lontaran suara Vinesh juga tidak boleh dipertikaikan, sememangnya gred A. Selain daripada Vinesh Muniandy (vokal/gitar), Trophy Knives turut dianggotai pemuzik-pemuzik berkaliber, Syamir Ali (bass/vokal), Sani Khalid (gitar/vokal) dan juga Khairi Iskander (dram). Undangan kepada Chris#2 (Chris Barker) dari kumpulan Anti-Flag tampil istimewa menyumbangkan vokal dalam lagu Can’t Be Saved adalah idea yang bijak, membuka ruang dan peluang kepada Trophy Knives untuk mengembangkan sayapnya, terbang lebih jauh dalam scene ini. Pada keseluruhannya, rilisan berdurasi hampir 11 minit ini sangat berkuasa, bertenaga dan impak yang tidak perlu disangsikan lagi kemampuan band ini. Mereka berada pada piawaian antarabangsa menurut pendapat saya, dan tidak salah rasanya jikalau saya katakan ianya produk Punk Rock tempatan terbaik bagi tahun 2017. Awas! Trophy Knives kini berada di landasan untuk keluar lagi dengan EP terbaharu berjudul “Turmoil”, dijadualkan sekitar April 2018. Untuk irama muzik Punk Rock yang mantap dan memberikan inspirasi kepada pendengar, Trophy Knives perlu sentiasa berada dalam radar anda!

Rebiu | THE KIDS – If The Kids Are United


THE KIDS – If The Kids Are United
Independen
Kemampuan The Kids menerapkan unsur-unsur harmonik dan melodi-melodi catchy secukup rasa dalam struktur menyeluruh keributan dan kehuru-haraan muzik Hardcore Punk binaan mereka menerusi demo “If The Kids Are United” begitu membanggakan. Rilisan dalam format cd-r ini merupakan hasilkerja rakaman pertama band ini, mengandungi lima lagu pada jumlah durasi hampir 9 minit; 1. Kapitalis Bangsat, 2. Punk Not Dead, 3. Helah, 4. We Are Fucked, dan 5. Chaos. Lagu-lagunya amat menyelerakan, enak pada pendengaran bahkan sangat seronok untuk turut dinyanyikan bersama. Saya seakan tidak percaya kualiti bunyinya begitu baik dan jelas kedengaran setiap instrumen meskipun mereka memilih kaedah live recording untuk rakaman demo ini. The Kids ini menurut perkiraan saya adalah antara band-band muda yang berpotensi untuk melangkah lebih jauh dan menjadi lebih matang berdasarkan keupayaan yang ada pada mereka. Dengarkan demo ini dan lihat betapa kemasnya permainan mereka. Jika anda (pendengar) ingin menikmati lagu-lagu hardcore/punk di bawah pengaruh band-band seperti The Exploited, Straight Answer, Secret 7, Sarjan Hassan dan Marjinal umpamanya serta bait-bait lirik yang melawan menentang penindasan serta ketidakadilan, maka The Kids perlu berada di baris teratas dalam senarai pilihan anda. Disyorkan tanpa ragu!

Rebiu | SEPTEMBER CLASH – Live & Raw Demo (Street Rock & Roll)


SEPTEMBER CLASH – Live & Raw Demo (Street Rock & Roll)
Kabin Usang Production
Terus-terang, saya sendiri ketinggalan begitu banyak perkara dan perkembangan September Clash, band Street Rock & Roll yang berpengkalan di Pulau Pinang. Saya hanya mula mengenali mereka menerusi Promo CD 3-lagu “Live Demo” dan agak mengejutkan juga band yang ditubuhkan pada September 2014 ini telah berada di fasa rilisan ke-empat dalam kronologi diskografi mereka; “Live & Raw Demo (Street Rock & Roll)” CD 2017. Ianya adalah album full-length pertama dari September Clash, mengandungi 10 buah lagu termasuklah dua lagu saduran. Mendengar dan menghayati album berdurasi keseluruhan 32:33 minit ini benar-benar menyalurkan kepuasan yang maksima. Lagu-lagunya diolah, digarap dan dimainkan dari hati dan sepenuh jiwa. September Clash bermain dengan kerancakan bertali arus, riff-riff rock ‘n’ roll yang yang cukup sifat perisanya, solo-solo ligat yang menggigit, bass dan dram yang kedengaran jelas begitu menguasai nuansa rock & roll band ini. Vokal juga cukup mantap dan kena dengan muziknya. Biarpun dikatakan “live” dan “raw”, saya tidak temui sebarang masalah dengan kualiti bunyi dalam rilisan ini. Di rakam di Soundmaker Studio (di bawah kendalian Mr. Chong), sound production yang ditampilkan masih begitu baik tahapnya. Dalam album ini, September Clash menyelitkan lagu-lagu cover We Are Not Gonna Take It (lagu asal Twisted Sister) dan Highway To Hell (lagu asal AC/DC) di mana ini cukup memberi gambaran tentang halatuju dan pengaruh dalam muzik bikinan September Clash selain inspirasi dari Velvet Revolver, Guns n Roses, Def Leppard, Ramones, The Clash dan seumpamanya. Ya, mereka turut menyuntik unsur “punk” tidak hanya pada muzik tetapi lebih nyata dalam lirik-lirik lagu mereka yang rebel dan melawan arus. September Clash sebuah band dengan muzik yang menarik untuk anda nikmati!
facebook.com/septemberclash
instagram.com/septemberclashofficia

