Rabu, 23 Disember 2020

THE MOST INFLUENTIAL UNDERGROUND EDITOR 2020


TERIMA KASIH Perlis Zine Fest. Saya menulis dan menerbitkan zine tanpa pernah mengharapkan sebarang penghargaan buat diri saya sendiri. Zine yang saya keluarkan adalah untuk scene, agar ia terus relevan dan tidak hilang dari scene muzik underground kita ini. Bagi saya, cukuplah masih ada scenesters yang sudi mendapatkan dan mengumpul zine-zine yang saya keluarkan. Itu sudah cukup berharga buat scene pembikinan zine DIY tempatan & scene muzik underground di negara kita ini. Saya tidak pernah menyangka akan ada plaque/medal awards seperti ini. Ia benar-benar menyentuh hati saya. Dalam situasi scene pembikinan zine tempatan yang agak ‘tenat’, masih ada yang memahami keujudan zine, yang menghargai fungsi serta kepentingan zine dalam scene. Anugerah ini bukan untuk saya seorang, tetapi juga untuk kalian semua yang mahu melihat zine terus berada dan bernyawa di dalam scene yang kita sayangi ini. Terima Kasih semua. Terima Kasih untuk segalanya! – Pyan Nathias, 23 Disember 2020.

Catatan oleh Perlis Zine Fest:
Hari ini Perlis Zine Fest telah membawakan satu anugerah khas kepada editor zine. KULT ZINE: THE MOST INFLUENTIAL UNDERGROUND EDITOR 2020. Pengiktirafan buat penulis haluan bawah tanah telah dianugerahkan kepada saudara Pyan @ Sufian, editor Bangkit! Zine. Pyan bermula dengan menyunting Qiamat atau kemudiannya dikenali sebagai Nathias Zine sejak tahun 1992. Pelopor UG scene Mersing, Johor ini turut menganggotai kumpulan Ancient Crypt bersama adiknya yang juga editor zine bernama Nocturnal. Apabila Nathias zine tidak lagi aktif, Pyan menulis pula di dalam blog Ekstrim Media untuk menyalurkan informasi daripada dunia UG dengan cara yang lebih moden dan pantas. Pada 2016 Pyan kembali ke dunia penerbitan zine dan menyunting Bangkit! Zine hingga kini. Bangkit sudah mencecah 14 isu yang mana isu 13.5 telah dikeluarkan khas untuk #PZF2020. Kamdungannya banyak memfokuskan UG scene dari utara terutamanya dari negeri Perlis. Di usia 51 tahun, Pyan masih giat menyunting zine malah menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa pada hari ini. Dia mempunyai Bangkit distro yang menaungi zines lain antaranya Reveal zine, Small Man zine, Transit zine, Perang Dunia Terakhir, Ranjau Metal dan Distorsi Ekstrim selain menganggotai kumpulan muzik berat, Omen dari Kelantan. Tidak syak lagi beliau adalah editor zine paling berpengaruh di Malaysia bagi tahun 2020! – Perlis Zine Fest, 19 Disember 2020.


*kartunis, Aku Napie menerima anugerah bagi pihak Pyan memandangkan dia tidak dapat hadir pada hari ini.

Mengenai Perlis Zine Fest:

Sabtu, 5 Disember 2020

BANGKIT! FANZINE – Isu #13.5


BANGKIT! #13.5 (Disember 2020)

Keluaran Khas Perlis Zine Fest 2020. Temubual bersama; SATYAGRAHA (Psychedelic Doom / Perlis), GEROBOKBESI (Technical Death Metal / Perlis), THE ISLAND (Reggae / Pulau Pinang), MAYANGS (Experimental Metal / Pulau Pinang), MOI LAST VON (Post-Rock / Perlis), -5°C (Space Ambient / Johor), STREET BOUNDARIES (Oi!-Punk-Hardcore / Perak), AMINDEMIERDA (Artwork Artist / Sabah) dan RUMAH BAHANG (Kolektif-Label / Perlis). Juga memuatkan profil band OXIDICIDE (Crossover Thrash / Kuala Lumpur) dan KALAMALAM (Black Metal / Perlis). Turut mengandungi beberapa artikel, karya-karya senilukis, sajak/puisi, ulasan buku, poster/flyer dan bermacam-macam lagi! Semua ini terhimpun padat dan sarat dalam zine 40-mukasurat, bersaiz A5, ditulis sepenuhnya dalam bahasa melayu. Harga: RM5 senaskah (tidak termasuk kos pengeposan).

Dapatkan di Tapak Acara:
Perlis Zine Fest, 19 Disember 2020

Melalui Pesanan Pos:
Whatsapp 019-2597570 (Pyan)

Ahad, 1 November 2020

BPSD-08 | DISTORSI EKSTRIM #1


DISTORSI EKSTRIM – ISU #1
November 2020

…menampilkan temubual-temubual bersama AGASTHOR, AGENT SUNDAL, ALTRAJALIA, CEASED WAR, DARKLORD, FRACTURE, HELLISHLINTHAR, LEGION MUSIC, LIFELORN, MORTUARY ANCESTOR, MURDER, PURBAWARA, SACRED SULPHURIC, ULU LUNGGA dan UNCONCIOUS. Turut memuatkan ruangan Buletin (informasi scene metal tanahair), beberapa artikel dan liputan gig serta ulasan produk-produk muzik metal tempatan. Semuanya terhimpun padat dalam fanzine berhalaman 52 mukasurat, bersaiz A5, ditulis sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Ini adalah 100% Underground Malaysia.

Harga: RM10.00 senaskah
*tidak termasuk kos pengeposan

Terbitan & Edaran:
Bangkit! Publishing Support Division (BPSD-08)
whatsapp: 019-2597570 (Pyan)

Di bawah Konspirasi:
Distortion Publishing
Ekstrim Media

Selasa, 18 Ogos 2020

BANGKIT! FANZINE – Isu #13


BANGKIT! #13 // OGOS 2020 
Eksklusif 8-mukasurat wawancara bersama LORSA (Surfpunk / K.Lumpur). Juga menampilkan temubual-temubual bersama NO ACCOUNT (PunkRock / Pahang), HYMNÖIR (Metalcrust / Kelantan), CAFERGOT (Deathgrind / Selangor), PARÖTID (Noisepunk / Perlis), PARALYZED (ProgDeath / K.Lumpur), TERSELINDUNG (Punkcore / Kelantan), dan TUJUH7 (PopRock / K.Lumpur). Turut memuatkan ruangan buletin (informasi-informasi mutakhir scene hardcore punk tempatan), beberapa rencana serta ulasan-ulasan CD / Tape / Zine. Merangkumi sejumlah 52 mukasurat (termasuk kulit luar) / Fanzine bersaiz A5 / Ditulis sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.


Harga:
RM8.00 senaskah + kos pengeposan

Hubungi:
whatsapp 019-2597570 [Pyan]

Khamis, 13 Ogos 2020

Notasi | Punk Adalah Perjuangan!


Punk rock itu seperti perang. Punk rockers itulah pejuang. Berperang memerangi segala peperangan. Berjuang memerangi segala dalang, jalang dan petualang. Punk takkan pernah berpatah. Apatah lagi mahu mengalah mahupun menyerah. Punk adalah perjuangan.” – Pyan Nathias, 13.08.2020

Jumaat, 7 Ogos 2020

Artikel | Pendapat Tentang Zine


Apa pendapat anda tentang zine? Dari dulu hingga sekarang dan 10 tahun akan datang? Adakah ianya masih relevan ataupun orang sudah melupakannya?Soalan oleh: Yoi Marius facebook.com/wf.distro / Jawaban dimuatkan dalam: SYNDROME ZINE #9

Aktiviti pembikinan zine pada kebelakangan ini sebenarnya semakin berkembang dan lebih meriah. Hal ini dapat dilihat dengan adanya acara-acara tahunan seperti zine fest dan buku jalanan. Berbeza dengan era 90an dahulu yang mana zine agak cenderung kepada konsep music-oriented fanzine, hari ini begitu ramai yang mengeluarkan zine-zine berintipatikan kompilasi/dokumentasi artwork, literature, personal writings, travelog, sub-cultures malahan juga ada yang berkisarkan tentang isu-isu sosio-politik. Sekarang, penulisan zine dilihat semakin bebas dan meluas skop pengisiannya. Dahulu kita hanya melihat lambakan zine yang menjurus kepada scene muzik underground; metal dan hardcore punk.

Saya secara peribadi gembira melihat perkembangan scene penerbitan zine masakini cuma agak terkilan dan semakin bimbang dengan kemerosotan penerbitan fanzine-fanzine yang menyokong gerakan muzik underground. Semacam dah tak ramai yang berminat untuk menulis dan mengeluarkan zine-zine metal, punk ataupun muzik indie. Tidak sepertimana ghairahnya scene 90an / awal 2000an. Saya tetap percaya dan sentiasa mahu menegaskan bahawa zine adalah satu tool penting dalam scene. Zine ini satu alat/medium yang bukan sahaja menjadi perantara di antara pemuzik dan pendengar/penggemar muzik, ia adalah penyebar dan pendokumentasian informasi yang tidak hanya relevan pada hari ianya dibaca tetapi juga relevan pada masa hadapan; 10 atau 20 tahun akan datang.

Memang benar informasi lebih pantas boleh diperolehi pada zaman internet dan media sosial sekarang ini tetapi ianya mudah hilang, lenyap dan tidak dapat diarkibkan. Zine bercetak, tak kiralah samada salinan fotokopi ataupun pro-printed memiliki satu nilai yang tersendiri. Ianya dokumentasi teks & imej yang bukan sahaja menyeronokkan untuk dibelek dan ditelaah, tetapi boleh disimpan dengan baik, diulang baca dan menjadi khazanah berharga pada masa hadapan. Zine samada kita sedari atau tidak, mencatatkan sejarah gerakan scene untuk dirujuk semula pada 10 atau 20 tahun akan datang. 

Dahulu saya adalah editor zine metal NATHIAS dimana 9 isu telah berjaya diterbitkan. Isu pertama terbit sekitar Mac 1993. Kalau dihitung, sudah 26 tahun usia isu pertama tersebut. Saya menyimpan satu salinan dan adakalanya saya buka semula isu tersebut. Ada band yang ditemubual telah menjadi nama besar dalam scene muzik metal antarabangsa. Ada juga yang telah dibubarkan tetapi muzik / rakaman mereka yang saya ulas ketika itu telah menjadi inspirasi & pengaruh kepada banyak band-band baru hari ini. Itulah yang saya maksudkan cacatan sejarah dalam sesebuah zine selepas lebih 25 tahun ianya diterbitkan. 

Fungsi dan objektif zine dalam scene amat penting dan tetap kekal relevan dari dulu, kini dan selamanya lebih-lebih lagi selagi wujudnya scene muzik underground dan sub-culture yang tidak mendapat perhatian di arus perdana. Scene dan zine ini tidak akan pernah mati. Mungkin ramai yang "terlupa" tentangnya kerana lemas dalam budaya hujung jari yang mempersona tetapi percayalah masih ada dan tetap akan ada sebahagian dari kita yang menghargai dan menyedari nilai tinggi di sebalik penulisan, pembikinan, penerbitan dan pengedaran fanzine-fanzine bercetak. 

Pyan Nathias (Bangkit! Fanzine) / 12 Disember 2019

Interbiu | V : 09.01.2019

Nota: Kontribusi untuk Eternal Zine #4 (Sarawak)


Hikayat kepahlawanan serta perjuangan lima bersaudara di bumi Melaka menjadi tonggak pengisian “Sumpah Pendekar”, album perdana kumpulan V yang dibarisi Mohd Ridzuan a.k.a RedOne (vokal), Muhamad Johari a.k.a Joe (gitar), Muhamad Zaki a.k.a Zakie (gitar), Mohd Firdaus a.k.a Dauz (bass) dan Abu Hurairah a.k.a Earth (dram). CD “Sumpah Pendekar” yang mula diedarkan sekitar akhir Oktober / awal November 2018 turut mengandungi mesej-mesej ketuhanan dan keamanan sejagat. Album rilisan Karisma Production bermuatan 10 lagu berdurasi keseluruhan hampir 50 minit ini dilancarkan secara rasmi dalam sebuah showcase di Ultimate Blast Studio, Seri Kembangan pada 9 Disember 2018 yang lalu. Dalam usaha mendalami kisah-kisah di sebalik pembikinan “Sumpah Pendekar”, haluan serta pengaruh-pengaruh dalam muzik V dan pelbagai ceritera lain yang berkaitan dengan kugiran asal bandaraya bersejarah ini, kita bersama vokalisnya RedOne. – Temubual oleh Pyan Nathias [9 Januari 2019]

Assalamualaikum Wan. Kau apa khabar bro? Tahniah, akhirnya rilis juga debut full-length V setelah sekian lama menanti. Personally kau rasa puas dan berbaloi?
Waalaikumsalam Pyan. Alhamdulillah sehat. Terima Kasih atas ucapan Tahniah tu. Personally memang aku rasa puas hati dan berbaloi sebab album nie atas usaha dan penat lelah aku, Joe, Zakie, Dauz dan Abu selama kini.

Setelah begitu banyak tahun masa diambil dalam usaha merealisasikan “Sumpah Pendekar”, bagaimana kauorang melihat dan mentafsir pengertian menyeluruh album tersebut kepada perjalanan serta perjuangan V selama ini?
Usaha dan Jangan Putus Asa. Selagi ada daya, selagi kita berusaha insyaAllah ada jalan untuk kita merealisasikan impian. Album “Sumpah Pendekar” nie banyak mengajar kami apa itu susah senang dalam mengejar apa yang kami impikan. Walaupun banyak dugaan yang kami hadapi, kami tak pernah putus harapan dalam mencuba dan mencari jalan penyelesaian untuk riliskan album nie.

Kauorang lakukan proses rakaman di beberapa tempat berbeza; Andy Studio, Stallin Studio dan Sahabat Studio. Mungkin kauorang ingin dapatkan vibe yang berbeza di tempat-tempat yang berlainan, atau mungkin juga V berhadapan kesukaran menyelesaikan keseluruhan rakaman hanya di satu studio yang sama. Komen bro?
Sebenarnya kami lalui proses rakaman sebanyak 4 studio iaitu Titanium Records, Andy Studio, Stallin Studio dan Sahabat Records. Cuma dalam inlay CD kami tak masukkan Titanium Records sebab hasil recording di Masai Johor tu tak menjadi.

Bermula pada Oktober 2009, V mula masuk recording di studio Titanium Records Masai Johor. Masa nie kami sign kontrak dengan Titanium Records. Label nie pernah riliskan album Hidden Silence “Black Hearted Spiritual”. Kami berulang alik dari Melaka ke Johor setiap Sabtu dan Ahad untuk siapkan proses rakaman sehingga Jun 2010. Lepas setel rakaman, so kami pun tunggu proses mixing dan mastering. Hampir setahun jugak lah tunggu tapi bila aku dapat jawapan dari producer pada Jun 2011, file recording ada problem dan rilisan di Johor tak dapat kami riliskan. Masa nie memang aku rasa macam nak marah pun ada, nak give up pun ada.. kau bayangkanlah ulang alik JB dengan tol, minyak dan masa, tiba-tiba hasil recording ada masalah. Aku bincang dengan semua line-up, kita cari studio lain dan rilis under label aku jer iaitu Karisma Production.

Lama juga aku cari studio yang sesuai sebab kami nie boleh masuk studio Sabtu dan Ahad jer. Setelah berbincang dengan semua line-up V, kami memilih Studio Sham Stallin di Ampang. Masalah studio Sham Stallin nie tak boleh record drum. Sesi rakaman awal kami mulakan dengan drum pada May 2012 di Andy Studio yang pada masa tu bertempat di Cheng Melaka. Setelah selesai rakaman drum di Melaka, kami mula ulang alik dari Melaka ke Ampang untuk rakaman gitar dan vokal di Studio Sham Stallin sehingga Januari 2013. Selepas tu kami menunggu proses mixing dan mastering sehingga Disember 2014. Memang agak lama nak menunggu proses mixing dan mastering siap, sebab kebetulan masa tu Sham Stallin jatuh sakit. Semasa sesi pra-dengar lagu-lagu yang telah siap, kami dapati ianya tak mencapai dengan apa yang kami mahukan dan kami buat keputusan untuk tidak mengeluarkan material yang telah siap pada waktu tu.

Pada 2016 aku jumpa Sham Stallin untuk ambil semua file-file recording dan bawa balik ke Melaka. Masa nie kami rehat sekejap sebab tengah buntu mana nak cari lagi studio untuk kami setelkan masalah kami nie. Pada Mac 2017 kami mula masuk Studio Sahabat Records untuk menyelesaikan masalah file-file recording kami sebelum nie. Kami ada juga cuba mixing dan mastering di Studio Sahabat Records namun ianya juga tidak memuaskan hati kami.

Nak dijadikan cerita, pada satu malam tu Rahmad Kamikaze datang singgah Studio Sahabat Records. Tujuan dia ke situ untuk selesaikan Single Rex Kamikaze. Tanpa membuang masa aku terus ceritakan masalah yang kami hadapi selama kini. Jadi dengan persetujuan semua line-up V, pada Januari 2018 kami buat keputusan menggunakan khidmat Rahmad Kamikaze dalam proses mixing dan proses mastering dihantar ke US. Alhamdulillah, apa yang kami mahukan selama kini tercapai juga akhirnya. Lagu-lagu V siap sepenuhnya pada Ogos 2018.

Aku cukup kagum dengan kualiti bunyi dalam “Sumpah Pendekar”. Superb sound quality gitu. Air tangan Rahmad Kamikaze untuk kerja mixing serta proses mastering di USA rasanya sangat-sangat membantu. Adakah ini semua benar-benar sepertimana yang dirancang untuk album ini, dan kauorang dapat mencapai tahap yang dimahukan?
Sebenarnya kami tak rancang pun nak bekerjasama dengan Rahmad Kamikaze. Kami jumpa Rahmad pun secara kebetulan di Studio Sahabat Records. Dia datang sebab nak setelkan Single Rex Kamikaze. Waktu tu kami dah buntu sebab hasil mixing dari Sahabat Records tak capai apa yang kami mahukan. Alang-alang dah jumpa dia, kami ceritakan masalah kami nie, jawapan dia simple jer “Ada duit semua boleh setel!”. Setelah berbincang, kami serahkan hal mixing dan mastering pada Rahmad. Terpaksa la kami buat kerja lebih masa... maksud aku, terpaksalah di antara kami nie buat kerja part-time sebab bukan murah nak bayar Rahmad nie..! Hahahahaha...

Pada kami tahap pencapaian kualiti bunyi untuk album nie adalah 80/100. Ianya hampir dengan kualiti yang kami mahu. Buat masa sekarang, ini sahaja terbaik yang dapat kami hasilkan. InsyaAllah, untuk rilisan akan datang kami akan menggunakan khidmat Rahmad Kamikaze sepenuhnya.

Bagi aku, ini album yang perfect serba-serbi; komposisi muzik, kualiti rakaman, produksi album... segalanya kelihatan matang! Di mana kauorang nak letakkan kedudukan V? Di persada Hard Rock arus perdana (mainstream)? Masih berlegar dalam scene muzik ekstrim / underground tempatan? Atau bercita-cita juga untuk melangkah lebih jauh ke peringkat antarabangsa?
Kalau diberi peluang kami memang berhasrat untuk pergi lebih jauh lagi ke peringkat antarabangsa. Untuk arus perdana mainstream, terpulang pada stesen TV atau radio nak putarkan lagi kami atau tak. Nak panggil kami perform atas stage diaorang pun tak menjadi masalah. Bab mainstream nie kami tak mengharapkan sangat, kalau ada peluang kami pergi kalau takda kami teruskan di dalam scene underground.

Adanya saduran ‘Painkiller’ lagu asal Judas Priest sedikit-sebanyak memberi gambaran tentang haluan muzik V, selain pengaruh kuat band-band seperti Helloween, Gammaray, Iron Maiden, Manowar dan seumpamanya. Berdasarkan perspektif pihak V sendiri, bagaimana kauorang mahu memperincikan muzik bawaan kauorang lebih dari sekadar definasi umum Heavy/Power Metal?
Pergh! Soalan kau memang maut aku nak jawab nie...! Hahahaha..

Apa yang kau dan orang luar di sana dengar lagu-lagu kami, ITULAH MUZIK V. Lain dari yang lain. Kau boleh kata Heavy Metal, kau boleh kata Power Metal, kau boleh kata Speed Metal dan ada sedikit elemen Thrash Metal. Pendek kata kami gabungkan elemen-elemen tersebut dalam album nie.

“Sumpah Pendekar” juga agak mengimbau memori aku kepada lagu-lagu berirama keras/berat dari kegemilangan Rock Kapak tanahair, band-band seperti Crossfire, Rusty Blade, Lefhanded menerusi ‘Semangat Lamina’ contohnya, malahan Putra yang juga lahir di Melaka (aku teringatkan cover artwork kaset album mereka). Adakah era Rock 80an hingga awal 90an tempatan, zaman-zaman Battle Of The Bands serta Juara-Juara Rock turut memberi inspirasi kepada V?
Terus terang aku katakan,V tak terpengaruh dengan era Rock 80-90’an. V nie lebih cenderung dengan band-band barat seperti Helloween, Gammaray, Manowar, Judas Priest, Iron Maiden dan Riot.

Senilukis hebat karya Vebry Zanadha kelihatan begitu menarik menghiasi kulit luar sampul CD “Sumpah Pendekar”. Ianya cukup berkesan dalam memperjelaskan konsep muzik V, dalam aspek lirikal terutamanya. Apa rumusan kauorang tentang artwork serta senikata-senikata lagu dalam album tersebut?
Lukisan Vebry Zanadha memang amat aku kagumi. Aku cuma beri idea dalam bentuk lakaran dan hasil lukisan dia betul-betul buat aku teruja. Seperti mana yang kau sedia maklum, Melaka cukup terkenal dengan 5 Pahlawan Melayu Melaka, jadi kami menggunakan lakaran 5 Pahlawan Melaka di samping tajuk lagu “Sumpah Pendekar” di hadapan cover album nie. Untuk senikata-senikata lagu di dalam album, seratus peratus datangnya dari aku sendiri dan aku bertanggungjawab sepenuhnya. Aku cuba menyuntik kembali semangat perjuangan bangsa dan di samping itu juga aku menyelitkan lirik berunsur KeTuhanan dan Keamanan. Cuma satu lagu yang bertajuk “Pemergian” aku cipta khas untuk Arwah Bonda aku.

Wan, apa rahsia kau bro dalam mendapatkan tona vokal yang nyaring, lantang, bernada tinggi? Masuk air betul dengan muzik mainan V ni, mantap!
Ini semua anugerah Tuhan bro, serius aku dulu pun loser dan selalu lari pitching, tapi lepas masuk kelas vokal, Alhamdulillah sedikit sebanyak dapat membantu. Yang penting kena selalu buat latihan, jangan minum air batu dan jangan isap Batu! Hahahahaha..

Sekarang ni apa yang kauorang sedang dan akan lakukan untuk memperkasakan lagi jualan/edaran CD album berkenaan? Gig dan tour? Radio airplay? Muzik Video? Digital release?
Kesemua persoalan yang kau tanya nie dah jalan serentak. Untuk Gig dan Tour selepas nie kami akan ke Johor dan Dungun. Tempat-tempat lain masih dalam perbincangan. Untuk Radio Airplay pula kami dah serahkan pada dj-dj Radio, terpulang pada mereka kalau diaorg nak mainkan lagu V. Muzik Video setakat nie kami dah ada 3 iaitu Sumpah Pendekar, Rintihan Kota Jihad dan Painkiller cuma satu Muzik Video Makam Mulia belum siap lagi. InsyaAllah dalam bulan Februari nie siap la kot. Digital release pun kami dah keluarkan pada 1 November 2018. Boleh tengok senarai digital release di www.Vofficial.org.

Sedikit imbasan untuk pengetahuan pembaca, bagaimana tertubuhnya V? Latarbelakang anggota band secara ringkas? Apa yang dimaksudkan dengan V; Victory (Kemenangan), atau simbol Peace (Keamanan), atau apa sebenarnya?
Kalau kau tanya pasal tertubuhnya V nie, aku akan ceritakan satu kejadian yang tak pernah aku keluarkan pada mana-mana interview sebelum nie. Sebelum nama V nie muncul, ada satu cadangan yang memang kami gelak sampai barai. Nama cadangan sebelum V nie muncul diaorang nak letak nama “THE COLI” hahahahahahahhahaa!!! Tapi disebabkan semua tak setuju, kami pilih V disebabkan kitaorang menggunakan gitar V.

V nie juga bermaksud 5 dalam huruf Roman. Itu sebab dalam Front Cover album, kami letak gambar 5 orang pendekar. V tertubuh pada 2006 dan menjadi lumrah pada setiap band dengan pertukaran line-up yang tak dapat memberikan komitmen sepenuhnya. Eng Seng antara yang awal keluar pada awal 2007 dan disusuli dengan Din dan Fikhrie pada tahun 2009. Posisi Din digantikan oleh Dauz dan posisi Fikhrie digantikan oleh Abu (Earth) iaitu drummer Hidden Silence. Aku, Joe dan Zakie masih terus kekal hingga kini. Anggota paling berumur (nanti kang aku cakap tua dia tak nak mengaku, hahahaha) adalah Joe, kemudian aku, Abu, Zakie dan paling muda Dauz. Cuma Joe sahaja bukan anak jati Melaka sebab dia dilahirkan di Kuala Lumpur. Dia pun dah menetap di Melaka hampir 20 tahun dan dah sebati dengan Asam Pedas! Hahahaha.. Aku pulak dilahirkan di Kg. Morten Melaka, Abu di Bukit Baru, Zaki di Batu Berendam dan Dauz di Tanjung Kling. Masing-masing ada kerja tetap cuma Dauz sahaja Full Time Musician dan banyak bermain di kelab-kelab malam di KL.

Maaf kalaulah wawancara ini mengambil begitu banyak masa berharga kau Wan. Hidup ini bukannya mudah bahkan terlalu singkat, huhu! Sepatah dua kata sebagai penutup?
Sebelum aku mengakhiri interbiu nie, aku nak ucapkan terima kasih pada kau Pyan dan Eternal Zine sebab sudi interbiu V. Kepada yang belum mendapatkan album kami, korang boleh sambar album kami di wakil-wakil pengedar album V “Sumpah Pendekar” di seluruh negeri. Senarai wakil-wakil pengedar ada di Facebook V dan dapatkannya sekarang sementara stok masih ada. Korang boleh ke website kami di www.Vofficial.org untuk info-info terkini. Teruskan menyokong kami, Terima Kasih!!!.

Ikuti V di pautan:
Official Website: http://www.Vofficial.org

Interbiu | YOUTH PORTAL : 20.12.2018

Nota: Kontribusi untuk My Own Mind #2


Sebuah band muda. YOUTH PORTAL nama gelarnya. “Simple intuitive music were made to remind themselves and the listeners of their youthful days.” – ini catatan yang terdapat pada laman facebook mereka, yang mana terdiri daripada Ikram Hakim (vocals / synth), Zaki Aryaseno (guitar / second vocals), Asyraf Zamli (guitar / backup vocals), Aimaan Syamim (bass / backup vocals), dan Ysfin Tazky (drums). Youth Portal mengeluarkan sebuah EP self-titled dimuatkan dengan 8 buah lagu pada 25 Oktober 2018. Yeah, kami menemubual mereka! – Interbiu oleh Pyan Nathias (20.12.2018)

Kongsikan ringkas permulaan wujudnya Youth Portal, dan sedikit latarbelakang ahli anggota band ini?
Wujudnya Youth Portal sebab kitorang masa tu baru masuk belajar and tempat kitorang duduk Cyberjaya memang amat bosan, awalnya Youth Portal adalah Ikram dan Zaki, kitorang kongsi taste music yang lebih kurang sama so kitorang decide nak start buat music macam tu la, then lepas kita record our first few demos memang barai gila masa tu skills pun takde, lepas kitorang record kitorang pergi kat our friends cari guitarist, bassist dan drummer, so kita ditemukan dengan Asyraf untuk guitarist also our home producer, Aimaan sebagai bassist and Tazky sebagai drummer, kitorang jumpa sebab masa tu memang kita semua duduk Cyberjaya study sana.

