Isnin, 18 Julai 2016

Rebiu | UPTOSIXTEEN – Masa Depan


UPTOSIXTEEN – Masa Depan
Self-released
Punk Rock dengan pengisian isu-isu politikal dan kemanusiaan. Itulah yang menjadi galasan empat pemuzik berpengkalan di Pasir Gudang, Johor. Lagu-lagu UpToSixteen sangat menarik untuk didengar, segar dan energetik. “Masa Depan” mengandungi lima buah lagu Punk Rock di bawah jalur melodic dan poppish. Begitu banyak perkara-perkara positif ada di dalam EP ini; baik dari aspek lagu-lagunya, produksinya mahupun kualiti rakaman. Syahmi (vokal/gitar kedua), Fendy (vokal/gitar pertama), Jiem (vokal/bass) dan Has (dram) bagi saya adalah sekumpulan pemuzik yang bukan sahaja berbakat besar tetapi juga berkemahiran tinggi. Pengendalian instrumen mereka cukup kemas dan mantap. Olahan muzik dan lagu-lagu band ini memang menakjubkan, banyak idea diketengahkan dan penuh dengan variasi. Di sebalik kerancakan lagu-lagu UpToSixteen, lagu berjudul Bersama Kau adalah pilihan saya dari EP ini. Sebuah lagu berentak perlahan, dinyanyikan penuh perasaan, mesejnya menyentuh hati dan cukup menginsafkan. Ianya tentang anak-anak kecil ketiadaan ibubapa, terbiar dan dalam kelaparan. Saya faham pengertiannya lebih luas. Terhasil dari rakaman di Studio46 (Nyaring), kualiti bunyi dalam “Masa Depan” tidak dapat dipertikaikan, memang cukup menyerlah. Saya percaya rilisan CD berdurasi keseluruhan 20:09 minit ini tidak akan mengecewakan pendengarnya malah saya lebih percaya bahawa UpToSixteen adalah sebuah band yang lahir dengan kualiti dan memiliki karisma tersendiri untuk sebaris dengan band-band melodic / poppunk terbaik di negara kita ini. Teruskan!.
facebook.com/uptosixteen
instagram.com/uptosixteen

Tiada ulasan:

Catat Ulasan