Rebiu | SEPTEMBER CLASH – Live Demo


SEPTEMBER CLASH – Live Demo
Kabin Usang Production
Ini merupakan pakej promo-kit yang disediakan oleh September Clash, band aliran Street Rock & Roll di utara tanahair. Promo CD yang bukannya untuk dijual ini mengandungi 3 buah lagu; Rock & Roll Train, Fuck You dan Radio Kita. Saya kira ketiga-tiga lagu ini adalah seleksi terbaik, pilihan yang paling tepat sebagai pengenalan (atau promosi) kepada album terbaharu mereka “Live & Raw Demo (Street Rock & Roll)”. Bagi saya, September Clash sebuah band yang memiliki attitude dan saya menyanjung tinggi kata-kata mereka bahawa street rock n roll adalah lambang kebebasan bermuzik dan berkarya!

Rebiu | PENIS VIBRATOR – Fuzz Fuzz Fuzz Baby


PENIS VIBRATOR – Fuzz Fuzz Fuzz Baby
Noisemongers Records
Nakal sungguh nama band ini. Muziknya juga nakal-nakal begitu. Dah lama stuff yang boleh tahan menariknya ini berada dalam simpanan, baru sekarang saya dapat berikan sedikit ulasan. Penis Vibrator adalah kuartet Punk A Go Go + Noise Rock & Roll dari Kuala Lumpur, terdiri daripada individu-individu di sebalik 265 Distro, Keladak, Jalan Sehala dan beberapa band lain serta editor zine dan pemilik label/distro. Dalam inlay hanya menyebut Noisemonger (Fuzz), Sunshine Honey (Golden Voice), Jay Ritchie (A Go Go) dan Rikard Jr. (Harsh). Material dalam “Fuzz Fuzz Fuzz Baby” telah dirakam di “Wet Wet Floor Honey” Studio pada 9 Januari 2015. Menariknya, ianya dikatakan pertemuan kali pertama mereka, jamming pertama, rakaman kali pertama dan hasilnya terus dikeluarkan sebagai rilisan pertama mereka – CD-R mengandungi 17 track berdurasi keseluruhan 28:21 minit yang dianggap album penuh (debut full-length) Penis Vibrator. CD-R yang berkonsep DIY sepenuhnya ini dikeluarkan pada Januari 2015 oleh Noisemongers Records. Lagu-lagu garapan Penis Vibrator memang syok didengar, layan goyang badan. Meskipun sound agak mentah dan kering (memang itupun yang mungkin mereka mahu), mereka bijak bermain-main dengan ritma-ritma Rock & Roll dan A-go-go yang pasti akan mengundang kalian pendengar berdansa bersama, kekadang bingit dan keras, berperisa Punk dan Blues yang kuat bahkan ada masanya terselit bahagian-bahagian yang kedengaran grind! Untuk makluman, saya juga memiliki versi pro-tape “Fuzz Fuzz Fuzz Baby (Stay Shitty)” keluaran usahasama 3 label; Noisemongers Records, 265 Distro dan Happy Records. Versi kaset ini dikeluarkan sekitar November 2015 di mana salinan saya bernombor 014/100. Sedikit kelainan dalam versi cassette tape ini selain daripada penggunaan artwork berbeza, ia menampilkan alternate intro dan tambahan satu bonus track. Oklah, jika anda meminati band-band seperti Noise A Go Go’s, Gore Beyond Necropsy, Repulturid Mangel, Rocking Dildo, Blood Duster, C.S.S.O., Electro Hippies, Firebird dan Suzi Quatro, anda bolehlah juga cuba check-it-out band Penis Vibrator.

Rebiu | OVERHÄUL – Rock n Roll Fuel


OVERHÄUL – Rock n Roll Fuel
Basement Records
Kemunculan Overhäul sebenarnya mengujakan! Apa tidaknya, 3-piece berpengkalan di Shah Alam ini terbentuk dari kalangan anggota kumpulan crust thrasher Atomicdeath yang telah pun terbukti kemampuan mereka. Sudah tentu pengetahuan dan pengalaman selama bertahun dalam bermuzik dan berkarya tidak memberi masalah kepada kredibiliti Overhäul menghadirkan hasilkerja yang mantap serba-serbi. “Rock n Roll Fuel” merupakan demo pertama band ini dilancarkan pengeluarannya sekitar Disember 2017. Tape berdurasi sekitar 11:30 minit ini bermula dengan intro pemanas badan Warm It Up disusuli irama membakar dalam Spitfire. Overhäul tanpa belas terus menghenjutkan riff-riff kencang, liar serta nakal dalam lagu-lagu seterusnya; 11:15, One Night In Pattaya, dan My Woman From Bangkok City. Bahagian-bahagian gitar yang mengghairahkan serta hentakan padu pada dram cukup berjaya menterjemahkan tenaga Metalpunk mainan band ini, dengan kuasa Rock & Roll dan Speed / Heavy Metal yang begitu menyerlah! Kerry Kaufmann yang selama ini hanya bermain gitar (dalam Atomicdeath) turut bertindak sebagai vokalis dalam Overhäul. Memang terbaik suara dan nyanyian Kerry, cukup kena dengan muzik yang dibawa. Untuk anda di luar sana yang masih tertanya-tanya, demo dan band ini adalah untuk anda yang meminati band-band seperti G.A.T.E.S, Inepsy, Abigail, Children Of Technology, Whipstriker dan sealirannya. Apa yang saya perolehi dari demo Overhäul ini adalah keseronokan. Puas hati tetapi masih belum cukup dan mahukan lagi lebih banyak dari mereka. M.P.D.S. fucking rules!

Rebiu | KVLTS – Seven Seas


KVLTS – Seven Seas
Payola Records
Tak banyak band yang ada usaha untuk menghadirkan warna yang berbeza dalam scene muzik underground. Salah satunya yang cuba memberikan kelainan adalah KVLTS. Usah keliru dengan nama dan logo mereka kerana band ini bukannya dari kelompok Black Metal jikalau itu yang terlintas di fikiran anda. KVLTS mengeluarkan EP pertamanya berjudul “Seven Seas” pada 30 Julai 2017 mengandungi empat lagu serta tambahan dua versi akustik, berdurasi keseluruhan 28:04 minit. Senarai lagu: 1. Seven Seas / 2. Death Spells Omega / 3. Vagina Dentata / 4. Judas (instrumental) / 5. Seven Seas (acoustic live at Suria FM) / 6. Vagina Dentata (acoustic live at Suria FM). Pada saya, band asal Kuala Lumpur yang terdiri daripada Zaid Fadhil (dram/vokal), Fariz Fahami (vokal) dan Adam Zackry (gitar/vokal) ini adalah golongan pemuzik yang berani, berkemahiran tinggi, kreatif dan berbakat besar dalam menggubah dan menyusun muzik. Mereka memiliki kebijaksanaan untuk mempelbagaikan idea dan inspirasi membolehkan setiap lagu mereka kedengaran unik, memiliki karisma serta nilai estetika masing-masing. Muzik KVLTS secara umum mungkin boleh dikategorikan “rock” sahaja, tapi bukan jenisan rock yang biasa-biasa. Variasi pengaruh dalam lagu-lagu band ini begitu luas; dari post-punk hingga post-hardcore sehinggalah ke post-metal. KVLTS juga turut menyuntik sentuhan elektronika dan ambien yang menambah lagi perisa muzik garapan mereka. Tona suara dan lenggok nyanyian vokalis juga begitu baik. Ditambah dengan kualiti yang ada dalam aspek rakaman dan produksi bunyi, KVLTS kedengaran sangat profesional dan tidak salah rasanya andaikata saya anggap band ini telah berada di tahap piawaian internasional. EP “Seven Seas” ini adalah CD yang setiap kali saya mainkan saya akan biar ia berputar berulang kali, mahu terus menikmati keindahan muzik ciptaan mereka. Enak dan menyelerakan! Ok, para peminat muzik Deftones, Glassjaw dan Junius mungkin kena cuba-cuba dengar KVLTS, manalah tahu ia bakal memenuhi citarasa anda juga. 

Rebiu | HELLEXIST – Live in Japan 2014


HELLEXIST – Live in Japan 2014
Broken Noise Records / Akar Press
Kaset ini sebenarnya didatangkan bersama salah-satu pakej eksklusif buku Pengembaraan Tanah Jepun, tulisan Azaruddin Paiman (atau Din Akar, editor zine Roots). Ia menghimpunkan tujuh lagu Hellexist dirakam live sewaktu siri jelajah band tersebut ke sana: Age Of Death Japan Tour 2014. Hellexist telah bermain di Morgana Livecentre, Tokyo dan Sogen, Shizouka pada 10 - 11 Mei tahun tersebut. Selain 7 lagu yang dirakam hanya mengguna mobile phone Nokia Lumia 920, tambahan track ke-8 merupakan rakaman istimewa lagu Age Of Death di Noise Room Recording Studio, Tokyo (di bawah pengawasan Shigenori Kobayashi, ahli band Goum yang juga bekas anggota Crocodile Skink). Kesemua lapan lagu dalam tape ini telah remastered di Studio 46 Pasir Gudang, Johor Bahru pada Mac 2015 bagi menambahbaik tahap kualiti bunyinya. Ini rilisan yang sangat menarik untuk melengkapkan koleksi Hellexist anda. Terhad hanya 66 unit, milik saya #10. Rare stuff yang rasanya sudah sukar hendak diperolehi lagi di pasaran gelap underground tempatan, hehe!!!
facebook.com/brokennoiserec
facebook.com/akarpress

Rebiu | GERODOK / KERNA DIA – Split


GERODOK / KERNA DIA – Split
Nervhous Records / Green Peace Distro
Sejarah yang dikembalikan! Split di antara Gerodok / Kerna Dia asalnya rilis dalam bentuk cd-r sekitar tahun 2014 keluaran bersama Avail Records dan GustixKatilxDistro. Mungkin atas dasar klasik dan nostalgik sifatnya, ia dikeluarkan semula pada Jun 2017 dalam format pro-tape usahasama dua label ternama, Nervhous Records dan Green Peace Distro. Saya sukakan layout sampul kaset yang agak old-school dan sederhana tetapi masih tetap menarik, ditambah pula tarikan yang ada pada ilustrasi kulit oleh Maminkfesto menggantikan artwork asal (tengkorak & tulang-temulang) cd-r terdahulu. Gerodok dan Kerna Dia kedua-duanya lahir di daerah yang sama iaitu Lahad Datu serta memainkan genre Punk Rock yang hampir serupa; street-punk bermelodik berasaskan 3-kord, meskipun gubahan yang dianggap mudah tetapi masih tetap kedengaran enak, segar dan senang dihadam. Kerna Dia menampilkan 5 lagu pada Side A. Band yang dianggotai oleh Nat (vokal), Mamat (gitar), Udin (gitar kedua), Ah Seng (bass) dan Joy (dram) agak banyak mengingatkan saya kepada lagenda Oi! tempatan iaitu ACAB. Tidaklah terlalu bermelodik sebagaimana Gerodok, Kerna Dia sedikit keras dan straight-forward kalau mengikut pengamatan saya. Salah-satu lagu sumbangan Kerna Dia adalah versi saduran Freedom, lagu asal kumpulan Desecrate. Gerodok yang mengisi Side B sebenarnya satu nama yang memiliki prestij tersendiri dalam scene muzik underground di Sabah. 4-piece terdiri daripada P.E (vokal), Mat (gitar), Pyan (bass) dan Tiyam (dram) ini sering diangkat sebagai band punk pertama dari belah-belah sana. Tujuh buah lagu dipersembahkan Gerodok dalam split ini termasuklah Bulan 8 Di Sandakan, satu lagu yang sangat dikenali ramai, menjadi siulan dan besar pengaruhnya. Gerodok agak skanky stail street-punk bawaan mereka. Melodi dan harmoni yang menghiburkan, cuma sound Gerodok agak raw kalau nak dibandingkan dengan Kerna Dia. Split Tape ini telah memberi peluang kepada ramai pendengar baru (termasuk saya sendiri). Saya percaya ini antara rilisan split terbaik yang pernah keluar dan beredar sekitar pertengahan 2000-an, menyebar luas mesej-mesej berupa kritikan politik dan sosial, isu-isu penindasan dan peperangan, kapitalisma dan sebagainya. Ah, perlu rasanya saya beritahu bahawa Bulan 8 Di Sandakan itu sebuah lagu bertemakan cinta, dimanipulasi banyak pihak tetapi yang betul-betul asli adalah yang ini, versi tulen ciptaan Gerodok.