Bagaimana dengan sambutan dan penerimaan pendengar terhadap EP self-titled kalian yang baru diriliskan tempohari?
Sambutan kali ni maybe a bit slow sikit compared to our single “Butter Breakfast”, but ni pun cukup baik la, orang yang beli CD semua boleh layan boleh enjoy, kira bersyukur la, tak sangka ada orang nak beli CD kitorang haha alhamdulillah slowly lah.

Berikan beberapa fakta menarik tentang proses penggubahan lagu dan sessi rakaman untuk EP tersebut?
Proses rakaman kitorang sebenarnya dah mula lama dah, dalam 1 tahun lepas macam tu, tapi kitorang agak busy dengan kerja/study, so bila ada masa untuk record kita record, lagu-lagu dalam EP kitorang ada lalui 2 ke 3 kali perubahan la kira 2 tahun lepas lagu lain sikit sekarang dah lagi polish macam tu, fakta menarik rasanya, EP tu baru siap 5 hari sebelum EP launch haha teruk betul. EP ni semua kitorang record dalam bilik Asyraf our gitaris/producer semua home diy record la.

Boleh kalian perjelaskan lebih lanjut mengenai genre muzik yang dimainkan, serta major influences kepada Youth Portal?
Genre yang kitorang main, mostly for the moment ala-ala C86 The Smiths, guitar yang jangly lagu yang senang-senang masuk, indie pop sikit dream pop sikit shoegaze ada juga and post punk. Major influences dulu kitorang memang minat band-band dari captured tracks la DIIV/Mac DeMarco, also The Strokes memang kita suka, The Smiths, Beatles, Joy Division/New Order. Senang cerita genre yang kita nak main selagi fun selagi boleh menari and easy listening kita main.

Apa yang ditulis dan dilagukan menerusi lirik-lirik lagu ciptaan kalian?
Mostly dalam lyrics yang kitorang tulis semua pasal kehidupan seharian la, macam lagu Loop kitorang tulis pasal krisis kitorang tak nak jadi tua nak stay muda je, kalau dalam Butter Breakfast pula kitorang cuba elak nak tulis lagu cinta jadi kitorang buat lagu random pasal breakfast, kalau lagu Turning Point tu pasal kehidupan kita cam titik perubahan la hhaha!

Youth Portal sudah lakukan pelbagai live shows / gigs untuk promosi EP?
Untuk promosi EP kitorang baru main EP launch dekat The Bee dengan Tenderfist, Sobs, dan Fi7i dan baru-baru ni kitorang main dua show di fono and Ampang Collector’s Weekend sambil-sambil promote EP.

Pendapat kalian tentang scene indie / underground music tempatan? Antara band-band Malaysia yang menjadi perhatian kalian?
Pendapat kitorang tentang indie scene tempatan, scene kita kecik je, semua orang mungkin kenal semua orang tapi to us it is growing lah, apa yang penting kita buat apa kita suka and respect karya band-band lain orang-orang lain jugak. Antara band-band Malaysia yang menjadi perhatian kita orang: Sweetass, Tenderfist, Jaggfuzzbeats, Golden Mammoth, Milo Dinosaur, Ramayan, dan Lust.

Perancangan Youth Portal seterusnya? Serta harapan kalian untuk band ini di masa hadapan?
Rancangan seterusnya yang akan datang soon music videos insyallah, then kitorang try to do singles dulu lepas tu an album. Harapan untuk band in the future kita harap semua orang semua golongan boleh layan muzik kitorang, and hopefully go international ceh!

Terima kasih. Sebarang kata penutup?
Terima kasih for the interview, kata penutup check out our EP on spotify takpun beli la CD dari kami just hit us up on our social media, or boleh beli kat Teenage Head Records Subang. Paling penting just keep doing what you like hopefully it will benificial for you, nak buat musik buat je takdehal, asal buat!

Interbiu | CRONOSSES : 19.12.2018

Nota: Kontribusi untuk Eternal Zine #4 (Sarawak)


Saya percaya masih belum ramai yang mengetahui tentang Cronosses, sebuah band 4-piece yang berpengkalan di ibukota Kuala Lumpur. Eksistensi mereka bermula sekitar tahun 2012, tergabung dari para pemuzik yang pernah dan sedang menganggotai beberapa band lain sebelum ini. Ternyata mereka ini bukanlah muka-muka baru dalam scene. Jika terdahulu mereka tidak asing dalam kelompok Hardcore Punk tempatan, menerusi Cronosses mereka seakan mahu berkarya pada landasan di luar kebiasaan mereka, bahkan mahu menghasilkan karya-karya yang boleh dianggap berkelainan. Siapa Cronosses? Di mana kedudukan mereka? Ke mana haluannya? Biarlah bual-bicara di bawah ini menemukan jawaban kepada semua persoalan itu. – Temubual oleh Pyan Nathias [19 Disember 2018]

Salam. Perkenalkan sedikit-sebanyak tentang Cronosses; sejarah pembentukan, latarbelakang ahli kumpulan serta motif ia ditubuhkan?
Sejahtera kembali. Terima kasih Pyan atas sudi interview kami untuk Eternal Zine. Cronosses asalnya ditubuhkan seawal tahun 2012. Bandmate semuanya adalah alihan dari band Abnormal Psychology yang berkonsepkan Fastcore. Apabila lamanya kami terpisah kerana sibuk atas komitmen masing-masing dan agak lama juga kami tidak berkarya.

Jadi suatu masa kami berkumpul dan bercadang untuk kembali berkarya dan bersetuju bersama line up asal Abnormal Psychology iaitu Jep, Adal, Pais, Keri dan Paan iaitu sahabat dari band  LanggarxLari (Thrashcore) dan  Kesumat (Power Violence) yang ingin bersama untuk menubuhkan Cronosses dengan genre yang agak berbeza dari sebelum ini dan ingin mencuba sesuatu kelainan dari segi konsep dan susunan. Jadi kami mengadakan last show untuk Abnormal Psychology dan memperkenalkan Cronosses dalam masa yang sama di Mentakab, Pahang.

Setelah itu kami terus berkarya dan mula untuk proses rekod tetapi dalam proses pembikinan EP, ada beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan dan terpaksa kami berhenti untuk meneruskan pembikinan EP pada tahun 2014.

Tiba pada tahun 2017, kami kembali semula untuk berkumpul akan tetapi Pais selaku vokalis dan Paan selaku gitaris terpaksa mengundurkan diri atas hal tertentu dan tinggal hanya kami bertiga iaitu Adal, Jep dan Keri untuk teruskan perjalanan dan sekarang Ashie selaku vokal Cronosses sekarang dijemput untuk menggantikan tempat Pais. Alhamdulillah kami sekarang berempat telah melahirkan EP yang bertajuk “Arakian” pada awal Ogos 2018 yang diriliskan oleh Fvkof Distro dan Tempang Records.

Ahli kumpulan Cronosses terdiri dari:
Ashie – Vokal (Punah Ranah)
Adal – Drum (Gymnastic Skull Whistling, Rotgut, 44 Weeks of Epilepsy)
Keri – Bass (Ex-Abnormal Psyhology)
Jep – Gitar (Ex-Abnormal Psychology)

Tahniah di atas rilisan Cassette EP sekitar Ogos 2018 yang lalu. Apa sebabnya ia diberi judul “Arakian”?
Terima kasih berterusan pada kalian yang membeli dan menyokong kami. “Arakian” adalah ayat dari bahasa melayu lama yang bermaksud ‘Sesudah itu atau Selepas itu’. Jadi nama ini diberi atas perjalanan kami untuk merealisasikan rilisan kami yang pertama dan ia tidak terhenti hanya di situ sahaja, akan ada kesinambungannya lagi. Seperti contoh ayatnya “Arakian, maka tersebutlah kisah Cronosses”.

Bagaimana kalian boleh mendapat kerjasama dari Fvkof Distro dan Tempang Records untuk merilis EP tersebut? Kalian puashati dengan hasilkerja label-label ini dan bagaimana pula dengan jualan serta sambutan/sokongan dari pendengar muzik kalian setakat ini?
Sejujurnya kami sangat berpuas hati dengan kerjasama yang diberi dari dua rekod label yang banyak membantu kami untuk rilisan EP “Arakian”. Terima kasih tidak terhingga pada Kenit dan Hadi dari Tempang Records dan Sheik dari Fvkof Distro atas sokongan kalian. Asalnya telah lama kami bincangkan untuk riliskan EP ini dengan Fvkof Distro di sekitar tahun 2016 dan apabila bertemu dengan Kenit dan Hadi Tempang Records awal 2018 kami bercadang untuk menggabungkan 2 label ini atas tujuan boleh bekerjasama untuk melebarkan rilisan kami lebih jauh dan meluas.

Jualan sangat memberansangkan. Kaset pada kami telah pun habis dan kurang pasti dari kaset-kaset yang berada di tangan Fvkof Distro dan Tempang Records akan tetapi kami dimaklumkan juga banyak juga yang telah terjual. Syukur, setakat ini kami masih menerima komen-komen yang positif dari para pendengar rilisan kami dan kami juga tidak teragak untuk menerima komen-komen yang negatif atas tujuan untuk membina karya kami dengan lebih baik. Terima Kasih Semua!

Cronosses dilihat membawa satu bentuk muzik yang agak unik dan seakan mencuba satu kelainan. Boleh jelaskan lebih lanjut mengenai konsep serta haluan muzik band kalian? Beritahu kami beberapa nama band yang kuat mempengaruhi penciptaan muzik & sound Cronosses?
Benar, niat kami asalnya memang untuk mencuba satu kelainan dan berharap para pendengar akan bertanya kami apa yang kami cuba sampaikan dari segi konsep. Dan syukur sekali lagi banyak soalan-soalan yang sebegitu yang didengarkan kepada kami sebegitu rupa, dan sejujurnya agak sukar juga bagi kami bagaimana untuk menjelaskan soalan sebegitu atas kerana lagu-lagu yang dicipta agak bercampur gaul konsepnya namun kami tetap berpuas hati dan merasakan tujuan kami berjaya dengan jayanya. Secara ringkasnya elemen-elemen yang kami campurkan lebih kepada Death Metal, Post Metal, Sludge dan juga Black Metal. Antara band-band yang menjadi reference kami adalah Bloodbath, Mastodon, Kvelertak, Darkest Hour, Batushka dan banyak lagi.

Kongsikan ringkas proses penulisan lagu, susunan muzik serta sessi rakaman untuk EP “Arakian” ini? 
Dari segi penulisan lirik dan susunan lagu untuk rilisan “Arakian” kebanyakannya dinukil oleh Jep sebagai gitaris Cronosses dan kami juga kerap kali melakukan perolahan dari segi drum beat dan alunan gitar untuk memberi penyesuaian kepada vokal. Dari segi masa juga kami lebih selesa menyampaikan tidak lebih dari 4 minit kerana asas muzik yang kami ceburi kebanyakannya datang dari Hardcore Punk dan kami menggunakan ia sebagai platform kami walaupun kami lebih cenderung ke arah muzik metal.

Kami melakukan rakaman gitar, bass dan drum di studio Iseekmusic Studio yang dimiliki oleh Mokhtar dan rakaman vokal di Grindbros Studio yang dimiliki oleh Azan dan Ashie selaku vokal Cronosses. Jadi perjalanan rekoding “Arakian” ini pada tika itu agak lancar dan mudah berurusan dari segi komitmen, kerjasama dan juga masa. Terima kasih pada Azan dan Mokhtar atas kepakaran telinga anda.

Senikata lagu-lagu Cronosses juga begitu menarik olahannya. Terangkan lebih terperinci tentang skop/tema serta mesej-mesej dalam lirik-lirik lagu kalian?
Implimentasi berkenaan lirik dan mesej yang cuba disampaikan oleh Cronosses banyak cenderung ke arah konsep alam diri dan luahan rasa manusia yang dilontar melalui imaginasi penceritaan. Seperti kata lain cuba mencerita sesuatu yang kita tidak nampak dan sukar dijelaskan dengan nyatanya dalam konsep kiasan. Contoh lagu yang terdapat di dalam EP “Arakian” iaitu ‘Seloka Suri Mati’, ia menceritakan perasaan seorang insan wanita yang terperangkap dalam dirinya bergelut dengan nafsu beliau dan dalam masa yang sama bercampur gaur dengan perasaan ingin mengenal akan kewujudan dirinya di alam nyata ini. Konsep-konsep lirik Cronosses ini dianggap seakan buku cerita yang mengisahkan perihal insan melalui seni kiasan bertemakan kegelapan dan kami lebih selesa menyampaikan ia dalam Bahasa Melayu kerana tujuan bagi para pembaca lebih menilik lirik dengan lebih tajam apa yang cuba disampaikan walaupun kami tahu ia juga agak abstrak bagi pihak pembaca untuk memahami.

Ceritakan juga mengenai artwork-artwork yang ada pada kulit sampul kaset dan maksud-maksudnya yang mungkin ada tersirat di sebalik artwork tersebut?
Artwork yang terdapat di dalam EP “Arakian” dilakar oleh Vrugarthdoom iaitu pelukisnya Yudha Saputra (Wicked Suffer) teman kami yang berada di negara seberang Indonesia. Melalui proses pembikinan kulit sampul kami menerangkan serba sedikit konsep yang ingin disampaikan dan melakukan sedikit lakaran untuk beliau lebih mudah faham apa yang mahu dinyatakan.

Ya pasti ada maksud yang tersirat di sebalik artwork tersebut contohnya ada 3 insan wanita itu melambangkan nafsu yang sentiasa berkeliaran bagi mengelirukan kefahaman manusia, dan ada gambaran jantung pada mereka ternyata mereka memegang hati manusia yang bergelumang bersama mereka. Latar seperti angkasa itu adalah suasana yang kerap kali bergelut dengan perasaan manusia tika kala mereka sedar atau tidak. Sebenarnya agak lebih terperinci lagi penjelasan terhadap artwork tersebut akan tetapi terlalu panjang jika mahu diterangkan di sini, jadi itulah serba sedikit penghuraian yang tersebut.

Bagaimana dengan aktiviti gig dan tour yang pernah Cronosses lakukan? 
Sebelum kami melancarkan rilisan pertama, kami sudah beberapa kali berkongsi pentas di dalam Semenanjung Malaysia ini seperti di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, dan Pahang. Kami sebenarnya ingin melancarkan release party untuk rilisan “Arakian” ini tetapi pada masa itu Jep selaku gitar terpaksa ke Osaka, Japan atas panggilan kerjanya di sana. Jadi kami terpaksa tangguhkan segala aktiviti seketika dan akan menyambungnya kembali pada awal tahun 2019 setelah beliau pulang ke tanah air.

Apa agaknya rilisan susulan serta perancangan seterusnya dari kalian di masa hadapan?
Akan ada rilisan untuk “Arakian” dalam bentuk Digital CD dan telah disetujui bersama Glord Records dan Goatlordth dan sekarang dalam proses pembikinan, kemungkinan sekitar awal tahun 2019 akan mula dilancarkan. Kami juga sudah pun merancang untuk Indonesia Tour sekitar Julai 2019 dan plan perjalananya sudah diatur hanya menunggu pengesahan dari pihak penganjur di Indonesia untuk aturan masa dan venue selama 9 hari. Perancangan untuk rilisan kedua juga sudah kami jalani sekarang dalam proses penyusunan musik dan aturan lirik. Kemungkinan sasaran kami untuk rilisan kedua pada November atau Disember 2019. Doakan kami terus sukses :D

Terima kasih kerana sudi ditemubual. Sebagai penutup, beritahu rakan kita di luar sana mengapa mereka perlu segera dapatkan “Arakian” dan mendengar muzik Cronosses?
Yah! bagi teman-teman di luar sana yang masih belum dapatkan “Arakian” boleh hubungi facebook atau instagram Tempang Records dan Fvkof Distro. Minta maaf stok kaset pada kami sudah habis. Kami harapkan apa yang kami nukilkan dapat diterima pada semua para pendengar dan menyokong kami dengan jayanya. Tidak lupa juga pada teman-teman dan ahli keluarga yang memahami dan memberi sokongan kepada kami dari mula hingga sekarang. Terima kasih sekali lagi kepada Pyan kerana sudi interview kami yang kecil ini, harap bahasa yang diberi dapat difahami dan jika ada bahasa yang tidak menyenangkan mohon maaf dari hujung langit hingga ke dasar bumi... Sekian! Sejahtera pada kalian semua!