Memaparkan catatan dengan label Old Unit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Old Unit. Papar semua catatan

Isnin, 11 Jun 2018

Rebiu | IMPRESSION YEAR / OLD UNIT – Split


IMPRESSION YEAR / OLD UNIT – Split
Dekaden Records / Hardcore Detonation
Old Unit tidak menunggu lama untuk kembali semula dengan material baru. Kali ini rilisan dalam rupabentuk split cassette bersama Impression Year, sebuah band senegeri Old Unit tetapi berlainan genre muziknya. Impression Year sebenarnya adalah serpihan band The Monaco Heartattack, dan mereka membuka split tanpa judul ini dengan 3 lagu; Crying Ghost, Sedar Nyata, dan Fiction. Terdiri daripada Daniel (vokal), Suffi (dram), Taufiq (gitar) dan Faizal (bass), band yang berpengkalan di Pasir Gudang ini memperjuangkan muzik screamo / skramz, ditunjangi riff-riff agresif dan beremosi silih berganti, komposisi yang singkat dan padat serta sarat dengan ekspresi jerit-jeritan. Fiction adalah lagu pilihan saya dari Impression Year dalam split ini. Sebaik kejayaan Demo 2017, Old Unit menyusul dengan 4 lagu; Casablanca, Sicario, Teen Wolf, dan Vanishing Point dalam split yang rilis sekitar Mac 2018 ini. Dibarisi Faizal (gitar), Fahmi (dram), Zulfadzri (bass) dan Herry (vokal), Old Unit sememangnya band yang cukup kuat dengan vibe Black Flag. Mereka memukau dengan riff-riff dan beat-beat dinamik Hardcore oldschool serta pendekatan vokal yang terik dan tarik sana-sini. Terbaik, kesemua lagunya terbaik dan entah kenapa saya sangat tertarik dengan Teen Wolf, permainannya mudah tapi sudah cukup untuk meratah! Ayuh dapatkan split cassette berdurasi sekitar 12:30 minit ini.

Rebiu | OLD UNIT – Demo 2017


OLD UNIT – Demo 2017
Dekaden Records
Old Unit begitu ampuh memperagakan kualiti serta potensi mereka menerusi rilisan cassette tape 5-lagu Demo 2017. Kuartet dari daerah Muar, Johor ini mungkin sahaja dipandang nama baharu yang hendak memulakan langkah meletakkan tapak mereka dalam scene tempatan namun hakikatnya mereka terhimpun dari individu-individu yang dahpun lama bergelumang dengan dunia muzik bersama band-band terdahulu mereka. Berbekalkan pengalaman serta pastinya pengetahuan luas dalam apa yang dilakukan, Old Unit tanpa sebarang masalah bahkan dilihat cukup berkemampuan meledakkan udara segar irama Hardcore Punk inspirasi dari wadah oldschool antaranya Black Flag, Minor Threat, Death Injection dan sebagainya yang sealiran. Kelima-lima lagu dalam pita demo ini akan membuatkan anda pendengar berada dalam dua situasi; pertamanya puas, benar-benar berpuashati dengan segala tenaga yang telah Old Unit berikan akan tetapi kemudiannya pada masa yang sama terasa "tidak puas", kerana nafsu anda akan terdorong untuk mahukan lagi dan lagi dan terus inginkan lagi dari band yang amat berkuasa ini. Untuk kembali kepada asas HC/punk 80an yang digilap dengan kemantapan produksi bunyi (terhasil dari fasiliti rakaman masakini), Old Unit adalah jawabannya. Harap anda antara yang bertuah memiliki "barang baik" ini di dalam koleksi peribadi.