Selasa, 23 Oktober 2018

Rebiu | LANGGAR LARI – Sa-puloh Tahun (Diskografi 2005-2015)


LANGGAR LARI – Sa-puloh Tahun (Diskografi 2005-2015)
Pooks Records
Saya masih ingat, arwah Amir Psychotic Sufferance / Psychotic Art Zine suka berkongsi cerita tentang perkembangan scene di Negeri Sembilan menerusi sembang-sembang kami di SMS telefon tangan biarpun waktu itu kami sudah berjauhan kerana saya berpindah kerja di Kota Bharu. Untuk makluman, saya berkenalan dan bersahabat dengan arwah semasa saya bekerja di Seremban, 1995 hingga sekitar 2000 begitu. Salah satu nama yang pernah terpacul dari mesej-mesej ringkas arwah adalah Langgar Lari, band thrashcore power dari Bahau, katanya. Saya al-maklumlah, masih taksub dengan Metal Ekstrim pada tempoh tersebut, tiada-lah teruja sangat, hahaha, cuma motifnya cerita saya ini untuk memberitahu yang saya telah dengar nama Langgar Lari sekitar pertengahan hingga akhir 2000an lagi. Cerita tentang “kebagusan” Langgar Lari terus saya dengar lagi dari Johan (pengendali blog Noise From Hell, sekarang editor zine My Own Mind). Lebih menarik, Johan turut menyumbangkan sebuah temubual bersama Langgar Lari untuk dimuatkan dalam isu pertama Bangkit! Fanzine. Apabila saya mendapat tahu adanya rilisan diskografi Langgar Lari dikeluarkan oleh sebuah label dari Indonesia, saya terus mencari dan mendapatkannya dari sebuah label distro tempatan. Saya fikir inilah peluangnya untuk mendengar kesemua material band ini semenjak mereka bermula dan sepanjang satu dekad keberadaan mereka. Saya mahu mengenali dan mengetahui “kebagusan” band yang dicerita-ceritakan ini. Fuhh! Thrashcore yang dahsyat! Berdesup perginya! “Lumayan Pak!”, mungkin begitu ungkap masbro Sigit, pemilik label Pooks Records. Kaset diskografi ini dirilis secara rasmi pada 9 September 2015, menghimpunkan 32 tracks keseluruhannya. Kesemua lagu terkumpul sepanjang 10 tahun eksistensi Langgar Lari dalam scene; daripada 5 rilisan terdahulu bermula Demo 2005 sehingga split bersama Terlarang, ditambah pula ekstra 4 live tracks terakam semasa band ini bermain di BTNK, K.Lumpur sekitar 2013. Memanglah lumayan. Koleksi yang cukup berbaloi dan besar harganya buat saya yang sekadar mendengar nama sahaja sebelum ini. Langgar Lari dalam kaset ini dicatatkan terdiri daripada Amri Matahari (vokal), Topex Thrash (gitar) dan Cdoth Jahanam (dram) pun demikian turut dimaklumkan pada pengenalan rilisan (dalam inlay), mereka sebagaimana kebanyakan band lain pernah juga beberapa kali bertukar line-up. Siapapun di sebaliknya, Langgar Lari tetap berdiri di atas nama Thrashcore! Gila punya laju ini band. Membelasah dan menghentam! Pada tempatnya memperlahan tempo, meredakan cungap, itu pun sebentar sahaja sebelum kembali laju selajunya! Semangat dan keringat melekat dalam lagu-lagu mainan Langgar Lari, dipekatkan lagi oleh jiwa punk yang kuat! Band ini untuk anda yang menggemari Spazz, Charles Bronson, Domestik Doktrin dan seumpamanya. Patutlah arwah Amir Fadli begitu berbangga dengan Langgar Lari.
facebook.com/langgarxlari
langgarlari.bandcamp.com
facebook.com/pooksrecords

Tiada ulasan:

Catat Ulasan