Memaparkan catatan dengan label Bolos. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bolos. Papar semua catatan

Isnin, 23 Oktober 2017

Rebiu | BOLOS – Isu #1


BOLOS – Isu #1
52ms / A5 / Bahasa Melayu
Untuk makluman, Bolos #2 telah diulas dalam Bangkit! #1 manakala rebiu Bolos #3 di dalam Bangkit! #2. Semenjak itu saya berusaha mendapatkan Bolos #1 sebagai pelengkap koleksi. Syukur, saya berpeluang memperolehinya sekitar Februari/Mac (2017) lalu di masa editornya Norlaila Baizura menerbit dan mengedar zine #garisandakan ketika itu. Isu pertama zine Bolos ini diriliskan sekitar tahun 2014. Saya terpegun sekaligus terpesona sewaktu kali pertama membelek-belek setiap helaian isu ini. 99.9% dihasilkan dengan tulisan tangan (0.1% hanya mengambilkira bahagian kulit yang diperbuat menggunakan komputer). Sungguh, saya melihat keazaman dan kejujuran di dalam zine olahan anak gadis Sandakan ini. Pengisian Bolos #1 terbahagi kepada beberapa fokus iaitu temubual, informasi band, rencana, puisi, komik dan juga ilustrasi. Dua band Grunge setempat menjadi pilihan diberikan liputan; temubual bersama Silversun dan penulisan inormatif mengenai Thirsty of Grungy di bawah ruangan Kanta. Saya tertarik dengan interbiu bersama Shutdown Zine yang turut disulami diskusi mengenai gejala pra-sangka (prejudis). Artikel-artikel perkongsian pengalaman antaranya Diari 3 Hari 2 Malam, Mentaliti KLCC dan Bebelan: Perubahan turut terkandung di dalamnya huraian pendapat dan percambahan idea. Penulisan-penulisan seperti ini membawa makna yang cukup besar. Ini termasuklah beberapa komik, ilustrasi dan puisi terutamanya berisi mesej-mesej di dalamnya dan mengajak pembaca untuk berfikir. Percayalah, tanpa kemudahan komputer untuk menaip, anda masih mampu menyediakan sebuah zine yang bukan sahaja kreatif, tetapi kritis dan konstruktif. Emel lylaii81@gmail.com dan tunjukkan sokongan, agar Bolos terus berdiri sebagai satu media alternatif – wadah penjana pemikiran!

Rabu, 22 Jun 2016

Rebiu | BOLOS – Isu #3


BOLOS – Isu #3
56ms / A5 / Bahasa Melayu
Norlaila Baizura Simeran kembali mendambakan dirinya sebagai penulis independen dan penerbit zine DIY bilamana gadis asal Sandakan ini melepaskan isu ketiga BOLOS sekitar Disember 2015, lebih tepat pelancarannya pada Kuala Lumpur Zine Fest di Findar’s, Jalan Panggung, KL bertarikh 19/12/2015. Beberapa halaman awal seakan tribute kepada kejadian gempa bumi yang menimpa Negeri Dibawah Bayu tidak lama dahulu, terutamanya kawasan persekitaran Pergunungan Kinabalu. Antaranya termasuklah paparan puisi Kinabalu Sayang, ilustrasi #prayfirsabah oleh Aerick serta penyiaran senikata Story From Our Land dendangan Con-Damn The Corruptor. Memandangkan jumlah mukasurat telah bertambah dan lebih tebal, isu kali ini lebih padat dan penuh dengan perkongsian. Teras utama Bolos #3 di mana mengikut kiraan saya 3/4 daripada keseluruhan pengisian zine ini adalah penulisan bersifat peribadi, anekdot, cerpen dan rencana non-music, antaranya; Catatan 22jam 20minit, Ais Kepal, Seorang Rabun, Kontra Hidup dan Aku (sumbangan Harith) dan Populasi Gelandangan, sekadar menyebut beberapa judul. Tanpa disentuh hal-hal berkaitan muzik sudah tentu zine ini seperti hilang arah. Saya sukakan segmen interbiu yang dibuat bersama Demo Untuk Rakyat (sebuah band rock bebas asal daerah kelahiran editor Bolos) dan Nizang Mosh Zine yang bercerita panjang lebar tentang pembikinan zine serta disentuh sedikit penglibatannya dalam band Dum Dum Tak. Selain interbiu, turut diselitkan seksyen prebiu band menampilkan Roses For Maya (Post-Hardcore dari Sandakan) dalam ruangan Kanta dan GayuGazer (Experimental Post-Rock dari Kota Kinabalu) di bawah ruangan Selongkar Bio. Kandungan lain yang berjaya memikat perhatian saya adalah laporan event di mana saudari Laila melapor acara Bangsat Fest Vol.1 (berlangsung di IBIS Styles Hotel Ballroom, Sandakan pada 26 April 2015) dan satu lagi di mana Laila berkongsi pengalaman serta penemuan beliau terhadap band “pelik” The Venopian Solitude yang pada ketika itu beraksi dalam satu persembahan live sempena tour Rombongan Nona Gila mereka. Dalam Bolos #3, pembaca juga dihidangkan dengan introduksi kepada pelukis Otak Zuber (kelahiran Tawau) dan penceritaan muzik Reggae. Memang isu kali ini lebih ampuh dan memuaskan. Rebiu ini tidak akan memberi makna sekiranya anda sendiri tidak mahu berusaha untuk mendapatkan zine ini. Saya mahu Bolos terus diterbitkan meskipun agak runsing dengan satu tandatanya yang dicatat Laila di helaian-helaian penghabisan isu #3 ini. Mungkin juga kebetulan dengan puisi Tanda Tanya (karya xBonekax), si cantik manis Norlaila tinggalkan persoalan “Mungkin ini adalah last isu keluaran Bolos”. Ayuh Laila! Bangkit! Ini cinta kamu. E-mel: lylaii81@gmail.com.

Rabu, 13 Januari 2016

Rebiu | Bolos – Isu #2


Bolos – Isu #2
Ini pengalaman pertama saya bersama Bolos Fanzine dan barulah saya tahu editornya seorang gadis dari Sabah yang mana juga seorang pelajar. Isu kedua Bolos diterbitkan 40 halaman, saiz A5 dan ditulis dalam Bahasa Melayu yang santai tanpa ikatan formal. Interbiu bersama Flush Naïve (grunge), Lifetime Respect (post-rock) dan Mamink Freaxx Zine boleh dikatakan menarik dan seronok dibaca. Turut dimuatkan rebiu gig “Tribute To Nirvana” dan “Usir Para Jagoan!” serta rebiu band; Confused dan Elephant Oi! Editor juga bijak menampilkan penulisan-penulisan berbentuk anekdot, perihal peribadi dan persekitarannya serta rencana-rencana bersifat pandangan dan cadangan beliau. Pengisiannya segar dan wajar! “Babak Singkat KLIA2”, “Si Pentafsin Gambus”, “Balik Sekandor”, “Aku Grind, Kau Skinhead. Kita Berbeza. Kau Boleh Pergi Mampus!”, “Kau Hitam, Aku Putih, Samakah Kita?” dan “Mesin” semuanya terbaik! Beberapa karya seni berupa ilustrasi dan puisi juga menghiasi helaian-helaian fanzine ini. Ketrampilan Bolos #2 ini bersih, kemas, tersusun malah cover hadapan yang memang sedap di pandang mata. Hubungi e-mel lylaii81@gmail.com untuk dapatkan salinan anda atau sumbangan penulisan. Bolosi Sahaja Dinding Itu!