Rebiu | C4D – Construction! Destruction!


C4D – Construction! Destruction!
Rumble Records
C4D bermaksud Construction For Destruction. Band berpusat di Johor Bahru ini telah melancarkan pengeluaran album sulung “Construction! Destruction!” di bawah label mereka sendiri, Rumble Records pada 31 Januari 2017. Saya sesungguhnya melihat C4D ini sebuah band yang lahir bersama kualiti. Mereka memiliki kemahiran dalam bermain muzik, kelebihan dalam menulis lagu, mutu rakaman yang cukup bagus dan pembuatan digipak DIY disertakan booklet 24-halaman berwarna penuh menunjukkan betapa seriusnya empat anak muda ini yang terdiri daripada Kemal (gitar/vokal), Eryberg (dram), Johnson & Johnson’s (gitar/vokal) dan Mat (bass/vokal). “Construction! Destruction!” mempertaruhkan 13 buah lagu berdurasi keseluruhan kira-kira 42 minit. Secara peribadi, saya gemar dengan variasi genre yang ada dalam “Construction! Destruction!”. C4D tidak meletakkan diri mereka terikat dan terkongkong dengan satu konsep dan mereka bebas berkarya! Mungkin ada antara kita yang keliru dan mempersoalkan identiti sebenar mereka dek kerana kepelbagaian genre dalam sebuah album, dari melodic/pop punk hingga ke thrash/skate punk. Saya tiada masalah dengannya kerana ia masih berasaskan irama punk malahan bagi saya tidak timbul isu bosan atau jemu pada sebuah album yang termuat didalamnya jumlah track yang banyak. C4D berani menyuntik kelainan umpamanya sentuhan post-punk dalam Float Like A Butterfly Sting Like A Bee dan bereksperimentasi dengan irama tradisional dalam Oud De’ Zapunk. Saya simpulkan ini sebuah album yang hebat, menyeronokkan, menghiburkan dan sepertimana kenyataan awal saya tadi – sebuah rilisan yang dilengkapi kualiti di segala segi. Terbaik!
facebook.com/c4dmagnum
instagram.com/c4dmagnum

Rebiu | APPÄRATUS – F.KU


APPÄRATUS – F.KU
Alcömadness Records
Appäratus dahpun kembali, keluar dari pertapaan yang panjang. Reputasi band ini bukannya calang-calang. Jika saya ditanya manakah band tempatan yang 110% terinspirasi dengan Scandinavian d-beat / raw hardcore punk, tanpa sangsi saya akan namakan Appäratus dalam jawaban kepada persoalan tersebut. Appäratus sebelum ini telah banyak mengeluarkan produk-produk yang impresif dan berkualiti antaranya “Another Night Of Holocaust” (2004),  “Härdcore Religion!” (2009), “Löst Demo” (2012), “Degenëration Ovërdrive!” (2014) dan banyak lagi termasuklah beberapa rilisan split. Setelah beberapa tahun berdiam diri, Appäratus akhirnya pulang ke pangkuan scene menghadiahkan hasilkerja terbaharu, “F.KU” EP pada September 2017. Tape berdurasi sekitar 9 minit ini begitu mengagumkan, mengandungi enam lagu kesemuanya termasuk sebuah cover lagu asal Totalitär. Pengetahuan dan pengalaman Wolfskin (gitar/vokal) dalam bidang muzik yang dimainkan begitu menyerlah! Kredibiliti Colt (bass) dan Jerry (dram) dalam menjayakan rakaman ini turut banyak membantu kualiti menyeluruh EP ini dan kerja-kerja produksi bunyi yang begitu cemerlang membolehkan rilisan ini kedengaran seperti datang dari negara Sweden / Finland. Rasanya tak perlu lagi saya tokok-tambah dengan lain-lain ayat yang mungkin klise pada tafsiran anda, cukuplah saya cadangkan kalian segera dapatkan “F.KU” dan rasai sendiri setiap tenaga dan kuasa yang berada di dalamnya. Teramat-amat padu!

Rebiu | ROUND OFF – Pathetic Crisis


ROUND OFF – Pathetic Crisis
Independen
Demo CD yang dimuatkan dengan 9 buah lagu dengan total playing time 30:45 minit bagi aku bukan satu usaha yang kecil. Round Off, band dari Kuantan ini meletakkan inisiatif yang serius dalam satu rilisan yang sekadar berstatus demo. Semua ini aku percaya dibuat atas dasar kepuasan. Kepuasan mereka sendiri sebagai sebuah band dan kepuasan pendengar serta penyokong muzik mereka. “Pathetic Crisis” Demo 2017 merupakan rilisan pertama Round Off, band yang mengangkat irama Street Oi! / Punk di bawah pengaruh British Oi! dan Punk era 70-an seperti Sham 69, Cockney Rejects dan The Cocksparrer. Kalau korang rindukan fenomena muzik Oi! tempatan satu ketika dulu, aku rekomen korang dapatkan dan dengar CD ni. Kualiti rakaman pun memang terbaik! Memang sangat puashati-lah! Round Off dijadual merilis demo kedua “Get That Hope” di acara Street Music Festival pada 12 Mei 2018 di Bentley Auditorium, Mutiara Damansara. Check it out! [Trashnoiser]

Rebiu | KAO-TIK – Eliminate!


KAO-TIK – Eliminate!
Independen
Kebisingan yang melampau, pendarahan telinga, deraan kepada gegendang pendengaran… apa lagi istilah-istilah yang boleh dirujuk dalam mentafsirkan bunyian Harsh-Noise dari unit bergelar Kao-Tik ini. Ianya begitu ekstrem, seolah-olah menceroboh dan mencetuskan kacau-bilau! “Eliminate!” merupakan special self-released dua single terbaharunya sebaik merilis Promo 2018 “Deterioration” bawah keluaran Blazt Promotion. Singles yang dimaksudkan adalah Eliminate! [2:18] dan The Downfall [4:41]. Tidak disangsikan lagi nama yang agak baru ini begitu menerujakan jika anda meminati dan menghargai seni bunyi Harsh-Noise, scene yang sebenarnya agak kecil di negara kita ini. Anda boleh hubungi huruhara696@gmail.com untuk mengenali Kao-Tik, Noise-Machines from Hell! [Trashnoiser]

Rebiu | A LOT LIKE TURD – self-titled


A LOT LIKE TURD – self-titled
Utarid Tapes / Terr-Records
Kaset ni diriliskan pada 14 Oktober 2017, sempena Cassette Store Day tahun tersebut. Ia dianggap album pertama A Lot Like Turd selepas 7 tahun mereka berada dalam scene. ALLT sebelum ni pernah mengeluarkan dua EP; “Colours of Retardation” dan “Disco Disco”. Album “self-titled” yang dirakam di Iseekmusic Studio (temasuk mixing & mastering oleh Mokhtar Rizal) ini memuatkan 13 tracks kesemuanya, hampir 18 minit durasi keseluruhan. Tentang muzik band yang berpengkalan di Shah Alam ni memang susah sikit nak describe. Dia macam pertemuan mad riffs dan catchy riffs, susunan muzik yang di luar jangka, chaotic, bingit, keras dan pantas. Vokal juga boleh tahan, emosional habis! ALLT mungkin tergolong bawah kategori Emoviolence atau Post-Hardcore terpulang pada tafsiran masing-masing kerana dasar mereka tetap punk/hardcore dan mereka sendiri mengatakan lebih mengambil inspirasi dari band-band seperti Heavy Heavy Low Low, The Chariot, The Blood Brothers dan lain-lain yang band dari 31G Records [California-based independent record label]. Overall, A Lot Like Turd terbaik! [Trashnoiser]