Ahad, 24 Julai 2016

Interbiu | ABHORSTENCH : 23.07.2016


ABHORSTENCH adalah sebuah unit Harsh Noise dari Seremban, Negeri Sembilan. Dibentuk sekitar tahun 2015, Abhorstench diterajui oleh dua personil; Amir Fadli (individu yang terlebih dahului dikenali menerusi band noisegrind Psychotic Sufferance serta editor Psychotic Art Zine) dan Faizal Fauzi (bekas anggota kumpulan melodic deathrash Farasu). Kenali Abhorstench dalam interbiu bersama Amir Fadli.

Ceritakan bila & bagaimana timbul idea menubuhkan Abhorstench?
Dah lama dah nak buat Abhorstench ni cuma masa tu komitmen kat Psychotic Sufferance ngan Psychotic Art Zine banyak sangat. Idea ni timbul semula bila jumpa kat pesta buku KL pada pertengahan 2014 kalo tak silap. Idea ni diutarakan semula lepas kami balik dari pementasan teater di ASWARA awal 2015.

Apa tujuan Abhorstench dibentuk maksud Abhorstench itu sendiri?
Tujuan Abhorstench, memanipulasi bunyi dan membawa pendengar kepada satu dimensi bunyi bising yang berstruktur / tanpa struktur, tanpa undang-undang muzik, tanpa frekuensi standard, ambient gelap dan lain-lain bentuk eksperimen.

Siapa dan latarbelakang individu-individu di sebalik Abhorstench?
Saya Amir Fadli dan Faizal Fauzi (ex-Farasu). Kedua-duanya berperanan dalam penghasilan bunyi bising, pemain Rebab, Ehru, Sitar dan Gambus berdistortion.

Huraikan definasi genre Harsh Noise buatan Abhorstench?
(tiada jawaban)

Apa sumber dan inspirasi korang dalam menggubah sesuatu bunyian (untuk buat sesebuah track)?
Sumber yang paling utama adalah field recording yang kami lakukan. Sound sampler yang kami rakam di kilang dan bengkel besi, station keretapi, pasar besar Seremban dan Ipoh, kenduri-kendara yang kami hadiri, kedai mamak, kawasan hutan, kawasan air terjun dan banyak lagi kawasan untuk dapatkan ambient yang menarik. Untuk pengubahan bunyian pula setiap track yang kami hasilkan itu ada alat muzik yang kami eksperimenkan contohnya ehru, rebab, caklempong dan lain-lain dengan penambahan pedal effects.

Boleh sebut beberapa nama projek Harsh Noise yg jadi rujukan?
Rujukan: Merzbow (Pulse Demon), Incapacitants, Government Alpha / Tube Tentacle (split), Gore Beyond Necropsy / Merzbow (Rectal Anarchy), Massona, Kazumoto Endo, To-Die, Theo Nugraha, CSSO, Impiety (Skullfucking Armargeddon), Werewolf Jerusalem, The Rita, Isengard, Hanatarash, Hijokaidan, Nocturnal Emissions, Nihilist Spasm dan banyak lagi la.

Apa peralatan & kelengkapan lain yang diperlukan dalam mencipta bunyian bising Abhorstench?
Kelengkapan lain adalah equipment yang kami buat sendiri (diy) melalui ilmu electronic yang tak seberapa yang ada pada kami iaitu shaker paku dan ball bearing yang kami tambah denga fizo, fuzz box yang diubah suai dan passive 3 channel mixer.. itu jer buat masa ni.

Senaraikan diskografi / senarai rilisan yang telah dikeluarkan setakat ni?
Abhorstench - Pergi bersarang di semenanjung khayalan (demo)
Abhorstench - Pergi bersarang di semenanjung khayalan (remixed and damage promo)
Abhorstench / To-Die (split)
Abhorstench / Tube Tentacles (split)
Abhorstench / Doa dan Dosa (split)
Abhorstench / Daiben (split)
Abhorstench / Jeritan (split)
Abhorstench / Chromasonus (split)
Abhorstench / Theo Nugraha (split)
Abhorstench / Random Emotionally Deformed (split)
Next Planned released:
Abhorstench / ANKBKTNOISESCAPE (split)
Abhorstench / File 106 / WMFM (3-way split)
Abhorstench / Krosot (split) [Blazt Promotion]

Apa konsep atau tema mesej yang hendak disampaikan? (Beri beberapa contoh judul lagu dan terangkan maksud mesejnya)
Konsep / mesej yang disampaikan: Kebanyakan mesejnya berkisar kepada kehidupan manusia seharian, nilai moral, agama, rasional dalam pemikiran, berfikiran kritis dan logik, cara hidup dan komunikasi sesama manusia, menghargai alam semulajadi dan lain-lain.. contoh lagu “Pergi bersarang di semenanjung khayalan” adalah berkisar mengenai pengasingan jiwa dan diri dari segala tekanan media massa yang mencengkam dengan penuh pembohongan, fitnah dan juga mind control. “Syubahah” pula adalah penerimaan masyarakat terhadap segala masalah sosial seperti pecah amanah, korupsi secara terang-terangan. Kemana perginya sifat menghalang, mempersoal dalaman masyarakat itu sendiri? Masyarakat sendiri rela terlibat dalam diam?.

Senaraikan beberapa event yang pernah Abhorstench sertai dan nyatakan event mana paling menarik?
(tiada jawaban)

Pendapat kau tentang scene Harsh Noise di Malaysia?
Pendapat saya la.. secara amnya scene harsh noise di Malaysia ni tak besar tapi berkembang dengan pesat. Setiap hari ada saja solo project yang keluar / diketengahkan. Ini tidak tertakluk kepada penggiat seni muzik underground sahaja malah pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi juga turut menghasilkannya. Ini kerana ada beberapa sebab harsh noise ni berkembang kerana ianya tidak tertakluk kepada gig tertutup sahaja. Ianya turut dipersembahkan di waktu pesta buku indie dan zine fest, sewaktu majlis baca puisi dan sajak, boleh dikatakan ianya bersifat bebas dan boleh masuk dalam semua event seni dan audiennya semakin berkembang.

Apa keunikan dan kekuatan yang ada pada Abhorstench bagi membolehkan orang kena check-it-out projek Harsh Noise ni?
(tiada jawaban)


Nota: Interbiu ini akan disunting dan dikarang semula menjadi sebuah rencana dan dimuatkan di bawah ruangan EXPOSE dalam Edisi Kedua BANGKIT! FANZINE akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan