Isnin, 23 November 2015

Rebiu | Gelanggang Filem – Isu #7


Gelanggang Filem – Isu #7
Gelanggang Filem Fanzine pada dasarnya tiada kaitan dengan scene muzik bawahtanah Malaysia. Akan tetapi, saya mengikuti perkembangan dan memiliki kesemua isu terbitan Gelanggang Filem kerana sifatnya yang DIY dan underground. Fanzine ini berkisarkan industri perfileman tempatan. Ia dikendalikan oleh seorang anak muda asal Kelantan bernama Farid bin Ahmad Saleh aka Xrantarox Farid. Beliau adalah pelajar Diploma Teknologi Kreatif (Skrin), Fakulti Filem, Teater dan Animasi di UiTM Kampus Puncak Perdana. Kelebihan yang ada pada beliau, berserta minat terhadap muzik underground diadun dan diselaraskan sebaiknya dalam penghasilan Gelanggang Filem Fanzine. Ulasan ini akan mengambil beberapa mukasurat kiranya saya mahu bermula dari isu pertama, justeru itu fikir saya lebih baik terus mengambil isu terakhir (setakat ini) iaitu #7 yang kebetulan juga sebuah edisi istimewa yang ada hubungannya dengan scene muzik Oi! dan skinhead iaitu filem Ophilia. Isu #7 ini adalah yang paling nipis (hanya 40 halaman mukasurat) dan buat kali pertamanya tampil dengan kulit luar tanpa warna berbanding isu-isu terdahulu. Ophilia yang diwar-warkan sebagai filem skinhead pertama di negara ini diberi highlight menyeluruh; bermula dengan wawancara khas bersama pengarahnya Raja Mukriz, temubual berasingan bersama dua pelakonnya; Pekin Ibrahim dan Kodi Rasheed, catatan penulis cerita Lyn dan diakhiri sebuah rebiu panjang lebar 3 mukasurat ditulis saudara Farid sendiri. Perkara lain yang mengisi isu kali ini hanyalah sebuah interbiu bersama Nam Ron yang berbicara tentang Teater Kompilasi-nya. Di akhir ulasan ini, bukan sahaja berkaitan isu #7 ini tetapi merangkumi semua isu-isu terdahulu, Gelanggang Filem adalah sebuah penerbitan serius dalam cara penyampaian yang santai dan bersahaja. Di sini tiada ruang untuk karut-marut gosip-mosip, cerai-berai artis dan hidup mewah selebriti. Teruskan karyamu Farid.