Khamis, 25 Oktober 2018

Rebiu | THE FOUR-WAY SPLIT: AURAL MAYHEM PROJECT


THE FOUR-WAY SPLIT: AURAL MAYHEM PROJECT
Dogma Artistic Guerrilla
“Aural Mayhem Project” adalah judul kepada rilisan split 4-hala berdurasi 69:22 minit, dikeluarkan pada Ogos 2010. Split CD yang pada dasar dan keseluruhannya berteraskan genre electronic / experimental soundscape ini menampilkan Neurotic Euphoria (Malaysia), Serigala Jahanam (Indonesia), Napalmed (Republik Czech) and Jerk Kerouac (Malaysia). Bagi saya yang menghargai dan boleh menikmati karya-karya seni berlandaskan bunyi-bunyian, sudah tentu rilisan sebegini menerujakan saya. Neurotic Euphoria menerusi Hope 1.0: The Astral Collision (9:07) menghidangkan kepelbagaian dimensi dan eksperimentasi bunyi elektrik di mana seakan terdapat 4 atau 5 komponen yang tergabung di sepanjang struktur utama track tersebut. Projek duo kendalian Zach Neurotic dan Leyla Euphoria ini begitu berjaya menghasilkan bibit-bibit seram dan mengerikan dari bunyian Drone / Noise ciptaan mereka. Serigala Jahanam menampilkan track paling lama tempoh-mainnya dalam split ini; Malapetaka IV: Epilog (27:58). Ia bermula dengan bunyian umpama deruan angin, senyap dan merayap. Kemudiannya berpusar kencang seperti ribut yang menggoncang. Akhirnya menjadi asakan-asakan Harsh Noise Wall (HNW) yang panjang seolah-olah kemusnahan dan kesan-kesan kehancuran. Ianya seperti menghumban kita ke lembah derita apabila mereka memasukkan elemen tribal dari paluan dram / gendang pada minit 25:30. Sungguh apokaliptik!. Napalmed sebenarnya satu nama yang telah lama saya dengar. Sekitar lebihkurang pertengahan 90’an, nama ini sudah mula tersebar menerusi flyer-flyer yang dikirim dan bertukar-ganti. Gabungan tenaga Martin.B, Pavel.H dan Radek.K juga menyajikan track yang agak panjang; Generatesteron 2 (22:35). Ramuan trio ini adalah bunyian ekstrim Harsh / Industrial Noise, disulami nada rendah lo-fi noise dan banyak juga melakukan sentuhan improvisation bagi mengujudkan frekuensi-frekuensi berlainan di sepanjang track dimainkan. Ciri utama genre sebegini adalah bising sebisingnya dan kebingitan!. Jerk Kerouac adalah nama terawal yang saya ketahui jika merujuk kepada scene noise tempatan. Azzief, individu yang mengendalikan projek ni memulakan track berjudul A Belly Gone Supernova (9:43) dengan sedikit kerja remix selama lebihkurang satu setengah minit (sampel sebuah nyanyian lagu lama dilatari bunyi sederhana mainan pedal efek) sebelum seterusnya menggasak dan meledak dengan bunyi-bunyi elektronik distorted keras dan kesat, tempias humming pada sesetengah tempat, sesekali dimasukkan vokal dan feeback. Ini untuk peminat Japanese noise seperti Merzbow dan Incapacitants. Pada keseluruhannya, “Pleasant sound for pleasant people! Get ready for the ultimate ears annihilation!” ujar label pengeluar dan saya bersetuju dengan itu. Rilisan ataupun genre seperti ini hanya mudah diterima orang-orang yang mampu mendengarnya dan sanggup menghadapi penderaan pada gegendang telinga. 500 unit CD dikeluarkan dan salinan saya bernombor 438. Diedarkan oleh Your.Slave.State.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan