WASTED – Isu #2
28ms / 13cm x 18cm / Dwi Bahasa
Publikasi DIY ini dihasilkan oleh Kodi, pemain dram dalam band Disobey dan Not Things!. Zine ini secara fizikal amat simple pembikinannya, tanpa frontcover artwork, tiada gambar-gambar berkaitan sebagai hiasan, 100% hanya teks semata-mata. Mungkin bagi pandangan kebanyakan, zine dengan layout seperti ini nampak terlalu mendatar dan hambar tetapi tidak samasekali pada kandungannya. Pengisian Wasted #2 cukup besar dan mendalam pengertiannya. Rencana-rencana yang ditulis bersifat opini yang berasas, wajar mesej-mesejnya dan begitu fokus serta relevan dengan diri dan realiti sekeliling editor itu sendiri. Zine ini memusatkan kepada scene di Kelantan, atau Kota Bharu secara khusus. Kodi menulis luahan (atau keluhan) beliau tentang limitasi untuk ruang menjalankan aktiviti seni & kreatif akibat kerenah birokrasi pihak majlis perbandaran tempatan serta kurangnya kuasa membeli ekoran kelemahan nilai Ringgit Malaysia. Zine ini kalau tidak kerana penggunaan Bahasa Inggeris dalam penulisan di bawah judul “Kisah Si Leftist Yang Palsu, Keliru dan Kelakar”, pasti keseluruhannya berbahasa ibunda. Selain artikel, Wasted #2 turut menampilkan 4 buah interbiu ringkas tetapi mendapat respon yang padat, bersama; Pasar Percuma KB (satu kerja amal dengan tujuan membantu golongan yang memerlukan dan aku setuju dengan maklumbalas Alief: tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima), Wasted Youth KB (satu komuniti kecil yang gigih berjuang memperkasakan scene Kelantan, penganjuran gig muzik independen serta kegiatan-kegiatan DIY lain), Kutu Buku Distro (pengedar bahan bacaan bebas oleh seorang pelajar UMK asal Keningau, Sabah) dan Darul Naim Squad (kelompok scene skinhead/muzik oi! yang menolak keras ideologi Nazi, fahaman perkauman dan ketuanan bangsa). Secara keseluruhan, zine ini cukup berbaloi untuk dibaca dan difahami serta diambil pengajaran dari intipatinya. Wasted sebuah zine yang tinggi nilai punk dan rebel dalam jatidirinya. Harap akan ada isu #3 menampilkan penceritaan tentang scene skate di Kota Bharu [sepertimana dimaklumkan di halaman terakhir zine ini] dan sekiranya boleh ditokok-tambah foto-foto berkaitan dengan penulisan bagi menyerlahkan lagi ketrampilan zine Wasted. Hubungi: facebook.com/kodiamain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan