Memaparkan catatan dengan label CD. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label CD. Papar semua catatan

Jumaat, 7 Ogos 2020

Rebiu | TERSELINDUNG – Selera Besi


TERSELINDUNG – Selera Besi
Zuath Generation Distro
Ini hardcore punk yang thrashy, kencang dan dipenuhi suntikan elemen-elemen kemarahan. “Selera Besi” karya perdana band berjenama Terselindung ini begitu cenderung ke arah nuansa metal yang lasak dan berat, mengundang head-banging berterusan tanpa henti! Pun demikian, di sebalik kerancakan muzik yang pantas dan keras, Terselindung tidak sama-sekali mengetepikan akar umbi punk-rock di dalam lagu-lagu ciptaan mereka. “Selera Besi” mempertaruhkan 10 buah lagu yang mantap, bersepadu dalam kepelbagaian, kaya dengan idea-idea menarik dan menangkap. Bakat serta keupayaan dua ahlinya Mr.Ghoul (vokal/gitar utama) dan Killer Pocket (dram/vokal latar) yang sebelum ini membina pengalaman melalui Tarantulah digilap lebih menyerlah menerusi Terselindung. Saya tidak melihat adanya cacat-cela dalam rakaman do-it-yourself yang diperbuat di home studio. Semuanya (merujuk kepada produksi bunyi) kedengaran baik, malahan jauh lebih baik dari beberapa penghasilan live recordings di studio-studio berbayar yang pernah saya dengar. Tahniah untuk kerja keras dan usaha bersungguh dari Terselindung (juga buat pihak Zuath Generation Distro) yang menjadikan pakej CD ini sesuatu yang sangat-sangat berbaloi untuk diperolehi dan dinikmati. Untuk makluman, kuantiti pengeluaran CD “Selera Besi” sebenarnya agak terhad, dan salinan yang saya miliki bernombor 8 daripada 50 cetakan yang dikeluarkan. Atas segalanya, rilisan ini eksklusif dan impresif – atau ertikata selainnya, menakjubkan!
terselindung.bandcamp.com
facebook.com/zuath-generation-distro-1695016894043773

Rebiu | PARALYZED – Inersia - Reverse Osmosis


PARALYZED – Inersia - Reverse Osmosis
Jenazath Production
Jarang ada band-band tempatan yang berani dan berkebolehan membawa irama berselirat Progressive Death Metal. Muzik sebegini memerlukan kreativiti yang besar, kemahiran yang tinggi, permainan yang handal serta seni teknikal yang mencabar. Mengisi kelompongan tersebut dalam konteks scene Malaysia, Paralyzed tampil memperlihatkan kewibawaan dan kemampuan mereka. Lebih dari itu, mereka menterjemahkannya dalam cara dan gaya tersendiri. EP “Inersia - Reverse Osmosis” mempertaruhkan 7 buah lagu, berdurasi hampir 38 minit; padat dengan garapan Progressive Death Metal acuan Paralyzed. Kesemuanya dalam format instrumental kecuali ‘18000 Sayap’ (lagu asal kumpulan Wings) satu-satunya track bervokal, yang mana mungkin sekadar bereksperimentasi. Mutu rakaman amatlah baik. Bunyi-bunyi yang keluar begitu jelas. Paralyzed memimpin saya berkhayal dalam karisma komposisi lagu-lagu mereka; riff-riff dahsyat dan berat, solo-solo mencengkam, kelajuan melodi yang menghambat. Jika mahu disimpulkan dengan hanya satu perkataan, saya akan kata ini “hebat”!

Rebiu | NO ACCOUNT – Now This Is Free For You


NO ACCOUNT – Now This Is Free For You
Independen
No Account hanyalah dibarisi dua pemuzik iaitu Eri (gitar/vokal) dan Ujang (dram). Walaupun sekadar berdua, mereka dilihat begitu berbakat, berpotensi dan mempunyai kebolehan dalam menyediakan muzik dan rakaman yang bermutu. “Now This Is Free For You” EP 2019 menyajikan sejumlah 6 buah lagu kesemuanya, berdurasi 12:52 minit secara keseluruhan. Pada dasarnya, haluan No Account adalah Punk Rock namun ia bukanlah Punk Rock yang tipikal. Komposisi lagu-lagu band ini digarap dengan bermacam-macam idea dan sulaman elemen; kocokan hardcore yang keras, sentuhan metal / rock progresif, dianyam juga dengan citarasa rock alternatif, unsur-unsur rock & roll, kerangupan grunge dan sebagainya. No Account seakan mahu membina satu identiti yang berbeza dalam berkarya, membentuk satu jatidiri yang tersendiri. Riff-riff serta sound dalam lagu-lagu gubahan band ini kedengaran agak intense dan heavy. Tak dinafikan, saya jatuh cinta pada No Account kerana warna-warni yang ada dalam rilisan EP yang diterbitkan pada 3 November 2019 ini. Duo ini membuktikan bahawa karya muzik tidak seharusnya dihadkan dan tertakluk hanya pada satu paksi. “Now This Is Free For You” ini sebuah permulaan yang baik dari No Account dalam membuahkan variasi, mempelbagaikan dimensi dan atas inisiatif-inisiatif itulah ianya lahir dan dizahirkan dalam nuansa segar dan menambat!

Rebiu | LORSA – Psycho Au Go-Go


LORSA – Psycho Au Go-Go
Diebetix Records
Rencah dan rempah-ratus surf rock Dick Dale, garage punk The Cramps, hardcore punk tegar Black Flag serta antem punk rock The Misfits digaul rata-rata, digoreng garing dan rangup maka itulah resepi sajian menyelerakan air-tangan Lorsa. Unit 4-piece ini cukup bijak menghidangkan sesuatu yang berlainan, membawa mereka keluar daripada kelaziman yang disediakan oleh kebanyakan band-band tempatan. Ini menjadikan band Lorsa itu ‘unik’ di cuping dan gegendang telinga saya sebagai pendengar. Menariknya, hampir setiap lagu dalam “Psycho Au Go-Go” masing-masing didahului dengan intro tersendiri dan sebahagian besar karya-karya Lorsa berformatkan instrumental. Suara dan nyanyian dimasukkan pada lagu-lagu tertentu sedikit-sebanyak mengelakkan band ini daripada terperangkap dalam irama surf tradisional, meletakkan Lorsa di landasan sebenar halatuju muzikal mereka, iaitu Surf Punk. Lima lagu yang dimuatkan termasuk saduran Rise Above lagu asal Black Flag serta intro (Lost Rocket-Secret Army) di awal permulaan rilisan demo cd-r ini benar-benar menyeronokkan, ceria dan cukup meriah! Keseluruhannya 13 minit 25 saat yang sangat menghiburkan. Bila menikmati demo ini, biarkan sahaja kaki anda selamba bergoyang, tangan anda berdendang, kita sama-sama joget agogo dalam alunan muzik Lorsa. 

Rebiu | HYMNÖIR – Funeral Games Fiasco


HYMNÖIR – Funeral Games Fiasco
Gedebe Rekords
Saya melihat potensi yang cukup besar ada pada Hymnöir dan mereka antara nama baru yang paling mencuri perhatian dalam scene crustcore / stenchcore tanahair. Bilamana muzik Hymnöir dilabelkan sebagai Blackened Death Crust, saya bersetuju dan ianya satu definasi yang amat tepat. Nuansa lagu-lagu Hymnoir dalam “Funeral Games Fiasco” begitu gelap, kelam dan merasuk. Istilah ‘death’ menggambarkan betapa berat dan padatnya jalur muzik crust mereka yang sarat dengan suntikan elemen-elemen metal. Saya percaya, Hymnöir tidak akan hanya mendapat tempat di kalangan pengikut scene hardcore punk tetapi juga penggemar irama depressive / doom / black metal. Atas sebab itulah juga pengeluaran CD ini mendapat ruang untuk diriliskan di bawah Gedebe Rekords, sebuah label tempatan yang berpaksikan metal ekstrim. “Funeral Games Fiasco” menghidangkan sebanyak 6 buah lagu, berdurasi sepanjang lebih 21 minit. Struktur-struktur riff dan beat digubah pelbagai idea, tajam dan membunuh! Susunan muziknya juga kemas dan menarik, membina flow-flow tertentu yang tidak muak didengari dalam setiap lagu yang dipersembahkan. Mutu rakaman yang baik turut membantu meningkatkan lagi kualiti menyeluruh EP 2019 dari band Hymnöir ini. Tanpa ragu ingin saya katakan bahawa ini karya yang kukuh, berdiri atas semangat waja dan ianya gah berkuasa!

Rebiu | CAFERGOT – Brutal Punishment


CAFERGOT – Brutal Punishment
Independen
Buas, tanpa sebarang belas! Cafergot menerusi rilisan CD mereka “Brutal Punishment” tidak sedikitpun mahu bertolak-ansur dalam menyediakan ruang selesa untuk menghela udara. Anda akan terasa begitu sesak nafas dalam belenggu muzik mereka yang cukup padat, berat, deras, ganas, menghentam kejam sekejam-kejamnya! Semangatnya bagaikan api yang membakar, rentung! Ini merupakan album sulung Cafergot setelah sekian lama berkecimpung dalam arena muzik ekstrim. Ianya satu hasilkerja yang tidak dapat disangkal lagi kualitinya. Ya, ianya dihasilkan dengan cermat, teliti dan tepat. Sudah tentu banyak kajian dan ujian telah dilakukan terlebih dahulu sebelum terhasilnya karya-karya hebat dan begitu memuaskan sepertimana yang Cafergot sediakan ini. Justeru itu, kredibiliti dan integriti mereka sebagai sebuah band Death/Grind dibuktikan dengan cemerlang menerusi “Brutal Punishment”. Album ini menyenaraikan 11 buah lagu, termasuk intro (Evil Grind Force!) yang disambung terus kepada trek pertama. Berdurasi keseluruhan 17:07 minit, “Brutal Punishment” mungkin sebuah album yang agak singkat akan tetapi percayalah, anda tak akan mahu berpaling tadah untuk terus-menerus memutar-main CD ini berulang-kali, tanpa jemu. Ini kacukan grindcore dan deathmetal yang jahat dan berkuasa, muktamad!

Rebiu | TERDERITHA – self-titled


TERDERITHA – self-titled
Durhake Records
Nuansanya laju, bingit, disulami bait-bait depresif serta diperagakan sepenuh perasaan! Itulah yang dapat saya simpulkan tatkala pertama kali mendengar dan mengamati rilisan Demo 2018 karya band asal Melaka ini. Terderitha menerusi demo cd-r berdurasi keseluruhan lebihkurang 13 minit setengah ini mempertaruhkan 4 buah lagu; serakah berantakan (3:27) / ter-de-ri-tha (5:21) / bisa 3 (2:18) / ruang 4 (3:28). Dibarisi oleh Sidh (vokal), Fay (guitar), Zulakmal (bass) dan Amirul (dram), Terderitha dari segi muziknya tergolong dalam aliran Emoviolence / Screamo / Noisepunk. Sound yang mereka hasilkan dan persembahkan boleh tahan padat; kedengaran berat dan hangat! Mereka berkeupayaan mengendalikan instrumen dengan baik serta menunjukkan gaya permainan yang kemas. Vokal juga memukau lontarannya; amukan jeritan pelbagai ekspresi kemarahan, geram, keluhan dan sebagainya seakan mahu diluahkan kesemua kesengsaraan yang terbuku di dalam dada. Produksi bunyi dalam demo ini boleh dikatakan menarik meskipun sekadar live recordings, ini adalah kerana sessi rakaman (termasuklah proses mixing dan mastering) dilangsungkan di sebuah studio yang berkualiti iaitu Iseekmusic Studio. 
facebook.com/terderitha
instagram.com/terderitha_band
terderitha.bandcamp.com

Rebiu | COUNTERBACK – All Things Will Die


COUNTERBACK – All Things Will Die
Independen
Menunding jari, tumbuk ke langit, lompat setinggi boleh serta terajang menyepak angin adalah antara aksi-aksi yang pasti berlaku reaksi spontan kepada alunan Hardcore kental, kencang dan garang mainan Counterback, band asal bandaraya Kuching ini. “All Things Will Die” mengandungi 5 tracks termasuk ‘(Re)-Intro’ yang diletakkan pada turutan kedua. Dapatkan CD ini dan korang akan dapat jawapan mengapa ‘Life Away’ berada yang pertama dalam susunan track. Idea yang bijak. Lagu-lagu susulan; ‘Compete’, Things Will Die’ dan ‘About Hope’ saling melengkapi himpunan ritma-ritma amarah Counterback, diwarnai riff-riff yang agresif, kekadang disuntik elemen melodik (yang membunuh!), petikan bass yang menonjol serta hentaman padu pada dram diadun sebaiknya dalam nuansa bunyi yang berat dan padat. Vokal juga begitu menjiwai mesej-mesej dalam lirik; meradang meluahkan ketidakpuasan hati, berapi membakar semangat juang dan meniup kata-kata positif untuk sentiasa bangkit dan teruskan kehidupan! Hope is always with you, like your flesh and bones. The earth is not a dream, but it’s your living flesh. Hope is the song we sing, and hope for a brighter year. This is the song of hope, of hope that sustain us all. CD ini 7:64 minit irama keras yang pasti membuatkan kalian terinspirasi dari motivasi yang diterapkan dalam mesej lagu-lagu mereka. Recommended!

Khamis, 16 Julai 2020

Rebiu | SUGUL / DELUSI – Meredhai Kehilangan


SUGUL / DELUSI – Meredhai Kehilangan
Independen
CD-R berdurasi keseluruhan 31:01 minit ini mengetengahkan masing-masing dua lagu dari Sugul dan Delusi; dua projek muzikal Dark Ambient tempatan yang agak aktif berkarya dan mengeluarkan produk rilisan mereka kebelakangan ini. Sugul dengan lagu berjudul Khilaf dan Redha kedengaran begitu kelam dan suram karya ambient ciptaannya, komposisi yang agak straight-forward, bunyian (hampir) sekata yang panjang dan cukup kuat dengan unsur-unsur drone. Untuk makluman, Sugul dikendalikan oleh individu yang bernama Sy dan projek ini berpengkalan di Kota Tinggi, Johor. Delusi yang diasaskan di Kuala Lumpur oleh Jiwa sekitar 2014 boleh dikatakan sedikit berpengalaman dalam scene muzik ambient tanahair. Lagu-lagu seperti Hilang dan Masyghul yang terkandung dalam split ini menampakkan kebolehan dan kematangan Delusi dalam gubahan dark ambient yang depresif, melankolik dan menyentuh perasaan. Split “Meredhai Kehilangan” dikeluarkan terhad 12 salinan sahaja dan ianya cukup menarik untuk kalian yang inginkan mendapatkan ketenangan menerusi alunan muzik yang berpaksikan bunyi-bunyian.
facebook.com/suguldarkmusic
sugul.bandcamp.com
facebook.com/delusiproject
delusiproject.bandcamp.com

Rabu, 15 Julai 2020

Rebiu | NOSTALGIA – Selagi Daya


NOSTALGIA – Selagi Daya
Independen
Memandu kereta pergi dan balik kerja tidak akan sama lagi kerana adrenalin saya tidak henti-henti mengepam laju mendengar demo yang satu ini. Ya, inilah demo straight edge milik band Nostalgia - Selagi Daya demo 2018. Cover demo yang cantik di samping mempunyai lirik di dalamnya jelas menunjukkan band ini teliti dan meletakkan sepenuh jiwa dalam penghasilan demo ini. Terdapat 5 buah lagu iaitu 1) Substance-Free, 2) Selagi Daya, 3) Hindar Diskriminasi, 4) The Sound of Revolution, dan 5) My Story. Berdurasi selama 12:44 minit, band ini berjaya menterjemahkan makna rebel, penindasan dan erti kapitalis sebenar dalam realiti dunia hari ini. Usah pertikaikan lagi kemampuan setiap ahli band ini - Huzairi, Foo Qaw, Adon dan Mune. Permainannya tight, penuh berisi dan mantap, vokal yang sangat ‘jantan’ bagi saya (haha!), alunan bass yang padu, riff yang agresif dan drummer works yang tanpa belas membelasah jiwa saya yang sukakan lagu-lagu yang fast sebegini. Dengar sahaja dah tahu setiap pemain mempunyai karakter yang kuat dan berpengalaman. Band ini berjaya membawa maksud rebel sebenar lihat saja pada liriknya yang padat dan bermakna. “Cuba berpaling tak bersemuka, Kau salah satu pencetus sial, Diskriminasi kau pegang tinggi, Demi warnamu musnah segala” (Hindar Diskriminasi). Lagu Selagi Daya pula membawa definisi jangan pernah berputus asa kerana selagi nyawa dikandung badan, cubalah sedaya yang termampu. Lima lagu bermakna kepada saya cukup laju, senang difahami dan padu betul membuatkan tidak puas hanya 5 lagu sahaja and I need more songs! Miliki sekarang dan anda tidak rugi sesen pun! Favourite track: Selagi Daya, Hindar Diskriminasi. 
facebook.com/nostalgia98
instagram.com/xnostalgiax_oldschoolhc
nostalgia98.bandcamp.com

(Ulasan oleh XjujuX diehardfan312@gmail.com)

Rebiu | KAO-TIK – Destructive


KAO-TIK – Destructive 
Blazt Promotion 
Awas!!! Ini mesin kebisingan dari K-Hell. Projek bernama Kao-Tik ini dikendalikan oleh Harshziqr Huru-Hara yang juga pernah menganggotai band noisegrind Haramjadah dan beliau juga editor untuk zine Fast As Fuck. Telah banyak rilisan dikeluarkan oleh Kao-Tik setakat ini, dan yang bertajuk “Destructive” ini merupakan EP tahun 2019 darinya. EP ini agak eksklusif di mana hanya 15 salinan cd-r dikeluarkan oleh pihak Blazt Promotion, label yang dimiliki oleh ketua editor Bangkit! Fanzine. “Destructive” memuatkan 7 tracks bunyian Harsh Noise yang keras menggerudi dan gempita menggila! 20:14 minit kebingitan yang maha-dahsyat, kebisingan yang kasar membikin jiwa pendengar kacau-bilau dalam gusar. Terbaharu, Harshziqr turut menghidupkan semula projek lamanya bergelar Soundriot yang lebih cenderung ke arah Experimental/Ambiental NoiseWall. Amaran: Jika anda pencinta soft music, hindari diri anda jauh dari keributan Kao-Tik.
kao-tik.bandcamp.com
facebook.com/huruhara696

[Rebiu oleh Trashnoiser - trashnoiser@gmail.com]

Khamis, 25 Oktober 2018

Rebiu | THE FOUR-WAY SPLIT: AURAL MAYHEM PROJECT


THE FOUR-WAY SPLIT: AURAL MAYHEM PROJECT
Dogma Artistic Guerrilla
“Aural Mayhem Project” adalah judul kepada rilisan split 4-hala berdurasi 69:22 minit, dikeluarkan pada Ogos 2010. Split CD yang pada dasar dan keseluruhannya berteraskan genre electronic / experimental soundscape ini menampilkan Neurotic Euphoria (Malaysia), Serigala Jahanam (Indonesia), Napalmed (Republik Czech) and Jerk Kerouac (Malaysia). Bagi saya yang menghargai dan boleh menikmati karya-karya seni berlandaskan bunyi-bunyian, sudah tentu rilisan sebegini menerujakan saya. Neurotic Euphoria menerusi Hope 1.0: The Astral Collision (9:07) menghidangkan kepelbagaian dimensi dan eksperimentasi bunyi elektrik di mana seakan terdapat 4 atau 5 komponen yang tergabung di sepanjang struktur utama track tersebut. Projek duo kendalian Zach Neurotic dan Leyla Euphoria ini begitu berjaya menghasilkan bibit-bibit seram dan mengerikan dari bunyian Drone / Noise ciptaan mereka. Serigala Jahanam menampilkan track paling lama tempoh-mainnya dalam split ini; Malapetaka IV: Epilog (27:58). Ia bermula dengan bunyian umpama deruan angin, senyap dan merayap. Kemudiannya berpusar kencang seperti ribut yang menggoncang. Akhirnya menjadi asakan-asakan Harsh Noise Wall (HNW) yang panjang seolah-olah kemusnahan dan kesan-kesan kehancuran. Ianya seperti menghumban kita ke lembah derita apabila mereka memasukkan elemen tribal dari paluan dram / gendang pada minit 25:30. Sungguh apokaliptik!. Napalmed sebenarnya satu nama yang telah lama saya dengar. Sekitar lebihkurang pertengahan 90’an, nama ini sudah mula tersebar menerusi flyer-flyer yang dikirim dan bertukar-ganti. Gabungan tenaga Martin.B, Pavel.H dan Radek.K juga menyajikan track yang agak panjang; Generatesteron 2 (22:35). Ramuan trio ini adalah bunyian ekstrim Harsh / Industrial Noise, disulami nada rendah lo-fi noise dan banyak juga melakukan sentuhan improvisation bagi mengujudkan frekuensi-frekuensi berlainan di sepanjang track dimainkan. Ciri utama genre sebegini adalah bising sebisingnya dan kebingitan!. Jerk Kerouac adalah nama terawal yang saya ketahui jika merujuk kepada scene noise tempatan. Azzief, individu yang mengendalikan projek ni memulakan track berjudul A Belly Gone Supernova (9:43) dengan sedikit kerja remix selama lebihkurang satu setengah minit (sampel sebuah nyanyian lagu lama dilatari bunyi sederhana mainan pedal efek) sebelum seterusnya menggasak dan meledak dengan bunyi-bunyi elektronik distorted keras dan kesat, tempias humming pada sesetengah tempat, sesekali dimasukkan vokal dan feeback. Ini untuk peminat Japanese noise seperti Merzbow dan Incapacitants. Pada keseluruhannya, “Pleasant sound for pleasant people! Get ready for the ultimate ears annihilation!” ujar label pengeluar dan saya bersetuju dengan itu. Rilisan ataupun genre seperti ini hanya mudah diterima orang-orang yang mampu mendengarnya dan sanggup menghadapi penderaan pada gegendang telinga. 500 unit CD dikeluarkan dan salinan saya bernombor 438. Diedarkan oleh Your.Slave.State.

Rebiu | RESTRAINT – Rise Above Hate


RESTRAINT – Rise Above Hate
Persistence Records
Selain pengetahuan mendalam mengenai muzik yang dimainkan, saya juga mengambilkira usia dan pengalaman lebih 15 tahun dalam industri ini telah menjadi faktor kepada berdirinya Restraint seperti hari ini – matang dan berkaliber! Restraint kembali menerusi album penuh kedua “Rise Above Hate” pada Oktober 2016 selepas sembilan tahun debut mereka “Pure From Blood” dikeluarkan, iaitu pada Julai 2007. Pembelajaran bertahun melalui acara gig dan pelbagai persembahan live termasuk segala ilmu yang dikutip dari revolusi muzik itu sendiri telah mendewasakan Restraint hinggakan mereka kedengaran begitu handal dalam kesemua 8 lagu yang dimuatkan. Ini Hardcore yang cukup padu, heavy-sounding, ligat dan begitu memberontak! Tidak hanya inspirasi New-school Hardcore keras dan lasak yang menjadi pertaruhan mereka, Restraint dengan jelas mengadun sifat buas dan kebengisan Thrash Metal di setiap jalur irama lagu-lagu yang dipersembahkan. Samada anda datang dari sisi Hardcore ataupun dari kelompok Thrash, ini album yang perlu dikongsi dan diraikan bersama. Headbanging dan moshing, stagediving dan kickboxing, singalong dan fingerpointing – segalanya bersatu di atas ruang lantai yang sama. Susunan muziknya sungguh bijak, olahan riff-riff maha-berat, diperkasakan lagi oleh produksi bunyi yang padat dan melekat membuktikan betapa berwibawanya band ini yang dibarisi oleh Ijam Wahap (vokal), Mizan Basir (gitar), Afwan Mokhtar (gitar), Zam (bass) dan Apeq (dram). Beberapa lagu dalam album ini turut mendapat sentuhan solo gitaris undangan, Andre Tiranda (Siksakubur), Godoy (Massacre Conspiracy) dan Iskandar Tajuden (Artefacts). Booklet 12-mukasurat tidak sekadar dicetak lirik tetapi juga explanation terperinci kisah dan mesej di sebalik setiap lirik yang ditulis. Saya tidak mahu mengulas lebih panjang. Ini “Rise Above Hate” berdurasi 28:52 minit yang perlu anda miliki – Hardcore Metal berapi, kuat semangatnya bangkit dari rasa benci, penuh dengan kemarahan! Restraint meletakkan martabat MYHC tepat pada tempatnya!

Rebiu | RIOT IN ASIA – Demos


RIOT IN ASIA – Demos
Independen
Riot In Asia atau dikenali juga dengan singkatan R.I.A adalah band yang bertunjangkan muzik poppunk / rock alternatif / popcore dari Kota Kinabalu, Sabah. Band yang menurut sejarahnya ditubuhkan pada November 2012 ini kalau mengikut catatan mutakhir dianggotai oleh Sean (vokal), Bonbon (vokal/gitar utama), Reyner (gitar kedua), Eboy (bass) dan Rafi (dram). R.I.A pada sekitar 2013 telah mengeluarkan himpunan 4 lagu-lagu terawal mereka dalam satu cd-r yang dinamakan “Demos”. Berdurasi keseluruhan 14:30 minit, “Demos” menyenaraikan lagu-lagu seperti berikut: 1. Next To You (3:38) / 2. No Extraordinary Life (4:16) / 3. Wish This Night Would Last Forever (3:05) / 4. Anthem (3:31). Bagi pendengar muzik Blink-182 atau NOFX, atau yang sedikit nakal seperti Rancid, atau mungkin juga yang agak sell-out semacam Green Day, Simple Plan dan Sum 41, saya bertanggapan lagu-lagu bawaan R.I.A ini dengan mudah memenangi hati anda. R.I.A bermain dengan kocokan-kocokan gitar rancak, catchy, tidaklah terlalu berat dan lebih mementingkan melodik-melodik yang manis dan ceria. Begitu juga dengan lenggok nyanyian yang tak jauh beza dengan kebanyakan band-band pop / melodic punk rock di luar sana. Rilisan yang agak baik bagi saya dari segi bunyi di mana kedengaran bersih, bukan jenis demo yang raw hasil rakamannya dan memuaskan (bersesuaian dengan nuansa muzik yang dimainkan). Ini demo lama, mungkin dah tiada dipasarkan dan band ini pun seperti dalam keadaan hiatus. Pun demikian, cuba-cubalah hubungi mereka.

Rebiu | SKITSÖFRENIA – Ställa Inför Rätta


SKITSÖFRENIA – Ställa Inför Rätta
20 Eyes Records
Pada ketika saya membeli dan menikmati muzik Bombräd “Demo 2016”, Hadi dari Tempang Records / Noise Horror Distro memberitahu saya bahawa itu bukan band pertama yang mengetengahkan konsep lirik dan nyanyian dalam bahasa Skandinavia. Katanya, Skitsöfrenia yang berpengkalan di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur pernah melakukannya lebih awal. Kemudiannya, saya melihat seorang sahabat di Ipoh memuatnaik status jualan beberapa CD lama di facebook beliau. Saya terlihat “Ställa Inför Rätta” dan segera mendapatkannya. Berdasarkan cari-selidik saya, rilisan bermuatan 10-lagu berdurasi 10:29 minit ini dikeluarkan dalam tahun 2006, di bawah 20 Eyes Records yang beralamat di Subang Jaya, Selangor. Saya dapati konsep lirik dan nyanyian dalam bahasa Skandinavia tidaklah sepenuhnya. Ia hanya melibatkan tiga lagu terakhir, itupun termasuklah dua lagu cover band asal Sweden. Selainnya lagu-lagu berbahasa Inggeris dan satu dalam bahasa Melayu. Hmm... mungkin saya perlu mendapatkan rilisan-rilisan lain dari Skitsöfrenia, split-split yang melibatkan mereka dan CD berjudul “Totally Swedish” terutamanya. Menerusi CDr “Ställa Inför Rätta” (yang bermaksud “Bring To Justice” dalam terjemahan Inggeris), band yang dianggotai Zafrenia (vokal), Skit Lasse (gitar), Skulltompä (bass) dan Mäd Yeh (dram) cukup jelas menggalas muzik yang berinspirasi Scandi-crust / d-beat hardcore / kängpunk. Dua lagu cover, masing-masing dari Anti Cimex dan Mob 47 lebih menjelaskan lagi halatuju muzik mereka. Apa yang kurang bagi saya adalah kualiti rakaman dan produksi bunyi. Agak mendap dan tenggelam. Mungkin juga CD saya yang bermasalah. Untuk genre yang sebegini, saya merasakan bunyi gitar kurang tajam, kurang berpasir malahan tidak cukup bising / bingit. Vokal juga agak terlalu mentah dan tidak bergaung. Maksud saya ianya tidak seperti suara-suara parau yang sedikit bergema (echoed) dan ke dalam sebagaimana yang banyak dipraktikkan band-band sealirannya. Mengikut cetakan inlay, rakaman dilangsungkan di I Seek Music Studio di bawah kejuruteraan saudara Mokhtäär. Nama Mokhtar Rizal pun dah berubah swedish, hehe! Keseluruhannya, bukanlah nak merendah-rendahkan keupayaan Skitsöfrenia tapi rilisan ini pada saya kurang menyengat.

Rabu, 24 Oktober 2018

Rebiu | TROPHY KNIVES – Turmoil


TROPHY KNIVES – Turmoil
Independen
Saya menemubual dan menjadikan band ini coverstory dalam Bangkit! #8. Sewaktu saya menerbit dan mula mengedarkan isu tersebut, Trophy Knives juga membawa keluar rilisan kedua mereka, EP “Turmoil” (secara rasmi pada Record Store Day, 21 April 2018). Ini band yang ada pada mereka karakter dan karismanya yang tersendiri, baik dari segi produksi bunyi, komposisi muzik bahkan juga identiti dan penampilan. Keupayaan Trophy Knives sebagai sebuah band Punk Rock standard internasional tidak boleh disangkal lagi. Mereka profesional dan berwibawa, membina potensi yang semakin membesar malahan langkah juga kian melebar – bermain di Thailand, Hong Kong dan tidak berhenti untuk terus bergerak ke hadapan. Kerancakan, catchy dan amarah menjadi tunjang kepada acuan utama dalam “Turmoil”, kemudiannya kelembutan, kelunakan dan permainan emosi melengkapi kesempurnaan muzik olahan band ini yang dibarisi Vinesh Muniandy (vokal/gitar), Khairi Iskander (dram), Sani Khalid (gitar/vokal) dan Syamir Ali (bass/vokal). Tidak cukup dengan hidangan segar dan enak 5 lagu ciptaan baru, Trophy Knives turut menyelitkan 3 bonus versi akustik di mana 2 daripadanya lagu-lagu dari Demo/EP 2017. Cubalah dapatkan kedua-dua format yang dikeluarkan. Untuk 23:46 minit muzik Punk Rock yang luarbiasa dan berbeza, ia langsung tidak merugikan. Ini adalah kerana anda telahpun meletakkan produk Punk Rock terbaik di negara ini tersusun di rak koleksi kaset dan CD anda, percayalah!

Selasa, 23 Oktober 2018

Rebiu | ROUND OFF – Get That Hope!


ROUND OFF – Get That Hope!
Rockstock Records
Empatbelas buah lagu, durasi keseluruhan 47:56 minit, sound production mantap, packaging yang menghampiri taraf album penuh, sebaliknya Round Off masih mahu malah lebih selesa mengiktiraf rilisan “Get That Hope!” ini hanya berstatus Demo / EP kedua mereka. Tabik-hormat dari saya untuk usaha yang sebegini besar. Band skinhead asal Kuantan ini berkarya bukannya untuk menjual muzik mereka tetapi lebih kepada berkongsi hasilkerja dan kepuasan bersituasi menang-menang untuk dua belah pihak; diri mereka sendiri dan para pendengar karya muzik band ini. 14 lagu beb! 13 lagu original dan satu coversong Sham69 ‘Borstal Breakout’, kesemua senikata lagu pun turut dicetak pada sampul CD berharga hanya RM15 seunit, apa lagi yang kamu mahu??? Round Off secara muzikal tidak mengikat diri mereka pada genre Traditional Oi!. Punk Oi! / Street Rock hanyalah akarumbi komposisi lagu-lagu mereka yang saya dengar telah diperkembangkan lagi dengan kepelbagaian idea dan elemen. Kerja gitar yang bijak, stroke drum yang menarik, bass yang seakan menari, semua ini membuatkan lagu-lagu Round Off dalam “Get That Hope!” kedengaran segar, seumpama menghirup udara baru! Selain bermain dengan kerancakan serta sound yang tebal/berat, Round Off pada pada lagu-lagu tertentu mengendurkan tempo dan menawarkan pula irama-irama catchy yang menawan. Kepelbagaian idea, suntikan elemen tak terjangka yang membawa mereka keluar dari Oi! kebiasaan adalah rempah-ratus kepada kecemerlangan rilisan ini. Saya fikir anda perlu segera dapatkan CD ini dan enjoy sepuas-puasnya muzik ciptaan Round Off. Lagu pilihan? Tiada, saya sukakan kesemuanya!

Isnin, 22 Oktober 2018

Rebiu | 199X – Someday


199X – Someday
Pawerkord Merch / Kelipan Store / Spupu Records
Bermain muzik di bumi Kelantan bukannya mudah bahkan acapkali juga berhadapan dengan risiko. Saya pernah berbelas tahun menetap di Kota Bharu, pernah diserbu dan ditahan pihak autoriti ketika berkunjung ke satu acara gig yang dilangsungkan di sana. Tak banyak band yang muncul dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini mungkinlah kerana kekangan kuat dari sistem pemerintahannya yang berlandaskan agama. Atas dasar kepayahan inilah saya sering merasa dan melihat band-band yang lahir di negeri itu lebih cepat dewasa dan mencapai tahap matang. Kematanganlah faktor kepada terhasilnya band yang hebat dan karya-karya yang berkualiti. Kalaulah kata-kata ini terlalu tinggi buat band seperti 199X, sudah tentu saya tetap mahu menobatkan ini adalah Punk Rock terbaik di Kelantan. “Someday” sebuah EP yang direalisasikan dalam format CD pada tahun 2016, mengandungi 5 lagu lazat lagi menyelerakan! Melodi-melodi yang enak, riff-riff garing dan rangup serta susunan muzik laju dan rancak pasti sahaja mengundang kalian berlari dan melompat, seiring lagu-lagu yang dialunkan. Tidak sekadar itu, 199X cukup bijak menyulam elemen ska / reggae pada tempatnya dan kalian tanpa dipaksa-paksa skankin sendirian mengikut irama. Usah dirisaukan tentang output rakaman mahupun produksi bunyi keseluruhan dalam CD ini, ianya cemerlang Gred A++. Saya ingin sekali melihat 199X melangkah lebih jauh dari zon di mana mereka berada sekarang. EP selama 18:38 minit muzik Punk Rock berkuasa besar yang benar-benar menghiburkan! “Let’s party, we’ll kick those problems now, ‘cause we are all the same!”, saranan 199X menerusi lagu Water, untuk kalian yang dahagakan muzik terbaik!
facebook.com/pawerkord
facebook.com/kelipanstore
facebook.com/199xband

Rebiu | BROKEN ARM – Demo 2018


BROKEN ARM – Demo 2018
Independen
CDr ini merupakan rilisan demo pertama dari Broken Arm, band berhaluan youthcrew / straightedge Hardcore asal Tawau, Sabah. Ianya demo berdurasi singkat 5:42 minit menampilkan tiga lagu; 1. Positive Mind (1:51) / 2. Tak Berubah, Tetap Sama (1:35) / 3. Keep The Faith (2:16). Dua lagu pertama dalam Bahasa Melayu dan pada keseluruhannya Broken Arm membawa mesej-mesej positif, memperjuangkan gaya hidup sihat dan cukup jelas menentang penyalahgunaan dadah! Hardcore mainan Broken Arm begitu baik garapannya; kental, kenyal dan bertenaga! Ini mungkinlah bukan sesuatu yang baru bahkan telah kalian dengari dari ratusan malah ribuan band yang serupa alirannya, namun sebalik-nya dari Broken Arm ia seperti ada sesuatu yang “jujur” yang menjalar dalam kesemua lagu ciptaan mereka – meletakkan emosi dan dedikasi pada satu keutamaan tertinggi. Rakaman telah di Grindbros Studio dan sentuhan Azan Ridzuan saya kira sudah cukup menghasilkan kualiti bunyi yang baik untuk satu rilisan yang berstatus “demo”. Ini saya syorkan untuk penggemar muzik Hardcore belah-belah Indonesia serta berpengaruhkan NYHC.

Rebiu | S.A.M – Malam Saribu Bulan


S.A.M – Malam Saribu Bulan
Independen
Saya pernah mendengar karya-karya ambien yang agak kelam dari scene tempatan, antaranya Ablaze Eternal yang bertemakan kerakusan api dan neraka serta Maqâbir yang menjurus kepada soal kematian dan alam kubur. Kemunculan S.A.M dalam scene Dark Ambient tanahair sesuatu yang lebih memeranjatkan mengikut pemerhatian saya. Nuansa bunyian S.A.M kedengaran lebih “gelap” dari istilah “kelam” itu sendiri. Ianya cenderung dan sangat rapat kepada Black Metal, cuma unsur “metal” yang ditiadakan. Hanya ”kehitaman” yang menguasai secara menyeluruh, dan saya secara peribadi menamakannya Black Ambient. “Malam Saribu Bulan” menghimpunkan 10 karya ambien berdurasi 58:58 minit yang sungguh menyeramkan, ngeri dan sangat berpuaka! Saya nasihatkan anda jangan berani-berani mendengar CD ini di kala larut malam, dalam suasana lampu malap apatah lagi bergelap sementara menanti mata terlelap. Ini adalah kerana bunyi-bunyian serta bisikan-bisikan halus yang keluar dari CD ini akan meremang segala bulu roma yang ada pada tubuh anda, dan anda memejam mata sekuatnya terganggu oleh ketakutan! Terus-terang saya katakan, S.A.M cukup berjaya mendefinasikan “kehitaman” dalam karya-karya ambien gelap yang dipersembahkannya. Berhantu dan merasuk!
facebook.com/darknoisepsychedelic
samdarknoisepsychedelic.bandcamp.com