Ahad, 24 Julai 2016

Rebiu | DISTOPIA – Isu #0


DISTOPIA – Isu #0
28ms / A5 / Bahasa Melayu
Sebuah isu eksperimental suntingan dan terbitan Sarajevo Amira Maisara, dirilis pada Disember 2015. Distopia hampir keseluruhannya mengetengahkan topik-topik semasa dan realiti yang berlaku pada diri dan persekitaran penulis; cerita-cerita peribadi, curahan pendapat, perkongsian idea dan pengalaman. Semua ini dibentangkan dalam bentuk penulisan rencana. Antara artikel yang menarik perhatian seperti “Agenda Membaptis Masyarakat Ke Arah Modenisasi” yang mempersoal kewajaran pembangunan tanpa henti di Kuala Lumpur (dikaitkan dengan kebanjiran pusat-pusat membeli-belah, pembinaan lebuhraya dan sebagainya) yang akhirnya mengakibatkan kesan tidak baik kepada rakyat, ketidakstabilan sosio-ekonomi, kapitalisma dan konsumerisma, jurang kemasyarakatan dan pelbagai impak lain. Dalam “Monolog”, penulis mengongsikan pengalaman hitam beliau ditahan polis (ekoran menyertai himpunan anti-GST pada 1 Mei 2015), penyalahgunaan kuasa autoriti, pertuduhan tidak munasabah dan juga kehidupan dalam sel. “Relevankah Fanzine?” adalah kupasan penulis tentang pembikinan zine atas kertas pada era siber ini zaman di mana maklumat di hujung jari. Menariknya, menyunting dan menerbitkan zine sangat rapat dengan Sarajevo yang sememangnya seorang editor dan beliau tahu apa kelebihannya membikin zine. Distopia #0 turut menyelitkan bahan-bahan lain seperti puisi, ilustrasi, ulasan muzik dan literatur serta satu temubual bersama Ieda Mazlan, seorang pelukis dan juga aktivis Makanan Bukan Periuk Api. Secara total, Distopia ini satu penerbitan yang serius, bernas, mendidik dan sesuatu yang perlu lebih kerap dikeluarkan. Hubungi: zinedistopia@gmail.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan